Sabtu, 14 Mac 2009

Pokok Dan Sebuah Tugu Negara, Mana Lebih Mulia?

MB Perak dokongan rakyat YAB Ir Nizar telah menyempurnakan penanaman `pokok demokrasi' di kawasan tempat bersejarah persidangan DUN Perak baru-baru ini. Seperti biasa, Umno akan sentiasa mencari kesalahan apa jua yang dilakukan oleh PR di Perak terutamanya oleh MB Perak YAB Ir Nizar beserta DUN-DUN PR yang lain.

Maka, menanam `pokok demokrasi' yang tanpa mengeluarkan satu sen pun wang Kerajaan Negeri Perak dianggap menderhaka kepada Sultan Perak sepertimana yang direpekkan oleh YB Zambry. Begitulah betapa takut dan gementarnya mereka kepada kebenaran sehinggakan apa jua yang dilihat oleh mereka seolah-olah ingin merampas kekuasaan yang mereka miliki secara jijik itu.

`Pokok Demokrasi' yang ditanam oleh pejuang-pejuang keadilan di Perak itu ternyata lebih mulia dari tertegaknya sebuah tugu negara yang jelas bertentangan dengan Islam. Tugu Negara yang telah berpuluh tahun tertegak megah di ibu negara itu saban tahun seolah-olah menjadi tempat `pujaan' dan `sembahan' tatkala menyambut Hari Pahlawan.. Majlis fatwa pernah mengeluarkan fatwa tentang pembinaan tugu tersebut, namun ianya tidak diendahkan oleh pemerintah. Mereka lebih sensitif dengan suburnya `Pokok Demokrasi' yang menjadi lambang betapa rakyat Perak akan tetap mempertahankan demokrasi yang tulen di Perak. Apa yang tidak kena dengan pokok tersebut? Apakah dengan adanya beberapa batang pokok di situ akan menimpa Umno di Perak? Tidak mustahil ianya akan berlaku, oleh yang demikian memang wajar Umno di Perak khususnya berada dalam penuh ketakutan dan trauma dan menganggap pokok tersebut `berpuaka'. Siapakah yang `berpuaka' antara pokok-pokok yang ada di situ atau mereka yang takut kepada pokok-pokok berkenaan? Saya bimbang apabila ketakutan dan ketaksuban kepada kuasa yang kononnya ada pada pokok-pokok berkenaan, akan wujud pula beberapa puak dari Umno atau lain-lainnya `bertapa' atau `menurun' nombor ekor di bawah pokok berkenaan. Perbuatan tersebut adalah syirik, dan janganlah kaitkan pokok-pokok yang tidak berdosa itu dengan pihak Istana. Memadailah dengan apa yang telah kamu lakukan sehingga menimbulkan perasaan kurang mesra di antara Sultan dan rakyat di Perak. Pokok-pokok berkenaan jauh lebih mulia daripada Tugu Negara yang ada malahan jauh lebih disayangi oleh rakyat daripada kamu. Kepada rakyat Perak, memandang kehijauan pokok-pokok berkenaan lebih mententeramkan hati dan jiwa daripada melihat kamu yang bersenang lenang dari hasil titisan air mata rakyat.

Mungkin ajal pokok-pokok berkenaan tidak panjang selepas ini namun bagi rakyat yang tidak pernah menganggap pokok-pokok berkenaan berkuasa untuk mengubah nasib rakyat Perak, perjuangan menuntut keadilan akan terus dilaksanakan. Tumbangnya nanti pokok-pokok berkenaan tidak bererti tumbangnya perjuangan rakyat malahan semangat rakyat akan bertambah untuk menghancurkan sisa-sisa Umno di Perak. Umno di Perak kini tiada lagi kekuatan dan mereka akan berpaut kepada sesiapa sahaja untuk bernafas hatta kepada 4 ekor katak sekalipun. Percayalah, katak-katak yang dimiliki oleh Umno sebagai tempat bergantung sekarang kelihatan semakin lemah dan sudah pasti tidak lagi mampu melompat dan akhirnya katak-katak ini akan lenyap dan akan menjadi bangkai yang teramat busuk baunya.

Rakyat di Perak tidak lagi menghitung waktu untuk kembali mendaulatkan negeri mereka. Rakyat di Perak hanya tahu berjuang meskipun mereka tidak sempat melihat hasil perjuangan mereka sekiranya Allah menghendakinya kembali ke sisi Tuhannya. Namun hati mereka pasti puas dan roh mereka pasti tenteram jika hasil perjuangan mereka akan dinikmati oleh anak dan cucu-cicit mereka. Biarkanlah Umno untuk seketika bersorak dan bergembira dengan kerja-kerja mereka, tetapi akhirnya Umno akan menangis untuk selama-lamanya.

WFAUZDIN NS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan