Khamis, 16 April 2009

Melayu Sarawak, Bidayuh Kecewa Dengan Perwakilan Dalam Kabinet

KUCHING, 14 April (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak, melahirkan kekecewaannya berhubung perwakilan Melayu Sarawak dalam Kabinet persekutuan.

Meskipun mengharapkan lebih ramai anak Sarawak dilantik ke peringkat persekutuan, Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bagaimanapun melihat perkara itu dari sudut positif.

Ini kerana, katanya dalam senarai Kabinet yang diumumkan pada 9 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melantik wakil Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang akan memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai keperluan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

"Ia hak mutlak Perdana Menteri, kita perlu terima," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran rumah kos rendah di bawah program "Rumah Mesra Rakyat" kepada 24 penerima hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan Negeri berkata lazimnya seorang ahli politik Melayu daripada PBB akan diberi jawatan menteri penuh tetapi dalam Kabinet yang diumumkan itu, tiada seorang pun yang dilantik.

Wakil PBB dalam Kabinet persekutuan adalah Naib Presiden kanannya yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ketua Pemuda PBB Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim dan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Taib.

Selain PBB, wakil lain Sarawak dalam Kabinet persekutuan adalah seorang menteri dan dua timbalan menteri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan dua timbalan menteri masing-masing daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan