Rabu, 29 September 2010

Tangani Isu Perpaduan Melayu, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat Pelawa Ahli UMNO Sertai Parti PAS!


KOTA BHARU 29 Sept [3.11 pm] - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat (foto) hari ini mengajak anggota UMNO sertai PAS sebagai cara menangani isu perpaduan orang Melayu. Mursyidul Am PAS itu berkata, ini kerana parti berkenaan mewakili semua yang beragama Islam dan sewajarnya orang Melayu yang juga orang Islam berada di dalam parti tersebut. "UMNO tak payah bertanding selama-lama dan duduk dalam sebuah parti, iaitu PAS. Kalau boleh, tak perlu ada parti orang Melayu lain selain dari PAS," katanya di sini hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan agar UMNO tidak menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi. Takiyuddin sebaliknya mencadangkan kerusi itu diserahkan kepada PAS demi perpaduan orang Melayu selain elakkan pergeseran berpanjangan antara dua parti utama orang Melayu.
[Apapun, sudah pasti puak-puak UMNO akan melenting dengan cadangan Tok Guru Nik Aziz ini. Mereka seboleh-bolehnya mahu ahli PAS yang masuk UMNO, kononnya untuk peyatuan Melayu. Persoalannya, apakah semua ini akan menjadi realiti sedangkan dalam masa yang sama masih banyak lagi perkara yang perlu diperbetulkan dalam UMNO itu sendiri. Tambahan pula perjuangan mereka hanya berlandaskan kepada bangsa semata-mata. Sedangkan PAS berjuang atas nama Islam. Makanya, tidak mungkin PAS perlu bersama UMNO melainkan UMNO yang bersama PAS kerana Islam itu yang lebih utama daripada untuk bangsa sebenarnya].

Mahkamah: Kes Penipuan Soal Bayaran Tanaman Semula, Peneroka Menang Lagi Isu Saman Felda !!

KUANTAN, 29 Sept [1.43 pm] - Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya ekoran saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka. Namun, Hakim itu memutuskan, bayaran itu hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Hakim menolak hujjah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak sampai. Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri. Peneroka terbabit diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Felda diwakili oleh Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi.

[Inilah takdirnya, apa cara sekali pun yang mahu dibuat oleh Felda kini sudah tidak dapat ditutup lagi. Ternyata Felda menekan para peneroka atas wang tanam semula yang dipotong setiap bulan daripada keringat mereka sendiri. Terbukti Felda tergamak mencekik leher peneroka dengan wang RM17,000 kononnya duit tanam semula. Tapi bila diminta oleh peneroka yang tanam sendiri, mereka memberi berbagai alasan yang tidak munasabah dan masuk dek akal. Kini mereka tidak dapat lari lagi dari tanggungjawab tersebut. Penat lelah peneroka perlu dibayar, Felda bukan "Ah Long" yang memeras ugut peneroka supaya terus tunduk kepada mereka. Kini peneroka sudah bijak untuk menilai sesuatu isu tersebut. Tiada sebab untuk memaksa peneroka menyaman Felda jika tidak ada dokumen yang sah. Menteri Ahmad Maslan ternyata "meracau" kononnya ada orang memujuk peneroka menyaman Felda, walhal peneroka sendiri yang terpanggil untuk mempertahankan hak mereka].

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Sudah Lapor Kekosongan Kerusi DUN Galas Kepada SPR

RANTAU PANJANG 29 Sept [1.03 pm] – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengesahkan telah menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Galas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut. Katanya, surat pemakluman itu telah dihantar 12.45 tengah hari semalam sejurus selepas pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi itu, Chek Hashim Sulaima. "Kita telah terima sijil kematian pagi semalam dan sudah menghantar surat makluman kekosongan kerusi selepas itu kepada pihak SPR, melalui pos dan faks,” katanya di sini hari ini. Chek Hashim, 46, meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di Kuala Lumpur pada Ahad lalu akibat barah usus.
[Apa yang pasti sekarang, tentu berita ahli PAS keluar parti akan mewarnai media arus perdana. Malah, paling menarik rakyat di kawasan terbabit kini sudah pasti akan mendapat durian runtuh dan limpahan kemewahan yang berlipat kali ganda. Projek mee segera serta janji-janji pembangunan pasti akan dicanangkan untuk mengaburi mata rakyat seperti kebiasaannya. Namun, apa yang penting menang atau kalah tetap tidak akan mengubah apa-apa di Kelantan. Cuma harapan kita agar PAS akan menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini, memandangkan Ku Li selaku Ahli Parlimen Gua Musang juga kecewa dengan tindakan kerajaan pusat dan Petronas melanggar perjanjian minyak terhadap negeri itu. Apakah angin perubahan akan ditiup oleh Ku Li kepada pengundi di DUN Galas agaknya].

Tiada ulasan:

Catat Ulasan