Kerusi Melayu/Melanau cabaran besar buat Pakatan Rakyat di Sarawak - Peguam


Wednesday, 10 March 2010 3:22 PM Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Pengerusi (Majlis Pimpinan Negeri) PKR di Sarawak, Baru Bian yang juga seorang peguam mengakui kerusi Dun bagi kawasan majoriti masyarakat Melayu dan Melanau di negeri itu antara cabaran besar yang perlu dihadapi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya negeri akan datang.
Namun, pihaknya bersama komponen PR yang lain tidak akan mengaku kalah sebelum berjuang bagi memastikan Sarawak berjaya di tawan dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ikuti temubual erapakatan.com berhubung persiapan dan harapan parti itu menjelang pilihanraya negeri akan datang.
Erapakatan.com : Apa kebaikannya yang rakyat Sarawak perolehi jika PR diberi peluang memerintah Sarawak.
Baru Bian : Terdapat dua perkara penting yang kita tuntut bagi Sabah dan Sarawak dan perkara ini telah saya tegaskan semasa berucap di Konvensyen pertama Pakatan Rakyat (PR) di Shah Alam (19 Disember lalu) iaitu berkaitan dengan Semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan yang ke dua ialah berkaitan hak yang lebih adil diberikan kepada negeri Sarawak dan saya amat bersetuju dengan dasar PR yang menawarkan 20 peratus daripada pendapatan Petroleum di berikan kepada Sarawak dan juga Sabah.
Selain itu, kita juga menuntut agar kerajaan persekutuan memberikan peluang yang adil kepada penduduk Sarawak untuk menyandang jawatan penting dalam dalam agensi kerajaan. Apabila kita menuntut, bukan kita tidak mahu orang semenanjung (memegang jawatan itu), tetapi lebih kepada memberi peluang yang sama adil dan rata kepada penduduk Sarawak yang berkelayakan.
Sehingga kini saya tidak faham mengapa kerajaan negeri gagal melakukannya sedangkan Sarawak juga adalah salah sebuah negeri yang bergabung dalam Malaysia. Dalam hal ini termasuklah penjawat awam di pihak keselamatan seperti askar dan polis.
Erapakatan.com : Sejauhmana isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masih relevan di Sarawak kerana pemimpin BN mendakwa isu itu walaupun dimainkan dalam pilihanraya kecil (PRK) Dun Batang Air, tetapi PR masih tidak menang.
Baru Bian : Kita telah melakukan tinjauan dan mendapati isu ini sentiasa panas kerana ia melibatkan hampir semua kaum di negeri ini dengan sebahagian besarnya masyarakat Dayak.
Berhubung dakwaan BN bahawa ia tidak relevan seperti yang berlaku di Batang Air, ia sesuatu yang berbeza kerana melibatkan banyak faktor dan antaranya ialah maklumat kita ada yang tidak sampai kepada pengundi selain kedudukan kawasan itu juga menyukarkan pergerakan kita menerangkan kepada rakyat sepanjang tempoh kempen.
Selain itu, pada masa yang sama jentera PR di seluruh negara terpecah tiga manakala seluruh jentera BN Sarawak berkampung di Batang Air dan semasa konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam yang lalu juga dasar PR dengan jelas menyatakan bahawa kita akan menjamin hak Tanah Adat Orang Asal yang seharusnya tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak termasuklah kerajaan BN dan beberapa syarikat kroni mereka yang merompak tanah rakyat kononnya atas nama pembangunan.
Erapakatan.com : Pemimpin BN  mendakwa tanah itu di ambil untuk membangunkan negeri Sarawak yang luas itu.
Baru Bian : Mengarut! Mereka mengambil tanah rakyat bukan untuk pembangunan rakyat tetapi untuk syarikat kroni mereka sahaja dan perkara ini telah lama berlarutan sebab itu pemimpin BN ini layak digelar ‘perompak’ yang merompak tanah rakyat untuk kepentingan peribadi mereka dan kroni mereka.
Sehingga kini, masih terlalu banyak isu berkaitan NCR yang masih tertunggak dan gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri di bawah cengkaman BN.
Erapakatan.com : Beberapa hari sebelum sambutan Hari Wanita di Sarawak Disember tahun lalu, Polis telah mengishtiharkan bahawa kes rogol berkaitan kaum Penan telah selesai selain mendakwa antara sebab kes itu lambat di selesaikan kerana ahli politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak memberikan kerjasama.
Baru Bian : Saya cabar mereka buktikan bagaimana kes itu dikatakan sudah selesai dan kita bagi peringkat PKR sendiri telah menubuhkan jawatankuasa khas mengenainya dan pengishtiharan itu mungkin mempunyai agenda tertentu.
Setakat ini, kes itu masih lagi berjalan dan kita akan terus mendesak agar kes ini segera diselesaikan kerana perjuangan kita adalah perjuangan rakyat dan bukan seperti BN yang takut sehingga sanggup memangsakan rakyat sendiri demi menjaga golongan atasan tertentu.
Perlu diingat, Wadesa sendiri, meragui tindakan Polis dan kerajaan negeri yang bersubahat menutup isu itu secara tiba-tiba.
(Wadesa ialah Persatuan Wanita Desa Sarawak, iaitu salah sebuah NGO yang berpusat di Sarawak yang memperjuangkan hak-hak wanita di negeri itu-erapakatan.com)
Erapakatan.com : Bagaimana persediaan PR di Sarawak setakat ini bagi menghadapi pilihanraya negeri.
Baru Bian : Kita sudah lama bersedia dan sentiasa bersedia kerana pertempuran melawan BN bukan semata-mata atas nama politik tetapi lebih kepada menyelamatkan rakyat daripada cengkaman BN.
Bagi PKR sendiri kita konsisten untuk memperkasakan organisasi diperingkat Cabang dan Ranting selain memperkemaskan jentera penerangan parti serta mengaktifkan pejabat di setiap peringkat agar sensitif dan rajin mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
Saya sendiri akan terus menjelajah ke seluruh negara dengan langkah permulaan di Johor yang memiliki kira-kira 60,000 penduduk Sarawak yang menetap dan bekerja di sana.
Langkah ini bagi memastikan mereka mendapat penerangan yang jelas dan secara dekat seterusnya kita mengharapkan mereka pulang ke Sarawak untuk mengundi dalam pilihanraya negeri kelak.
Dari aspek pembahagian kerusi, secara asasnya kita mengambil kira tiga faktor berikut dan ini merupakan hasil perbincangan yang dipersetui bersama komponen PR di Sarawak sebelum ini. Pertama ialah kita akan mengekalkan kedudukan kerusi yang telah dipertandingkan pada pilihanraya negeri tahun 2006.
Ke dua, Perletakan seseorang calon bagi mana-mana kerusi bergantung pada sokongan rakyat di kawasan itu. Maksudnya di sini, sokongan terhadap calon itu berpandukan pengaruhnya di peringkat akar umbi dan ke tiga, kita bertekad memastikan pertandingan menentang BN  secara satu lawan satu dan ini adalah perkara yang begitu jelas yang kita telah putuskan bagi peringkat PR Sarawak.
Erapakatan.com : Kedudukan kerusi bagi majoriti pengundi Cina, dan masyarakat Dayak nampaknya memberi petunjuk meyakinkan untuk di tawan, bagaimana pula dengan kerusi bagi majoriti Melayu/Melanau?
Baru Bian : Ya, isu tanah, kemudahan prasarana, kes rogol kaum Penan, terus memeningkan BN dan ini meyakinkan kita untuk menawan kerusi luar bandar yang merupakan majoriti di Sarawak. Begitu juga dengan kerusi majoriti masyarakat Cina yang sehingga kini belum pulih dan terus menyokong Pakatan Rakyat.
Secara asasnya, kita akui cabaran untuk menawan kerusi Melayu/Malanau ini, namun kita tidak akan mengaku kalah sebelum berperang.
Kita menetapkan sekurang-kurangnya antara 7-10 kerusi itu kita mampu tawan selain mengharapkan komponen PR yang lain turut memenangi kerusi Dun yang akan mereka tandingi.
Erapakatan.com : Harapan saudara kepada seluruh pengundi di Sarawak
Baru Bian : Kita di Pakatan Rakyat menawarkan kerajaan Alternatif yang lebih baik kepada penduduk Sarawak dan menjanjikan Sarawak Baru, pemerintahan yang berintegriti, calon-calon yang bersih dan kita berharap rakyat Sarawak memberikan kita peluang sepenggal untuk membuktikan janji ini. Visi rakyat ialah visi kami. Terima Kasih.

Dun S’wak bubar Jun? Kenapa Taib Mahmud diam?


Wednesday, 10 March 2010 1:28 PM Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak kederangan sejak tahun 2008 lagi. Namun, Ketua Menteri (KM) Sarawak, Taib Mahmud sehingga kini tetap dengan pendiriannya enggan membubarkan Dun di negeri itu.
Terdapat dua faktor utama yang sering diambilkira oleh Pengerusi BN Sarawak itu setiap kali adanya pilihanraya iaitu faktor pengukuhan ekonomi negara dan faktor perpecahan Pakatan Rakyat (PR).
Faktor Ekonomi
Sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Pengerusi BN, Najib Razak tergesa-gesa mengumumkan Malaysia keluar dari kesan krisis ekonomi, iaitu sehari selepas Pengerusi Umno itu melawat Sarawak.
Walaupun diakui, angka-angka ekonomi yang diumumkan itu langsung tiada kesan kepada rakyat marhaen, tetapi lebih kepada mahu meraih keyakinan pengundi Cina di Sarawak untuk kembali menyokong BN pada pilihanraya negeri akan datang.
Pada pilihanraya negeri sebelum ini, sekutu BN yang mewakili masyarakat Cina, iaitu SUPP mengalami prestasi terburuk dalam sejarahnya apabila hilang lapan kerusi Dun walaupun ketika itu Tsunami Politik belum melanda seluruh negara.
SUPP sehingga kini kekal dengan krisis dalaman apabila presidennya enggan melepaskan jawatan walaupun sebelum ini pernah berjanji untuk melepaskannya.
Malah, parti tertua di Sarawak itu juga berdepan dengan sindrom keluar parti beramai-ramai termasuklah pemimpin kanannya yang menyertai PR.
Dari aspek lain juga, Taib yang juga Presiden parti PBB turut mengambil tema ekonomi sempena perhimpunan agung parti itu di Kuching baru-baru ini, sesuatu yang jarang berlaku bagi parti itu.
Faktor Pakatan Rakyat
Ingat lagi tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Batang Air yang diadakan serentak dengan PRK Dun Bukit Selambau dan PRK Parlimen Bukit Gantang pada 7 April tahun lalu?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu hanya menetapkan ketiga-tiga PRK itu berlangsung serentak selepas menemui Taib Mahmud, walaupun sebelum itu SPR mahu ia diadakan secara berasingan.
"Oleh kerana ia melibatkan bahagian di Sarawak dan oleh kerana SPR juga bercadang mengunjungi pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, maka mesyuarat akan diadakan di Kuching bagi menetapkan tarikh pilihan raya.
Kerusi Batang Air melibatkan kawasan pedalaman dan ia terletak di Sarawak manakala Bukit Gantang dan Bukit Selambau di Semenanjung.
Jadi, banyak persiapan perlu diadakan... jadi tidak mungkin diadakan serentak," ," kata Timbalan Pengerusi SPR ketika itu, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada 25 Februari 2009.
Pada PRK itu, BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Batang Air yang antara faktornya ialah kurangnya pimpinan PR berada di Dun Batang Air akibat jentera pilihanraya yang terpaksa berpecah kepada tiga bahagian.
Malah, Ketua Umum PKR sendiri ketika itu menghadapai kekangan masa untuk menjelajah dalam tempoh singkat di Dun Batang Air kerana turut berkempen di Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang.
Pada masa sama, seluruh jentera BN negeri berkampung di Dun itu selain bantuan media dan SPR sendiri yang kurang dipantau oleh pimpinan PR pusat.
Ini diakui sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Addy Aliyanni yang berkampung di Batang Air sebelum penamaan calon sehinggalah selesainya PRK di situ.
"Wujud keadaan di mana pengiraan undi dikira seawal pukul tiga petang sedangkan waktu itu proses membuang undi masih lagi berjalan.
Lebih malang lagi, apabila pengiraan itu dilakukan tanpa kehadiran wakil calon dari PR,” katanya yang turut ditemani Kelab Penyokong PAS dari Sarawak.
Pada pilihanraya itu, seluruh jentera BN negeri berkampung di Dun Batang Air manakala pimpinan utama PR amat jarang ditemui bagi membantu jentera PR ketika itu.
Pilihanraya Perak, Sarawak serentak ?
Bagi memastikan BN terus memerintah di Sarawak pada pilihanraya negeri akan datang, strategi yang sama akan digunakan iaitu memecahkan jentera PR agar tidak tertumpu di Sarawak.
Sehubungan itu, pilihanraya Perak dan Sarawak dijangka akan diadakan serentak selain beberapa lagi kerusi parlimen dan Dun akan diishtiharkan kosong.
Sebab itu, awal-awal lagi Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain menyifatkan penafian Bendahari Umno, Ahmad Husni Hanadzlah sebagai kenyataan politik berhubung pilihanraya di negeri itu.
Turut menafikan perkara itu ialah Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yasin.
Untuk rekod, penfian itu dibuat oleh kedua-dua timbalan Najib, di mana Muhyiddin ialah Timbalan Presiden Umno manakala Husni Hanadzlah ialah Menteri Kewangan II dan Najib ialah Menteri Kewangan I.
Perlu diketahui, jadual asal program Juara Rakyat anjuran Umno bagi peringkat negeri Perak ialah pada Mei ini tetapi ia diawalkan pada bulan ini, Mac sebagai persediaan awal parti itu untuk berdepan dengan pilihanraya negeri selain pemimpin MCA, Chua Soi Lek telah memberikan senarai calon parti itu kepada Zambry beberapa minggu lalu.
Menarik juga untuk dicatatkan di sini, Program Juara Rakyat anjuran Umno buat pertama kali diishtihar sebagai program BN dan akan diperluaskan di Sarawak selepas ini.
Sarawak satu-satunya negeri yang mengharamkan kemasukan Umno ke negeri itu dan jadual yang diterima oleh pihak media semasa pelancaran program Umno itu di Hulu Selangor Januari lalu tidak menyenaraikan Sarawak dalam program itu.
Fenomena 'Dua Bukit Satu Batang' berulang kembali
Bagi memecahkan lagi jentera PR, dijangkakan beberapa lagi PRK akan berlangsung secara serentak di seluruh negara termasuklah yang melibatkan kerusi yang dimenangi PR sebelum ini seperti Parlimen Batu yang kini diwakili Chua Tian Chang.
Oktober tahun lalu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR dihukum enam bulan penjara dan denda RM3,000 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menggigit anggota polis.

Beliau akan hilang kerusi parlimennya itu jika rayuannya yang dijadualkan didengar pada 13 April ini ditolak.
Jika kerusi itu kosong, maka pilihanraya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari atau selewat-lewatnya pertengahan Jun tahun ini.
Selain itu, kerusi Dun Kota Seputeh sehingga kini terus tertangguh di mahkamah walaupun sebelum ini ia telah diishtihar kosong.
Jika kedua-dua kerusi itu kosong, maka situasi Dua Bukit Satu Batang akan berulang kembali seterusnya jentera PR akan berpecah untuk menumpukan keseluruhan PRK itu.
Apa yang berlaku Mei ini ?
BN tahu, Anwar merupakan antara faktor penting dalam PR, sehubungan itu, mereka akan melakukan apa jua cara bagi memastikan Anwar terganggu atau sekurang-kurangnya disibukkan dengan apa jua kes bagi memastikan Pimpinan utama PR itu tidak membantu PR.
Selain isu tuduhan liwat dalam Fitnah kali ke dua yang dilemparkan terhadap Ketua Pembangkang itu, Anwar turut disibukan dengan beberapa kes lain termasuklah apabila Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mei ini, untuk mendengar permohonan mantan Timbalan Perdana Menteri itu berhubung pembatalan samannya terhadap Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang didakwa memalsukan keterangan dalam siasatan kes insiden ‘mata lebam’nya pada tahun 1998.
Kerajaan turut membatalkan buat sementara waktu berhubung struktur baru subsidi minyak yang sepatutnya diumumkan Mei ini.
Malah, Menterinya, Ismail Sabri Yaakob menukarkannya kepada Makmal Rasionalisasi Subsidi bagi mengabui mata rakyat.
Bagi Sarawak, Mei ini ialah kemuncak program Hari Bertemu Pelanggan, anjuran SPR Sarawak yang telah dimulakan sejak Januari lalu.
“Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan melancarkan program kemuncak 'Pendaftaran Perdana Peringkat Negeri Sarawak' di Tebingan Sungai Kuching Mei ini,” kata Timbalan Pengarahnya Wan Fadilah Wan Ahmad pada 27 Januari lalu.
Program itu telah berjalan sejak setahun lalu dan dilancarkan secara agresif sejak Januari lalu dengan kemuncaknya di Kuching pada Mei ini.
Setakat ini, SPR mengesan sejumlah 437,369 orang di negeri Sarawak yang sudah layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih.
Di pihak BN Sarawak pula, satu-satunya sekutu BN di negeri itu yang belum mengadakan pemilihan tahunan parti mereka ialah PRS yang dijadualkan pada 15 Mei ini, di Bintulu, Sarawak.
Sekutu BN di Sarawak terdiri daripada SUPP, SPDP dan PBB yang masing-masing telah mengadakan pemilihan termasuklah PBB yang berakhir minggu lalu.
Mengapa Jun ?
Pada 10 Disember tahun lalu, Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Umno memberitahu, kementeriannya menetapkan tempoh dua tahun untuk menyelesaikan isu Kad Pengenalan penduduk Sarawak, termasuklah 10,056 kaum Penan yang menetap di luar Bandar dalam kawasan Baram di negeri itu.
 “Selepas tempoh itu berakhir semua permohonan individu yang mendakwa sudah menetap lama di negeri ini tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan MyKad tidak akan dipertimbangkan lagi,” katanya semasa melawat Long Kevok di Baram, Sarawak 10 Disember lalu.
Anehnya, pada 7 Mac lalu, gabungan Mahkamah, polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menggempur kawasan Baram memberitahu bahawa masalah Kad Pengenalan di kawasan itu akan di selesaikan dalam tempoh tiga bulan yang akan berakhir awal Jun ini.
Najib pula akan memperincikan Model Ekonomi Baru (MEB) Jun ini yang draf pertama akan dibentangkan hujung Mac ini.
“ Draf pertama MEB yang merangkumi matlamat dan cadangan akan diumumkan pada persidangan Invest Malaysia 2010 hujung bulan ini. Yang akan diumumkan Jun ini adalah butiran terperinci model berkenaan," Ketua Setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Prof Dr Norma Mansor pada 8 Mac lalu.
Pada 10 Jun ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nor Mohamed Yakcop akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10).
“Peruntukan kerajaan kepada Sarawak untuk RMK-10 hanya akan diketahui pada 10 Jun setelah ia dibentangkan di Parlimen dan saya tidak dapat mendedahkan maklumat ini lebih awal kerana ia merupakan maklumat sulit,” katanya selepas menghadiri sesi dialog mengenai RMK-10 dengan kerajaan negeri di Kuching, 15 Januari lalu.
Turut hadir, Ketua Menteri (KM) Sarawak, Taib Mahmud, Timbalannya, George Chan Hong Nam dan Alfred Jabu Numpang serta barisan Kabinet kerajaan negeri.
Rekod menunjukkan, Taib Mahmud yang menjadi KM sejak era Tun Hussien Onn itu kerap membubarkan Dun setahun lebih awal.
Tempoh Dun Sarawak akan berakhir Jun tahun depan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng pada 8 Mac lalu memberitahu, PR di Sarawak akan dibentuk secara rasmi Jun ini.

Program Ziarah dan Pembelaan Rakyat-pas miri

Kalakau Untol pahlawan berprinsip – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Datuk Kalakau Untol sebagai pemimpin Dusun yang berprinsip, tegas dan berani menentang arus.






Menurutnya, semangat juang yang ditunjukkan oleh Datuk Kalakau bersama penyokongnya cukup mengagumkan beliau apatah lagi mantan Senator negeri Sabah itu selama ini banyak bersabar melihat kepimpinan songsang BN di negeri Sabah.



"Datuk Kalakau seorang pemimpin Dusun Sabah yang disegani dan dihormati dan seorang yang bijak dapat membezakan 'intan dan kaca’ lalu memilih PKR sebagai wadah tempat beliau berjuang. Syabas Datuk,” Kata Ahli Parlimen (MP) Permatang Pauh itu, di Tuaran, Sabah pada malam 28 Februari lalu.



"Mahkamah Malaysia hari ini dikuasai oleh Kerajaan sepenuhnya, naik pangkat dari Kerajaan, gaji bulanan dari Kerajaan, naik gaji dari Kerajaan. Pakatan Rakyat menang PRU akan datang, kita akan ubah semua ini, agar mahkamah benar benar bersifat berkecuali, maka barulah keadilan dapat ditegakkan betul."



"Lihat penderitaan orang kampung, penderitaan pengundi-pengundi, terutama sekali rakyat Sabah, kos hidup rakyat melambung tinggi.



“Bisa Datuk Musa Aman menyuarakan kesusahan rakyat? Dapat Datuk Musa Aman menyelesaikan masalah kenaikan kos hidup rakyat?



Kalau beliau tidak dapat menolong mengatasi masalah rakyat, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 tolak calon BN dan jangan undi Musa Aman biar dia menangis tidak berair mata," nasihat Anwar kepada rakyat Sabah.



Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya diamanahkan memerintah Malaysia pada PRU akan datang, dalam tempoh dua hari gagasan itu akan memberikan hak 20 peratus hasil royalti minyak kepada negeri yang selayaknya termasuklah Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Sabah.



“Pakatan Rakyat akan tolong rakyat dari hasil bumi mereka sendiri, bukan untuk diri sendiri dengan cara buat projek mega dapat komisen mewah," tegas mantan Menteri Kewangan itu.



Terdahulu, Datuk Kalakau yang sebelum menjawat pelbagai jawatan penting dalam Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), melepaskan ke semua jawatan itu dan keluar BN pada 18 Februari lalu sebelum menyertai PKR secara rasmi 10 hari kemudian.



Datuk Kalakau kini sibuk menjelajah ke seluruh negeri Sabah termasuklah menjemput MP Umno yang kini menyokong perjuangan PR, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerangkan isu berhubung hak royalti minyak yang selayaknya negeri Sabah mendapatkannya.



Pada Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat (PR) pada 19 Disember tahun lalu, PR bertekad untuk memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat dengan memperuntukkan royalti 20 peratus daripada pendapatan petroleum mereka.



Selain itu, PR turut mencadangkan agar Suruhanjaya Di Raja diwujudkan demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu Pendatang Asing di negeri itu.



Turut menjadi dasar PR ialah menjamin Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli di Sabah dan Sarawak selain menghentikan serta-merta penindasan ke atas rakyat khasnya di kawasan Pedalamanakibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

Datuk Kalakau sertai PKR, siapa lagi selepas ini?

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Mantan Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Kalakau Untol mengumumkan penyertaan beliau ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28 Februari lalu, iaitu 10 hari selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN).



Perkara itu, diumumkan beliau di depan ribuan rakyat pelbagai kaum, di Sabah dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Penasihat Dap, Lim Kit Siang.



Dalam ucapannya, mantan Ketua Pemuda Upko selama 12 tahun berturut-turut itu menjelaskan, bahawa tujuannya menyertai PKR dan Pakatan Rakyat adalah disebabkan pentadbiran negeri itu tidak terurus sejak Umno dan BN memerintah Sabah sejak 1994.



"Selain itu, wujud isu pencerobohan gereja yang gagal ditangani oleh pemerintah BN," tambah beliau.



Kalakau yang juga bekas Senator memberitahu, bahawa beliau akan bergerak lebih aktif lagi selepas ini, termasuklah mengadakan siri penjelajahan ke seluruh bahagian di Sabah bagi menjelaskan isu-isu penting termasuk hak royalti kempen 'Minyak untuk Sabah' dan isu kempen 'Fitnah 2' yang kini dilemparkan ke atas Anwar.



"Ini bukan lagi masa berbulan madu, ini masa untuk kita semua bangun melaksanakan agenda perjuangan PKR, rakyat ingin berubah dan selama ini Umno-BN tidak pernah berubah," katanya dalam majlis yang berlangsung di Tuaran Sabah pada malam 28 Februari lalu.



Bekas Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) turut merangka program khas pada April depan dengan mengundang Ahli Parlimen (MP) Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerangkan isu berkaitan Petronas dan royalti minyak yang sepatutnya dinikmati negeri Sabah.



Turut serta di majlis itu, pimpinan Pakatan Rakyat negeri Sabah termasuk Ketua Penerangan Pas, Hishamuddin Sulaiman dan Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Hj Ansari Abdullah dan Pengerusi DAP Sabah, Dr. Hiew King Cheu.



Berikut ialah sebahagian Pimpinan BN yang Keluar parti bersama ribuan penyokong masing-masing sejak setahun lalu (sekadar menyebut beberapa nama).



1.Dr. Streram Sinnasamy yang juga Pengerusi MIC Cawangan Seri Sentosa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)

2.Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Bukit Mertajam, M. Pristiraj, 29, Dan Ketua Wanita Mic Cawangan Sungai Rambai, Askusala Kumari, 35.

3.Bekas Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng

4.Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab, Pahang, Datuk Alimudin Syawal mengesahkan beliau telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

5.Timbalan Ketua Bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy. Tindakan itu seterusnya melumpuhkan PPP Negeri Sembilan (N9) kerana kekuatan PPP N9 terletak di Bahagian Teluk Kemang.

6.Intelektual berbangsa Cina, Yong Thye Chong, atau lebih dikenali Sebagai Kim Quek turut menyertai Parti Keadilan Rakyat.

7.Tokoh Veteran Umno, Dara Ahmad sertai PKR, walaupun bersama Umno selama 55 tahun

Berikut pula ialah bekas pemimpin BN yang pernah menjawat jawatan menteri dan bertaraf pimpinan tertinggi yang berhijrah menyertai PKR setakat ini.



1.Timbalan Ketua Wanita MCA merangkap Setiuasaha Parlimen dan Dr Tan Yee Kew

2.Ahli Parlimen Segambut dan Timbalan Menteri Pembangunan Tanah Dan Koperasi serta Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong

3.Ahli Parlimen Kota Bahru dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim

4.Menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng

5.Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Naib Presiden MIC, Datuk S. S. Subramaniam.

6.Datuk Kalakau Untol, Timbalan Menteri Persekutuan merangkap bekas Senator negeri Sabah sehingga 2005.

Sarawak menjelang pilihan raya negeri

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Ketua Menteri (KM) Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud memberitahu pihak media semalam bahawa beliau berkemungkinan akan membubar Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam masa terdekat.



Beliau yang menjadi KM sejak era Perdana Menteri Malaysia (PM) yang ketiga, Tun Hussien Onn berkata, senario politik di Sarawak kini amat baik untuk pilihan raya negeri diadakan, sekali gus membayangkan yang pilihan raya itu boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.



''Delegasi yang menyertai perhimpunan ini telah memberi inspirasi bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri.



"Saya sangat gembira malah bercakap mengenai pilihan raya adalah satu perkara yang melucukan, inilah yang dimahukan oleh delegasi (mengadakan pilihan raya),” katanya selepas menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.



Tempoh Dun Sarawak hanya akan berakhir pada Jun tahun depan, namun, suruhanjaya pilihan raya telah mengesahkan bahawa pihaknya telah menemui KM Sarawak itu pada Januari lalu berhubung pilihan raya negeri.



Kali terakhir pilihan raya negeri Sarawak diadakan ialah pada 2006 yang menyaksikan BN hilang sembilan daripada 71 kerusi Dun kepada calon bebas dan pembangkang.

Mengenali Politik Sarawak Bahagian 1

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Walaupun negeri Sarawak adalah salah sebuah negeri yang berada di dalam Persekutuan Malaysia, tetapi tidak semua khalayak umum tahu struktur politiknya apatah lagi dengan kepelbagaian kaum yang rencam kewujudannya di negeri terbesar di negara ini.



Seringkali orang politik termasuk mereka yang bergelar wakil rakyat tidak tahu keadaan politik dan suku kaum di Sarawak.

Itulah senario keadaan negara 1Malaysia ini yang kini sedang menuju kemerdekaan kali ke-53 pada Ogos depan.



Tapi, jika diimbas kembali sejarah dan dunia pendidikan negara, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika berlaku keadaan itu. Dasar pendidikan yang selama ini diterapkan BN adalah antara punca kenapa perkara itu berlaku.



Gagasan 1Malaysia umpamanya bercanggah dengan amalan parti kerana parti-parti komponen dalam BN kekal dengan semangat perkaumannya manakala setiap kaum di negara ini pecah-pecahkan seperti Melayu untuk Umno, Cina untuk MCA dan Gerakan manakala MIC dan PPP untuk kaum India.



Keadaan politik BN di Sarawak



Kembali kepada politik Sarawak, terdapat empat sekutu BN di negeri itu, masing-masing ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).



Ramai yang melihat Sarawak adalah antara kubu BN terutamanya apabila negeri itu menjadi penyumbang terbesar undi BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.



Namun, keadaan kini berbeza apabila lanskap politik negara berubah sejurus tarikh keramat 8 Mac 2008 melanda Malaysia yang kini terus menyerap di bumi Kenyalang.



Walaupun Pengerusi BN, Najib Razak menolak andaian itu, namun sesuatu yang pasti, keempat-empat sekutu BN di Sarawak kini sedang dilanda krisis dalaman yang kronik. Hanya, perkara ini tidak dihebohkan kerana media arus perdana telah menutup isu ini.



Nantikan bahagian kedua analisis ini yang akan menghuraikan satu demi satu krisis sekutu-sekutu BN di Bumi Kenyalang.

Najib sahkan pilihan raya Sarawak diadakan sebelum PRU

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Pengerusi BN, Mohd Najib Abdul Razak secara tidak langsung mengesahkan buat kali kedua bahawa pilihan raya Sarawak akan diadakan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.



"Kita mengambilkira Sarawak yang perlu mengadakan pilihan raya di peringkat negeri pada suatu tarikh yang akan diumumkan nanti dan seperti biasa, kita semua akan turun membantu dalam usaha memantapkan lagi kedudukan BN di Sarawak," katanya.



Sebelum ini, Pengerusi BN itu mengesahkan perkara tersebut dalam pengumuman yang dibuatnya pertama kali dalam beberapa bulan yang lalu.



Terdahulu, pada penghujung Disember tahun lalu, Najib berjanji akan kerap melawat Sarawak bermula Januari lalu pada majlis NKRA tetapi lawatan itu tidak dapat diteruskan.



Selain itu, ramai pihak melihat, sejak tsunami politik melanda BN bermula 8 Mac 2008, negeri Sarawak dijadikan perhatian dan sehingga kini berbilion ringgit terpaksa disalurkan ke negeri tersebut.



Pemerhati politik melihat, perbelanjaan wang ringgit itu bukan termasuk dalam tindakan membela nasib rakyat Sarawak, tetapi lebih kepada takut hilangnya sokongan undi terhadap BN.



Sehingga kini, peruntukan yang dihamburkan di sana-sini yang banyak tertumpu di pedalaman Sarawak. Ini kerana majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak berada dalam kategori luar bandar yang sehingga kini menyulitkan BN membuat beberapa keputusan.



Antara kes yang sukar dibuat keputusan itu, ialah berkaitan isu rampasan tanah khasnya ke atas kaum terbesar di Sarawak, iaitu Iban yang gagal diselesaikan BN.



Penghakiman di mahkamah tertunggak kerana kroni BN?



Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mengendalikan isu tersebut memberitahu, ratusan kes berhubung tanah di negeri itu tertunggak di mahkamah hanya kerana syarikat dan individu tertentu dipercayai ada kaitan dengan BN atau dalam erti kata lain, dimiliki kroni BN.



Adun Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP, Ting Tze Fui pula berkata, masalah tanah bukan sahaja melibatkan penduduk luar bandar tetapi juga masyarakat Cina di luar bandar.



"Sekutu BN yang kononnya mewakili masyarakat Cina, SUPP gagal membantu kaum itu berhubung permasalahan tanah dan seringkali membisu dalam persidangan Dun," kata Ting yang juga merangkap Adun Meradong.



Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Senusi menjelaskan, wang billion ringgit itu bukan kepunyaan BN, tetapi hak rakyat negeri Sarawak yang selama ini diambil BN sejak memerintah Malaysia sebelum ini.



Pilihan raya Sarawak dijangka diadakan dalam tempoh terdekat dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengesahkan bahawa pihaknya telah pun menemui Ketua Menteri, Taib Mahmud berhubung tarikh pilihan raya di negeri itu baru-baru ini.

PCM talibarut BN?

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Ramai yang tidak hairan jika parti baru dan kecil, iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) merupakan parti yang cenderung, pro dan menyokong BN walaupun tidak secara terang-terangan.



Namun, apabila pemimpin parti itu sendiri yang menyatakannya dan aliran ideologinya jelas menyokong perjuangan BN, maka tidak hairanlah penyertaan PCM dalam mana-mana pilihan raya kali ini bertujuan untuk mensabotaj dan memecahkan undi calon-calon Pakatan Rakyat (PR) termasuklah dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.



Terbaru, Calon PCM untuk kerusi Bekenu pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang, Juliana Tambi mengakui parti itu berteraskan 1Malaysia dan bersedia untuk turun padang sebagai mana yang dihasratkan oleh Pengerusi BN, Najib Razak.



"PCM adalah parti berteraskan semangat 1Malaysia yang memperjuangkan kepentingan rakyat di Sarawak yang masih jauh ketinggalan berbanding mana-mana negeri lain.



"PCM turut menerima cabaran Perdana Menteri, Najib Razak untuk turun padang dan bekerjasama dengan rakyat sebagai satu keutamaan," katanya di Miri semalam.



Sesetengah pihak berkata, walaupun Juliana mengakui negeri Sarawak jauh ketinggalan berbanding negeri lain, namun PCM enggan pula mengakui semua itu berpunca daripada kegagalan BN yang memerintah Sarawak berpuluh-puluh tahun dan tiada dasar yang jelas untuk menguruskan negeri itu.



Berbanding BN, PR secara jelas melalui Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu melakarkan komitmennya untuk membangunkan negara ini termasuk Sarawak seperti pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk negeri itu.



Turut menjadi dasar PR pada tarikh keramat itu ialah menjamin Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli di Sarawak dan menghentikan serta-merta penindasan ke atas rakyat khasnya di kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.



Untuk rekod, sehingga kini dua perkara utama yang gagal diselesaikan oleh BN di negeri itu ialah jenayah seksual terhadap kaum Penan dan rampasan Tanah.



Malah Pengerusi PKR Sarawak yang juga seorang peguam turut mendedahkan ratusan kes mengenai pengambilan tanah rakyat sehingga kini kekal tertunggak di negeri itu hanya kerana isu itu ada kaitan dengan kroni-kroni BN.



Maka sesuatu yang tidak mengejutkan berhubung kenyataan Pengerusi PCM Sarawak yang sebelum ini pernah melompat parti, Gabriel Adit yang mahukan PCM bertanding 30 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang yang kebanyakannya di luar bandar.



BN sendiri mengakui kerusi-kerusi luar bandar hampir keseluruhannya adalah kerusi panas sehingga salah seorang pemimpinnya mengakui tiada satu pun daripadanya yang boleh dianggap selamat.



Maka, tidak hairanlah penyertaan PCM di kebanyakan kerusi luar bandar bukan untuk bertanding semata-mata, tetapi bertujuan memecahkan undi calon-calon PR seterusnya membantu memenangkan BN.



Jika PCM gagal sekali pun dalam pilihan raya akan datang, parti itu boleh menyertai BN, sebagaimana yang dicadangkan Najib.



Najib yang kian terdesak meraih sokongan rakyat antara lain mencadangkan akan mengiktiraf mana-mana parti yang cenderung untuk menyokong BN.



Dalam perkembangan lain, Gabriel Adit sendiri mengakui menerima jemputan Najib sebaik penyertaannya ke PCM Januari lalu.



Untuk rekod, PCM ditubuhkan di Pulau Pinang yang kebanyakannya bekas pemimpin parti Gerakan dan parti itu turut dikaitkan dengan kegiatan memancing beberapa wakil rakyat PR untuk melompat parti beberapa minggu lalu.



Pilihan raya Sarawak pula dijangka diadakan dalam tempoh terdekat dan SPR telah mengesahkan pihaknya telah pun menemui Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud berhubung tarikh pilihan raya di negeri itu, sebelum ini.

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.