Sarawak menjelang pilihan raya negeri

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Ketua Menteri (KM) Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud memberitahu pihak media semalam bahawa beliau berkemungkinan akan membubar Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam masa terdekat.



Beliau yang menjadi KM sejak era Perdana Menteri Malaysia (PM) yang ketiga, Tun Hussien Onn berkata, senario politik di Sarawak kini amat baik untuk pilihan raya negeri diadakan, sekali gus membayangkan yang pilihan raya itu boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.



''Delegasi yang menyertai perhimpunan ini telah memberi inspirasi bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri.



"Saya sangat gembira malah bercakap mengenai pilihan raya adalah satu perkara yang melucukan, inilah yang dimahukan oleh delegasi (mengadakan pilihan raya),” katanya selepas menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.



Tempoh Dun Sarawak hanya akan berakhir pada Jun tahun depan, namun, suruhanjaya pilihan raya telah mengesahkan bahawa pihaknya telah menemui KM Sarawak itu pada Januari lalu berhubung pilihan raya negeri.



Kali terakhir pilihan raya negeri Sarawak diadakan ialah pada 2006 yang menyaksikan BN hilang sembilan daripada 71 kerusi Dun kepada calon bebas dan pembangkang.

Mengenali Politik Sarawak Bahagian 1

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Walaupun negeri Sarawak adalah salah sebuah negeri yang berada di dalam Persekutuan Malaysia, tetapi tidak semua khalayak umum tahu struktur politiknya apatah lagi dengan kepelbagaian kaum yang rencam kewujudannya di negeri terbesar di negara ini.



Seringkali orang politik termasuk mereka yang bergelar wakil rakyat tidak tahu keadaan politik dan suku kaum di Sarawak.

Itulah senario keadaan negara 1Malaysia ini yang kini sedang menuju kemerdekaan kali ke-53 pada Ogos depan.



Tapi, jika diimbas kembali sejarah dan dunia pendidikan negara, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika berlaku keadaan itu. Dasar pendidikan yang selama ini diterapkan BN adalah antara punca kenapa perkara itu berlaku.



Gagasan 1Malaysia umpamanya bercanggah dengan amalan parti kerana parti-parti komponen dalam BN kekal dengan semangat perkaumannya manakala setiap kaum di negara ini pecah-pecahkan seperti Melayu untuk Umno, Cina untuk MCA dan Gerakan manakala MIC dan PPP untuk kaum India.



Keadaan politik BN di Sarawak



Kembali kepada politik Sarawak, terdapat empat sekutu BN di negeri itu, masing-masing ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).



Ramai yang melihat Sarawak adalah antara kubu BN terutamanya apabila negeri itu menjadi penyumbang terbesar undi BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.



Namun, keadaan kini berbeza apabila lanskap politik negara berubah sejurus tarikh keramat 8 Mac 2008 melanda Malaysia yang kini terus menyerap di bumi Kenyalang.



Walaupun Pengerusi BN, Najib Razak menolak andaian itu, namun sesuatu yang pasti, keempat-empat sekutu BN di Sarawak kini sedang dilanda krisis dalaman yang kronik. Hanya, perkara ini tidak dihebohkan kerana media arus perdana telah menutup isu ini.



Nantikan bahagian kedua analisis ini yang akan menghuraikan satu demi satu krisis sekutu-sekutu BN di Bumi Kenyalang.

Najib sahkan pilihan raya Sarawak diadakan sebelum PRU

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Pengerusi BN, Mohd Najib Abdul Razak secara tidak langsung mengesahkan buat kali kedua bahawa pilihan raya Sarawak akan diadakan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.



"Kita mengambilkira Sarawak yang perlu mengadakan pilihan raya di peringkat negeri pada suatu tarikh yang akan diumumkan nanti dan seperti biasa, kita semua akan turun membantu dalam usaha memantapkan lagi kedudukan BN di Sarawak," katanya.



Sebelum ini, Pengerusi BN itu mengesahkan perkara tersebut dalam pengumuman yang dibuatnya pertama kali dalam beberapa bulan yang lalu.



Terdahulu, pada penghujung Disember tahun lalu, Najib berjanji akan kerap melawat Sarawak bermula Januari lalu pada majlis NKRA tetapi lawatan itu tidak dapat diteruskan.



Selain itu, ramai pihak melihat, sejak tsunami politik melanda BN bermula 8 Mac 2008, negeri Sarawak dijadikan perhatian dan sehingga kini berbilion ringgit terpaksa disalurkan ke negeri tersebut.



Pemerhati politik melihat, perbelanjaan wang ringgit itu bukan termasuk dalam tindakan membela nasib rakyat Sarawak, tetapi lebih kepada takut hilangnya sokongan undi terhadap BN.



Sehingga kini, peruntukan yang dihamburkan di sana-sini yang banyak tertumpu di pedalaman Sarawak. Ini kerana majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak berada dalam kategori luar bandar yang sehingga kini menyulitkan BN membuat beberapa keputusan.



Antara kes yang sukar dibuat keputusan itu, ialah berkaitan isu rampasan tanah khasnya ke atas kaum terbesar di Sarawak, iaitu Iban yang gagal diselesaikan BN.



Penghakiman di mahkamah tertunggak kerana kroni BN?



Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mengendalikan isu tersebut memberitahu, ratusan kes berhubung tanah di negeri itu tertunggak di mahkamah hanya kerana syarikat dan individu tertentu dipercayai ada kaitan dengan BN atau dalam erti kata lain, dimiliki kroni BN.



Adun Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP, Ting Tze Fui pula berkata, masalah tanah bukan sahaja melibatkan penduduk luar bandar tetapi juga masyarakat Cina di luar bandar.



"Sekutu BN yang kononnya mewakili masyarakat Cina, SUPP gagal membantu kaum itu berhubung permasalahan tanah dan seringkali membisu dalam persidangan Dun," kata Ting yang juga merangkap Adun Meradong.



Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Senusi menjelaskan, wang billion ringgit itu bukan kepunyaan BN, tetapi hak rakyat negeri Sarawak yang selama ini diambil BN sejak memerintah Malaysia sebelum ini.



Pilihan raya Sarawak dijangka diadakan dalam tempoh terdekat dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengesahkan bahawa pihaknya telah pun menemui Ketua Menteri, Taib Mahmud berhubung tarikh pilihan raya di negeri itu baru-baru ini.

PCM talibarut BN?

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Ramai yang tidak hairan jika parti baru dan kecil, iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) merupakan parti yang cenderung, pro dan menyokong BN walaupun tidak secara terang-terangan.



Namun, apabila pemimpin parti itu sendiri yang menyatakannya dan aliran ideologinya jelas menyokong perjuangan BN, maka tidak hairanlah penyertaan PCM dalam mana-mana pilihan raya kali ini bertujuan untuk mensabotaj dan memecahkan undi calon-calon Pakatan Rakyat (PR) termasuklah dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.



Terbaru, Calon PCM untuk kerusi Bekenu pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang, Juliana Tambi mengakui parti itu berteraskan 1Malaysia dan bersedia untuk turun padang sebagai mana yang dihasratkan oleh Pengerusi BN, Najib Razak.



"PCM adalah parti berteraskan semangat 1Malaysia yang memperjuangkan kepentingan rakyat di Sarawak yang masih jauh ketinggalan berbanding mana-mana negeri lain.



"PCM turut menerima cabaran Perdana Menteri, Najib Razak untuk turun padang dan bekerjasama dengan rakyat sebagai satu keutamaan," katanya di Miri semalam.



Sesetengah pihak berkata, walaupun Juliana mengakui negeri Sarawak jauh ketinggalan berbanding negeri lain, namun PCM enggan pula mengakui semua itu berpunca daripada kegagalan BN yang memerintah Sarawak berpuluh-puluh tahun dan tiada dasar yang jelas untuk menguruskan negeri itu.



Berbanding BN, PR secara jelas melalui Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu melakarkan komitmennya untuk membangunkan negara ini termasuk Sarawak seperti pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk negeri itu.



Turut menjadi dasar PR pada tarikh keramat itu ialah menjamin Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli di Sarawak dan menghentikan serta-merta penindasan ke atas rakyat khasnya di kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.



Untuk rekod, sehingga kini dua perkara utama yang gagal diselesaikan oleh BN di negeri itu ialah jenayah seksual terhadap kaum Penan dan rampasan Tanah.



Malah Pengerusi PKR Sarawak yang juga seorang peguam turut mendedahkan ratusan kes mengenai pengambilan tanah rakyat sehingga kini kekal tertunggak di negeri itu hanya kerana isu itu ada kaitan dengan kroni-kroni BN.



Maka sesuatu yang tidak mengejutkan berhubung kenyataan Pengerusi PCM Sarawak yang sebelum ini pernah melompat parti, Gabriel Adit yang mahukan PCM bertanding 30 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang yang kebanyakannya di luar bandar.



BN sendiri mengakui kerusi-kerusi luar bandar hampir keseluruhannya adalah kerusi panas sehingga salah seorang pemimpinnya mengakui tiada satu pun daripadanya yang boleh dianggap selamat.



Maka, tidak hairanlah penyertaan PCM di kebanyakan kerusi luar bandar bukan untuk bertanding semata-mata, tetapi bertujuan memecahkan undi calon-calon PR seterusnya membantu memenangkan BN.



Jika PCM gagal sekali pun dalam pilihan raya akan datang, parti itu boleh menyertai BN, sebagaimana yang dicadangkan Najib.



Najib yang kian terdesak meraih sokongan rakyat antara lain mencadangkan akan mengiktiraf mana-mana parti yang cenderung untuk menyokong BN.



Dalam perkembangan lain, Gabriel Adit sendiri mengakui menerima jemputan Najib sebaik penyertaannya ke PCM Januari lalu.



Untuk rekod, PCM ditubuhkan di Pulau Pinang yang kebanyakannya bekas pemimpin parti Gerakan dan parti itu turut dikaitkan dengan kegiatan memancing beberapa wakil rakyat PR untuk melompat parti beberapa minggu lalu.



Pilihan raya Sarawak pula dijangka diadakan dalam tempoh terdekat dan SPR telah mengesahkan pihaknya telah pun menemui Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud berhubung tarikh pilihan raya di negeri itu, sebelum ini.

RUMAH TERBUKA PR DI MIRI (RUMAH MR MICHEAL TEO -PKR)

samb.gambar perasmian blog dan pej. pas kawasan miri.

Pelancaran Pejabat & Laman Blog PAS Miri

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.