Caj insurans tak masuk akal, BNM digesa ambil tindakan tegas

March 10, 2011
KUALA LUMPUR, 10 Mac — Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini digesa supaya masuk campur untuk menangani isu caj insurans yang “tidak masuk akal” dan manipulasi pembelian insuran pihak ketiga oleh syarikat-syarikat insurans.
Isu berkenaan dibangkitkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dan kali ini BNM digesa mencari penyelesaian segera memandangkan ia telah berlarutan sejak dua tahun lepas.
Sepakat mempertikaikan ketelusan syarikat-syarikat insurans dalam isu berkenaan, beberapa anggota Parlimen dari barisan penyokong kerajaan dan pembangkang mahu tindakan tegas diambil terhadap syarikat-syarikat terbabit demi kepentingan rakyat.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mendakwa kebanyakan syarikat insurans mengenakan kadar yang tidak masuk akal dan tinggi untuk pembelian insurans pihak ketiga yang biasanya dibeli oleh pemilik kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas.
“Pakcik saya beli insurans kereta, tetapi bila kenderaan itu sudah lebih 10 tahun, syarikat (insurans) tidak mahu terima (pembelian insurans). Malah bagi kenderaan yang lebih 10 tahun, insuransnya lebih tinggi daripada kereta baru, saya minta BNM tengok masalah ini,” tegasnya ketika membahaskan titah ucapan Yang diPertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan banyak rakyat di luar bandar yang biasanya menggunakan kereta-kereta lama merasa tidak adil.
“Apakah tidak boleh Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans yang baru dan boleh menerima insurans pihak ketiga ini dengan harga yang berpatutan, jangan terikat dengan syarikat yang ada sekarang,” katanya, menyarankan penubuhan syarikat insurans 1Malaysia.
Menyokong perbahasan Mohamed, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), pula menyarankan kerajaan mengkaji operasi semua syarikat insurans dengan mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau operasi mereka.
“Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah peniagaan insurans. Semua kalau boleh mahu diinsuranskan tetapi apabila ada berlaku sesuatu dan tuntutan dibuat, berpuluh tahun baru diselesaikan,” katanya.
Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) pula mendakwa pengguna kini terpaksa membayar sehingga RM200 untuk mendapatkan liputan insurans (insurance coverage) untuk kenderaan lama mereka berbanding hanya RM70 hingga RM80 sebelum ini.      
Syarikat insurans juga turut mewajibkan pemilik kenderaan untuk membeli pelbagai insuran tambahan lain termasuk insurans kemalangan peribadi, insurans bagi penumpang dan caj loading sebelum boleh membeli pelindungan insurans pihak ketiga bagi kenderaan mereka, dakwanya.
“Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini.
“BNM ini butakah...takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Kenapa kerajaan boleh tidak ada solution untuk menyelesaikan perkara ini sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka,” katanya.
Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat truk penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk tambahan caj loading.
“Ini puncanya dan mereka ini wajar dikawal...ambil tindakan tegas untuk mengawal ‘‘rip-off’’ yang berlaku sudah berpuluh tahun ini dan pihak-pihak yang bergandingan untuk mendapatkan ‘‘rip-off’’ tersebut,” katanya.
Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa BNM untuk mengawal syarikat-syarikat berkenaan memandangkan walaupun sudah ada arahan supaya syarikat itu tidak memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan, namun perkara itu masih berleluasa. — Bernama

"Tambahan RM4b subsidi minyak"? Ha Ha! Ron95 nak naik lagi. Padan Muka

Oleh: mazwandi

"Antum semua sudah baca utusan online berkenaan cerita "Tambahan RM4b subsidi minyak". Jika belum, dipersilakan baca di sini. Ada nampak pencerahan apa yang akan berlaku tidak lama lagi? Ya, semestinya harga petrol ron 95 akan naik lagi. Terima kasih melayu yang mengundi bn. Padan muka kita.

Mari kita mencari udang di sebalik mee dalam ungkapan-ungkapan Najib dalam berita berkenaan. Kita selidik satu persatu....


“Kita terpaksa menambah RM4 bilion lagi daripada RM10 bilion yang diperuntukkan sebelum ini. Kita juga perlu mengkaji semula kadar inflasi dalam negara dan akan cuba meringankan beban rakyat selagi mampu.

Maksudnya;

Pendapatan negara akan bertambah lagi sebab harga minyak naik dan kita pula jual minyak tapi kita masih tidak cukup duit kerana perbelanjaan untuk merasuah semasa PRK dahulu dan untuk PRU 13 nanti. Kita top-up lagi 4 bilion untuk kantung pilihanraya dengan curi duit rakyat.

“Kerajaan komited dalam merasionalkan subsidi secara berperingkat dalam jangka panjang bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Beberapa langkah akan diambil dalam masa terdekat ini,” katanya.

Maksudnya;

Kerajaan bn akan pastikan beban rakyat akan sentiasa terbeban dalam keadaan terkawal terutama kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah agar bn boleh mengawal undi mereka dengan gula-gula politik wang semasa pilihanraya nanti.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan amat komited untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada paras enam peratus pada tahun ini walaupun bakal berhadapan beberapa cabaran.

Maksudnya;

Kerajaan tidak boleh mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada paras 6% kerana korupsi yang melampau di Malaysia.

“Peningkatan harga minyak mentah dan komoditi akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan dunia bergerak perlahan. Kerajaan akan pantau perkembangan ini dengan sangat teliti dan akan mengambil apa jua langkah yang perlu.

Maksudnya;

Kerajaan sepatutnya mendapat pendapatan yang lumayan dari kenaikan harga petrol dan komuditi kerana kita adalah negara mengeksport dua perkara itu. Namun kerana amalan korupsi dan rasuah yang parah, duit itu ketirisan hanya pada kelompok kroni sahaja. Maka pantauan dan langkah yang diambil adalah tidak perlu kerana amalan korupsi perlu dikekal untuk mengkayakan puak-puak kroni.

“Antara langkah yang akan kerajaan ambil seperti menggerakkan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta memastikan permintaan domestik terus berada pada tahap yang kukuh,” jelas beliau.

Maksudnya;

Langkah yang diambil adalah dengan mengembangkan kekayaan kroni melalui ETP sehingga ke tahap mikro.

Oleh itu wahai rakyat-rakyat Malaysia terutama orang Melayu, bersedialah mengundi bn lagi pada PRU 13 nanti agar kita dapat melihat negara Malaysia akan menjadi papa kedana dan bankrap. Padan muka kita.

Hendak baca kutukan kepada umno apco lagi? layari blog; http://ibnmustaffa.blogspot.com/"

RM60,000 samun di Rantau, RM8,000 ragut di Paroi, selamatkah rakyat?

Oleh: amkns

"Harian Metro 10 Mac 2011 - RM60,000 KENA SAMUN - SEREMBAN: Seorang suri rumah menempuh detik mencemaskan apabila disamun penjenayah bermotosikal yang memecahkan cermin keretanya lalu melarikan wang tunai RM60,000 di pekan Rantau di sini, kelmarin.

Lebih malang apabila wanita berusia 39 tahun itu baru mengeluarkan wang berkenaan yang mahu digunakannya untuk memulakan perniagaan.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa bersama seorang ahli keluarganya selesai membuat pengeluaran wang di sebuah bank di bandar ini.

"Mangsa hanya menunggu di dalam kereta yang berkunci itu sambil memegang beg berisi RM60,000. "Tidak lama kemudian mangsa terkejut apabila seorang lelaki bermotosikal berusia 20-an memecahkan cermin kereta dengan tangannya tanpa menggunakan peralatan lain.

"Penjenayah nekad itu kemudian merampas beg berkenaan dan melarikan diri," katanya di sini, semalam.

Sumber: Harian Metro

RAGUT RANTAI RM8,000

SEREMBAN: "Belum sempat menjawab pertanyaannya, lelaki bermotosikal itu terus mengacu parang ke leher saya dan meragut barang kemas lalu melarikan diri." Begitu kata, warga emas, Rosnah Emby, 66, yang rugi kira-kira RM8,000 apabila disamun penjenayah berparang berpura-pura bertanyakan arah jalan di Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini, semalam.

Menurut Rosmah, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dia baru selesai membeli barangan keperluan dapur di kawasan situ. "Saya dan dua rakan duduk berehat sambil bersembang di sebuah pondok di situ sebelum didatangi seorang lelaki bermotosikal berusia 20-an. "Kami bertiga pada awalnya langsung tidak mengesyaki apa-apa apabila dia kemudian hanya bertanyakan alamat atau arah sebuah kawasan.

"Namun, apabila mahu menjawab pertanyaannya itu, lelaki itu tiba-tiba bertindak mengeluarkan parang panjang lalu mengacukannya ke leher saya sambil meragut rantai dan gelang tangan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sumber: Harian Metro"

Saman Ekor, para pemandu bas sokong Pakatan Rakyat

Oleh: amkns

"Apakah polis trafik tidak cukup kereta peronda di lebuhraya dan jalanraya untuk mengejar pemandu bas yang bawa melebihi had laju lalu mereka sekadar saman ekor saja? Adakah ini mendidik pemandu bas namanya? Hentikanlah saman ekor ni, Najib berilah lebih banyak kereta peronda dan anggota polis trafik untuk kejar pemandu bas ni. Barulah mereka akan sedar, bukan selepas bertahun-tahun diberi mereka saman ini. Kalau tak nak , tak apa. Pemandu bas semua pakat sokong Pakatan Rakyat, dia ugut kita saman ekor, kita ugut dia sokong Pakatan Rakyat !


Batalkan semua saman ekor tertunggak ! Buka buku saman baru yang bukan saman ekor ! 
POTONG GAJI LANGSAI SAMAN TAK PRAKTIKAL
Berita Harian 10 Mac 2011  
KUALA LUMPUR: Cadangan memotong gaji pemandu bas untuk melangsaikan saman kesalahan trafik bagi mengurangkan beban syarikat akan menyebabkan kerjaya itu tidak lagi menjadi pilihan sekali gus menyebabkan industri berdepan kekurangan pemandu yang lebih serius.  
Sekiranya Kementerian Sumber Manusia meluluskan cadangan itu, kemungkinan kerajaan terpaksa mengambil warga asing sebagai pemandu bas bagi mengatasi kekurangan pemandu di negara ini.  Ia berikutan cadangan berkenaan hanya membebankan pemandu kerana gaji mereka terlalu rendah terutama pemandu bas ekspres yang bergantung kepada komisen setiap perjalanan.  
Kelmarin, Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) berkata, sekurang-kurangnya 8,000 pemandu bas ekspres dan henti-henti berkemungkinan dipotong gaji berjumlah RM4.8 juta kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik. 

"

TVSelangor09 10032011 Fitnah 2 : Prosedur Belum Selesai, Anwar Tidur Lok...

Temui barang kemas dalam saluran pembentung


GAMBAR fail menunjukkan pintu masuk ke kedai emas Harry Winston dekat Champs-Elysees di Paris pada 5 Disember 2008.


PARIS - Polis Perancis menemui barang kemas bernilai AS$25 juta (RM75.8 juta) yang disembunyikan di dalam saluran pembentung di sini.
Barang kemas tersebut yang disimpan di dalam sebuah bekas plastik, merupakan sebahagian hasil rompakan ke atas butik barang kemas Harry Winston di sini.
Penemuan itu melibatkan 19 cincin dan tiga pasang anting-anting dengan sepasang anting-anting itu dipercayai bernilai AS$19.5 juta (RM59.1 juta).
Polis mengesahkan penemuan itu selepas berita itu disiarkan di sebuah stesen radio.
Pada 5 Disember 2008 sekumpulan perompak sebahagiannya berpakaian wanita dan rambut palsu melarikan batu permata dan jam tangan mewah dengan nilai mencecah AS$118.1 (RM358.3 juta).
Sebahagian cincin yang dicuri, rantai leher dan jam tangan ditemui semula apabila polis menangkap 25 orang dalam serbuan pada Jun 2009 dengan sembilan daripada mereka dihadapkan ke mahkamah.
Antara yang didakwa termasuk perancang rompakan itu yang pernah dihukum penjara 15 tahun dalam satu kes penyeludupan dadah.
Polis menemui sejumlah barang kemas yang dirompak bersama wang tunai AS$1.1 juta (RM3.3 juta) di rumahnya.- Agensi

Membesar bersama Harakah, Siasah: Mengumpulkan kisah iktibar ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN Sepanjang kembara dalam dunia penulisan sejak 30 tahun lalu, akhbar Siasah mempunyai posisi istimewa di hati saya. Berbeza dengan Harakah (lidah rasmi PAS) dan akhbar-akhbar tidak berkala yang saya terpaksa terbitkan selepas majalah Detik dan Al-Wasilah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Siasah bukan sahaja lebih bebas untuk beredar di pasaran tetapi sidang editorialnya juga kurang "diganggu"


Harakah terbatas hanya untuk ahli-ahli PAS sahaja. Sekurang-kurangnya itulah kehendak peraturan yang ditentukan KDN dan boleh diperketatkan dari masa ke semasa.
Bagaimanapun, sukar untuk dipastikan apakah  KDN kurang berupaya untuk menguatkuasakan undang-undang yang tidak munasabah itu atau sememangnya ia terpaksa "memejam mata" -- atas pertimbangan politik -- melihat Harakah bebas dijual di pasaran terbuka.
Manakala tabloid tidak berkala, yang judulnya terpaksa berubah-ubah -- daripada Haraki kepada Alternatif, Reformasi, Memo, dan hampir 30 nama-nama berbeza -- bukan sahaja terdedah kepada risiko rampasan KDN, malah berdepan karenah pihak pengedar.
Mengusahakan sebuah syarikat penerbitan yang tertumpu kepada makalah-makalah politik bukan hanya memerlukan komitmen tinggi daripada segi semangat dan keazaman, tetapi lebih penting adalah memastikan elemen perniagaan juga dapat dikendalikan dengan baik.
Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama Mohd Sayuti Omar membidani kelahiran Siasah, melihatnya bertatih dan memimpinnya untuk berjalan, seterusnya berlari mendepani dugaan. Dibantu tiga pemberita muda, kami cuba merealisasikan impian dan idealisme luhur kewartawanan. Agak kerap juga target "deadline" tersasar.
Sebagai wartawan yang dibesarkan dalam lingkungan Harakah dan sentiasa menerima tekanan KDN, memang sukar untuk saya menentukan agar Siasah tidak dilihat begitu memihak kepada kumpulan atau parti tertentu. 
Walaupun secara teorinya Siasah tidak menghadapi masalah untuk dipasarkan di mana-mana sahaja, rintangannya datang dalam bentuk berlainan. Seorang editor Harakah mungkin lebih bebas memilih bahan untuk siaran, termasuk yang sensasi dan kontroversi, namun ia tidak semudah itu di Siasah. "Kecondongannya" sentiasa diperhatikan.
Ya, bukankah  dunia kewartawanan Malaysia penuh dengan pantang larang, 'kan? Apatah lagi mauduk perbincangan tentang perkara paling sensitif, iaitu siasah atau politik!
Malang sekali, iklim kebebasan media di negara kita jarang menyediakan ruang dan peluang selesa untuk berkarya. Pelbagai sekatan dan kongkongan -- sebahagiannya secara terselindung -- menghimpit daya kreativiti dan menumpulkan semangat.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) bukan sahaja mensyaratkan setiap penerbitan berkala memerlukan permit penerbitan, tetapi lebih buruk, pihak menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menolak permohonan, menggantung dan mengharamkan permit sedia ada. Dan semuanya boleh dilakukan tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
Ketika AMCP mengamuk bagi memperlahankan momentum reformasi 1998 dan mengawal impak keputusan pilihan raya umum 1999, majalah Detik yang saya "sewa" permitnya daripada rakan karib, Allahyarham Samsuri Roslan, diharamkan.



(Ahmad Lutfi semasa menziarahi Allahyarham Samsuri, yang diserang angin ahmar, di Hospital Ipoh)

Buku-buku politik popular yang  melambak di pasaran, bagai cendawan tumbuh selepas hujan, diperhatikan penuh minat oleh pihak berkuasa. Beberapa kesalahan kecil, seperti tidak meletakkan alamat pencetak, sudah cukup untuk membuatkan buku saya dirampas. Kaset dan VCD ceramah reformasi turut disekat.
Saya memberanikan diri mengasaskan NGO media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi mempromosi dan melobi idea-idea kebebasan akhbar. Ibu pejabat sementara Suhakam di perkarangan Wiswa Putera, yang baru dilancarkan, menjadi destinasi untuk meluahkan amarah dan rasa tidak puas hati.
Naib Pengerusi Suhakam, Allahyarham Harun Hashim, bersama tiga pesuruhjaya lainnya, Zainah Anwar, Hamdan Adnan dan Mehrun Siraj kemudiannya bersetuju mengadakan dialog dengan 15 wakil KAMI di sebuah hotel bersebelahan PWTC.
Secara peribadi, saya mula memohon permit penerbitan pada penghujung 1980-an, semasa menjadi pemberita di Harakah. Ketika itu saya ditugaskan oleh Pengarang Harakah, Zin Mahmud (sekarang Pengarang Mingguan Malaysia), menumpukan liputan kepada kegiatan mahasiswa dan aktiviti kampus.
Kebetulan semasa di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), saya pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PMUTM dan berkesempatan berinteraksi serta "bertembung" dengan dua Menteri Pelajaran (Pendidikan), Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim.
Demonstrasi mahasiswa Universiti Malaya pada malam Pesta Konvo 1989 memang mengejutkan. Ratusan pelajar, lelaki dan wanita, berkumpul selepas solat hajat di kawasan lapang, menuntut konsert Sheila Majid yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor malam itu dibatalkan.
Sebenarnya mereka bukanlah antihiburan seperti didakwa pihak tertentu tetapi mahu meluahkan protes ke atas sikap double standard pentadbiran universiti; program keilmuan yang memupuk daya intelektual disekat tetapi aktiviti huburan mudah diluluskan.
Saya sebut "mengejutkan" kerana para mahasiswa ini langsung tidak berganjak walaupun selepas diberikan amaran berulang kali supaya bersurai oleh pihak polis.
Autonomi universiti -- yang sudah dicabuli sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dipinda pada 1975 -- tambah parah dengan tindakan pasukan keselamatan menangkap penunjuk perasaan secara kasar.
Kasihankan pelajar yang mungkin terpaksa merengkok dalam lokap, maka saya menjadi penjamin kepada salah seorang daripada mereka, yang saya tidak pernah kenal sehingga hari ini.   
Seminggu kemudian, ketika mahu memperbaharui jaminan ke atas pelajar berkenaan di Balai Polis Brickfield, saya ditahan ISA dan dihantar ke Kem Batu Kentomen, Jalan Ipoh. Serentak itu, KDN menyenarai-hitamkan nama saya daripada diberikan permit penerbitan.
Tragedi dipecat UTM selepas menamatkan pengajian selama lima tahun dan seterusnya berehat sekejap di "universiti kedua" bukannya kisah sedih yang perlu ditangisi, malah ia merupakan di antara koleksi pengalaman hidup yang cukup bermakna.
Mendekati penderitaan keluarga tahanan ISA dan merasai kesukaran mereka dari dekat cukup menggelisahkan sehinggalah saya menubuhkan tabung bantuan yang disumbangkan pembaca Harakah. Rakyat Malaysia memang pemurah. Rasanya, lebih sejuta ringgit berjaya kami kumpul dan agihkan. Sempat juga saya berkunjung dua kali ke Sabah bagi menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang teraniaya itu. 
Siasah juga mengingatkan saya tentang kematian. Secara tiba-tiba anak kedua saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, meninggal dunia, pada 1 Ramadan 2005, tanpa didahului sebarang petanda penyakit serius. Detik-detik itu cukup menyentuh dan menghiris. Berbekas sampai bila-bila.
Sempat saya rakamkan peristiwa itu dalam Siasah secara spontan, "Perginya Jantung Hati Kami ..." Tulisan penuh emosi itu mendapat reaksi pelbagai, termasuk menemukan kembali saya dengan teman-teman lama dan bekas guru yang terharu dengan catatan itu.  
Azam untuk menghidupkan kembali kolum "Simpul Mati" ini pastinya tidak mudah. Apa pun saya cuba berbicara lebih santai berbanding ruang tetap dalam Harakah. Saya berhasrat untuk berkongsi cerita dan pengalaman, yang sebahagiannya belum tertulis. Sebenarnya banyak babak dalam kehidupan kita, yang mungkin dilihat remeh, tetapi sebenarnya mampu mendorong atau menyuntik inspirasi buat orang lain. Insya-Allah, jumpa lagi ...
--------

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.