MB Terengganu akui pusat salahguna wang royalti

KUALA TERENGGANU, 16 April (Hrkh) - Isu penyelewengan serta penyalahgunaan wang royalti petroleum negeri Terengganu yang sering kali dibangkitkan oleh PAS akhirnya diakui oleh Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato' Ahmad Said

Dato' Ahmad mengakui isu royalti yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut ada kebenarannya yang kini dalam proses rundingan serta tuntutan kembali.


Wakaf Mempelam (Abdul Wahid) ada membangkitkan mengenai royalti iaitu wang royalti dibelanjakan untuk membiayai Program Rumah Mesra Rakyat (PRMR) yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diberi kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

"Ini memang kita (kerajaan) akui dan kita (kerajaan) telah membuat semakan-semakan dan ini merupakan sebahagian dari rundingan yang perlu kita (kerajaan) kembalikan wang ini kepangkuan negeri Terengganu,"jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Persidangan Mesyuarat Yang Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurutnya, SPNB telah menggunakan RM873 juta wang royalti minyak Terengganu bagi melaksanakan projek perumahan di seluruh Negara.

Namun begitu, katanya dari jumlah tersebut hanya RM102 juta dibelanjakan bagi projek SPNB itu di negeri ini.

"Ini bermakna, SPNB masih berhutang dengan kita (Terengganu) sebanyak RM771 juta dan tuntutan untuk wang royalty yang dijadikan dana khas yang dibahagi ke negeri-negeri lain adalah sebanyak RM717 juta,"ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang berbincang bagi menuntut kembali wang royalti minyak sebanyak RM2.6 bilion yang telah digunakan oleh beberapa kementerian lain.

Menurutnya, beberapa kementerian terbabit menggunakan dana khas (royalti) dalam melaksanakan projek-projek di negeri ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan pembinaan Lebuhraya Pantai timur (LPT).

Menteri Besar itu menjelaskan dari tahun 2000 hingga tahun 2008 kerajaan Terengganu hanya menerima wang royalti petroleum sebanyak RM6.27 bilion dari kerajaan pusat.

Katanya, jumlah wang yang sepatut diterima oleh kerajaan Terengganu dalam tempoh tersebut adalah RM15.847 bilion.

Ahmad turut mengumumkan kerajaan negeri baru menerima sebanyak RM650 juta dari jumlah yang sepatutnya diterima iaitu sebanyak RM1.394 juta sepanjang tempoh September 2008 hingga Mac 2009.

Mengapa Najib lantik semula Shabery yang rugikan Bernama TV jadi menteri?

PERDANA Menteri, Dato' Seri' Mohd Najib Tun Razak tidak sewajarnya melantik kembali Dato' Ahmad Shabery Cheek yang menyebabkan kerugian RM14 juta kepada Bernama TV ketika beliau menjadi Menteri Penerangan, lapor Intan Abdullah.

Shabery yang kini dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan tidak menampakkan apa-apa reaksi untuk mengambil tanggungjawab terhadap kerugian menimpa Bernama TV.


"Ia suatu tindakan yang memalukan apabila dalam tempoh setahun sahaja Bernama TV mengalami kerugian RM14 juta," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.

Tegasnya, masalah tersebut sekaligus membuktikan Menteri Penerangan ketika itu, Shabery, tidak melepasi sistem pemantauan penunjuk aras prestasi atau key performance indicator (KPI).

"Sekiranya beliau berada pada zaman pemerintahan Najib, sudah tentu beliau tidak melepasi KPI. Ini juga membuktikan bahawa Menteri Penerangan sebelum ini tidak layak, tetapi beliau dilantik semula menerajui kementerian lain," ujarnya.

Oleh yang demikian, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menggesa kerajaan agar mengkaji semula kaedah dan sistem pengoperasian yang dijalankan oleh Bernama TV sehingga menyebabkan kerugian besar selain membuat semakan semula kepada pengurusan media.

"Bagaimana kerugian ini boleh berlaku sedangkan ia berada di bawah pantauan Kementerian Penerangan dan mendapat bantuan daripada kerajaan?" tegasnya.

Bagaimanapun, terdapat desas-desus yang menyatakan kerugian RM14 juta yang ditanggung oleh Bernama TV itu tidak termasuk hutang mereka pada ‘content provider’ yang membekalkan program kepada stesen tv berkenaan. Malah ada yang menyatakan, penubuhan Bernama TV mempunyai perkaitan dengan 'geng-geng tingkat 4' pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Difahamkan, pihak Bernama atau lebih tepat BTV Synergy telah membeli sistem operasi yang berharga jutaan ringgit. Sistem yang dimaksudkan dikenali sebagai GEEVES dan INCITE. Pihak yang menjual sistem itu mendakwa ia adalah yang terbaik dalam dunia penyiaran. Oleh kerana yakin dengan pihak yang menjual, maka BTV Synergy pun membelinya.

"Pihak yang menjual sudah tentu berkata sistem yang ditawarkan itu adalah terbaik, tetapi bagi orang yang hendak membeli, dia seharusnya menyelidiki dan membuat perbandingan dengan beberapa sistem lain untuk mendapatkan yang benar-benar tebaik. Adakah ia dilakukan oleh Bernama-TV Synergy?" tanya Mahfuz.

Belum Lawan UMNO BN Sudah Angkat Bendera Putih

Cuba baca dua berita ini. Kemudian cuba anda buat kesimpulan, apa yang tersirat di hati dua pemimpin BN ini:

i) Tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, menunjukkan tembelang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lebih gemar mencari populariti politik, berbanding membantu rakyat.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abd Jalil Majid dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata tindakan wakil rakyat pembangkang berkenaan juga hanya merugikan rakyat, termasuk pembaziran wang. "Tindakan beliau (Mohammad Fairus) itu hanya akan menyusahkan dan menghampakan rakyat, selain membazirkan wang mereka
(Sumber: Berita Harian Online)

ii) Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata pilihan raya kecil yang bakal diadakan di Penanti sengaja dirancang oleh Parti Keadilan Rakyat dengan tujuan mewujudkan gelombang sokongan kepada parti itu.

“Dia sengaja mencipta ’ombak’ ini supaya PKR sentiasa di hati rakyat kerana berjaya memenangi kawasan yang ditandingi,” katanya kepada Bernama ketika mengulas peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti Mohammad Fairus Khairuddin hari ini.
(Sumber: Utusan Online)

Justeru, apa kesimpulan anda terhadap dua berita dari dua akhbar kepunyaan Pemerintah itu? Seorang pemimpin dari UMNO berkata PKR hanya ingin mencari populariti dari pilihanraya kecil Penanti. Belum lagi berlawan orang itu sudah kata PKR memang lebih popular dari BN dan pilihanraya itu cuma medan untuk memperlihatkan populariti parti itu.

Seorang lagi pemimpin dari Gerakan pula berkata PKR sentiasa 'di hati rakyat' dan akan memenangi di kawasan yang akan ditandingi.

Kesimpulan dari kedua-dua kenyataan pemimpin BN itu sangat mudah: mereka telah mengangkat bendera putih sebelum masuk perang sebenar. Seperti kata Datuk Abdul Jalil, pilihanraya itu hanya akan membazirkan wang rakyat, kerana akhirnya PKR juga yang akan menang. Seperti kata Datuk Dr Teng, pilihanraya itu hanya akan menguntungkan PKR kerana "berjaya memenangi kawasan yang ditandingi"

pendikar gunung kriang


http://greenboc.blogspot.com/

Zambry Takut Dengan Kebangkitan Rakyat Perak

Kenyat aan akhbar Zambry yang membidas Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Kamaruddin Jaafar yang mengingatkan UMNO BN bahawa peristiwa di Pataya, Thailand juga tidak mustahil akan berlaku di Malaysia sekiranya kezaliman BN tidak boleh dibendung lagi.


Zambry mengelabah dan melatah lantas terus membuat kenyataan melulu menghentam Kamaruddin Jaafar. Kenyataan balas Zambry ini menjelaskan yang mereka cukup kalut dengan kebangkitan dan perubahan pendirian politik rakyat di Perak yang telah dibuktikan di Bukit Gantang dalam pilihanraya baru-baru ini. Ini adalah kenyataan orang yang terasa ia sangat bersalah apabila menjatuhkan kerajaan PR dengan cara yang cukup tidak moral. Tindakan ini mengundang kemarahan rakyat sehingga berlaku peritsiwa di Bukit Chandan.

Tetapi belum ada dalam sejarah demontrasi aman yang dianjurkan oleh PAS dan rakyat ada unsur-unsur keganasan walaupun penunjuk perasaan sentiasa diganasi oleh FRU. Mereka tidak pernah melawan, bayangkan kalau setiap penunjuk perasaan yang jauh lebih ramai berbanding FRU, masing-masing melempar seketul batu yang agak besar atau melempar kasut atau memegang kayu bagi bertindak balas ke atas FRU. Apa akan terjadi kalau kemarahan dan kebencian rakyat pada kerajaan BN sukar dibendung ?. Justeru itu Kerajaan BN diingatkan supaya mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku di Thailand agar tidak merebak ke Malaysia. PAS dan pimpinan boleh bersabar walaupun di zalimi, pimpinan PAS sejak zaman Burhanuddin Hilmi lagi pernah ditangkap dan dikurung di bawah ISA. Namun PAS tetap bersikap rasional, tidak pernah menghasut rakyat supaya mengulingkan kerajaan dengan cara kekerasan, PAS cuma mempengaruhi rakyat supaya menolak BN dalam pilihanraya. Bukit Gantang bukti segala-galanya.

Setiap tunjuk perasaan, ada ketua yang akan pimpin demontrasi aman, ada ucapan-ucapan dari pemimpin parti, mereka hanya mengecam dan mengutuk, tetapi tidak ada ucapan-ucapan provokasi untuk bertindak ganas, kalau pun ada yang dibakar, bendera Israel dan Amerika yang dibakar sebagi simbolik penentangan mereka terhadap kezaliman regim Yahudi dan kuncu-kuncunya. Sekiranya ada unsur-unsur provokasi dari pihak lain yang menyelinap dalam kumpulan pendemontrasi, akan segera dingatkan oleh pimpinan supaya jangan bertindak ganas, perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, polis bukan lawan kita, kita lawan Yahudi, lawan Israel, lawan Amerika, kita lawan kezaliman BN, kita tuntut itu dan ini.................

Kadang-kadang demontrasi sukar dikawal, sebab ada pihak lain yang menyamar untuk provok supaya berlaku rusuhan, tetapi pimpinan yang mengetuai demontrasi berjaya mengawal yang akhirnya akan berakhir dengan aman, walaupun ada semburan air, gas pemedih mata dan cortar hinggap ke kepala, namun tidak ada tindak balas dari pendemontrasi.

Datuk Kamaruddin hanya mengingatkan supaya kerajaan BN berhati-hati dalam mengendali kebangkitan rakyat, demontrasi adalah amalan biasa, mereka berdemontrasi untuk menunjuk rasa tidak puasa hati rakyat terhadap kerajaan, dalam demontrasi ada tuntutan yang terkandung dalam memorundum, itu sahaja cara yang boleh digunakan untuk suara rakyat didengari oleh kerajaan setelah berbagai cara lain digunakan.

Zambry jangan melatah, UMNO juga pernah berdemontrasi, Pemuda UMNO lebih-lebih lagi, bezanya UMNO berdemontrasi tetapi dilindungi oleh kerajaan dan polis, Pakatan Rakyat berdemontrasi tetapi dikasari oleh FRU. UMNO pernah berdemontrasi mengutuk Raja-raja Melayu dan menyokong Dr Mahathir dalam isu pindaan perlembagaan, berdemontrasi di Kelantan mengutuk tindakan Sultan Kelantan yang kononya menyokong pembangkang dalam pilihanraya 1990. Ucapan pemimpin mereka cukup biadab ketika itu terhadap Sultan Islmail. Pemuda UMNO di bawah Datuk Najib juga pernah berdemontrasi mengutuk MCA, ucapan pimpinan pemuda UMNO ketika itu berunsur perkauman, tetapi tidak ada yang ditangkap sebaliknya pimpinan Pemuda PAS pula yang ditangkap dan di ISAkan.

http://misabah.blogspot.com/

Kemerosotan ekonomi: Pemerintah perlu tunjuk teladan

Kemeros otan ekonomi dunia adalah masalah semua. Dalam menghadapi situasi ini, kebijaksanaan amat penting. Pemerintah dan rakyat perlu bergabung tenaga menghadapinya. Tidak bolehlah pemerintah (pemimpin) meminta rakyat mengubah gaya hidup termasuk berjimat cermat sedangkan dia, isteri dan keluarganya begitu boros berbelanja.


Pemerintah tidak boleh mengabaikan rakyat manakala rakyat juga perlu membuktikan sokongan kepada pemerintah yang berjiwa rakyat. Gabungan kedua-duanya, insya-Allah akan membolehkan negara menghadapi zaman sukar ini.

Persoalannya bagaimana mendapatkan kerjasama erat pemerintah-rakyat? Disebabkan cabaran manusia adalah sama sejak zaman berzaman, elok digali sejarah untuk dijadikan teladan dan sempadan. Di sini penulis mengetengahkan kisah bagaimana pemerintah Mesir, Malikul Muzafar menangani rakyat ketika dunia Islam menghadapi ancaman perang oleh tentera Mongol yang sudah pun memusnahkan Baghdad pada tahun 1253 Masihi.

Kisah Malikul Muzafar ini boleh diikuti dalam buku ‘Wahai Islamku!’ oleh Ali Muhammad Baktsir (dialih bahasa oleh Halimuddin SH) yang diterbitkan oleh Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura.

Dalam menghadapi serangan tentera Mongol, penulis menukilkan: “ Pada suatu hari Malikul Muzafar (Quthaz) berfikir untuk mencari dana kewangan yang digunakan untuk pembiayaan Angkatan Bersenjatanya yang dapat diandalkan. Angkatan Bersenjata ini perlu diperbanyak jumlahnya, wajar dipersiapkan alat-alat persenjataannya yang lengkap. Untuk itu perlu mengumpulkan dana yang banyak dan gudang makanan wajar diisi dengan cukup dan padat untuk keperluan dan perlengkapan perang. Jika Baitulmal tidak cukup, hal ini berbahaya. Kerana itu baginda berfikir untuk memungut pajak daripada penduduk dan meminjam barang-barang daripada rakyat untuk dikumpulkan dalam gudang Baitulmal.

“Sultan segera mengadakan sidang, yang dihadiri oleh ulama-ulama, hakim-hakim, amir-amir, menteri-menteri dan orang-orang terkemuka dalam masyarakat. Dalam majlis ini hadir Syekh Abdus Salam. Di sini Sultan minta fatwa kepada ulama-ulama, apakah boleh diwajibkan kepada penduduk pajak harta benda mereka untuk perbelanjaan perang. Dalam hal ini ulama-ulama berasa takut mengeluarkan fatwanya. Kalau sekiranya mereka itu membolehkan, sudah barang tentu penduduk akan marah kepadanya. Dan sebaliknya kalau mereka itu melarang, maka Sultan pula yang akan marah. Sebab itu ulama-ulama ini saling menolak untuk dimintai fatwanya, dan sampailah kepada giliran Syekh Abdus Salam.

“Seluruh yang hadir diam, tidak seorang pun berani mengeluarkan suara. Dalam fatwanya itu beliau terang-terangan mewajibkan memungut harta amir-amir dan raja-raja dalam negara. Mereka ini disamakan dengan rakyat umum, baik dalam berpakaian mahu pun dalam membayar pajak terhadap negara. Sudah itu baru dipungut daripada rakyat umum, yang tadinya amir-amir ini tidak diperbolehkan sama sekali.

“Dalam hal ini Sultan berasa hairan, berasa bingung, mengambil harta daripada amir-amir ini sulit, tidak gampang seperti memungut daripada rakyat umum. Hal ini akan menyalakan api fitnah dalam negeri yang sulit memadaminya. Sebab itu Sultan mengutus seseorang kepada Syekh Abdus Salam untuk mengatakan bahawa sulit mengambil harta daripada amir-amir. Di samping Sultan menyarankan agar beliau berhati-hati dalam berfatwa. Memungut pajak daripada amir-amir ini akan menimbulkan risiko yang sulit untuk dipecahkan, malah belum dapat diramalkan bagaimana akibatnya nanti.

“Saranan ini ditolak oleh Syekh dengan mengatakan kepada utusan ini, “Aku tidak akan mencabut fatwaku ini untuk dipertimbangkan oleh Sultan.”

“Kata beliau selanjutnya, “Raja harus berlaku adil dan berfikir untuk kepentingan kaum Muslimin. Syekh ini bersetumpu pada pendiriannya itu, sehingga sekalian yang hadir dalam sidang itu memastikan bahawa beliau pasti akan ditangkap oleh Sultan.

“Kiranya sebaliknya yang terjadi. Mendengar pendirian tegas beliau ini, Sultan bercucuran air matanya. Lalu Sultan itu berdiri dari kerusinya datang kepada Syekh ini lalu diciumnya kepala gurunya ini seraya berkata, “Allah memberkahi kami dan juga tanah air kita Mesir yang tercinta ini. Islam betul-betul bangga dengan orang-orang yang seperti Tuan Syekh. Jangan takut mengatakan yang benar itu, sekalipun apa yang terjadi.”

Berikutan langkah Sultan yang berjiwa rakyat itu, kerjasama erat diberikan semua pihak untuk menghadapi tentera Mongol. Malah Sultan dan isterinya, Jalinar, turut sama ke medan perang. Dalam perang yang menentukan mati hidup empayar Islam itu, Jalinar terbunuh dan ketika saat hampir menghembuskan nafas terakhir di pangkuan suaminya, dia mengucapkan ‘Wahai Islamku, wahai Islamku’ (ertinya selamatkan Islam).

Sungguh terharu apabila membaca apa yang diungkapkan penulis: “…Sultan lalu duduk termenung di atas kasur, dan isterinya dicium sepuas-puasnya, air matanya bercucuran. Sayup-sayup terdengar suara Sultan, “Wahai isteriku, wahai kekasihku.” Ketika Sultan mengusap wajah isterinya ini, Jalinar membuka matanya dan menoleh kepada Sultan sambil berkata terputus-putus, “Wahai Islamku, wahai Islamku.”

“Jalinar tidak mengatakan wahai kekasihku, tapi wahai Islamku. Yang ikut menghadiri ketika rohnya keluar itu hanya dua orang iaitu dayang-dayang dan seorang doktor.

“Untuk yang terakhir Sultan mencium isterinya itu dengan air mata bercucuran, sudah itu dia bangkit dan ditinggalkannya isterinya itu dan dititipkan kepada dayang-dayang dan doktor yang merawatnya itu, dia keluar dari khemah lalu naik ke punggung kuda dan pergi ke medan pertempuran.”

Malikul Muzafar yang amat terkesan dengan kematian isterinya, begitu bersemangat di medan perang. Baginda dan angkatan Mesir akhirnya berjaya mengundurkan tentera Mongol. Inilah kemenangan penuh makna yang menyelamatkan umat Islam daripada dihancur-leburkan oleh tentera Haulako Khan yang bersemayam di Baghdad.

Sesetengah pihak menyamainya dengan perang pada zaman Nabi s.a.w. seperti Perang Qadisiyah dan Yarmuk. Perang ini dimenangi oleh tentera Muslimin kerana mereka berpegang kepada kebenaran. Semuanya, termasuk raja (pemerintah), isteri (golongan wanita), ulama dan rakyat takut kepada Allah SWT. Jika pemerintah menunjukkan teladan, insya-Allah, rakyat akan menyusulinya!

http://lanh14.blogspot.com/

Rakyat terus Tolak BN, Najib PM terakhir BN?

Keputusan pilihanraya kecil serentak pada 7hb. April, 2009 adalah kekal status quo sebagaimana yang dijangkakan dalam tulisan saya pada minggu lepas (Siasah bil: 143, 5 – 11 April, 2009) ketika pertarungan pada 7hb. April sedang rancak berjalan.

Sebagaimana yang dijangkakan, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kepada PAS. Beliau mendapat 21,860 undi mengatasi calon BN, Ismail Shafian (mendapat : 19,071) dan calon Bebas, Kamarul Ramizu (mendapat: 62 undi) dengan majoriti 2,789. Peningkatan undi majoriti PAS berbanding dengan Pilihanraya Umum Mac, 2008 adalah sebanyak 1,223 undi.


Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 75 peratus bersamaan dengan 41,626 undi daripada 55,462 pengundi berdaftar. Undi majoriti tersebut dijangka lebih tinggi jika, pilihanraya kecil tersebut dibuat pada hari tidak bekerja, Sementara calon PKR, S. Manikumar menang dengan majoriti 2,403 undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menewaskan calon BN, S Ganesan dan 13 calon Bebas yang lain.

Undi yang diperolehi oleh calon PKR merosot sebanyak 563 undi berbanding yang diperolehi oleh V. Arumugam, calon Bebas yang kemudiannya menyertai PKR, V. Arumugam. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, V. Arrumugam memperolehi 13,225 undi menewaskan calon BN, S.Krishnan yang memperolehi 10,229 undi dengan majoriti 2,362 undi. Sungguhpun begitu majoriti calon PKR, AS. Manikumar meningkat 41 undi. Semua calon Bebas hilang wang pertaruhan selepas mendapat undi tidak melebihi satu perempat daripada mereka yang keluar mengundi (70.28 peratus daripada 35,140 pengundi berdaftar).

Manakala BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air. Malcom Mussen Lamoh calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), memperoleh 3,907 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi) dengan majoriti 1,854 undi sahaja.

Sebanyak 75.32 peratus dari 8,600 pengundi telah keluar mengundi. Undi yang diperolehi calon PKR ini merosot sebanyak 446 undi berbanding calon Parti Negara Sarawak (SNAP), Nicholas Bawing Anggat yang mendapat 2,489 undi yang hanya ketinggalan sebanyak 806 undi sahaja berbanding dengan calon BN, Dublin Unting Ingkot (mendapat: 3,295 undi).

Teori RAHMAN menjadi, Najib PM sehingga PRU ke-13

Teori RAHMAN telah selesai, sama ada secara kebetulan atau tidak. Mengikut teori RAHMAN yang tidak diketahui asal-usulnya secara jelas ini, ianya mungkin diambil dari nama Perdana Menteri yang pertama, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dengan huruf ‘R’ itu merujuk kepada namanya.

Manakala huruf ‘A’ yang kedua itu merujuk kepada nama Tun Abdul Razak Husin, Perdana Menteri kedua. Samaada secara kebetulan ataupun tidak, Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak tidak sempat menjadi Perdana Menteri kerana meninggal lebih awal dan diganti oleh Datuk Hussein Onn sebagain Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri ke-3 bagi memenuhi huruf ‘H’ dalam kedudukan ke-3 itu.

Begitu juga ketika Hussein Onn hendak memilih Timbalan Perdana Menteri. Beberapa nama seperti nama Tengku Razaleigh dan Tun Ghaffar Baba adalah lebih kanan daripada Tun Dr. Mahathir sendiri dari kalangan Naib-naib Presiden UMNO untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sama ada tuah atau secara kebetulan sahaja, Mahathir yang pangkal namanya dengan huruf ‘M’ yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri keempat. Dr. Mahathir menjadi PM paling lama selama 22 tahun dengan 4 orang Timbalan Perdana Menteri bermula dengan Tun Musa Hitam, kemudiannya Tun Abdul Ghaffar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun).

Anwar yang disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri tidak bernasib baik walaupun dah memenuhi kreteria dan hampir-hampir menjadi PM jika tidak disingkirkan oleh Dr. Mahathir pada September,1998. Abdullah Ahmad Badawi bernasib baik memenuhi huruf ‘A’ keempat untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat.

Sepatutnya Pak Lah akan terus menerajui kerajaan sehingga mandatnya tamat. Peralihan kuasa secara tergesa-gesa oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah sekadar bagi memperlengkapkan teori RAHMAN yang diperkatakan oleh banyak pihak sebelum ini.

Apa yang menarik minat pemerhati politik sekarang adalah pembentukan kabinet pertama Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mungkin sedang membuat percaturan untuk membalas jasa Pak Lah dan juga memenangi semula kepercayaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Mahathir mungkin mempertaruhkan Mukhriz untuk meneruskan lagenda keluarganya dalam politik sebagaimana Najib dan Hishamuddin mewarisinya dari Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.
Bagi Pak Lah, beliau tidak ada pilihan melainkan menantunya, Khairy Jamaluddin yang sekarang sudah menjadi Ketua Pemuda. Begitu juga kabinet Najib ini sudah tentu, ramai Menteri dari kem Pak Lah yang tewas dalam pemilihan UMNO baru-baru ini akan digugurkan.

Najib sudah tentu tidak mengikut jejak Pak Lah ketika mengambil alih kuasa dari Tun Dr. Mahathir dengan mengekalkan kesemua Menteri yang dilantik oleh Mahathir sebelum itu. Senarai kabinet baru yang sepatutnya diumumkan pada 8hb. April, 2009.

Saya menunggu penuh minat sama ada senarai yang akan diumum itu sama atau tidak dengan senarai yang dihantar kepada saya pada malam sebelumnya oleh seorang rakan yang mempunyai makluman dalaman berhubung nama-nama yang akan dimasukkan dan digugurkan dari kabinet Najib.

Tetapi malangnya, ianya tidak diumumkan pada hari yang telah dijadualkan kerana ada beberapa masalah dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika keputusan pilihanraya ini boleh dianggap sebagai referendum rakyat terhadap penerimaan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dengan keputusan PR 2- BN 1, menampakkan rakyat tidak lagi berhendakkan BN. Mereka selesa dengan keadaan yang telah ada.

Jika Najib tidak berhati-hati ketika percaturan membentuk kabinetnya kali ini, tidak mustahil beliau mungkin Perdana Menteri terakhir BN sebelum diambil alih oleh pihak lain selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Artikel ini disiarkan untuk Akhbar SIASAH bilangan 144 (12-16 April)

PAS yakin Najib akan pikul pelbagai krisis dalaman yang membadai Umno-BN!

PAS Wilayah Persekutuan yakin BN akan hadapi lebih banyak masalah dalaman selepas ini ekoran semakin berani pemimpin Umno dan sekutunya MIC bertindak di luar batasan kebiasaan mereka.

Menurut Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Mohd Nazir Zakaria belum sempat sebulan Najib menguasai Putrajaya, pelbagai masalah dalaman melanda BN selain dari tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dalam pilihan raya kecil yang diadakan, 7 April lalu.


Mengulas mengenai 'amaran' Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua parti komponen BN tidak membuat kenyataan terbuka berhubung isu pelantikan wakil masing-masing dalam barisan kabinet baru, Nazir mempersoalkan asas perlantikan dalam kabinet yang dilihat masih mengekalkan individu yang tidak "bersih" dan telah secara terang ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas.

Kecamukan BN makin teruk apabila di Perlis. Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr. Isa Sabu disifatkan oleh Umno negeri sebagai "produk haram" dan di Selangor, Dato' Seri Khir Toyo pula cuba menyingkirkan Tan Sri Muhamad Muhd Taib sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri apabila beliau mengalu-ngalukan Najib mengetuainya.

"DiTerengganu lagi teruk. Adun BN dari Umno 'memboikot' sidang Dun kerana membantah MBnya, Dato' Ahmad Said. Ini tentunya akan berpanjangan. Mereka tidak hormat dengan Presiden Umno yang baru mereka pilih," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengakui parti itu kecewa kerana tidak diberi sebarang tambahan jawatan dalam Kabinet, sedangkan Gerakan mendapat tambahan satu menteri, manakala MCA satu timbalan menteri.

"Apabila adanya politik perkauman, mereka akan anggap mereka adalah juara kaum India. Maka mereka akan jadi menteri. Dengan menjadi menteri, mereka beranggapan mereka boleh membantu kaum India. Tetapi menteri kabinet di Malaysia bukan khusus untuk membantu sesuatu kaum. Perkara ini gagal difahami oleh pemimpin-pemimpin BN, justeru timbul isu seperti ini," ulas Nazir lagi.

http://sanggahtoksago.blogspot.com/

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.