Sejadah Terapung dan Main Pantai

Imam Besar ajak ke masjid, Menteri Besar galak ke pantai?

Mat Zain Mat Isa
Tue | Jul 21, 09 | 2:10:50 pm MYT

Hari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam hingga ke akhir dunia.

Di antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.

Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat bersama para anbiya dan mursalin. Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w. sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh sekalian mereka dalam memimpin ibadat utama kepada Allah itu.

Kejadian itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para asatizah dan ulama menceritakan Israk dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.

Amat malang bagi umat ini, meski pun peringatan dan penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulangsebut pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk menjadi tabiat harian umat Islam.

Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir di mana-mana. Pihak pemerintah pula lebih gemar memperbanyakkan jumlah masjid berbanding mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.

Mereka lebih ghairah mengeluarkan belanja menghias dan memperindahkan masjid dan surau berbanding memakmurkannya dengan berbagai aktiviti berpatutan dan berterusan di situ.

Fenomena ini agak menyeluruh. Sebab itu apabila berlaku kejadian 'sejadah terapung' di Masjid Kristal, Kuala Terengganu, akhir bulan lalu, ada pandangan mengaitkannya dengan peringatan Allah agar umat Islam memperbetulkan kepincangan ini.

Sebuah akhbar Inggeris, 30 Jun lalu memetik ulasan Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz mengenai kejadian yang dianggap aneh dan menggemparkan itu.

"Tidak perlu panik. Kejadian itu adalah ingatan kepada umat Islam agar tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat berjamaah," ujarnya.

Menurut laporan akhbar itu, seorang wanita dari Seremban yang menziarahi masjid popular di tengah Sungai Terengganu itu terserempak dengan fenomena pelik itu. Beliau dikatakan sempat merakamkan kejadian 'sejadah terapung' itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Penyebaran cerita itu dikatakan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat berdekatan. Aizi Saidi bagaimana pun mengaitkan kejadian itu sebagai gambaran sikap tidak ambil berat rakyat negeri Terengganu dengan tuntutan menunaikan solat berjamaah.

Beliau malah mengakui fenomena masjid kosong semakin menjadi lumrah di negeri itu. Katanya, Terengganu mempunyai masjid yang sangat banyak, tetapi jumlah jemaah yang memakmurkannya amat mendukacitakan.

"Sebilangan masjid kita malah kekurangan ahli jemaah walaupun ketika solat Jumaat," akhbar itu memetik pengakuan beliau.

Pengakuan terus-terang itu bukan suatu yang mengejutkan. Ia bukan cerita baru. Cerita masjid-masjid di Terengganu kosong dan lengang kedengaran sejak berdekad dulu.

Hanya buat beberapa tahun di zaman pemerintahan PAS, fenomena itu diperbaiki. Sebahagian besar masjid milik kerajaan kelihatan "basah" dan makmur. Jumlah anggota kariah yang menghadiri masjid meningkat mendadak di serata negeri. Kemakmurannya ditambah dengan siri kuliah dan tazkirah yang silih berganti.

Perkembangan positif dan membanggakan itu bagaimana pun susut dan beransur pupus ekoran tindakan politik oleh Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih pemerintahan pada 2004.

Ia dimulakan dengan pemansuhan semua Jawatankuasa Masjid Mukim (JMM) dilantik oleh kerajaan PAS. BN menggantikannya dengan kumpulan manusia yang sealiran dengan fahaman politiknya.

Keghairahan BN membalas dendam kepada penyokong parti lawan di peringkat kampung juga gagal mengambilkira keperluan menjaga kemakmuran masjid. Orang yang BN lantik sebagai Ahli JMM sebahagian besarnya bukan dari jenis manusia yang dekat dengan masjid. Satu-satunya kelayakan diambil kira ialah pendirian dan kecenderungan politik mereka yang memihak BN.

Akhirnya berlakulah fenomena masjid-masjid yang kosong dan kontang. Jumlah ahli kariah yang berjamaah merosot mendadak. Bilangan majlis ilmu juga tidak lagi sekerap sebelumnya. Sebahagian besar tenaga pengajar dan ustaz terlibat memberikan kuliah dan tazkirah tidak lagi diberikan ruang meneruskan usaha dakwah dan pengajaran agama.

Sikap sepi dan tidak serius BN terhadap usaha memakmurkan masjid amat terserlah. Mereka turut menganjurkan majlis memperingati Israk dan Mikraj. Ingatan dan ajakan kepada hadirin agar sentiasa mengunjungi masjid dan mendirikan solat secara berjamaah turut disuarakan para penceramah di majlis itu.

Namun, suratan atau kebetulan, petang menjelang 27 Rejab (Ahad lalu) juga kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Ahmad Said turut mengumumkan satu agenda penting dalam kalendar pelancongan negeri. Ia telah memutuskan akan menghidupkan kembali 'Pesta Main Pantai', satu pendekatan yang amat bertentangan dengan hasrat memakmurkan masjid.

Pesta itu adalah amalan tradisi masyarakat Terengganu sejak dulu. Ia dikatakan dibuat oleh masyarakat kampung yang bertanam padi sebagai acara hiburan mereka selepas selesai musim menuai. Mereka akan membawa keluarga ke tepi pantai, mendirikan khemah dari kayu atau buluh. Daun kelapa berpelepah akan digunakan sebagai dinding dan atap khemah.

Mereka akan berkampung di situ buat beberapa hari sambil berehat dan mengadakan aktiviti sukan rakyat dan persembahan hiburan kebudayaan.

Pesta itu diteruskan di era moden dengan sedikit pengubahsuaian. Ia bagaimana pun terhenti seketika sebelum ini. Pandangan beberapa pihak, terutama ulama dan pemimpin agama diambil kira. Pesta sebegitu didapati banyak mengundang kesan tidak baik kepada masyarakat, terutama berhubung gejala sosial dan dorongan melakukan maksiat.

Kini, BN Terengganu telah berkeputusan menghidupkannya kembali. Tidak dapat dipastikan pandangan ulama dan tokoh agama mana yang mereka rujuk.

Pesta itu bakal dilangsungkan selama dua minggu pada awal bulan depan. Kerajaan negeri menyandarkan rasionalnya kepada melaksanakan agenda pelancongan, menghidupkan seni warisan dan kebudayaan, serta hiburan kepada rakyat.

Memang itulah rasional yang paling mudah dan lumrah digunakan mana-mana pihak untuk menghidupkan sesuatu yang mendapat tentangan sebahagian anggota masyarakat.

Kita juga tidak terlalu jumud sehingga menolak sepenuhnya aktiviti budaya dan seni warisan. Apatah lagi sesuatu itu dikaitkan dengan agenda pelancongan yang dibuktikan dapat menambahkan pendapatan kepada negeri.

Bagaimanapun, sepertimana dibuktikan banyak pihak sebelum ini, penganjuran pesta seumpama itu lebih banyak mudarat berbanding manfaat, terutama terhadap akhlak dan moral umat Islam.

Ia menjadi medan sangat kondusif dan dorongan kepada kejadian yang menyalahi hukum dan suruhan agama. Apatah lagi dalam keadaan biasa tanpa pesta sebegitu pun, kerajaan sudah menghadapi suasana amat sukar menbendung dan mencegah maksiat dan mungkar.

Mengambil kira fenomena kebobrokan sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat mutakhir ini, pengumuman kerajaan negeri Ahad lalu yang mahu menghidupkan kembali pesta pantai dilihat amat bercanggah dengan semangat sambutan Israk dan Mikraj.

Ekoran itu ada suara dalam masyarakat negeri itu yang mengatakan, "Imam Besar bersungguh ajak rakyat ke masjid, Menteri Besar pula anjur program galakkan rakyat bermain di pantai".

Tindakan itu bukan sahaja membuktikan kerajaan tidak ambil pusing seruan sebegitu baik oleh Imam Besar Negeri, malah BN sekali lagi tersilap kaedah dan cara untuk mengubati penyakit sosial yang melanda masyarakat. - mns_

----------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Pembaca nilai sendiri, siapa yang lebih baik? Ke mana Islam Hadhari, ke Pembangunan Modal Insan?

Lebih Teruk Berbanding Anwar Jumpa Amerika!

Zahid Hamidi mesti disiasat kerana jumpa Ehud Barak

Ustaz Idris Ahmad
Tue | Jul 21, 09 | 7:26:56 pm MYT

PAS mengecam tindakan Menteri Pertahanan Malaysia yang berjumpa dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa Pertunjukan Udara Paris di Perancis Jun lepas.

Pertemuan yang berlangsung selama 35 minit dengan Barak adalah satu pertemuan yang mengguris perasaan umat Islam di Palestin dan saudara seagama di Asia Barat.

Persoalannya, adakah kerajaan Malaysia sudah mengiktiraf kerajaan haram ini?

Zahid mesti disiasat kenapa beliau berani berbuat demikian. Paling merbahaya, beliau adalah Menteri Pertahanan yang sanggup berjumpa dengan manusia yang saban hari menyembelih umat Islam di Palestin.

Siapakah Zahid yang hendak berlagak dan tunjuk hero kepada dunia untuk berbincang dengan Israel?

Seperti sedia maklum bahawa pemimpin Israel bukan bangsa yang boleh berbincang.

Israel hanya faham dengan bahasa jihad sahaja. Buktinya, berapa banyak perundingan mengenai masalah Palestin terutamanya, telah gagal kerana dikhianati oleh Israel.

Tentu kita masih ingat, Dr Mahathir Mohamad, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulupun, menafikan pertemuan dengan pemimpin Israel kerana takut umat Islam marah.

Sudah pasti pertemuan Zahid dengan Barak ini mendapat restu daripada Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Razak, ini satu lagi hadiah 1Malaysia pada rakyat.

--

Idris ialah Ketua Penerangan PAS Pusat_

Zahid Hamidi mesti disiasat kerana jumpa Ehud Barak

-----------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Kalau dulu, heboh mereka tentang isu Anwar ibrahim berjumpa dengan pihak Amerika. Tetapi ini lagi teruk, berjumpa dengan musuh Islam paling besar, Yahudi La'natullah. Jadi, siapa yang lebih teruk dan patut dipersoalkan sebenarnya?

Kecam tindakan wartawan menceroboh, cubaan murtad

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Sungguhpun percubaan memurtad orang Islam adalah menyalahi Artikel 11(4) Perelembangaan Persekutuan namun tindakan dua wartawan menceroboh gereja untuk menyiasat perkara tersebut dikecam dan tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru Zulkifli Nordin berkata Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menceroboh hak peribadi dan rumah ibadat penganut agama lain malah ketika perang Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang tentera Islam daripada memasuki dan menganggu rumah ibadat agama lain.

Beliau mengulas tindakan sebuah majalah terbitan bulan Mei 2009, yang membuat 'berita siasatan' berhubung tindakan murtad remaja Islam di sebuah gereja.

"Jika benar ada percubaan untuk murtadkan remaja Islam kepada Kristian, jalan terbaik adalah menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan di dalam blog peribadinya.

Sungguhpun begitu, beliau juga berkongsi keprihatinan sebilangan masyarakat Islam yang kecewa dengan kelemahan pihak berkuasa mengambil tindakan di atas aduan yang diterima seperti yang berlaku dalam kes Azlina Binti Jailani @ Lina Joy yang telah menukar agama kepada Kristian di sebuah gereja.

Zulkifli turut menasihati agar rakan-rakan bukan Islam menjaga sensitiviti perasaan umat Islam.

"Bila berlaku kes Lina Joy, sekumpulan bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah, kumpulan NGO Islam dan Majlis Peguam bertindak menjadi juara menyokong hak untuk murtad...ketika itu anda akan melihat tindak balas daripada orang Islam

"Kita sepatutnya berbangga sebab hidup dalam suasana harmoni lebih setengah abad kerana menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. Tetapi bila anda menggugat agama lain, anda mengundang masalah," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh dua wartawan itu 'tidak islamik' malah menggesa agar mereka meminta maaf kepada rakan-rakan penganut Kristian atas perbuatan mereka di samping menyeru agar pengarang majalah terbabit meletakkan jawatan. - azm _

----------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Tidak cukup tercalar imej Islam dengan dakwaan sesetengah orientalis yang mengatakan Islam sebagai agama pengganas, ada pihak yang buat onar untuk mencalarkan lagi imej Islam yang sebenarnya tidak pernah salah itu.. kalau orang kata itu ini tentang Islam kita bukan main marah sedangkan sensitiviti agama-agama lain kita main redah sahaja, sebenarnya salah kita juga...

Politik dan Pembunuhan, Malaysia Boleh!

dipetik dari blog mycompletemastery.blogspot.com


Lupakan apa yang berlaku pada Teoh Beng Hock. Hakikatnya anak muda ini telah mati. Kita yang hidup perlu bermuhasabah kembali melihat diri. Dunia apakah yang kita tinggal dan duduki hari ini. Politik jenis apakah yang menjadi amalan pemimpin daulah kita ketika ini. Sudahkah kita hilang akal berpolitik gilakan kuasa sehingga tahap menyiasat hingga terbunuh dan membunuh. Benarkah ketika ini kita tinggal di sebuah negara bernama Malaysia. Atau sebenarnya kita tinggal The New Mexico. Persoalan ini menjadi kerisauan warga melihat suasana yang berlaku dalam negara kita hari ini.

Peristiwa Memali, rampasan kuasa kerajaan Perak dan tragedi Teoh adalah manifestasi manusia yang hilang akal dan belas kasihan terhadap sesama manusia. Manusia menjadi gila dan bengong hanya kerana hilang kuasa dan ingin terus berkuasa. Manusia sudah hilang pertimbangan akal waras untuk menerima hakikat bahawa dunia ini hanya kita tumpang sebentar saja. Berprasangka untuk hidup selama-lamanya itulah mendorong membina rumah agam 24 juta. Berprasangka untuk menikmati kemewahan melampau itulah yang mendorong untuk terlibat rasuah membina pelabuhan berjuta billion. Kita lupa ada orang lain yang susah menderita.

Perasaan warga hari ini tidak tenang apabila kita tidak melihat pertandingan di padang yang rata. Sistem kehakiman dan prosedur undang-undang dipersoalkan ketelusannya. Apakah sebenarnya niat dan tujuan untuk menyiasat sehingga jam 3 pagi sedangkan waktu siang cukup panjang. Mengapa mendera dan menyiksa sewaktu penyiasatan sedangkan warga itu mungkin tidak bersalah bahkan tiada bebanan kesalahan sehingga didakwa dan dibuktikan bersalah. Kita terlupa bahawa itulah lumrah politik. Bersedia untuk berkorban dan terkorban.

Sewaktu Amerika hilang arah tujuan dan punca kuasa besar dunia itu mengebom Hiroshima dan Nagasaki. Ketika hasil mahsul minyak berkurangan dan inginkan sumber bahan api terus disalurkan untuk peperangan maka sekali lagi US melepaskan tekanan itu dengan menyerang Iraq dan Afghanistan. Pembunuhan dan peperangan adalah jalan akhir atau the ultimate solution bagi sesuatu masalah. Bila bangkai gajah tak dapat ditutup dengan tudung saji maka di cerekaramakan cerita bahawa gajah mati meminum racun.

Cukuplah wahai ahli politik. Bermainlah di atas pentas yang rata dan saksama. Yang salah tetap salah dan yang betul tetap betul. Warga hanya mahukan kehidupan yang aman dan meneruskan kegiatan ekonomi asasi dengan sempurna. Cukuplah dengan salahguna kuasa, rasuah dan penyelewangan untuk terus menjunjung takhta. Siasatlah dengan adil dan telus apa dan siapa yang menyebabkan kematian Teoh. Jika di dunia ini kita boleh lari di negeri sana nanti kita tidak boleh lari. Keadilan bukan milik PKR, PAS, DAP atau UMNO. Keadilan adalah hak milik setiap insan yang hidup bernafas di atas muka bumi Tuhan ini.

---------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Keadilan bukan milik Ke-Adilan, PAS, UMNO, DAP mahupun PBB, SNAP, SUPP, SPDP dan sebagainya. Keadilan milik Tuhan, maka keadilan adalah amanah yang diberikan oleh Tuhan. Mencabul amanah Tuhan bermaksud menjemput bala dari Tuhan. Tipu rakyat dan kayakan kroni dan anak bini itu tidak amanah namanya, dan sangat tidak selari dengan slogan 1 Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.... Jangan jadikan 1 Malaysia sekadar slogan retorik sahaja!

UPSR diteruskan - TPM

UPSR diteruskan - Muhyiddin

SHAH ALAM 19 Julai - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dimansuhkan sebaliknya asas penilaiannya diubah supaya kecemerlangan murid-murid tidak lagi bergantung seratus peratus kepada keputusan peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, transformasi itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dalam mengukur kecemerlangan murid-murid.

''UPSR hanya menilai lima subjek sahaja sedangkan murid-murid belajar banyak subjek lain dan sekarang kita mungkin ambil kira faktor subjek Sejarah dan mata pelajaran yang lain.

''UPSR akan terus digunakan sebagai asas penilaian cuma kayu pengukurnya mungkin sekarang 100 peratus dikurangkan kepada 30 hingga 40 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim supaya UPSR dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran.

UPSR juga menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menjadi medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan lima mata pelajaran sahaja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pandangan Razali sememangnya diambil kira oleh kerajaan yang mahu menggunakan pendekatan baru dan seimbang seperti menilai prestasi pelajar secara holistik.

Ujarnya, ia juga selaras dengan langkah menyusun semula sistem pendidikan asas yang turut melibatkan sistem penilaian menerusi peperiksaan termasuk UPSR.

UPSR diperkenalkan pada tahun 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Murid-murid yang menduduki peperiksaan itu diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

---------------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: UPSR diteruskan, mungkin ada kelebihannya. Tetapi harap kerajaan tarik balik perlaksanaan 10 subjek sahaja untuk SPM. Macam mana nak wujudkan lebih banyak golongan profesional dan berilmu andai minat terhadap ilmu dikekang?..

Gambar Menarik Hari Ini Dari Arab Saudi


Ulasan Penerangan: Gambar ini cukup menarik, Dato' Seri PM bersama dengan isteri beliau yang tercinta sedang bertawaf di Baitullah. Juga bersama anakanda yang disayani di belakang, Nor Ashman Razak. Semoga hasil lawatan empat hari bagi membincangkan hubungan dua hala dengan Kerajaan Arab Saudi itu bakal memberi seribu makna buat Dato' Seri PM. Semoga ada perubahan yang besar bakal berlaku dalam pemerintahan Malaysia, mungkin demokrasi akan jadi lebih telus, natijah daripada keinsafan sepanjang berada di rumah ALLAH SWT yang penuh berkat itu. Insya-Allah.

Himpunan memperingati kematian Teo Beng Hock diganggu polis.

sumber: blog pemuda besut

18 Julai, Ipoh : Sebagai memperingati dan memprotes diatas trajedi kematian penuh misteri seorang pembantu Exco Negeri Selangor,mendiang Teo Beng Hock, di sekitar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semasa memberikan penerangan di pejabat berkenaan pada hari Khamis, 16 Julai 2009 , Pakatan Rakyat Perak telah mengadakan suatu perhimpunan menyalakan lilin berhampiran dengan Wisma DAP disini malam tadi.


Perhimpunan secara aman tersebut dihadiri lapisan masyarakat yang turut bersimpati diatas trajedi malang yang penuh misteri.Mereka hadir untuk menyatakan tanda kegelisahan rakyat dan menuntut keadilan untuk simangsa.

Turut hadhir dalam majlis itu ialah pimpinan Pakatan Rakyat Perak yang antaranya ialah, Lim Kit Siang , Ngeh Khoo Ham, Idham Lim dan lain-lain.

-----------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Nak buat macam mana, itulah nasib kalau pakai label pembangkang...nak buat majlis sempena memperingati kematian pun disangka macam nak buat rapat umum dan bikin huru-hara, takut-takut juga kalau sekarang ni Polis bukan orang kerajaan tetapi orang BN dan lebih menakutkan lagi jika satu hari nanti turut jadi orang SPRM... tapi sahabat penerangan tidak maksudkan semua polis begitu. Ini cuma untuk golongan SB yang tidak pro-demokrasi sahaja.

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.