Gani Patail Tetap Akan Terima Balasannya



Serah Dokumen Sulit, Peguam Negara Berat Sebelah

Dokumen Akta Rahsia Rasmi sekalipun akan didedahkan sekiranya ia boleh membantu pembelaan pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional di mahkamah.

Sebaliknya pelbagai kekangan dikenakan sekiranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat permohonan yang sama.

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua, membidas sikap berat-sebelah Pejabat Peguam Negara yang beria-ria membantu pembelaan tertuduh dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang, Dr Ling Liong Sik.

Pasukan pendakwaraya bagaimanapun tidak menunjukkan kesungguhan yang sama, bahkan begitu liat mahu menyerahkan dokumen perubatan dan sampel spesimen yang diminta Anwar Ibrahim bagi tujuan pembelaan dalam kes konspirasi dua.

"Saya nampak macam ada berat sebelah, kalau pembangkang minta walaupun dari Datuk Seri Anwar Ibrahim,atau dalam kes PKFZ".

"Ini akan menjadi persoalan besar kenapa tindakan hanya dikenakan ke atas Ling Leong Sik tetapi tidak mengheret ahli-ahli politik yang lain ke mahkamah kerana mereka membuat keputusan bersama" ujar Tian kepada Tv Selangor.

3 September lalu, salah seorang peguam Ling, Wong Kan Kheong berhujah, dokumen-dokumen sulit berkenaan Zon Bebas Pelabuhan Klang diperlukan bagi membantu pembelaan anak guamnya.

"Pihak peguam bela memerlukan dokumen-dokumen seperti minit mesyuarat, pertemuan jawatankuasa kabinet dan kertas pasca kabinet di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972".

"Kita memerlukannya untuk mempersiapkan hujah bagi pihak pembelaan" katanya kepada mahkamah.

Pasukan pendakwaraya yang diwakili oleh Dzulkifli Ahmad pula berkata pihaknya boleh membantu mendapatkan dokumen yang diminta tertuduh, tetapi memerlukan sedikit masa dari mahkamah.

"Kami tidak keberatan ke awal lagi tetapi kami rasakan itu tidak mungkin kerana kita perlu waktu untuk bertindak pada beberapa permintaan dari pihak peguam bela," ujar Dzulkifli.

Mengulas lanjut, Tian tidak yakin kerajaan akan membekalkan dokumen-dokumen PKFZ yang boleh mengugat kedudukan pemerintah.

Ujarnya, sekiranya dokumen kabinet ini didedahkan, bukan hanya tembelang Ling Liong Sik sahaja yang terbongkar, sebaliknya keseluruhan kabinet akan diheret ke muka pengadilan.

"Saya nampak mungkin ini satu permulaan yang Ling Liong Sik mahu buktikan bukan dia seorang sahaja yang terlibat. Kalau dia minta supaya kertas kabinet ini didedahkan,akhirnya kalau kabinet rasa terugut, terancam, mereka mungkin tidak akan menjatuh hukuman yang berat kepada Ling Liong Sik supaya semua boleh selesai dengan cara dalam keluarga". -TVS

Ulasan GB

Rakyat secara umumnya memang tidak suka dengan Peguam Negara ini. Tetapi UMNO BN memandang beliau sebagai satu aset bernilai untuk selamatkannya.

Oleh itu Najib belum lagi rela melepaskan Gani Patail, selagi kes liwat 2 tidak selesai. Kerana nama "Anwar" amat menghambatnya.

Nama dan rekod Gani Patail semakin hari semakin hanyir. GB yakin apabila Pakatan Rakyat memerintah, salah seorang yang TETAP masuk penjara ialah Gani Patail.

Banyak hal yang kalau diselongkar, begitu busuk manusia yang bernama Gani Patail ini.

Kerana kebusukan itulah, Gani Patail perlu letak jawatan segera. Jika tak mahu, Najib perlu pecatnya. Jika tak pecat, rakyat yang akan melakukannya. Jika rakyat belum berkemampuan, Tuhan tetap akan membalasnya. Balasan Tuhan terhadap perkara yang buruk lebih dasyat. Sedasyat Rahim Nor dan Musa Hassan yang dipaksa turun dari kerusi KPN.

Bear witness, we have warned you, Gani!

Teo Semakin Popular, UMNO Dan Perkasa Semakin Bangang



Tindakan UMNO terperangkap sendiri: Hu

KOTA BHARU - Tindakan UMNO yang berterusan memainkan isu perkauman termasuk memanipulasi tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki ruang surau menyebabkan parti itu memerangkap diri.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chaw berkata, tindakan berterusan menyalahkan Teo kerana masuk ruang solat surau hanya mempopularkan lagi Ahli Parlimen Serdang itu.

“Tindakan ini sebenarnya tidak menguntungkan parti itu (UMNO) malah kepada Islam sendiri, apa yang dilakukan itu sedikit sebanyak menjauhkan orang bukan Islam yang mahu mengenali Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, mengikut kefahamannya Islam merupakan agama toleransi yang diturunkan kepada semua kaum yang ada di dunia dan adalah perlu Muslim sendiri yang harus memberi penerangan kepada orang bukan Islam.

Beliau memberi contoh bagaimana kakitangan masjid di negara China yang mesra kepada orang bukan Islam yang mahu melawat dan memahami agama Islam secara dekat.


“Saya sendiri beberapa kali berkunjung ke masjid di negara tersebut, mereka memberi layanan yang cukup mesra dengan menerangkan tentang hal ehwal agama termasuk sewajarnya, jadi apa salahnya pendekatan itu turut digunakan di negara ini,” katanya.

Katanya, tindakan berterusan menghentam Teo menyebabkan beliau lebih popular di kalangan masyarakat yang menganggap Ahli Parlimen itu mahu mendekatkan diri dengan ajaran Islam. -SH


MP Serdang kini popular ‘YB Surau’, sangkal sumbangan ‘hina Islam’

Sementara kira-kira 30 kariah menunggu dengan sabar sambil berbual mengenai perkembangan semasa, sekitar pukul 11 malam tadi, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching singgah di Surau At-Tholabiah, Sungai Ramal Luar berhampiran Kajang.

Wakil rakyat itu sepatutnya berada di surau itu pukul 10 malam untuk bertemu dengan mereka selepas berakhirnya majlis tarawih. Bagaimanapun beliau lewat sejam kerana terpaksa singgah di Madrasah Cheras Perdana untuk memenuhi permintaan saat-saat akhir.

“Maaf, saya tiba lewat. Ada program saat-saat akhir. Mereka memanggil saya datang,” kata beliau dengan tenang ketika melangkah ke Surau At-Tholabiah, yang terletak di tepi Lebuh Raya Sik.

Madrasah Cheras Perdana antara yang mengundang beliau bertemu dengan umat Islam meskipun tercetusnya isu kunjungan ke Surau Al-Huda.

Permintaan Madrasah Cheras Perdana dan kesungguhan pengurusan Surau At-Tholabiah menandakan Teo yang sudah mula dikenali sebagai “YB Surau” menandakan terus menerusi semangat dan sokongan di sebalik debat mengenai isu ini berterusa.

Dengan berpakaian baju kurung berwarna kuning dengan selendang, yang dihadiahkan oleh salah seorang peminatnya baru-baru ini, Teo berkata: “Apa yang berlaku sekarang ini adalah satu ujian.”

Beliau telah menerima enam selendang setakat ini,
termasuk selendang dari Mesir yang dihadiahkan oleh “Datuk Zin”. “Kalau ada jemputan saya akan datang, menjadi tugas saya untuk datang.... saya melakukan ini bukan sahaja ketika Ramadan, tetapi sepanjang tahun... saya pergi bertemu dengan semua orang tidak kira agama dan kaum,” katanya.

Kehadiran di Surau At-Tholabiah adalah persinggahan beliau yang terakhir pada bulan Ramadan. Awal pagi ini beliau bertolak di Sarawak sebagai sebahagian daripada persediaan DAP menghadapi pilihan raya umum negeri itu.

Ahli Parlimen penggal pertama berusia 29 tahun itu tiba-tiba menjadi ‘popular’ ekoran kontroversi yang dibangkitkan oleh Umno dan Perkasa dua minggu lalu.

Dalam ucapannya Penasihat Surau At-Tholabiah Mohd Yusof A. Kadir berkata, “walaupun berhadapan dengan isu kontroversi, kami berharap beliau (Teo) akan terus bersemangat untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.”

“Kami berharap semangat YB tidak jatuh, tetapi pada masa yang sama kita akan ikut arahan orang atasan,” kata beliau mengalu-alukan kedatang Teo yang menyampaikan sumbangan pada majlis ringkas yang diadakan di ruang luar.

“Ini duit rakyat,” kata Teo ketika menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi surau Abdul Rahman Mohd Tahir seolah-olah mahu menangkis kritikan sesetengah pihak yang mempertikaikan wakil rakyat bukan Islam menyampaikan sumbangan dan derma di kawasan masjid dan surau.

Ketika ditemui The Malaysian Insider dalam satu pertemuan kira-kira 10 jam sebelum itu, Teo berkata, kunjungan beliau ke masjid atau surau sama sekali tidak harus dilihat sebagai tindakan menghina agama Islam.

“Mengapa saya perlu memberi sumbangan untuk menghina agama lain, tidak... tidak,” kata beliau ketika ditemu bual di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya tengah hari semalam.

“Kalau saya nak menghina, adakah saya hendak memberi sumbangan, saya rasa kenyataan itu (dakwaan menghina) itu tidak masuk akal, tidak betul,” kata wakil rakyat kelulusan undang-undang ini.

Teo mengulangi bahawa Umno dan Perkasa sengaja memperbesarkan isu ini dan menolak bahawa beliau menggunakan kunjungan ke masjid atau surau untuk kepentingan politik.

“Saya juga terkejut. Saya tidak panggil wartawan ke program saya. Ini lawatan biasa,” kata beliau sambil menambah, “saya pergi ke sana dengan niat yang suci dan ikhlas iaitu untuk memberikan sumbangan.”

“Umno memang ada cakap saya telah memperalatkan surau untuk meraih publisiti untuk diri sendiri.

“Tetapi saya tidak berniat untuk buat demikian lagipun pada hari itu juga saya tidak jemput wartawan untuk datang.... kalau saya pergi saya dan bawa wartawan mungkin boleh tuduh saya gunakan surau untuk jadikan saya lebih popular,” katanya.

Selepas isu ini diperbesarkan, Teo mengakui sudah melawat beberapa surau lagi.

“Ini adalah tugas saya jadi saya perlu jalankan tanggungjawab seperti biasa,” katanya lagi.

Sebenarnya kata Teo, kebanyakan program telah disusun sejak sebelum Ramadan lagi dan ada juga jemputan yang baru selepas isu ini tercetus.

“Macam malam ini baru terima jemputan dua hari lalu, mereka tidak takut kerana faham.

“Selain masjid dan surau saya juga ada pergi ke bazar untuk beri buah kurma.

“Respons syang saya terima sampai hari ini agak menggalakkan... ada orang cakap ia bukan satu isu, ada juga yang cakap mereka itu (pengkritik) cemburu,” kata Teo sambil menambah, beliau akan melakukan apa yang sepatutnya perlu dijalankan selaku seorang wakil rakyat.

Menjawab soalan bagaimana beliau menghadapi isu semasa ini, Teo juga berkongsi bahawa pada hari pertama dan kedua beliau memang tertekan dan ada menangis.

Teo berkata, beliau menitiskan air mata semasa dalam perjalanan ke rumah dan ketika berada di rumah sehari selepas Majlis Agama Islam Selangor mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Selangor murka dan akan mengeluarkan surat amaran.

Malah kenyataan itu menjadi tajuk muka depan media pada Sabtu lalu.

“Hari Sabtu, saya rasa begitu susah,” katanya.

“Memang saya rasa tertekan kerana saya ingat ia salah saya,” kata beliau tetapi mengaku tidak menjejaskan kerjaya politiknya.

Bagaimanapun kata Teo, beliau seolah-olah merasakan telah membuat satu kesilapan yang boleh menjejaskan reputasi parti dan juga ahli jawatankuasa Surau Al-Huda.

“Memang rasa begitu, tidak senang dan sedih kerana ahli jawatankuasa telah digantung kerana tindakan saya.

“Pada saya, jika pada malam itu mereka tidak menjemput saya masuk ke ruang solat, ia tidak akan jadi satu isu yang begitu besar.

“Walaupun mereka jemput saya dengan niat baik dan ikhlas, layan saya dengan baik dan akhirnya apa yang saya bawa kepada mereka adalah masalah.

“(Oleh itu) saya menangis sendiri bukan depan orang,” katanya.

Teo juga berkongsi bahawa beliau menerima banyak panggilan daripada pemimpin parti dan mereka sebenarnya tidak marah.

“Semua orang hanya simpati dan faham bahawa pada hari pertama dan kedua saya berada dalam satu kedudukan yang sangat sukar.

“Mereka hubungi dan memberi nasihat kepada saya... apabila (Lim) Kit Siang dan Lim Guang Eng hubungi saya, bila mereka hubungi mereka cakap jangan risau, saya rasa ini satu sokongan moral daripada mereka,” katanya lagi.

Teo, antara calon pilihan raya umum 2008 yang menggunakan pendekatan kreatif untuk mendekati pengundi memberitahu beliau tidak sama sekali terfikir untuk meletakkan jawatan kerana isu ini, tetapi rasa takut dan risau kerana “saya tidak mahu membawa masalah kepada parti.”

“Saya rasa begitu ketika itu kerana pada saat itu kita belum terima begitu banyak nasihat, sokongan dan panduan daripada PKR dan PAS lagi.

“Tok guru (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) juga ketika itu masih belum keluarkan apa-apa kenyataan pada masa itu,” katanya lagi.

Teo, penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP berkata, beliau sememangnya bimbang sama ada telah buat satu kesilapan yang akan mengakibatkan orang Melayu menganggap DAP sebuah parti anti-Melayu dan anti-Islam.

“Ini kerana saya rasa telah mencuba dengan begitu bersungguh untuk meyakinkan masyarakat Melayu bahawa DAP bukan sebuah parti ‘Chinese, Chauvinist dan Communist (CCC)’ sebagaimana didakwa oleh musuh kami,” kata beliau dengan merujuk kepada usaha DAP yang cuba meyakinkan orang ramai bahawa ia adalah sebuah parti yang berkhidmat untuk semua kaum.

“DAP adalah sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia... memang saya takut bahawa usaha-usaha yang kita lakukan selama ini akan terjejas oleh sebab saya telah lakukan kesilapan atau boleh kata kecuaian yang bodoh,” ujar beliau.

Selain menangis, insiden ini juga membawa kepada Teo membeli telefon BlackBerry untuk mengikuti perkembangan semasa dengan lebih dekat.

“Sebelum ini saya tidak guna BlackBerry, lepas insiden tersebut saya beli pada 31 Ogos. Saya perlukan BlackBerry sekarang, pada hari ini saya perlukan BlackBerry untuk dapatkan banyak informasi,” katanya.

Beliau masih melihat ke depan untuk berhadapan dengan cabaran dan tanggungjawab lebih besar sebagai wakil rakyat.

“Selepas melihat komen dan Tok Guru mempertahankan saya dan sudah menjelaskan bahawa dari segi Islam memang tidak salah orang bukan Islam masuk masjid dan surau, dari sana saya telah mendapat kekuatan dan selepas insiden itu, ramai orang telah keluarkan kenyataan mempertahankan saya termasuk (Naib Presiden PAS) Datuk Mahfuz Omar, Dewan Muslimat pusat dan Selangor juga ada datang jumpa saya untuk beri semangat - satu jumpa di Kajang dan satu jumpa di Balakong.

“Saya rasa selepas hari Sabtu, komen daripada masyarakat agak positif.

“Ada orang yang kata saya tidak buat apa-apa kesalahan dan kata tiada masalah orang bukan Islam masuk masjid dan surau.

“Ada juga fikir bahawa tidak pakai tudung itu adalah tidak sopan kerana saya sepatutnya pakai tudung,” katanya yang mengaku telah meningkatkan pemahaman tentang Islam berbanding Mac 2008.

“Lepas kejadian itu, masyarakat sekarang lebih kenali saya. Saya mengaku walaupun telah jadi wakil rakyat lebih daripada dua tahun tapi masih ramai yang belum kenal siapa saya.

“Tetapi selepas insiden ini saya pergi ke bazar mereka sudah tahu siapa saya.

“Walaupun tidak dapat sebut nama saya tapi mereka panggil saya “YB surau”, tapi saya rasa mereka peka dengan isu ini dan telah kenal saya,”
katanya lagi.

Teo juga merasakan telah menerima banyak simpati daripada masyarakat berkata, beliau sebenarnya merasakan telah menerima sokongan yang begitu banyak.

“Hari-hari, sekarang saya terima selendang dari kawan-kawan Melayu dengan mengatakan bahawa supaya mereka (pengkritik) tidak bising

“Hari ini saya dapat satu lagi emel - ada pihak yang mahu mendermakan RM5,000 kepada saya untuk membuat satu program di kawasan saya,” kata Teo.


Ulasan GB

Orang desperate seperti UMNO dan Perkasa, apabila cuba mengekploitasi sesuatu isu yang disangkakan bernilai untuk mengangkat darjatnya semula yang telah terhumban ke longkang, akan sentiasa melakukan kesilapan yang mendedahkan kebangangannya mereka yang melantun-lantun.

Kesian UMNO dan Perkasa ini. Penyudahnya mereka laksana Hang Tuah dan Hang Jebat yang menghunus keris sesama sendiri. Sang Sultan menonton siapa yang bodeknya lebih kepada istana. Semua dah nampak pertentangan Ibrahim dengan Khairy. Tetapi Sang Sultan juga nanti yang akan terpaksa melarikan diri. Itukan juga dari sejarah, takkan tak reti-reti!

MB Terengganu Melenting Rahsia E-book Bocor



Ahmad Said Marah Jabatan Audit Bocor Laporan Top IT

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said menuduh Jabatan Audit seolah-olah mensabotaj kerajaan negeri kerana maklumat laporan audit keatas syarikat Top IT Industries Sdn Bhd. terdedah kepada umum.

Ahmad dipetik Bernama berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memanggil pihak daripada Jabatan Audit yang dipercayai mendedahkan beberapa maklumat mengenai syarikat itu kepada pembangkang.

“Saya tidak faham mengapa Jabatan Audit telah memberi laporan berkenaan kepada pihak pembangkang jika ada berlaku perkara sedemikian. Apa tujuan Audit berbuat demikian seolah-olah hendak sabotaj kerajaan negeri dalam perkara ini?.

“Sepatutnya Audit memberi laporan terlebih dahulu kepada kerajaan sebelum mendedahkan kepada pihak lain jika ada sebarang perkara yang tidak kena berlaku,” tegasnya

Sebelum itu, Ahmad telah memberi pengesahan bahawa, kilang Top IT Industries Sdn Bhd, syarikat yang memasang e-Book adalah selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada pekerjanya.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh juruperunding dan pembinaan kilang itu mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kilang itu hanya mengalami keretakan biasa pada dinding yang tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahamad Nawawi pada Khamis lepas bahawa kilang anak syarikat kerajaan negeri berharga RM12 juta itu tidak selamat kerana retak selain tidak ada sijil layak menduduki (CF).

Menteri Besar berkata: “Sekarang CF sudah tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan lagi tetapi oleh juruperunding dan mereka menyatakan bangunan itu selamat untuk digunakan”.

Beliau menegaskan bahawa kilang berkenaan hanya berharga RM7.9 juta dan bukannya RM12 juta seperti didakwa. sumber: buletinonline

BERITA BERKAITAN SEBELUM INI

Pembaziran Kerajaan Terengganu Dalam Program E-book

Ulasan GB

Macamana Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu cuba pula nak tutup maklumat mengenai Laporan Audit negerinya sedangkan laporan audit sebenarnya adalah tidak rahsia, telus dan terdedah kepada umum?

Mungkin selama ini Ahmad Said telah terbiasa dengan kerja-kerja menutup penyelewengan yang tak dapat dihidu oleh Jabatan Audit Negara. Jadi apabila terdedah yang satu ini, melentingnya amat sangat sampai menyatakan negerinya disabotaj oleh agensi kerajaan Jabatan Audit Negara.

Berita BERNAMA Bawa Sial Kepada New Sarawak Tribune



Kakitangan Sarawak Tribune diarah 'tutup mulut'

Arahan 'tutup mulut' telah dikeluarkan kepada kakitangan akhbar New Sarawak Tribune berikutan penggantungan tugas editor eksekutifnya, Paul Si berhubung sebuah artikel pada 30 Ogos lalu yang dikatakan tidak disenangi oleh Ketua Menteri sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut sumber, kakitangan berkenaan diarahkan supaya 'tutup mulut' berhubung penggantung ke atas Si itu dan ia dipercayai adalah atas arahan anak perempuan bongsu Taib - Hanifah.

Hanifah dilaporkan mencaci editor kanan dan pengurusan akhbar berkenaan pada mesyuarat lewat petang Isnin lalu berhubung artikel berkenaan yang berlarutan sehingga keesokan hari.

Hari berikutnya, yang kebetulan Hari Kemerdekaan, Si digantung tugas. Dia enggan mengulas apabila dihubungi hari ini.

Semuanya gara-gara tindakan Si yang memilih laporan berjudul 'Adakah Taib Mahmud sekadar mahu menguji?' yang dibekalkan oleh Bernama sebagai tajuk halaman utama akhbar itu.

Laporan itu memetik pendapat penganalisis politik yang mempersoalkan motif Abdul Taib mengumumkan kesediaannya melepaskan jawatan ketua menteri menjelang pilihan raya negeri akan datang yang mesti diadakan sebelum Jun tahun depan.

Menurut mereka yang diwawancara Bernama, Abdul Taib tidak mempunyai niat untuk mengundurkan diri setelah memegang kuasa selama 29 tahun dan tawarannya itu dilihat cubaan untuk memancing sokongan daripada pemimpin tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli lembaga pengarah Sarawak Tribune, James Ritchie menafikan laporan bahawa beliau telah dilucutkan daripada jawatannya sebagai 'penasihat editorial' berhubung penerbitan artikel itu.

Ritchie juga berkata beliau sangsi jika Abdul Taib secara langsung ataupun tidak - terbabit dengan keputusan menggantung Si.

“Ketua menteri mempunyai dasar tidak campur tangan. Saya sangsi dia secara peribadi terlibat dengan keputusan memecat sesiapa di the Tribune,” katanya, ketika dihubungi.

Khamis lalu sebuah portal berita melaporkan bahawa Ritchie telah dipecat berhubung penyiaran artikel berkenaan.

The Tribune dilancarkan semula dengan penjenamaan baru pada 19 Mei tahun ini dan dirasmikan oleh Abdul Taib.

Akhbar berbahasa Inggeris paling tua di Sarawak itu pernah digantung pada 9 Februari 2006 kerana menerbitkan semula karikatur kontroversial yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pihak pengurusan akhbar berusia 61 tahun itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menutup akhbar berkenaan meskipun arahan penggantungan itu kemudiannya ditarik balik. Mereka sebaliknya menerbitkan Eastern Times.

Edisi terakhir Eastern Times diterbitkan pada 19 Mei, iaitu sehari selepas Sarawak Tribune berada di pasaran semula.

Akhbar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Abdul Taib. Ia adalah anak syarikat Naim Cendera Holdings Bhd, yang dimiliki oleh Abdul Hamed Sapawi.

Abdul Hamed adalah sepupu Abdul Taib dan mengikut majalah Forbes, beliau adalah dalam senarai 40 orang paling kaya di Malaysia. -MK

Apa Nak Diharapkan Pada Ismail Omar?



Ismail Didesak Pastikan Anggota Polis Hormati Hak Asasi Rakyat

Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru bakal Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya melaksanakan penambahbaikan dan reformasi segera terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang kini mempunyai imej buruk di mata masyarakat umum, terutamanya di dalam isu menghormati hak asasi manusia.

Suaram berkata dalam satu kenyataan media semalam, Ismail perlu memastikan kesemua cadangan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM khususnya dalam hal berkaitan penindasan hak asasi manusia oleh anggota polis dilaksanakan dengan segera.

"Bakal KPN Ismail Omar perlu memandang berat ketidakpatuhan kepada undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa di kalangan anggota polis. Ini merupakan perkara serius yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya DiRaja pada tahun 2005 dan juga berdasarkan pemantauan Suaram.

"Di bawah pimpinan KPN Musa Hassan selama empat tahun (16 September 2006 sehingga kini), PDRM mempunyai rekod dan reputasi yang teruk di dalam isu hak asasi manusia," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung.

Suaram berkata statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa seramai 183 orang telah mati akibat ditembak polis dari tahun 2007 hingga 2009.

Antara kes yang paling serius adalah kejadian menembak mati remaja berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah dan pemuda 18 tahun, Mohammad Afham Arin oleh polis.

"Suaram juga menyeru bakal KPN supaya mendedahkan kepada umum Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera selepas menjawat jawatan KPN agar anggota polis akan lebih bertanggungjawab apabila menggunakan senjata api," ujar Heng Lung.

Tambah Suaram, terdapat 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.

Pada tahun 2009, seramai tujuh orang telah mati di dalam tahanan polis antara yang menjadi perhatian umum kematian A Kugan, R Gunasegaran dan Mohd Anuar Sharip.

Sehubungan itu badan itu menyeru Ismail untuk memastikan anggota polis mematuhi Akta Kaedah-kaedah Lokap (L.N.3289/1958)(4) supaya hak setiap Orang Kena Tahan (OKT) dihormati.

"Contoh lain pelanggaran hak asasi manusia yang serius boleh dilihat di dalam tindakan keras anggota polis terhadap peserta perhimpunan aman termasuk perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di mana seramai 589 orang termasuk kanak-kanak telah ditahan.

"Penggunaan kekerasan oleh anggota polis untuk menyuraikan peserta perhimpunan awam terutamanya dalam perhimpunan yang bertujuan untuk membantah dasar kerajaan telah menjadi kebiasaan di Malaysia.

"Hal ini menunjukkan PDRM tidak menghormati piawaian hak asasi yang turut termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, dan juga telah menyebabkan persepsi umum bahawa PDRM seringkali bertindak sebagai alat pemerintah untuk menekan suara bangkangan terhadap dasar kerajaan," tegas Suaram.

Heng Lung berkata, Suaram menggesa KPN baru untuk memastikan semua anggota polis bersifat adil di dalam menjalankan tugas mereka agar persepsi umum dapat diubah.

KPN juga mesti memastikan PDRM menghormati piawaian hak asasi manusia antarabangsa semasa mengawal perhimpunan awam.

"Lebih daripada itu, Suaram berpendirian imej buruk PDRM tidak mampu dipulihkan hanya dengan penggantian KPN. Perubahan struktural, bebas, telus dan adil untuk memantau salah laku anggota polis perlu dilaksanakan dengan kadar segera untuk memastikan akauntabiliti PDRM dan mengurangkan penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis.

"Suaram mengulangi gesaan supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya DiRaja pada 2005 dilaksanakan dengan serta merta," kata badan itu lagi. -SK


Polis Ambil Sikap Politik Tangani Perhimpunan Anti ISA

Pakatan Rakyat Perak dan Gerakan Mansuh ISA menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat tindakan ganas pihak polis terhadap peserta perhimpunan aman anti ISA minggu lalu yang kini digunakan bagi kepentingan dan kelangsungan politik Umno-Barisan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang sebelum itu telah memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram.

"Kami merasakan pihak polis telah bertindak melampaui batas, mereka sepatutnya menjaga keamanan dan bukan sebaliknya
.

"Perhimpunan aman memasang lilin itu tidak ada kena-mengena dengan pihak polis, apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan Umno-BN memansuhkan undang-undang drakonian itu," kata beliau.

Katanya, sekiranya ada unsur yang mengancam keselamatan negara, barulah pihak polis boleh mengambil tindakan.

Tambah Lih Kang, apa yang berlaku pada perhimpunan tersebut, pihak polis tidak bersikap bebas dan sebaliknya mengambil pendirian bersifat politik.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh pukul 11 Rabu lalu, Pakatan Rakyat dan GMI meminta Ismail disiasat kerana menyalahguna kuasa beliau dengan mengambil pendekatan kuku besi dalam menangani protes terhadap peserta anti ISA.

Ismail juga didakwa gagal menjalankan tanggungjawab memelihara ruang demokratik di Malaysia dan pada masa yang sama telah mendasarkan keputusan beliau atas pertimbangan politik dan bukan atas isu keselamatan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat yang turun bersama rakyat untuk memberi sokongan kepada perhimpunan mansuh ISA telah dihalang masuk ke Dataran Bandaraya Ipoh apabila pihak polis bertindak menutup jalan masuk utama ke situ.

Berpuluh-puluh anggota polis telah mengepung sekitar dataran DBI bagi menghalang orang ramai daripada menghampirinya.

Polis menangkap kira-kira 30 peserta perhimpunan aman anti ISA ditahan di lapan lokasi di seluruh negara. -SK (6/8/10)

Kelantan Akan Pohon Tangguh Salur Wang Ihsan



Tangguh salur wang ihsan

Kerajaan Kelantan bercadang untuk memfailkan satu lagi tuntutan untuk menghentikan penyaluran wang ihsan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan kini sehingga kes saman terhadap Petronas selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan peguam kanan yang sama, Tommy Thomas dalam sedikit masa lagi.

“Kerajaan Negeri akan dapatkan pandangan daripada peguam, Tommy bagi tujuan untuk melaksanakan fail tuntutan itu nanti,” beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor di sini, semalam.

Menurutnya, peruntukkan sebanyak RM25 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sebagai pemberian wang ihsan pertama kepada negeri itu perlu dihentikan untuk sementara waktu.

“Peruntukkan dari Kerajaan Pusat itu sedikit sebanyak ada kaitannya dengan isu tuntutan royalti minyak yang difailkan Kerajaan Negeri di Mahkamah Dagang, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

“Jadi, kita akan cuba untuk memohon kepada mahkamah supaya pembahagian wang berkenaan dihentikan sehingga keputusan ke atas kes saman Petronas itu diputuskan oleh mahkamah berkenaan,”
katanya.

Isnin lalu, Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas kerana mendakwa syarikat minyak negara itu melanggar perjanjian selain menuntut syarikat sama untuk melaksanakan perjanjian petroleum dengan negeri ini. -SH

Ulasan GB

Satu langkah yang tepat dn bijak. Wang ihsan yang telah disalurkan kepada JPP Kelantan yang dikuasai UMNO perlu diserahkan semula kepada Petronas. Seandainya ada yang telah dibelanja atau diagihkan ia perlu dihenti dan dipungut semula supaya tiada satu sen pun wang ihsan yang boleh disalurkan keluar sebelum mahkamah membuat keputusan mengenai kes saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas yang telah dikemukakan baru-baru ini.

Jika berjaya, terkedu Najib, terkedu Mustapa, terkedu Awang Adik, terkedu UMNO-BN.

Dan tahniah untuk Husam, tahniah Kelantan. Semuga tuan-tuan semua berjaya kali ini.
Lawan Sampai Menang!

Kes Sivakumar 23 November: Senasibkah Dengan Kes Nizar?



Kes Sivakumar cabar keputusan SPR didengari 23 November

Mahkamah Tinggi menetapkan 23 November ini untuk mendengar permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aziah Ali.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Sivakumar dan enam yang lain dan Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa yang mewakili SPR dan tiga responden lain.

Pada 22 Oktober tahun lalu, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi iaitu Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Tiga wakil rakyat lompat

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat; Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan perletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Mereka juga turut memohon writ bersifat "quo warranto" dikeluarkan kepada ketiga-tiga ADUN itu dengan memerintahkan kesemua mereka memberikan tunjuk sebab bagaimana kesemua mereka masih ADUN kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN atas tiket Parti Keadilan Rakyat manakala Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mereka kemudiannya meninggalkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional sehingga mendorong kejatuhan kerajaan negeri pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. -FMT

Ulasan GB

Dengan sistem kehakiman negara yang ada kini, rakyat Malaysia termasuk GB pessimis tentang prospek kejayaan Sivakumar di dalam cabarannya terhadap keputusan SPR yang ditetap pada 23 November nanti.

taupun apabila Mahkamah Tinggi membenarkan, maka Mahkamah Rayuan menghalangnya. Ataupun Mahkamah Rayuan membenarkan, Mahkamah Persekutuan menghalangnya.

Itulah proses yang panjang yang pernah dilalui oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin di dalam tuntutannya sebagai MB Perak yang sah.

Pelbagai cara dihelahkan untuk menggagalkan tuntutan Nizar dahulu selepas Mahkamah Tinggi mengesahkan beliau MB Perak sah, bukan Zambry. Hanya dengan sekelip mata keputusan berubah - tak sampai dua hari - setelah pihak berkenaan mendengar "arahan Najib" yang menyatakan - PR jangan suka sangat dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu...

Dengan boneka-boneka Najib dan UMNO seperti Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang juga bekas Penasihat Undang-undang UMNO masih menguasa insitusi kehakiman, rakyat tidak menaruh harapan tinggi terhadap keputusan mahkamah lewat isu tuntutan Sivakumar nanti.

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.