Jumaat, 12 November 2010

7.5 juta pemilik akaun Facebook

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna aplikasi rangkaian sosial Facebook, Friendster dan Twitter yang tertinggi di dunia.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dianggarkan terdapat 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia kini.
“Ini adalah potensi rakyat yang harus digunakan oleh industri dalam bidang ini untuk memajukan negara khususnya menerusi kandungan mudah alih.
“Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa kewujudan Facebook, Twitter, inovasi platform Android, aplikasi dalam talian dan mudah alih telah mengubah landskap komunikasi, pemikiran manusia dan melahirkan jutawan baru di Amerika Syarikat,” katanya.

48,327 calon UPSR cemerlang A


HANIS AZEMI (tengah) yang mendapat 5A menunjukkan laporan Kosmo! yang memaparkan penglibatannya dalam sukan luncur air kepada ibunya, Hartini Abd. Halim (kiri) dan guru besar, Nik Nab Sulaiman di SK Taman Tun Dr. Ismail (1), Kuala Lumpur semalam.


PUTRAJAYA – Seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, keputusan tersebut merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.
Kata beliau, pencapaian UPSR pada kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus pada tahun lalu dan calon mendapat minimum gred C menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding 2009.
“Peratusan calon di bawah tahap pencapaian minimum iaitu gred D dan E turut berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus,” katanya ketika membentangkan keputusan UPSR 2010 di sini semalam.

Budak nyaris diculik dalam bas


MOHD. AMIN gembira ketika didukung datuknya, Hashim apabila dipertemukan di IPD Cheras semalam sambil diperhatikan Abd. Rahim (kiri).


KUALA LUMPUR – Tindakan bijak seorang pekerja hotel yang terus menghubungi polis sebaik ternampak sesuatu yang mencurigakan dapat menyelamatkan seorang kanak-kanak hiperaktif, Mohd. Amin Rozi daripada dilarikan seorang lelaki warga asing kelmarin.
Sebelum dibawa ke balai polis, Mohd. Amin, 3, yang menaiki bas RapidKL seorang diri sambil memegang botol susu terlebih dahulu telah didampingi oleh lelaki asing berkenaan yang seolah-olah cuba memujuk kanak-kanak itu supaya mengikutnya.
Pekerja hotel berkenaan, Nurasyikin Ruji, 40, memberitahu, ketika itu dia bersama anak perempuannya menaiki bas berkenaan menuju ke ibu negara pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, apabila tiba di satu perhentian, dia ternampak Mohd. Amin menaiki bas itu bersama sekumpulan remaja. Sebaik naik, kanak-kanak itu tidak duduk bersama remaja berkenaan.
“Saya lihat dia begitu lincah dan sering bertukar tempat duduk. Dia sentiasa bercakap tetapi tidak menangis.
“Saya kemudian ternampak seorang lelaki asing berusia dalam lingkungan 30-an duduk di sebelahnya seolah-olah cuba memujuk Mohd. Amin supaya mengikutnya,” cerita Nurasyikin ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini semalam.

Bekas jaguh lumba basikal maut


ANGGOTA polis memeriksa kereta Proton Saga yang dinaiki Daud selepas dirempuh sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rembau semalam.


REMBAU – Bekas jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Daud, 63, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Saga yang dipandunya dirempuh sebuah treler dalam kejadian pukul 1 pagi itu.
Jurucakap polis berkata, selepas dirempuh, mangsa telah tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan.
“Bomba mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya yang memberitahu pemandu treler berusia 44 tahun itu tidak cedera.

Shamrin Fotograf meninggal dunia


SHAMRIN mati selepas bermain bola sepak di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Vokalis utama kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia pada pukul 6 petang semalam dipercayai akibat kegagalan fungsi jantung.
Vokalis tersebut dikejarkan ke hospital selepas dia rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini petang semalam.
Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru.
"Sewaktu sedang bermain bola, dia mengangkat tangan dan membongkok seperti mahu mengikat tali kasutnya.
"Dia kemudian pitam dan dikejarkan ke hospital," ujar Riot, bekas anggota kumpulan Kool yang turut berada di padang ketika itu.

Rabu, 10 November 2010

Remaja perempuan 15 thn edar dadah di Terengganu

Oleh: amkns

"Remaja 15 tahun ditahan edar dadah - Berita Harian 9 Nov 2010 -  Jadikan rumah pusat pengedaran pil kuda  - KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang berhenti sekolah untuk mencari kerja berpendapatan lumayan, akhirnya terkandas apabila dia ditangkap di rumahnya di Kampung Batu Buruk di sini, kelmarin.

Polis yang berjaya menghidu kegiatan gadis itu menjadikan rumahnya pangkalan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit membuat intipan sejak beberapa minggu lalu sebelum melakukan serbuan pada jam 10.45 pagi kelmarin.  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata ketika serbuan, remaja perempuan itu bersama kakak ipar dan dua rakan lelaki sedang khayal dipercayai akibat mengambil pil kuda (methampetamine) dan ujian air kencing kemudian mendapati mereka positif dadah.  
Katanya, polis merampas 67 pil kuda bernilai RM2,400 dalam serbuan di rumah itu.  “Remaja perempuan, kakak iparnya dan dua rakan lelaki berusia 20-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan memasukkan dadah ke dalam tubuh,” katanya.  
Beliau berkata, semua suspek direman seminggu bermula semalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
  MASALAH DADAH SEMAKIN PARAH DI TERENGGANU. Ini diakui dalam laporan Utusan Malaysia pada 8 Nov 2010. Sebelum ini Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus. Mungkin yang paling teruk di Malaysia dan seluruh dunia. Apakan daya, rakyat dilekakan dengan hiburan. 
Artikel penagih dadah naik 1,366.67 peratus pada pautan berikut http://amkns.blogspot.com/2010/09/penagih-dadah-terengganu-naik-1366.html  
KES DADAH SERIUS DI TERENGGANU
Utusan Malaysia 8 November 2010 
SETIU 7 Nov. - Kes pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini kian serius dan memperlihatkan gejala amat membimbangkan ketika pihak polis terus memperhebatkan operasi mereka. Secara keseluruhannya, ia meningkat sebanyak 14 peratus dengan 7,837 kes melibatkan 8,187 tangkapan sehingga September lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 202 kes pengedaran dikesan melibatkan 277 tangkapan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini yang mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus. Dalam tempoh yang sama juga, beliau memberitahu, penagihan dadah meningkat sebanyak 14 peratus membabitkan 7,635 kes dengan 7,910 tangkapan. 
"Manakala tangkapan dan tindakan ke atas pengedar di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 meningkat sebanyak 44 peratus kepada 75 kes berbanding 52 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. "Masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terus meningkat dan mencetuskan kebimbangan, daripada 87 orang kepada 126 orang.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
"

Zaid Mengaku Mahu Ganti Anwar, Apa Yang Azmin Patut Belajar Agaknya?

Oleh WFAUZDIN NS
ZAID tanpa rasa segan dan malu mendakwa beliau layak menggantikan DS Anwar memimpin PKR. Baca sini. Zaid yang dihukum oleh Umno atas rasuah politik, masuk PKR kemudiannya tewas di Hulu Selangor, dapat jawatan Ketua Cabang PKR Wilayah Persekutuan secara `percuma' ini ada hati mahu menggantikan DS Anwar? Jangan muntah dulu....

Zaid kata DS Anwar tidak layak lagi memimpin PKR dan juga PR kerana beliau ada masalah tersendiri. Kekalahan PR di Batu Sapi dan Galas juga dibebankan kepada DS Anwar. Ada beliau datang ke Batu Sapi bantu calon? Ada beliau berkampung di Galas bantu PKR? Beliau tidak sebut kejayaan yang banyak dicapai di bawah pimpinan DS Anwar, kerana hatinya terlalu busuk semata-mata untuk berkuasa di dalam PKR. Bahkan bercita-cita tinggi untuk memimpin PR. Itulah Zaid Ibrahim tokoh yang baru `dua hari' kenal PKR.

Zaid tertinggal jauh dibandingkan dengan Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Jika beliau mendahului Azmin sepertimana awal dulu, agak-agak Zaid jadi `gila' seperti sekarang atau tidak? Aku mulanya tidak percaya anggapan orang yang menyebut Zaid itu `racun' di dalam PKR tidak ubah seperti ejen Umno yang diutus untuk menghancurkan PKR. Tetapi, bila aku fikir balik sukar untuk aku menolaknya sekarang.

Masa Zaid tiada di dalam PKR, pemilihan di dalam PKR berjalan lancar, penuh harmoni di mana menyaksikan Azmin tidak pernah menentang Timbalan Presiden PKR waktu itu walaupun beliau mendapat sokongan agak besar. Sifat hormat menghormati begitu kuat waktu itu. Bila Zaid masuk Umno, kita sambut baik. Dia awal-awal sebut tidak mahu rebut jawatan tertinggi dalam parti. Tetapi, akhirnya dengan penuh putar belit dengan syarat itu ini, akhirnya masuk bertanding. Bila terasa nak kalah, malu dengan kekalahan di tangan Azmin yang beliau kata `perlu belajar' lagi tu, beliau cari pasal salahkan pihak lain. Lalu, beliau tarik diri.

Azmin perlu belajar lagi, katanya. Belajar apa lagi Zaid? Belajar masuk penjara? ISA ? Kamu pernah masuk penjara ke Zaid? Belajar rasuah politik wang seperti yang kamu lakukan dalam Umno dulu? Itu yang kamu mahu Azmin belajar?

DS Anwar mempunyai masalah katanya. Sebagai kawan kalau kamu baik dan ikhlas, kamu sepatutnya membantu kawan kamu apatah lagi dia yang bawa kamu masuk PKR. Tapi, kamu sanggup lepaskan tengkuk kamu demi jawatan yang kamu mahu. Kamu mahu ganti tempat DS Anwar dan biarkan DS Anwar sendirian dengan musibah yang melandanya? Inikah pemimpin yang kita mahu dalam PKR atau PR. Cukuplah Zaid....kamu sepatutnya balik ke Kota Bharu atau berguru dengan Berahim Ali lagi bagus daripada jadi perosak dalam parti./wfauzdin.blogspot.com

Pesakit semakin kurang, pendapatan doktor merosot

KUALA LUMPUR - Pengamal perubatan am yang pernah dianggap sebagai golongan profesional berpendapatan tinggi di negara ini kini merosot pendapatan berikutan jumlah pesakit yang semakin berkurangan, demikian menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Rencana pengarang terbaru buletin terbitan persatuan itu berkata, trend tersebut membimbangkan kerana profesion itu mungkin pupus satu masa nanti hingga para pesakit menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan.
Rencana pengarang itu berkata, pengamal perubatan am di Malaysia merupakan amalan pilihan yang laris dan banyak doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk menyertai sektor swasta sebaik sahaja perkhidmatan wajib mereka selesai.
"Seorang pengamal perubatan am terkenal di Lembah Klang boleh melihat lebih daripada 150 pesakit sehari semasa waktu yang baik tetapi sekarang ia menurun kepada kira-kira 20 orang,'' katanya.

Strategi guna pelanggan misteri


BUKAN semua orang yang mengunjungi bank adalah pelanggan tulen, malah ada di antara mereka merupakan pegawai BNM yang menyamar untuk mengesan salah laku bank. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) kini mengamalkan kaedah menghantar para pegawai mereka untuk menyamar sebagai pelanggan misteri bagi mengesan dan bertindak ke atas salah laku kakitangan bank terhadap pelanggan mereka.
Jika wujud unsur yang meragukan, pihak pengurusan bank itu akan dipanggil untuk memberi penjelasan.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, tindakan seumpama itu terpaksa dilakukan kerana pihaknya masih belum berpuas hati dengan prestasi keseluruhan institusi perbankan di negara ini.
“Selain menghantar ‘pelanggan misteri’, kami juga akan memantau prestasi unit aduan sesebuah bank.
“Jika aduan terhadap bank terbabit terlalu banyak, kita akan panggil mereka untuk beri penjelasan,’’ katanya kepada Kosmo!.

Penganggur tetak ibu guna kapak


Halim Ismail (kiri) mengangkat jenazah isterinya untuk dibawa pulang ke Felda Chini Timur 1 selepas prosedur bedah siasat di Hospital Pekan semalam.


PEKAN – Seorang wanita maut selepas cedera parah di kepala akibat ditetak oleh anak lelakinya menggunakan kapak di Felda Chini Timur 1 di sini pukul 10.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, Che Wa Isa, 57, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan sebahagian otaknya terburai akibat tetakan tersebut.
Yahaya berkata, polis telah menahan suspek yang berusia 23 tahun ketika dia sedang bersembunyi di dalam sebuah reban ayam yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. Dia ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dia ditahan sejam selepas kejadian itu oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menetak kepala ibunya menggunakan kapak besi yang biasanya digunakan untuk memotong buah kelapa sawit.
“Tetakan menyebabkan pendarahan teruk di kepala dan mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sampai ke Hospital Pekan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Obama ucap assalamualaikum



BARACK OBAMA (tengah) dan Michelle Obama (di belakangnya) berdiri tegak dalam majlis meraikan kedatangan mereka di Istana Merdeka, Jakarta semalam.


JAKARTA - Presiden Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Jakarta semalam untuk melakukan lawatan dengan sasaran bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan keselamatan dengan Indonesia mengucapkan assalamualaikum serta terima kasih semasa bercakap di depan wartawan di Istana Merdeka.
Dalam ucapan itu, Obama banyak memberikan sokongan terhadap Indonesia, antaranya dalam usaha-usaha memerangi rasuah dan keganasan.
Semasa berucap, Obama sempat mengimbas kemajuan di Indonesia dengan menyatakan semasa beliau kecil, cuma terdapat sebuah bangunan yang tinggi tetapi kini bilangannya semakin bertambah.
Beliau turut menyentuh mengenai hubungan perdagangan antara Indonesia dan Amerika Syarikat, pelaburan serta kerjasama bilateral termasuk dalam bidang ekonomi atau sosial.
Jakarta merupakan tempat tinggal Obama semasa zaman kanak-kanak pada 1960-an.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan barisan anggota Kabinetnya menyambut ketibaan Obama dan isterinya, Michelle di Istana Merdeka.
Setelah berkenalan dengan para menteri, Obama dan Michelle bergambar dengan Susilo dan isterinya, Ani Yudhoyono.
Obama kemudian bercakap dalam bahasa Indonesia. "Apa khabar? Selamat sore.'' Semasa bergambar pula Obama memegang tangan Susilo.
Kira-kira 15,000 anggota polis dan tentera dikerah untuk mengawal ketenteraman semasa lawatan Obama di Indonesia.
Obama tiba di Jakarta dengan menggunakan pesawat rasmi Air Force One dari India. Lawatan itu yang dilihat oleh Obama sebagai satu destinasi penting untuk pelbagai sebab strategik dan peribadi telah ditangguhkan dua kali.
Menurut White House, lawatan itu mungkin dipendekkan kerana letusan Gunung Merapi di Pulau Jawa yang meletus sejak 26 Oktober lalu. - Agensi

Konsert MEGA Idil Adha 1Malaysia

Oleh: rozmal

"Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Idil Adha yang sepatutnya lebih meriah dan hebat dari Hari Raya Idil Fitri kerana Idil Adha sepatutnya disambut 4 hari sedangkan Idil Fitri hanya 1 hari. Tengok saja Takbir Idil Adha selama 4 Hari dan 4 Malam, sedangkan Takbir Idil Fitri tak sampai satu hari pun.

Sepatutnya radio, TV dimeriahkan dengan lagu raya, ucapan raya sekarang ni. Ini Radio IKIM dan Astro Oasis pun tak ada pun memeriahkan suasana Idil Adha. Buatlah rancangan Salam Lebaran ke, Nasyid raya ke. 
Kalau Idil Fitri sibuk dengan Bazaar Ramadhan. Tapi Idil Adha tak ada pula dengar Bazaar Zulkaedah. Tak ape lah , kalau kerajaan tak bagi cuti 4 hari Hari Raya Idil Adha, radio dan televisyen tak siar lagu raya, konsert raya, drama raya, kita meriahkanlah sambutan Idil Adha di kejiranan kita. 
Kita meriahkan sambutan korban, buat kenduri kendara. Lepas isya kita buat Takbir rumah ke rumah selama 4 malam, bermula dari 16 November hingga 19 November. Lepas tu kita buat open house sarapan pagi ke, minum petang ke, makan tengahari ke, jemput ibu bapa kita, sanak saudara dan jiran tetangga. 
TAHU TAK, ada Sekolah Menengah Kebangsaan (bukan Sekolah Tamil) di Seremban ini yang majoriti guru, pelajar dan pengetua orang Melayu yang cuti Deepavali 3 hari dari 3 ke 5 Nov, sedangkan cuti Hari Raya Haji hanya 1 hari pada 17 Nov nanti. 
Mari kita semarakkan Idil Adha dengan Takbir, Korban, Solat Sunat, Jamuan, Derma dan Sebagainya. 
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA IDIL ADHA
"

Gunung Merapi Terus Aktif, Hambur Awan Panas 1 Kilometer

 

Gunung Merapi, Pulau Jawa - Gunung Merapi masih mengeluarkan bunyi gemuruh semalam manakala awan, gas dan serpihan dihamburkan setinggi satu kilometer ke udara.

Gambar: DEBU Gunung Merapi memenuhi kedai-kedai dan jalan di Pekan Muntilan.

"Berdasarkan apa yang kita lihat sekarang, ia akan meletus sekali lagi pada bila-bila masa," kata seorang ahli vulkanologi Indonesia, Surono.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan menyatakan, jumlah keseluruhan kematian akibat letusan itu meningkat dari 138 orang kepada 141 orang semalam.

Peningkatan itu ekoran pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat di kawasan pergunungan.

Pemerintah Indonesia turut meletakkan bandar Yogyakarta dalam keadaan berjaga-jaga ekoran letusan yang masih belum berhenti.

Lapangan terbang di bandar itu masih ditutup semalam dan debu tebal berterbangan di udara menyebabkan penduduk sukar bernafas.

Bagaimanapun, tidak ada arahan daripada pemerintah supaya penduduk meninggalkan bandar Yogyakarta.

Beberapa kampung kecil kelihatan seperti tidak berpenghuni dengan pintu dan tingkap rumah ditutup.

Namun, terdapat pakaian yang dibiarkan di penyidai.

"Apakah pilihan yang kami ada?'' soal seorang penduduk Sukirno, 37, yang menunggang motosikal bersama isteri dan seorang anak perempuan mereka berusia lapan tahun.

Menurutnya, dia akan menetap dengan saudara-maranya yang tinggal jauh dari gunung itu kerana bimbang debu tersebut akan menjejaskan kesihatan keluarganya.

Beberapa pakar menyatakan, ancaman terbesar di bandar itu ialah Sungai Code yang mengalir ke tengah bandar tersebut dari Gunung Merapi.

Sungai itu mungkin membawa lumpur berapi yang mengalir ke sungai apabila hujan sekali gus memusnahkan apa saja benda di laluannya.

Endapan gunung berapi telah memenuhi sebuah kawasan kediaman di tebing sungai.

Hampir 280,000 orang kebanyakannya yang tinggal di cerun gunung telah mendapatkan perlindungan di pusat-pusat kecemasan. Kebanyakan penghuni pusat kecemasan itu mengadu tiada tandas dan bekalan air bersih tidak mencukupi.

Gunung Merapi itu meletus pada 26 Oktober lalu dan ia masih belum berhenti.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan penghantaran satu briged tentera untuk membantu kerja-kerja bantuan dan pembangunan semula di tengah Jawa.

Pengumuman itu dilakukan selepas Indonesia turut dilanda tsunami pada 25 Oktober lalu ekoran gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter sehingga mengakibatkan 428 orang terbunuh manakala 15,000 lagi hilang tempat tinggal. - Agensi/kosmo

Tren KTMB Tergelincir Berhampiran Stesen Bukit Timah Singapura

 

Khidmat tren antara bandar ke selatan terganggu: KTMB

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Antara Bandar ke selatan terganggu berikutan kegelinciran tren KTM Antara Bandar di Kilometer 773.0 di Stesen Bukit Timah, Singapura, pada 8.17 pagi tadi.

Tren yang terbabit adalah tren Ekspress Rakyat dari Singapura ke Butterworth, Pulau Pinang yang bertolak pada 8 pagi yang membawa 60 orang penumpang dari Singapura.

"Penumpang yang terbabit telah dibawa semula ke Stesen Tanjung Pagar di Singapura dan tambang sepenuhnya dipulangkan. Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan," menurut KTMB dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan tren lain yang terjejas ialah Ekspres Rakyat dari Butterworth ke Singapura di mana perkhidmatannya akan ditamatkan di Stesen JB Sentral.

Perkhidmatan Ekspres Rakyat dari Singapura ke Butterworth pula akan dibatalkan dan tren itu hanya akan bermula dari Stesen KL Sentral ke Butterworth.

Selain itu, perkhidmatan tren Ekspres Senandung Sutera dari Kuala Lumpur ke Singapura akan ditamatkan di Stesen JB sentral dan ia dijangka lewat.
Bagi perkhidmatan Ekspres Senandung Sutera dan Ekspres Sinaran Selatan dari Singapura ke Kuala Lumpur, tren dari Singapura akan dibatalkan dan akan bermula dari JB sentral.

Bagi perkhidmatan Ekspres Sinaran Selatan dari Kuala Lumpur ke Singapura, tren hanya akan ditamatkan di Stesen JB Sentral manakala perkhidmatan Ekspres Senandung Timuran dari Singapura ke Tumpat, Kelantan dibatalkan dan tren itu akan bermula dari JB Sentral.

Bagi Ekspres Sinaran Timuran pula dari arah Tumpat ke Singapura, tren akan ditamatkan di Stesen JB Sentral sementara bagi Tren Shuttle dari Kuala Lipis, Pahang ke Singapura dan balik ke Kuala Lipis dengan perkhidmatannya bermula dan tamat di Stesen JB Sentral.

Perkhidmatan Tren Shuttle Singapura ke Gemas, Negeri Sembilan dan Singapura, akan dibatalkan.

"Penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmtan yang dibatalkan atau pun menukar semula tarikh perjalanan. Kerja-kerja mengalihkan gerabak dan membaik pulih landasan sedang dijalankan dan landasan dijangka pulih pagi esok," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan KTMB boleh dihubungi di talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB 1-300-88-5862. - BERNAMA

Lagi Isu RON95: Kerajaan Akan Kaji Punca Kenderaan Terbakar



Punca kenderaan babit nahas terbakar dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang untuk melaksanakan kajian berhubung punca kenderaan terbakar selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata kementerian memandang serius perkara itu walaupun bilangan kemalangan membabitkan kenderaan terbakar dan menyebabkan mangsa rentung kecil.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang kajian, tetapi kementerian akan melihatnya secara serius dan membuat penyelidikan berhubung perkara itu.

“Kajian itu akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Bahagian Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kenderaan terbakar dan yang terbaru membabitkan empat saudara termasuk bekas wartawan Berita Harian apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah treler bermuatan kelapa lalu terbakar di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Pahang, 6 November lalu.

Terdahulu, Abdul Rahim merasmikan majlis pelancaran Bengkel Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Malaysia-Sweden Kali ke-3, di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Besar Sweden di Malaysia, Per-Arne Hjelmborn dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Mengulas wujudnya spekulasi penggunaan petrol RON95 adalah punca kenderaan terbakar pula, beliau berkata orang ramai tidak boleh membuat sebarang andaian kerana tiada kajian saintifik membuktikan perkara itu.

“Setakat ini kita tidak mengetahui penyebab sebenar kenderaan yang terbabit kemalangan terbakar. Kita akan buat kajian untuk mengetahui puncanya terlebih dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan juga akan berbincang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keperluan menyediakan perkhidmatan ambulans di lebuh raya bagi menyelamatkan mangsa kemalangan sekali gus mengurangkan angka kematian.

“Syarikat konsesi lebuh raya mungkin boleh membantu menyediakan perkhidmatan ambulans berpusat di plaza tol kerana kemalangan yang berlaku di lebuh raya berkemungkinan jauh dari hospital dan ia menyulitkan operasi menyelamat mangsa,” katanya.

Warga Tua Parah Ditetak Jiran - Pandu 600 Meter Berlumuran Darah Dptkan Bantuan

 

Tumpat: Seorang warga tua terpaksa memandu dalam keadaan berlumuran darah sejauh 600 meter bagi mendapatkan bantuan keluarganya, selepas ditoreh 15 kali oleh jiran sekampung yang berang ditegur menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik.

Dalam kejadian jam 10.30 malam di Kampung Bahagia dekat Chabang Empat di sini, Mohamad Salleh, cedera di kepala, badan dan lengan akibat diserang dengan senjata tajam dipercayai kelewang oleh penyerang berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan selepas polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes itu bersama isterinya.

“Mangsa dalam keadaan stabil dengan kesan kecederaan di kepala, muka, belakang badan dan tangan serta tikaman di bahagian badan sebelah pinggang kanan.

“Mangsa dipercayai ditetak dengan kelewang sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) untuk rawatan lanjut.

“Kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan mangsa menegur kegiatan suspek yang selalu menangkap ikan menggunakan renjatan elaktrik serta dendam lama suspek kepada mangsa,” katanya semalam.

Khalid berkata, setakat ini polis sudah merampas baju suspek dan baju mangsa serta senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak mangsa, Siti Hajariah, 21, berkata bapanya sudah dipindahkan daripada HRPZII ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semalam untuk menjalani pembedahan.

“Saya sedang tidur ketika dikejutkan ibu, Faridah Musa, 49, apabila melihat ayah balik ke rumah dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Siti Hajariah berkata, walaupun cedera parah, bapanya masih boleh bercakap dan menceritakan kejadian yang berlaku serta individu yang menyerangnya.

“Ayah memaklumkan dia menegur lelaki terbabit yang menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membuang sampah.

“Berikutan teguran itu, lelaki terbabit menyerang ayah dengan senjata tajam,” katanya. -BH

Surat terbuka kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat



SURAT TERBUKA KEPADA PRESIDEN, PARTI KEADILAN RAKYAT
Saya telah menjadi ahli parti sejak PKR ditubuhkan. Saya dan beratus ribu lagi rakyat Malaysia telah memilih PKR sebagai wadah perjuangan politik. Kami telah menaruh harapan untuk PKR membawa perubahan kepada mutu sistem pemerintahan di negara yang tercinta ini. Harapan kami telah menggunung apabila PKR serta PAS dan DAP berjaya mencapai kejayaan yang tidak diduga pada PRU 12. Kemaraan ke Putrajaya kian menjadi realiti.

Walau bagaimanapun perkembangan-perkembangan mutakhir dalam PKR amat mencemaskan saya. Rentetan daripada pemilihan pucuk pimpinan yang sedang berlangsung, parti telah di heret ke ambang krisis. Pada hemat saya, krisis ini ialah yang paling getir pernah dihadapi oleh parti. Besar kemungkinan parti akan berpecah akibat krisis ini dan sekali gus memusnahkan peluang Pakatan Rakyat untuk menang di PRU 13. Kemaraan ke Putrajaya akan menjadi hanya sebuah impian.

Justeru itu, saya merayu dari lubuk hati saya kepada Presiden parti yang telah menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini untuk bertindak mengawal keadaan dan menyelamatkan parti. Hal-hal pemilihan parti tidak perlu dibincang dan diputuskan oleh Biro Politik kerana ramai ahli dalam Biro Politik mempunyai kepentingan dalam proses dan keputusan pemilihan. Budi bicara Presiden memadai untuk membuat keputusan muktamad atas hal-hal pemilihan.

Presiden harus menampilkan kepimpinan yang tegas dan melantik sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parti baru dengan mandat penuh untuk menguruskan proses pemilihan secara adil dan bebas.

Ketua Umum parti mesti menghormati kedudukan dan kuasa-kuasa Presiden dan beliau sewajarnya tidak campur tangan dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh Presiden. Sayugia diingatkan, Ketua Umum telah terlibat dalam krisis ini dan banyak pihak meragui peranan beliau dalam proses pemilihan.

Jika perlu, sebuah jawatankuasa pemandu ditubuhkan dengan mandat dari Majlis Pimpinan Pusat dan Presiden sebagai pengerusi untuk menstabilkan parti.

Saya doakan Presiden akan berjaya dalam misi ini. Janganlah hancurkan impian kami sebagai ahli-ahli biasa untuk parti membawa perubahan kepada pemerintahan negara ini.

Sekian, Salam Reformasi.


ILLAM KUBONG AK DAGANG
Kuching, Sarawak
No ahli: Q060000568

Kritik Anwar, Azmin: Zaid dapat sokongan ramai?



Sebelum ini, kritikan-kritikan Datuk Zaid Ibrahim ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, dua orang kuat PKR masih tidak terlalu tajam.

Tetapi, dalam sidang media hari ini, Zaid mengambil tindakan tidak boleh berundur lagi apabila terus menamakan Anwar dan Azmin sebagai punca masalah dalam PKR.

Isu ini sudah lama dibincangkan, dan dikaitkan dengan kedudukan presiden parti yang hanya berada di kedudukannya sebagai simbol tanpa kuasa presiden.

Tindakan berani Zaid ini mungkin didorong sokongan kuat banyak pihak, terutama golongan liberal dalam dan luar parti.

Sukar untuk dipercayai Zaid boleh bertindak begitu tanpa sokongan ramai. Ini juga memberi gambaran Zaid dipercayai oleh satu jumlah besar ahli dan penyokong di luar parti sebagai mampu untuk memimpin PKR - sekiranya tidak meninggalkan parti - dan gerakan liberal di Malaysia.

Apa yang menarik lagi ialah kehadiran Mustaffa Kamil Ayub bersama Zaid, yang menunjukkan seolah-olah ada kerjasama antara faksi Abim dengan liberal dalam PKR.

Mustaffa hari ini masih mahu meneruskan perjuangan merebut jawatan timbalan presiden walaupun didakwa kumpulan Abim semakin jauh daripada Anwar dan Mustaffa hanya dipergunakan untuk memperlihatkan ada proses demokrasi dalam PKR.

Tindakan Zaid hari ini bakal memberi impak besar kepada PKR, dan menjadi ujian sejauh mana PKR mampu bergerak sebagai parti yang tidak dikuasai sepenuhnya oleh Anwar.

BN gila publisiti di musim banjir kat Kedah..!!!


MB Kedah bidas publisiti murahan banjir BN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan Kedah 'lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa banjir kepada kerajaan pusat', lapor Harakahdaily.

Sebaliknya, beliau berkata Muhyiddin dan Umno hanya inginkan publisiti murahan dalam melakukan misi kemanusiaan.

“TPM kata saya lepas tangan. Pernah pejabat saya hantar surat ke KL (Kuala Lumpur) minta selesaikan masalah? Tak ada. Saya tak pernah tulis kepada PM (Perdana Menteri) tolong saya. Saya tak pernah tulis surat Shahrizat mai tolong saya.

"Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa ...” katanya.

Minggu lalu, lebih 40,000 penduduk Kedah terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka ditenggelami air akibat banjir terburuk dalam sejarah negeri itu. Malah, rumah Azizan sendiri turut ditenggalami air.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut mendakwa bahawa kerajaan negeri 'lembap' dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir.

Kenyataan Shahrizat dibidas oleh ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang berkata dakwaan Shahrizat itu bersifat melampau tatkala semua agensi kerajaan negeri tengah bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir. Katanya lagi, kehadiran Shahrizat hanya bertujuan untuk mencari publisiti politik.

Di samping itu, Azizan turut mempersoalkan kelewatan Muhyiddin mengunjungi kawasan banjir di Kedah.

“Setelah tujuh hari bencana berlaku, baru (Muhyiddin) datang meninjau mangsa banjir. Air banjir pun sudah surut dan sebahagian (mangsa) balik ke rumah masing-masing. Sepatutnya datang lebih awal, baru nampak situasi sebenar,” kata Azizan.

Malah, menurut beliau timbalan perdana menteri juga telah melawat tempat yang salah untuk mendapatkan maklumat yang betul.

“Kita ada Jawatankuasa Bencana Alam peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, bilik gerakan banjir peringkat daerah termasuk semua agensi terlibat seperti polis, tentera, sektor awam bekerjasama dengan baik. Tiada sentimen politik langsung.

“Saya terkilan kerana apa yang disebarkan tidak betul. Sepatutnya datang negeri orang, kenalah tanya saya dulu mengenai perkembangan terkini. Bukan buat andaian semata-mata,” katanya lagi.

Selain itu, Azizan turut mengkritik kehadiran Muhyiddin ke negeri itu yang disambut dengan bendera-bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim.

"Pasang bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim ketika Muhyiddin nak turun. Maka jadilah lebih publisiti daripada misi kemanusian. Saya datang tak ada bendera PAS atau Kedah iring saya," sindir Azizan.

Awas! Pelancong bertukar menjadi pelacur


- DR AMINUDIN MANSOR

Kemakmuran dan kemewahan negara ini telah menarik berjuta-juta pelancong untuk datang melancong dan bercuti bers:ama keluarga. Pelancong dari Timur Tengah iaitu Arab Saudi biasanya datang pada cuti musim panas sekitar Jun hingga Ogos setiap tahun dengan membawa anak-anak bercuti di negara ini.

Sementara pelancong dari negara-negara lain tidak bergantung pada musim cuti persekolahan. Kebanyakan mereka datang ke negara ini mempunyai beberapa tujuan di sebaliknya selain melancong. Antaranya bertujuan mencari peluang perniagaan, peluang pekerjaan, peluang belajar dan ada pelancong yang tiba-tiba di sini bertukar wajah menjadi pelacur.

Memetik laporan Bernama, dianggarkan 17 juta pelancong dari China dan Hong Kong melakukan perjalanan ke luar negara tahun lalu, Malaysia mendapat sebahagian besar daripada pasaran yang semakin berkembang ini, terutamanya pelancongan mewah.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, kempen promosi terkini kementerian itu adalah ke Hong Kong dan Selatan China tahun lalu membuahkan beberapa hasil menarik: terdapat minat semakin berkembang dalam pelancongan mewah di samping pelancongan seni dan budaya selain ekopelancongan dalam kalangan pelancong China yang berada.

Menurutnya, pelancongan mewah bermaksud pakej pelancongan mestilah RM5,000 ke atas setiap satu dengan penginapan yang menepati cita rasa golongan berada, makanan hebat dan aktiviti eksklusif yang digabungkan bagi pelancongan kelas atasan .

Selain itu, menurutnya mengenai maklum balas daripada pengusaha pelancongan dan pengembaraan di Hong Kong dan Selatan China, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat lebih banyak kedatangan pelancong dari Hong Kong dan China pada tahun ini.

Setiap pelancong dari luar negara yang ingin melancong ke negara ini seharusnya memahami budaya, adat resam pelbagai kaum di negara ini. Sensitiviti penduduk di negara ini juga harus dijaga ketika melancong ke negara ini. Sikap ramah-tamah dan baik hati penduduk negara ini jangan disalahgunakan oleh pelancong luar negara.

Pada masa kini, boleh dikatakan setiap malam pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa memantau dan memeriksa pusat-pusat maksiat seperti rumah urut, spa dan sebagainya dan mendapati ramai para pelacur yang menyalahgunakan permit kemasukan ke negara ini sebagai pelancong dan kemudiannya bertukar menjadi pelacur. Inilah kenyataan yang terpaksa dihadapi.

Adalah menjadi kebimbangan penduduk di negara ini, kemasukan terlalu ramai pelancong seperti dari Iran yang sering dikaitkan dengan pembawa dadah. Pelancong dari Uzbekistan, China dan Hong Kong sering dikaitkan dengan kegiatan pelacuran di negara ini.

Masalah dalaman negara yang kini menghadapi pelbagai masalah gejala sosial dalam kalangan rakyatnya seperti kes pembuangan bayi, masalah sosial dalam kalangan remaja sudah cukup rumit dan semakin sukar untuk dibendung. Penduduk merasakan kedatangan terlalu ramai orang asing juga membawa pelbagai masalah yang mengganggu ketenangan dan kedamaian hidup seperti kes jenayah rompakan, pergaduhan, pembunuhan, pecah rumah dan sebagainya.

Ada juga pelancong yang sudah tamat tempoh melancong datang ke negara ini tidak mahu pulang ke negara asal mereka dan hilang tanpa dapat dikesan. Dalam usaha memikat pelancong dari luar negara datang ke negara ini, kita tidak mahu mereka membawa pelbagai masalah dan gejala sosial dan menambahkan lagi masalah kepada penduduk tetap di negara ini yang sudah pun menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.
- Penulis ialah penyair, mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

Asri jawab Anwar: ‘Tiada siapa guna saya, kita tetap saudara Muslim’

November 09, 2010
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau tidak digunakan oleh mana-mana pihak khususnya Umno-BN atau Datuk Zaid Ibrahim, yang menjadi tumpuan kontroversi sekarang, apabila memberi pandangan agar dinosaur politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersara daripada politik.
Malah kata bekas mufti Perlis itu, beliau secara peribadi tidak memusuhi Anwar, yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, bahkan bersimpati dengan keadaan beliau sekarang.
“Datuk Seri sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan Datuk Seri. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi Datuk Seri.
“Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang,” kata Asri (gambar) dalam tulisan terbaru menerusi blognya hari ini.
Tulisan ini merupakan yang ketiga berkisar mengenai isu saranan beliau agar dinosaur-dinosaur politik bersara daripada politik dan memberi laluan kepada generasi muda kerana rentak mereka sudah sesuai dengan keadaan semasa.
Saranan itu menjadi perhatian 1 November lalu apabila menyebut nama Anwar, yang juga penasihat PKR.
Malah saranan itu dikecam oleh segelintir pemimpin PKR secara terbuka dengan menyifatkan Asri sebagai tidak “realistik.”
“Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara Muslim,” kata Asri dalam tulisan di bawah tajuk “surat terbuka untuk Yang Berhormat DSAI”.
Asri memberikan pandangan terbaru ini selepas reaksi Anwar berhubung kenyataan Datuk Zaid Ibrahim pagi tadi meminta Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berundur daripada memimpin PKR.
Zaid juga memita pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar turut keluar PKR bersama Anwar demi menyelamatkan parti itu dan Pakatan Rakyat.
“Saya baru sahaja membaca kenyataan Datuk Seri bahawa kenyataan (Zaid) menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid yang membuat gesaan yang sama.
“Datuk Seri menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat,” katanya.
Dalam penjelasan kepada Anwar yang dipercayai tersinggung dengan pandangannya minggu lalu, Asri berkata, biasanya apabila ingin melontarkan pandangan politik besar, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang baginya tajam dan kritis.
“Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral.
“Tapi dalam isu ‘pengunduran Datuk Seri’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya.
“Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid,” katanya.
Asri, yang kini mengajar di Universiti Sains Malaysia berkata, pada awalnya moderator Minda Tajdid sendiri pun risau.
“Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar,” katanya.
Asri menambah, “seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari laman web saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam laman web saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’.”
“Bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan,” katanya lagi.
Asri meneruskan penjelasan dengan menulis bahawa “saya pun tidak tahu bahawa Datuk Zaid dan Mustaffa Kamil akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu.
“Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka,” katanya.
Menyentuh soal keupayaan kepimpinan, Asri pula berkata, bagi beliau jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, tetapi banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira.
“Salah satu unsur yang penting, kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.
“Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh, katanya sambil mengakui bahawa negara tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan.
“Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternatif pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya,” kata Asri.

Mata lebam: Kabinet akan teliti usul potong gaji A-G

November 09, 2010
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Dewan Rakyat hari ini menolak dua usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk memotong RM10 dari gaji Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semasa membentangkan usul pertamanya terhadap gaji Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Lim (gambar) mendakwa Abdul Gani telah memberi keterangan palsu dalam siasatan insiden “mata lebam” Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Beliau juga mendakwa Abdul Gani tidak pernah menafikan dakwaan berkenaan meskipun dakwaan itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes itu iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee kemudiannya memutuskan usul pertama itu ditolak setelah undian secara belah bahagian dibuat dengan 50 anggota Parlimen pembangkang menyokong usul dan 85 penyokong kerajaan pula tidak bersetuju.
Dalam usulnya, Lim menambah, Abdul Gani didakwa bahawa beliau mereka keterangan palsu dalam siasatan “mata lebam” Anwar — satu dakwaan yang tidak pernah dinafikannya sungghpun dakwaan berkenaan dibuat oleh pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan 12 tahun lalu.
“Dakwaan ini dibuat bukan oleh orang sembarangan tetapi oleh seorang pegawai polis kanan yang diberi amanah melakukan siasatan ke atas salah satu peristiwa paling hitam dalam sejarah polis dan pentadbiran baik negara ini.
“Kita menghadapi situasi yang pelik dan memeranjatkan di mana Peguam Negara, pegawai undang-undang tertinggi pangkatnya di negara yang juga merupakan pendakwa raya, didakwa melakukan tindakan yang menyongsangkan undang-undang dan Perlembagaan yang beliau dibertanggungjawabkan untuk mempertahankannya, sehingga menjejaskan dan menyongsangkan proses keadilan, tetapi tidak berani mengambil sebarang langkah untuk menafikan dakwaan-dakwaan serius seorang pegawai polis kanan, misalnya menerusi satu Suruhanjaya Siasatan Diraja,” kata beliau.
Lim menambah hanya atas perkara ini sahaja, satu usul mengutuk menerusi potong gaji RM10 adalah diperlukan.
Malah pada usul keduanya, Lim mendakwa Malaysia adalah negara yang paling buruk prestasinya di kalangan negara-negara Asia Pasifik dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sejak 16 tahun kebelakangan ini yang juga ditolak oleh Dewan Rakyat setelah majoriti suara menolak usul berkenaan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab usul terhadap gaji Peguam Negara berkata, perkara berkenaan akan dipanjangkan ke dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.
“Demi keadilan semua pihak terutama Peguam Negara, saya memerlukan notis mengenainya dan ia juga tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana pada masa ini beliau tiada dalam negara kerana sedang mengerjakan ibadah haji di Mekah,” kata beliau dipetik Bernama.
Dalam pada itu, Nazri berkata tiada indeks lain selain Indeks Persepi Rasuah (CPI) yang boleh diambil kira sebagai kayu pengukur bagi memastikan seluruh dunia dapat melihat usaha Malaysia dalam memerangi rasuah.
“Namun CPI adalah berkait rapat dengan persepsi dan ia bukan realiti. Kadang-kadang persepsi yang lahir dari kenyataan liar itu dibuat tanpa fakta jelas. Ini sudah tentu akan mempengaruhi indeks kita yang tak semestinya tunjuk kesungguhan kita untuk melawan nak hapuskan rasuah di negara kita,” katanya.
Sehubungan itu, Nazri meminta semua Ahli Parlimen terutamanya parti pembangkang supaya bersama-sama mencari jalan memerangi rasuah dan bukannya terus mengkritik kedudukan negara yang mendapat 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Beliau juga berpendapat ketika ini agak sukar untuk Malaysia mendapat skor yang baik dalam CPI berbanding sebelum ini kerana beberapa perubahan yang berlaku di Malaysia
“Misalnya keterbukaan. Mungkin 15 tahun dulu skor tinggi. Masa itu mungkin takda keterbukaan seperti sekarang. Maka maklumat tak dapat disebar begitu meluas,” katanya.

MB Selangor perli Khir boleh jadi tak pernah belajar perakaunan

November 09, 2010
SHAH ALAM, 9 Nov — Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa kerajaan Selangor bakal menjadi “PIGS countries”, yang bakal bankrap mengikut langkah Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol.
Dr Khir membuat tanggapan sedemikian atas alasan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim terus mengamalkan belanjawan defisit, bukannya bajet berimbang yang dipopularkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri, semalam.
“Akan datang Selangor akan dibandingkan, dengan izin, ‘PIGS countries’, bukan merujuk kepada negara penternak babi tetapi merujuk kepada Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol (PIGS) yang berdepan dengan masalah kewangan dengan serius,” kata Dr Khir (gambar) pada sidang DUN Selangor.
Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang berkata demikian kerana perbelanjaan negeri pada 2009 defisit sebanyak RM65.98 juta.
Beliau menjangkakan, Bajet 2010 juga akan terus defisit minimum sebanyak RM114 juta berbanding anggaran pendapatan asal iaitu sebanyak RM1.35 bilion.
Ini kerana menurut Dr Khir, kerajaan negeri pada April lalu telah mendapat peruntukan tambahan RM69 juta.
Pada Julai lalu, tambah Khir, kerajaan negeri sekali lagi mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta.
Pada sidang DUN semasa, kata beliau, kerajaan negeri turut memohon peruntukan tambahan RM8 juta.
“Keseluruhan belanjawan tambahan tahun ini (2010) ialah RM194 juta, jumlah keseluruhan Belanjawan 2010 adalah sebanyak RM1.494 bilion,” jelas Dr Khir.
Bagaimanapun, Khalid, Menteri Besar Selangor menerusi satu kenyataan media petang tadi menafikan jangkaan perbelanjaan yang didedahkan Dr Khir.
“Boleh jadi dia (Dr Khir) tidak pernah belajar perakaunan atau belanjawan, belanjawan adalah satu proses, bukan satu kesimpulan.
“Jadi, belanjawan itu akan ditinjau atau dinilai semula.
“Ada belanjawan berimbang dan ada belanjawan tidak berimbang, oleh itu perkara yang mengatakan (anggaran) belanjawan mesti tidak berubah tak ada,” kata beliau.
Beliau turut menafikan dakwaan Dr Khir bahawa kononnya Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat turut mengamalkan perbelanjaan defisit seperti kerajaan pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Walaupun defisit pada bulan Disember (2009), tetapi pada bulan Jun tahun ini kita telah meningkatkan simpanan rizab negeri (sebanyak) RM285 juta... merupakan peningkatan tertinggi sejak lima tahun lalu,” kata beliau.
Sehubungan itu, Khalid menasihatkan Dr Khir supaya tidak hanya menuduh kerajaan negeri bakal bankrap sekiranya beliau ikhlas mahu membangunkan kerajaan negeri.
“Perdana Menteri Malaysia yang mengamalkan perbelanjaan defisit yang jumlahnya bukan RM200 juta, jumlahnya ialah RM20 bilion hingga RM40 bilion.
“Kalau kerajaan negeri itu berbelanja (defisit) tak sampai RM200 juta, bayangkan kalau kekurangannya (kelemahan kerajaan pusat) sehingga RM20 (defisit)... perbincangan ‘loyar buruk’ (Dr Khir) ini tidak boleh digunakan.
“Kalau dia (Khir) takut Selangor bankrap, dia kena memberitahu Perdana Menteri kerana Perdana Menteri adalah ialah menjalankan belanjawan defisit,” jelas Khalid sambil meminta rakyat mengetepikan dakwaan Selangor bankrap oleh bekas menteri besar itu.

Tune Hotel dibuka di Kota Bharu

09/11/2010 5:27pm

KUALA LUMPUR - Tune Hotels akan membuka dua hotel baharu di Bintulu, Sarawak dan Kota Bharu, Kelantan pada tahun depan.

"Peningkatan bilangan hotel itu, mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan rangkaian kami kepada 100 di bandar raya utama seluruh dunia, menyediakan bilik lima bintang pada nilai yang luar biasa dan mampu milik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mark Lankester dalam satu kenyataan hari ini.

"Pengenalan hotel 101 bilik di Bintulu dan hotel 173 bilik di Kota Bharu itu akan menambah lagi nilai bagi pengembara, sama ada pelancong atau pengunjung perniagaan yang berminat untuk mengguna pakai konsep "bayar seperti yang anda guna" yang kami sediakan," katanya.

Kota Bharu merupakan Tune Hotel pertama di Kelantan dan Bintulu, yang kedua di Sarawak.

Dengan pembukaan hotel di Bintulu dan Kota Bharu, ia menjadikan bilangan Tune Hotels di Malaysia kepada sembilan dan 12 di seluruh dunia.
Hotel sedia ada di Malaysia terletak di Kuala Lumpur, Lapangan Terbang KLIA-LLCT, Kota Damansara, Pulau Pinang, Johor Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Tune Hotels juga beroperasi di Kuta dan Legian di Bali (Indonesia) dan di London, England. - Bernama

Mustaffa mungkin ikut jejak Zaid

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 8 Nov: Selepas Datuk Zaid Ibrahim, seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub dilapor sedang berkira-kira menarik diri.
Bagaimanapun, beliau hanya akan berbuat demikian jika parti itu masih gagal menangani dakwaan kelemahan dan penyelewengan dalam pemilihan langsung PKR.
"Saya tidak tolak kemungkinan menarik diri. Ia bergantung kepada jawapan terhadap memo saya berhubung rungutan akar umbi yang melihat sendiri kelemahan dan penyelewengan dalam pemilihan parti," katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Mustaffa juga turut mengulangi gesaannya supaya PKR menangguhkan proses pemilihan sehingga segala kepincangan dan kelemahan di atasi.
Katanya, beliau akan menyerahkan memo kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Chia memberikan butiran terperinci seperti tarikh dan bentuk 'kepincangan' itu.
Untuk penjelasan lanjut berhubung pendiriannya, Naib Presiden PKR itu dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat.
Hari ini juga, Zaid membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri bertanding jawatan timbalan presiden dan melepaskan semua jawatannya dalam PKR.
Beliau yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mendakwa sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penyelewengan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.
Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, status Zaid masih sah bertanding sehingga Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membuat keputusan berhubung penarikan beliau.

Saman ekor tidak adil, perlu dimansuh

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 8 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencadangkan kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperbaiki sistem yang digunakan sekarang untuk mengenakan saman kepada pengguna jalan raya.
Salahuddin ketika mencelah dalam perbahasan di Dewan Rakyat petang tadi berkata, saman ekor yang dikenakan PDRM bersifat tidak adil dan perlu dimansuhkan segera.
Ini kerana katanya, terdapat banyak masalah yang timbul akibat saman yang dikenakan antaranya apabila bukan pemilik kenderaan itu sendiri yang menggunakannya ketika saman dikenakan.
"Menteri tadi secara terbuka mengakui memang ada kesilapan di peringkat pelaksanaan seperti mesin manual yang digunakan, dan seumpamanya tetapi pengguna jalan raya tetap menerima saman.
"Saya melihat saman ekor ini satu saman yang tidak adil. Apabila diberikan saman ini kepada mereka yang melakukan kesalahan itu secara umum, kadang-kadang bukan tuan kereta yang pandu. Orang pinjam kereta, tiba-tiba ada saman. Ini menimbulkan banyak masalah.
"Adakah Yang Berhormat tidak boleh mempertimbangkan bahawa apa yang penting saman ekor itu dihapuskan, diperbaiki sistem itu," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.
Sementara itu, Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) menegaskan, saman ekor bercanggah dengan perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak seseorang terhadap hartanya.
"Saman ekor bertentangan dengan perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak terhadap harta.
"Sekiranya seseorang itu disenarai hitamkan, dan Jabatan Pengangkutan Jalan enggan memperbaharui cukai jalan maka dia tidak boleh menggunakan keretanya.
"Jadi tidakkah ini melanggar prinsip perlembagaan," katanya.

Umno anjur karaoke di penempatan Orang Asal

Wartawan Kita   
KOTA BHARU, 8 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini diberitahu Umno didakwa menganjur program tidak sihat di penempatan Orang Asal semasa kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini.
Wakil kerajaan negeri mendedahkan program terbabit iaitu disko dan karaoke yang diadakan di penempatan terbabit.
Sedangkan kata anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam cuba mendekatkan penduduk di penempatan terbabit dengan kefahaman agama.
Malah satu sumber lain pula memberitahu ada pihak dipercayai didalangi Umno membawa minuman arak dan disaji kepada penduduk Orang Asal.
“Kita membawa ustaz untuk mengajar mengenai agama kepada Orang Asal di penempatan mereka. Namun dalam masa yang sama Umno menganjurkan karaoke dan disko.
”Ini menggambarkan di satu ketika kerajaan bimbang gejala sosial begitu parah sekarang, dan dalam masa yang sama menganjur pula program menjurus kepada keruntuhan akhlak,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning).
Sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas, enam daerah mengundi membabitkan penduduk Orang Asal iaitu Lojing, Sungai Ber, Belatim, Balar, Bihai dan Hau dikawal ketat agensi kerajaan pusat diketuai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.
Jabatan itu difahamkan turut dibantu pasukan tentera dan Rela serta beberapa agensi lain milik kerajaan pusat.
Ketika menjawab soalan asal Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri telah menggubal beberapa enakmen bagi mengekang masalah sosial di negeri ini.
Katanya, enakmen tersebut memberi kuasa bagi mencegah kegiatan maksiat berlaku di negeri ini.
”Ketika kerajaan negeri berusaha keras bagi menangani gejala maksiat, sebaliknya perdana menteri pula mencetus idea mewujudkan hub hiburan malam.
”Biar pun program itu dicadangkan dalam bajet yang dibentangkan perdana menteri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, namun kesan kepada keruntuhan gejala sosial akan menjadi lebih parah.
”Apa yang dcadangkan itu secara tidak langsung akan menghancurkan masa depan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis pada masa depan,” katanya.
Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO berharap Datuk Seri Najib Razak mengkaji balik cadangan tersebut kerana impak negatif lebih besar.
Malah katanya, ramai pelajar Malaysia yang berada di luar negara menyatakan bantahan terhadap cadangan perdana menteri mewujudkan hub hiburan malam. 

Pelakon, tunang dibebaskan dengan jaminan polis

November 08, 2010
KUALA LUMPUR, 8 Nov — Seorang pelakon lelaki dan tunangnya yang ditahan Jumaat lepas kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata kedua-dua suspek dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
Tempoh tahanan reman pelakon berusia 30 tahun dan tunangnya yang berumur 24 tahun itu tamat hari ini.
“Namun kertas siasatan kes itu tidak ditutup, dan jika terdapat keraguan (dalam kes itu) mereka boleh ditahan semula,” katanya ketika dihubungi.
Mereka ditahan ketika sedang menunggu bekalan dadah dari bekas teman lelaki tunang pelakon itu di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang Jaya.
Amiruddin berkata polis masih mengesan bekas teman lelaki wanita itu yang dipercayai berada di sekitar Lembah Klang bagi melengkapkan siasatan. — Bernama

Mesin pengumpulan habuk meletup


ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran mesin pengumpulan habuk yang meletup di sebuah kilang di Perai semalam.


PERAI - Lapan pekerja sebuah kilang membuat rim motosikal, Excel Rim Sdn. Bhd. di Tingkat Perusahaan Enam, Kawasan Perindustrian Perai di sini cedera apabila sebuah mesin pengumpulan habuk (dust collector) di kilang itu meletup secara tiba-tiba semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, letupan yang didakwa bagaikan letupan bom itu turut mengakibatkan kebakaran kecil di sekitar mesin pengumpulan habuk terbabit.
Turut mengalami kerosakan ialah sebahagian bumbung dan ruang pejabat kilang berkenaan.
Dua buah kilang lain yang terletak dalam jarak kira-kira 100 meter di hadapan kilang membuat rim motosikal itu turut rosak. Salah sebuah daripada kilang itu rosak teruk di bahagian hadapannya apabila hampir keseluruhan cerminnya pecah.
Namun kira-kira 70 lagi pekerja kilang yang sedang bekerja semasa kejadian itu tidak cedera.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati terdapat beberapa serpihan besi dipercayai daripada mesin pengumpulan habuk yang pecah dan melayang ke merata-rata tempat sehingga ada yang sampai ke seberang jalan yang terletak 50 meter dari lokasi kejadian.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, seramai 33 anggota bersama beberapa jentera termasuk dua jentera berat jabatan itu dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 pagi.

Remaja terima darah HIV kini hidap AIDS



MUHD. KHAIRUN memeluk remaja lelaki malang yang kini dijangkiti AIDS di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penderitaan seorang remaja yang dijangkiti virus HIV sejak 11 tahun lalu gara-gara kecuaian kakitangan Hospital Segamat, Johor semasa melakukan pemindahan darah ke atasnya berterusan setelah dia kini disahkan menghidap AIDS.
Remaja lelaki berusia 14 tahun itu dikesan menghidap AIDS sejak empat bulan lalu.
Dia dijangkiti virus HIV ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat sewaktu diserang penyakit kuning ketika umurnya tiga tahun.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pemindahan darah tersebut dilakukan tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada keluarga remaja itu.
"Pihak hospital mengakui kesilapan yang mereka lakukan dan memberi pampasan sebanyak RM100,000 bagi meringankan beban pesakit. Bagaimanapun, ia jumlah yang amat kecil dan dianggap tidak berpatutan dengan kesalahan yang mereka lakukan.
"Lebih malang, remaja itu sekarang hidup menderita apabila disahkan menghidap AIDS oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sel darah putihnya semakin berkurangan," katanya di pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini semalam.
Menurutnya, remaja tersebut kini terpaksa menjalani rawatan yang terperinci di HKL akibat implikasi penyakit berbahaya tersebut kerana terdapat jangkitan kuman pada limpanya.

Obama puji hubungan AS-India



BARACK OBAMA berjabat tangan dengan Presiden India, Pratibha Patil di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam memuji perikatan yang lebih akrab dengan India.
Menurut Obama, India telah meletakkan kedudukannya sebagai satu kuasa dunia dan sekutu AS di peringkat global.
Presiden AS itu menyatakan demikian pada hari terakhir lawatan berkunjung tiga harinya ke India.
Dalam lawatan itu, beberapa perjanjian komersial ditandatangani dalam bidang pertanian, kesihatan dan tenaga.
Obama menyatakan, prinsip demokrasi dan hak asasi manusia kerap diabaikan di seluruh dunia.
Namun, katanya, India dan AS akan bekerjasama untuk mempromosikannya.
"Bagi kedua-dua negara untuk berdiri bersama mempromosikan prinsip ini di forum antarabangsa, saya berpendapat ia boleh menjadi berkuasa dan sesungguhnya penting," katanya pada satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri India, Manmohan Singh.
Manmohan turut menyatakan pada sidang akhbar itu bahawa negaranya telah memutuskan untuk mempertingkatkan hubungan di antara kedua-dua negara sebagai rakan yang saksama dalam satu hubungan strategik.
Hari ini, Obama akan berkunjung ke Indonesia yang merupakan negara yang menjadi tempat tinggalnya semasa zaman kanak-kanak.
Beliau kemudian akan menghadiri mesyuarat Kumpulan 20 buah negara maju yang lebih dikenali sebagai G-20 di Seoul, Korea Selatan. - AFP

Ahad, 7 November 2010

1MALAYSIA Negara Penyeludupan Rokok Haram Tertinggi 1DUNIA

KADAR penyeludupan rokok haram di negara ini cukup membimbangkan berikutan satu kajian yang dilakukan oleh Goldman Sachs Group Inc. mendapati Malaysia kini berada pada tangga teratas di dunia berkaitan masalah itu.

Berada pada tahap 37 peratus pada tahun 2009, angka itu turut dijangka meningkat berikutan kenaikan harga rokok yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Philip Moris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James berkata, kenaikan itu akan menyebabkan pasaran rokok haram di negara ini semakin berleluasa.

Katanya, perkara itu dijangka berlaku kerana trend perokok di Malaysia tidak menunjukkan perubahan ketara antara tahun 2006 hingga 2009.

“Perokok sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun tidak mampu dan tempiasnya terkena kepada industri rokok kerana penyeludupan rokok haram tidak terkawal tambahan pula harga rokok telah meningkat,” katanya kepada Mingguan mStar ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Richard berkata, melalui satu kajian yang dilakukan menunjukkan dengan jelas bahawa walaupun kerajaan telah menaikkan harga rokok sebagai salah satu cara untuk rakyat negara ini berhenti merokok bagaimanapun penurunan peratusan untuk berhenti daripada tabiat itu amat kurang.

Jelasnya melalui statistik selama empat tahun daripada tahun 2005 sehingga 2009 penurunan perokok di negara ini hanya berlaku sekitar 2.9 peratus sahaja.

Katanya lagi, pada tahun 2008, sebanyak 24.4 peratus perokok dicatatkan di negara ini sebelum menurun sedikit kepada 24.1 peratus pada tahun 2009 selepas kerajaan menaikkan harga rokok.

“Melalui statistik ini jelas menunjukkan bahawa kenaikkan harga rokok tidak memberi kesan kepada perokok kerana mereka lebih terarah mencari rokok seludup yang banyak berleluasa di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Richard memberitahu rokok yang di seludup daripada negara jiran terutamanya daripada Indonesia tidak mempunyai piawaian terutamanya kawalan terhadap penggunaan nikotin dan tar di dalam rokok.

Katanya, tidak seperti kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah bahan tersebut diletak mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Rokok itu sendiri sememangnya membahayakan kesihatan dan pengambilan rokok seludup yang tidak mempunyai piawaian mengenai bahan kandungannya lebih membahayakan,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian, Richard berkata, kerajaan perlu membuat lebih banyak serbuan secara terus terhadap kedai-kedai yang menjual rokok seludup dan sentiasa membuat tinjauan bagi menghalang peniaga menjual rokok seludup.

Bagaimanapun katanya, badan kerajaan seperti Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan tanggungjawab dengan baik bagi membanteras masalah ini.

Beliau turut menyarankan supaya Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung masalah penyeludupan rokok haram yang kini semakin membimbangkan.

Pendapatan negara terjejas hampir RM1.5 bilion setahun menerusi duti eksais rokok tidak berbayar berikutan masalah penyeludupan rokok haram.

“Justeru, kami menggalakkan LKTN meluaskan pelaksanaan bagi membantu mengurangkan rokok seludup dalam negara ini,” katanya.

Ingatan Untuk Warga Emas P. Pinang Yang 'Dilembukan'


Jangan pulangkan wang warga emas melalui Umno

BATU MAUNG, 7 Nov: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan menghalang mana-mana warga emas untuk mengembalikan wang penghargaan sebanyak RM100 seorang yang diterima sebelum ini.

Namun begitu pemulangan wang tersebut sekiranya benar, hendaklah dilakukan melalui pejabat daerah untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri dan bukannya melalui Umno.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng selepas meraikan majlis kesyukuran di Kampung Permatang Tepi Laut, semalam.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Umno Pulau Pinang mendakwa mengumpulkan sejumlah wang penghargaan warga emas tetapi sehingga ke hari ini, kerajaan negeri tidak menerima senarai nama dan pengesahan warga emas mengenai pemulangan wang tersebut.

"Kita tidak pernah menghalang warga emas yang ingin memulangkan wang penghargaan tersebut, tetapi mereka haruslah menurut prosedur yang telah ditetapkan.


"Ianya harus dikembalikan kepada kerajaan negeri melalui pejabat daerah dengan menyertakan butir-butir peribadi sepertimana yang tercatat pada permohonan mereka dalam sistem daftar yang ada serta tidak melalui Umno atau saluran lain," ujarnya lagi.

Beliau juga mengingatkan warga emas supaya tidak menggunakan Umno sebagai saluran kerana parti tersebut akan mempolitikkan isu tersebut.

Tambahnya lagi, seandainya Umno benar-benar ikhlas untuk mengembalikan wang tersebut, maka tindakan terbaik yang boleh mereka ambil ialah membantu warga emas supaya menghadirkan diri ke pejabat daerah serta memadamkan nama mereka dari senarai nama penerima.

Pada minggu lalu Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan mendakwa akan mengembalikan wang yang telah dikutip melalui akaun kerajaan negeri tanpa mengikuti prosedur yang telah ditetapkan.

"Umno tidak boleh memasukkan wang yang mereka dakwa sebagai kutipan dari warga emas kerana tindakan tersebut adalah salah dan tidak menurut cara yang betul.

"Apa yang dibimbangi kemungkinan besar wang yang didakwa sebagai wang pemulangan dari warga emas itu bukan datang dari warga emas yang sebenarnya, tetapi dari sumber yang tidak sahih atau pun rasuah dan dari sumber yang haram," tegasnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Summary only...

Semoga Rakyat Tak Mudah Tertipu Dengan Lakonan BN


Kerajaan negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.


"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.
Tuduhan melulu
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.

"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh BN.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz.
Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.
"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.
Semalam, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS supaya tidak melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu kepada kerajaan pusat semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan negeri perlu meningkatkan koordinasi dalam usaha melicinkan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

"Kerajaan negeri tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Dia tidak boleh serah kepada (kerajaan) pusat. Jikalau beban besar, kerajaan negeri perlu bersama melaksanakan tanggungjawab.

"Bidang kuasa negeri seperti bekalan air bersih terletak dalam bidang kuasa negeri," katanya.
Semakin buruk
Sementara itu, keadaan banjir di daerah Kota Setar semakin buruk dengan lebih ramai penduduk di daerah itu dipindahkan sehingga petang ini, namun jumlah mangsa banjir di Kedah keseluruhannya berkurangan.

Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu tidak berubah manakala di daerah Pokok Sena dan Pendang semakin berkurangan.
Sehingga jam 4 petang ini, seramai 31,712 orang daripada 7,856 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah itu. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata, di daerah Kota Setar, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 21,116 orang dengan jumlah keluarga 5,060 berbanding 21,058 orang pagi ini.

Bilangan mangsa di Kubang Pasu pula masih kekal 9,531 orang daripada 2,591 keluarga manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena berkurangan kepada 1,003 orang daripada 143 keluarga dan di Pendang seramai 242 orang melibatkan 62 keluarga.

Beliau berkata, daripada 83 pusat pemindahan yang masih dibuka, 45 ialah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.
Bekalan air hampir pulih

Sementera itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Adzmi Din, berkata sehingga kini 75 peratus loji bekalan air di Bukit Pinang telah beroperasi dan Sada sedang berusaha untuk membolehkan loji itu beroperasi 100 peratus.
"Kita jangkakan satu atau dua hari lagi loji akan pulih dan bekalan air dapat disalurkan ke semua kawasan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, 11 kawasan di daerah Kota Setar dan beberapa kawasan di daerah Pokok Sena belum mendapat bekalan air sepenuhnya manakala di Padang Terap, masalah bekalan air pulih sepenuhnya.

"Kami akan berusaha untuk pulihkan bekalan air ini secepat mungkin supaya semua penduduk mendapat bekalan air bersih dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pelajaran Kedah berkata kira-kira 30 sekolah di daerah Kota Setar masih ditutup kerana dinaiki air dan ada juga yang dijadikan tempat penempatan banjir.

Jurucakap itu berkata, lapan sekolah di Kubang Pasu masih ditutup, empat daripadanya dijadikan pusat penempatan banjir dan empat lagi dinaiki air manakala di Padang Terap, semua sekolah telah dibuka seperti biasa.

Sehingga petang ini, hanya satu jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Jitra-Sungai Korok manakala lima jalan di daerah Kota Setar dan dua jalan di daerah Kubang Pasu masih digenangi air, tetapi tidak ditutup kepada lalu lintas.

Sementara itu, KM28 Lebuhraya Utara Selatan ke utara dan selatan yang ditutup sebelum ini telah dibuka satu lorong ke utara dan satu lorong ke selatan.

Lapangan terbang dijangka beroperasi Sabtu depan

Dalam pada itu, lLpangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas di alor Setar dijangka kembali beroperasi paling awal pada Sabtu depan, kata Pengurusnya, Azmi Darus.

Beliau berkata, sebelum beroperasi, pihaknya perlu melakukan kerja pembersihan dengan teliti dan memastikan sistem lampu landasan dapat berfungsi dengan baik demi keselamatan pesawat.

"Pada masa ini 60 peratus air dalam kawasan landasan telah surut dan kami memerlukan sekurang-kurangnya lima hari lagi untuk memastikan landasan selamat digunakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, kawasan padang berhampiran landasan pula masih ditenggelami air sebanyak 50 peratus.

Lapangan terbang itu ditutup akibat banjir sejak Selasa lalu.

LTSAH mengendalikan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sebanyak tiga kali sehari, AirAsia dari Alor Setar ke Kuala Lumpur (dua kali) dan FireFly dari Alor Setar ke Subang (dua kali).

Lapangan terbang yang mempunyai landasan sepanjang 2,745 meter dan 45 meter lebar itu terletak 13 kilometer dari Alor Setar dan boleh mengendalikan sehingga 800,000 penumpang setiap tahun.