Oleh G. Manimaran
 November 09, 2010

KUALA  LUMPUR, 9 Nov — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau  tidak digunakan oleh mana-mana pihak khususnya Umno-BN atau Datuk Zaid  Ibrahim, yang menjadi tumpuan kontroversi sekarang, apabila memberi  pandangan agar dinosaur politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu  bersara daripada politik.
Malah kata bekas mufti Perlis itu, beliau secara peribadi tidak  memusuhi Anwar, yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, bahkan  bersimpati dengan keadaan beliau sekarang.
“Datuk Seri sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak  saya dan Datuk Seri. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi Datuk  Seri.
“Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan  memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang,” kata  Asri
 (gambar) dalam tulisan terbaru menerusi blognya hari ini.
Tulisan ini merupakan yang ketiga berkisar mengenai isu saranan  beliau agar dinosaur-dinosaur politik bersara daripada politik dan  memberi laluan kepada generasi muda kerana rentak mereka sudah sesuai  dengan keadaan semasa.
Saranan itu menjadi perhatian 1 November lalu apabila menyebut nama Anwar, yang juga penasihat PKR.
Malah saranan itu dikecam oleh segelintir pemimpin PKR secara terbuka dengan menyifatkan Asri sebagai tidak “realistik.”
“Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada Datuk Seri Anwar  Ibrahim, alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap  saudara Muslim,” kata Asri dalam tulisan di bawah tajuk “surat terbuka  untuk Yang Berhormat DSAI”.
Asri memberikan pandangan terbaru ini selepas reaksi Anwar berhubung  kenyataan Datuk Zaid Ibrahim pagi tadi meminta Ahli Parlimen Permatang  Pauh itu berundur daripada memimpin PKR.
Zaid juga memita pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar  turut keluar PKR bersama Anwar demi menyelamatkan parti itu dan Pakatan  Rakyat.
“Saya baru sahaja membaca kenyataan Datuk Seri bahawa kenyataan  (Zaid) menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan  Dato Zaid yang membuat gesaan yang sama.
“Datuk Seri menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan.  Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini,  tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat,” katanya.
Dalam penjelasan kepada Anwar yang dipercayai tersinggung dengan  pandangannya minggu lalu, Asri berkata, biasanya apabila ingin  melontarkan pandangan politik besar, beliau akan merujuk terlebih dahulu  kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang baginya tajam dan kritis.
“Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral.
“Tapi dalam isu ‘pengunduran Datuk Seri’, saya tidak merujuk kepada  sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya.
“Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin  mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya  sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya  siarkan dalam Minda Tajdid,” katanya.
Asri, yang kini mengajar di Universiti Sains Malaysia berkata, pada awalnya moderator Minda Tajdid sendiri pun risau.
“Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan  tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika  kenyataan ini keluar,” katanya.
Asri menambah, “seperti yang pihak 
Utusan laporkan, mereka  memetik dari laman web saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari  mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam laman  web saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’.”
“Bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, 
The Malaysian Insider dan 
Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan,” katanya lagi.
Asri meneruskan penjelasan dengan menulis bahawa “saya pun tidak tahu  bahawa Datuk Zaid dan Mustaffa Kamil akan membuat tindakan dan  kenyataan yang seperti itu.
“Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka,” katanya.
Menyentuh soal keupayaan kepimpinan, Asri pula berkata, bagi beliau  jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato,  tetapi banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira.
“Salah satu unsur yang penting, kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.
“Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga  hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan,  bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh, katanya sambil  mengakui bahawa negara tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan  berkesan.
“Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternatif pun, mereka mestilah  jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan  rakyat marhaen seperti saya,” kata Asri.