Setelah  53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk  membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah  gagal.
Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh  pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan  negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak  mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang  tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh  pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang  lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak  berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam  politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan  membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan  politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan  yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang  dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:
1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar  Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara  dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna  kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Muafakat asas yang membentuk  Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan  Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara  pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat  untuk:
1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai  agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman  dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan  istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan  Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
3.  Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152  Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua  franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda  semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi  memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Ketetapan  Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya  membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi  laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar  yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk  menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam  PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia  satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.
Agenda  Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai  kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang  menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda  ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk  menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan  institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian  kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan  Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil  dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan  dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.
Malaysia  berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan  berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan  kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada  kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari  negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi  kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah  merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan  mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada  rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong  ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot  secara rakus.
Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan  tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara.  Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk  membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang  bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan  rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan  menunggang institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan  sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN  adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan  berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan  sosial yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang.  Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan  sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala  kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari  status malap kepada gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa  Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan  prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan  Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan  meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan  masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar  dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan  cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil.  Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia  ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat  ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke  seluruh pentadbiran dan institusi-institusi penting negara.
Agenda  Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah  masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang  paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di  bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 
Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
NEGARA DALAM KRISIS
Krisis Ekonomi
Ekonomi  negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur  1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini  ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan  Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti  Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Jawapan pentadbiran sedia  ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui  kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.
Rakyat  disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi  Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi  Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan  ekonomi yang digunapakai selama ini.
Program-program ini masih  bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina  projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi  ekonomi yang diperlukan negara.
12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
325  bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini  bermakna purata sumbangan PETRONAS setahun adalah 81.25 billion  ringgit.
53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
3  kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang  PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).
Kerosakan Institusi Negara
Institusi-institusi  penting negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan  badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan  diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang  keyakinan terhadap institusi kehakiman.
Malah, amalan  mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara  untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin  menjadi-jadi.
Jika integriti institusi-institusi penting negara  tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda.  Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha  untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus  cacat dan tidak berkesan.
Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam  indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh  World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009
Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
Pemerintah  sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan  perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik  pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi  sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku  penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum  apabila semakin terdesak.
Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang  berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN  mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan menggunakan  isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat  keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir  ini kerana penguasa yang terdesak.
Bebanan Rakyat
Kelesuan  ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke  prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji  yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah  lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.
2.6%  purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010,  berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara  miskin).
4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
40%  dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang  berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan  paling miskin di Malaysia.
3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
34%  dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji  kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
62%  dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung  kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana  bebas, konsesi lebuhraya).
3 bilion adalah subsidi makanan (gula,  gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion  subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi  lebuhraya setiap tahun.
RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana  bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi  minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
Hak Rakyat Dinodai
Peristiwa  salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden  yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi  mangsa dari pelbagai kaum.
Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan  menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang  melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran  sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap  internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan  maklumat alternatif kepada rakyat.
Tindakan-tindakan penguasa  sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati  kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak  berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan  sendiri.
Gejala Rasuah Berleluasa
Rasuah adalah barah utama yang  menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar  menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam  ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu,  rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang  ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara  yang kian malap.
Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia  ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni  dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai  nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini  adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket  mereka.
Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri  rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan  pentadbiran sedia ada.
28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
4.4  skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010,  sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun  2009.
46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International  menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010  berbanding 2009.
Krisis Pendidikan
Kelesuan ekonomi dan kesempitan  hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa  rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut  selera pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia  pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya  mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan  antarabangsa.
Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas  menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik  menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan  bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah  negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah,  menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.
57 anak tangga  dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar  pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12),  Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).
68.7% sahaja rakyat  Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009,  berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
1  orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan  menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan  2009.
29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).
KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT
Pakatan  Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat  keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran  bersama. Prinsip asas yang dijunjung dari Dasar Bersama telah dihadam  dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat yang telah dijalankan  selama ini.
Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun akan  datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas landasan  keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang kepada  rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat  sebagai sebuah kerajaan.
Ini akan dilakukan melalui pengenalan  langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa  kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di  peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.
Rekod  pembelaan rakyat yang dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu  Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi  oleh lawan. Pentadbiran Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah, telus,  berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil negeri  berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan pemantau  bebas.
Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:
Membebaskan Institusi Negara
Merakamkan pentingnya institusi-institusi penting negara yang bebas dan berintegriti, Pakatan Rakyat komited untuk:
•  Meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus  seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai  gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi penting  negara dari cengkaman campur tangan politik.
• Mewujudkan Majlis  Pakar-Pakar (Council of Experts) dalam isu-isu utama negara seperti  ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia  ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.
•  Mewujudkan Jawakatankuasa Parlimen yang memantau fungsi dan  keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan  Jawatankuasa Parlimen setiap enam bulan sekali.
• Memperhebatkan  proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar  mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi penting negara yang  berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani.
•  Istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan  kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi  penting negara dari campur tangan politik.
Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil
Menghargai  pengorbanan dan rasa perit rakyat yang tertindas dengan kesempitan  hidup akibat agihan ekonomi yang tidak adil, Pakatan Rakyat komited  untuk:
• Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan  kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada  langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.  Persoalan ekuiti 30% yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra  telah diselewengkan untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah,  sedangkan rakyat terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan.  Kaedah meningkatkan pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang  langsung kepada ratusan ribu keluarga yang masih berada di bawah garis  pendapatan RM1,500 sebulan.
• Menyiasat dan bertindak ke atas  penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra  termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan  kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra,  sedangkan majoriti rakyat masih lagi berada di dalam kategori rakyat  miskin.
• Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa  diskriminasi sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih  adil kepada rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim  air percuma, skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.
•  Mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk  subsidi minyak dan barangan keperluan asas selagi subsidi-subsidi  korporat kepada penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi tidak  distrukturkan terlebih dahulu.
• Membela golongan termiskin  berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan  mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap  keluarga dalam tempoh lima tahun memerintah di peringkat Persekutuan.  Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa dasar bersepadu yang bertujuan  mengangkat pendapatan rakyat dan menambah peluang pekerjaan agar setiap  isi rumah mempunyai lebih dari seorang yang berpendapatan. Dasar-dasar  ini termasuklah pelaksanaan gaji minima, undang-undang majikan yang  memberi ruang kepada kaum wanita melaksanakan tugasan dari rumah, skim  latihan untuk menukar dan menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan  keusahawanan yang tidak mengamalkan diskriminasi.
• Menjamin  kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan  negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah  di peringkat Persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import  makanan.
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat
Menyedari  terhakisnya kuasa beli rakyat akibat kenaikan gaji yang tidak setara  dengan kos sara hidup yang mencanak, ada keperluan mendesak supaya  pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat ditingkatkan  serta-merta. Pakatan Rakyat komited untuk:
• Menstrukturkan kembali  empat bidang infrastruktur dan utiliti awam supaya kos yang kini dibayar  oleh rakyat dapat dikurangkan dengan menghentikan manipulasi monopoli  untuk keuntungan berlebihan oleh pemegang konsesi. Empat bidang  infrastruktur dan utiliti awam ini adalah bekalan air, bekalan elektrik,  lebuhraya dan kemudahan jalur lebar. Pakatan Rakyat akan memulangkan  pengurusan bidang-bidang ini kepada rakyat melalui kaedah pengurusan  yang lebih kompetitif.
• Menyempurnakan pengambilalihan pengurusan  industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan  untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati  rakyat.
• Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi  memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus  disediakan kepada rakyat terbanyak.
• Mewujudkan Perbadanan Perumahan  Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan  mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap  keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang  berpatutan dengan pendapatan mereka.
• Menyelesaikan kes-kes projek  perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan sebarang kaedah yang  difikirkan sesuai oleh kerajaan pada kadar yang segera. Setakat ini,  projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,000 unit telah diambil alih  dan sedang dipulihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
• Meneruskan dan  meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan  khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka,  melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta  telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan  Rakyat.
Pemberdayaan Rakyat
Merakamkan peranan rakyat sebagai  mekanisme timbang tara (check and balance) yang penting untuk menjamin  pentadbiran yang bersih, Pakatan Rakyat komited untuk:
• Meneruskan  pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme timbang tara dengan mengamalkan  ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan rakyat. Ini termasuklah dengan  menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of  Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di negeri-negeri  Pakatan Rakyat.
• Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat  sivil/madani melalui bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO)  yang memperjuangkan rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO  menjadi suara pembela rakyat.
Golongan Pendidik Diutamakan
Merakamkan  penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi teras pembangunan  negara dan persaudaraan rakyat, Pakatan Rakyat komited untuk:
•  Meneruskan bantuan terus kepada semua jenis institusi pendidikan marhaen  yang membuka ruang pendidikan kepada rakyat, termasuk bantuan terus  kepada golongan pendidik di institusi-institusi ini sebagai penghargaan  kepada pengorbanan dan khidmat mereka.
• Memperjuangkan pengharmonian  gaji pendidik yang berbeza-beza latar belakang dan kelulusan, dengan  prinsip memastikan kriteria penilaian yang lebih adil kepada para  pendidik mengambil kira kepakaran dan tempoh berkhidmat.
•  Memperjuangkan skim gaji yang setara dengan golongan profesional di  dalam sektor-sektor lain seperti jurutera, akauntan dan doktor yang  diikat dengan penilaian prestasi yang lebih adil dan menyeluruh untuk  menjamin mutu pendidikan negara.
• Menilai semula guna tenaga semasa  di sekolah-sekolah untuk memastikan semua guru-guru terlatih dan  berkelayakan, termasuk menyelesaikan persoalan naiktaraf guru-guru  sandaran.
• Mengurangkan karenah birokrasi dan pentadbiran dalam  dunia pendidikan yang membebankan golongan pendidik, terutamanya  pertukaran-pertukaran dasar utama yang silih berganti dan mengongkong  golongan pendidik kepada kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran  yang mengurangkan masa pengajaran dan pembelajaran.
Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti
Mengangkat  krisis kredibiliti dan mutu universiti sebagai masalah utama negara,  Pakatan Rakyat percaya bahawa penyelesaian tidak boleh dilengahkan dan  tumpuan khusus perlu diberikan kepada usaha-usaha memartabatkan  universiti. Pakatan Rakyat komited untuk:
• Mengembalikan kebebasan  intelek dan akademik kepada universiti, dengan menghapuskan semua campur  tangan politik dalam urusan universiti.
• Mewujudkan Panel Pemilih  yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menyenarai pendek dan menilai  calon-calon pimpinan universiti supaya calon yang terbaik diangkat  mengepalai universiti, sebagai bukti komitmen Pakatan Rakyat kepada  prinsip meritokrasi akademik di universiti.
• Menyertai perjuangan  mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan bimbingan untuk  menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan berpolitik mahasiswa.
•  Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan  menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa  sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan  polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam  bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.
• Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.
•  Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan  untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan  kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.
Memerangi Rasuah
Menginsafi kemusnahan yang telah dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita, Pakatan Rakyat komited untuk:
•  Membawa pentadbiran SPRM di bawah pertanggungjawaban Parlimen, termasuk  dalam urusan meluluskan perlantikan jawatan-jawatan tertinggi SPRM.
•  Melancarkan perang membasmi rasuah di peringkat negeri termasuk  mengemaskini prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk mengurangkan  jurang berlakunya rasuah.
• Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin  parti untuk membela individu atau pihak yang membongkarkan skandal  rasuah tidak mengira fahaman politik, supaya lebih ramai yang tampil ke  hadapan memikul tanggungjawab memerangi rasuah.
• Meneruskan amalan  tender terbuka yang telah dilaksanakan, termasuk dengan memperkenalkan  inovasi baru dalam pentadbiran perolehan bagi mengetatkan lagi prosedur  perolehan agar bebas dari anasir rasuah.
Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi
Menghormati  kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia  dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat, Pakatan Rakyat komited  untuk:
• Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.
•  Menaikkan royalti dari hasil petroleum dan hidrokarbon dari Sabah dan  Sarawak kepada 20% berbanding kadar 5% yang diamalkan masa kini.
• Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
•  Memberi tumpuan khusus membawa pembangunan infrastruktur di Sabah dan  Sarawak agar setara dengan tahap prasarana yang ada di negeri-negeri  lain di dalam Persekutuan.
• Meningkatkan integrasi nasional di  antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang  adil dan menepati semangat Persekutuan.
PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT
Pakatan  Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek  pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan  prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:
1.  Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM,  Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada  sistem pentadbiran kerajaan.
2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
3.  Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan  lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk  menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan  menghapuskan tol.
4. Merombak struktur subsidi negara bagi  mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak  RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung  perbelanjaan subsidi rakyat.
5. Mengiktiraf peranan dan jasa  kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan  menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru  sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
8.  Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang  kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
B – Pemisahan Kuasa
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
E – Tenaga Kerja
F – Jaringan Perlindungan Sosial
G- Perumahan
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
I- Alam Sekitar
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
B – Agama
C – Pendidikan
D – Wanita dan Institusi Keluarga
E – Golongan Muda
F – Keselamatan
G – Kesihatan
H-  Kebudayaan
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
A – Sistem Persekutuan
B – Sabah dan Sarawak
C – Dasar Luar Negara
MUAFAKAT RAKYAT
Pakatan  Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa  keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.
Agenda  pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit,  politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat  dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan  usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari  ekonomi-ekonomi rancak serantau.
Ketidakadilan ekonomi semakin ketara  dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara  bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
Peningkatan  jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan  polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan  kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan  kepentingan perniagaan.
Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat  sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai  kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan  jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah  negara dan menginjak hak rakyat.
Menginsafi semangat rakyat tersebut  maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan  melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari  pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
Malah  kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada  kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak  dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum  atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan  dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran  undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin  hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.
Pakatan  Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih  pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada  pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan  Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian  progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah  pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan  terpinggir.
Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada  rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi  memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya  memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang  memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira  kaum.
Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia  mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan  prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan  untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan.   Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
Perlembagaan  Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia  yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama,  bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan  Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan  Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan:
1. Mempertahankan Perlembagaan  Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain  boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta  melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana  antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain  sejajar dengan Perkara 153
1. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
iii.         Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152  Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca  serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua  kaum.
iv.        Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan  undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan  itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih  berkuatkuasa.
v.         Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
vi.         Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara  Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.
B – Pemisahan Kuasa
Keberkesanan  amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin  pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada  kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang  diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif,  kehakiman dan legislatif.
Pakatan Rakyat akan:
i.           Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta  kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.
ii.          Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus,  demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.
iii.         Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya  Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi  Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada  Parlimen.
iv.        Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti  Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
v.         Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
vi.         Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan  kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan  di semua peringkat secara demokratik.
vii.       Membebaskan media,  meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan  Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.
viii.       Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin  kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan  menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.
ix.        Memberdayakan  dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan  rakyat melalui dialog dan perundingan.
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
Kewibawaan  sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat  untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang  kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan.  Makanya adalah  penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan  pilihanraya.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
ii.          Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan  membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam  negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan  menggunakan dakwat kekal.
iii.        Memastikan media massa memberi  ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen  yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih  dan bebas.
iv.        Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat  dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin  perwakilan yang lebih adil dan saksama.
v.         Memperuntukkan  belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah  undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.
vi.        Menggubal  undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti  politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil 
Pakatan  Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan  memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah  negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor  utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.
Merancakkan  pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta  menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan  ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.
Pakatan Rakyat beriltizam  untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan  kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus  merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidak  seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak  mendahului kepentingan rakyat ramai.
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
Paksi  kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang  berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan  membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan  warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah  dalam kegiatan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
1. Menjamin  peluan pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan  dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.
1.  Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta  diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti..
1.  Menggalakkan warga neraga yang professional dan berkemahiran yang  bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan  suasana kerja yang professional dan menarik.
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
Pakatan  Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang  bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan  kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.
Kebejatan  rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang  pertumbuhan mapan serta menghakis daya sain negara.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
ii.          Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula  konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil  kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan  prasarana air.
iii         Melaksanakan sistem cukai progresif serta  menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan  perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat  serta negara bersedia.
C –Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
Selaras  dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian  kerajaan,  keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan  dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada  kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.
Desentralisasi  mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi   lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap  kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil  perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
1.  Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor  jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan  modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan  bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
2. Mengagihkan  kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada  kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka  bentuk dan jaringan pengangkutan awam.
3. Menjana pembangunan kawasan  yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif  di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah  Klang
4. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta  berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri  berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi  sosio-ekonomi.
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
Pakatan  Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan  berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat  bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat  dinikmati dengan adil oleh semua.
Pakatan Rakyat akan:
1. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
1. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
iii.        Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
iv.        Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.
v.         Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
vi.         Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad  menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi  kemiskinan
E- Tenaga Kerja
Tenaga kerja adalah tunjang kepada  kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua  pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan  kesejahteraan pekerja dipelihara.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
ii.          Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja  mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka  diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.
iii.        Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.
iv.         Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana  dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi  serta mengurangkan karenah birokrasi.
v.         Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.
vi.        Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
vii.        Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor  ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang  bekerja sendiri.
F – Jaringan Perlindungan Sosial
Setiap  rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa.  Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan  golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk  turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
i.           Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan  memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.
ii.          Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara  rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan  latihan semula pekerja.
1. Memperkenalkan usia tamat tempoh  perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin  terus menyumbang kepada masyarakat.
G – Perumahan
Rumah merupakan  keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia  tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang  berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:
i.           Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan  bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu  Rumah.
ii          Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka  bandar’sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau  perkongsian tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi  membantu setinggan membeli rumah mereka.
1. Menyelaraskan sistem  perundingan antara ‘setinggan/peneroka bandar’, pemaju dan pihak  berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara  berkaitan perumahan dan tanah;
iv.        Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;
v.         Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
vi.         Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan  untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.
vii.        Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan  dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka  yang memerlukannya.
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
Penyediaan  dan penyenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab  kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau  menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik  membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan  produktiviti mereka.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.
ii.          Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian  balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7  tahun.
iii.        Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam  melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada  pihak kerajaan dan wakil masyarakat.
iv.        Memperkenalkan sistem  separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara  untuk semua jenis pengangkutan awam.
v.         Menyemak semula  pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan  kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.
vi.        Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.
I- Alam Sekitar 
Alam  sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk  kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim,  Pakatan Rakyat beriltizam:
i.          Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
ii.         Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
iii.        Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
iv.        Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.
v.          Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian  antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
Pakatan  Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan  rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan  negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat  sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina  semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum  yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.
1.  Mengembeling tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan  sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah  begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
1. Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.
1.  Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya  berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang  oleh sebuah masyarakat yang terbuka
v.         Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.
vi.         Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul  yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap  kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia.  Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini    dengan mengambil kira sejarah  dan evolusi negara ini.
vii.       Meningkatkan kebajikan Orang  Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia,  Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial  mereka.
B – Agama
Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia  seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang  bersifat sejagat. Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir
ke dalam  kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan  ketegangan kerana berlainan agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian  mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti  sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai  agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin.
Pakatan Rakyat berikrar:
i.           Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan  dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.
ii.         Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.
iii.         Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian  yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan  sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji  semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.
iv.        Memperkukuhkan  pengurusan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi  memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.
v.         Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.
C – Pendidikan
Pendidikan  seharusnya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi  rohani, jasad dan intelek. Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan  Rakyat bertekad untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan,  bermutu dan menjamin peluang yang saksama kepada rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i.           Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem  pendidikan negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada  sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil,  sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk  meningkatkan taraf pendidikan negara.
ii.         Mengimbangi  penekanan kepada sistem peperiksaan dengan sistem pembelajaran  berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan matlamat mencari  kebenaran.
iii.        Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan  mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar  belakang.
iv.        Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti  1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan  akademik dan autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu  pendidikan setanding dengan negara-negara maju.
v.         Memastikan  perlantikan naib canselor, rektor, dan lain-lain penjawat tertinggi  akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis Senat.
vi.        Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;
vii.        Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah  dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.
viii.       Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah  supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras  dengan masa.
ix.        Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.
x.          Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain  berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari  kawasan luar bandar dan pedalaman.
xi.        Menekankan betapa  mustahaknya pelajar menguasai pelbagai bahasa  termasuk Bahasa Inggeris,  Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga  bahasa-bahasa ibunda.
xii        Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.
xiii        Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan  mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan  luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima  termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).
D – Wanita Dan Institusi Keluarga
Pakatan  Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan,  pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat  menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Hakikat ini kerana  wanita  mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam  proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan  yang adil dalam segala bidang.
ii.          Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi  Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46%  sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
iii.        Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
iv.         Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak  dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta  memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
v.          Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat  jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat  kerajaan dan sektor swasta.
vi.        Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
vii.       Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
1. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
1.  Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga  dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.
E – Golongan Muda
Hala  tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda  sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda  diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan  mereka kelak.
Pakatan Rakyat akan:
i.          Menjamin peluang  dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan  masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.
ii.         Memastikan  supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa  peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk  menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.
iii.         Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui  perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia,  khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala  tuju negara.
F – Keselamatan
Terdapat peningkatan jenayah dan  rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya  berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa.  Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan  dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus  tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat  Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.
Pakatan Rakyat akan:
i.           Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya  kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam
ii.         Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.
iii.        Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.
iv.         Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan  Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan  penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.
v.         Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.
vi.        Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.
vii.       Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.
G – Kesihatan
Setiap  rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang  terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan  kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara tuntas, sekaligus menjamin  perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
1.  Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan  meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding  dengan perkhidmatan sektor swasta.
ii.         Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.
iii.        Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.
iv.         Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan  yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.
H- Kebudayaan
Kepelbagaian  adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan  masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan  wilayah-wilayah.
Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil bertanggungjawab  untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping  menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok  budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan  negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru  lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).
Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:
1. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
1.  Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa  sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab  diri dan sosial mereka.
1. Pautan utuh terhadap akar kemurnian  kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi  tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat  sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
A – Sistem Persekutuan
Hak  negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri  mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak  ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri  berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i.           Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada  kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
ii.          Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap  negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.
iii.        Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.
B – Sabah dan Sarawak
Semangat  Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil  antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan  imbangan kuasa
yang memihak kepada kerajaan pusat.at sebelah, Pakatan  Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai  persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi  di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.
Pakatan Rakyat akan:
i.           Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya  oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan  petroleum mereka.
ii.         Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.
iii.        Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.
iv.         Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat  kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.
C – Dasar Luar Negara
Kepimpinan  Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah  menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan  prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog  antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.
Pakatan Rakyat akan:
i.     Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang  bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara  prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian,  pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan  nilai-nilai keadilan.
ii.   Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.
iii.   Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan  rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.
iv.  Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa