NASIB RAKYAT YANG JADI PENGUNDI BARISAN NASIONAL !
Banjir,  satu malapetaka yang melanda negara. Apabila berlaku banjir, lihatlah  kerugian yang dialami oleh rakyat marhein. Cuba kita semua bayangkan  jika kita adalah mangsa kepada bala bencana banjir yang berlaku di Johor  dan Melaka. Cuba saudara dan saudari pembaca meletakkan diri sebagai  salah seorang mangsa banjir yang rumahnya tenggelam hingga ke paras  siling. Apa lagi yang tinggal selepas pulang ke rumah apabila air surut?
Barang-barang  letrik seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan perkakas dapur  yang berasaskan elektrik hampir pasti tidak boleh lagi digunakan. Ini  termasuklah komputer desktop yang baru dibeli beberapa bulan melalui  skim hutang dengan harapan, anak-anak kecil akan celik komputer apabila  memasuki alam persekolahan kelak. Hutang bulanan 'Singer' pun belum  habis di bayar dan masih berbaki setahun dua lagi.
Bagaimana pula  dengan perabut yang tenggelam sepenuhnya? Sofa yang serba sederhana  pasti rosak dek lumpur yang bergelumang. Almari baju, almari dapur,  almari tv dan kebanyakkan perabut yang material kayunya tidak tahan air  pasti akan mudah mereput selepas banjir ini. Baju-bajuan termasuklah  baju raya tahun lepas, juga sudah terpalit lumpur. Pasti kecewa apabila  mengenangkan beli baju pun terpaksa menunggu setahun sekali sempena  menyambut raya.
Kerosakkan besar akan berlaku terhadap rumah yang  dilanda banjir terutamanya bagi ketinggian air banjir berlumpur  mencecah siling. Operasi membersihkan rumah yang mengambil masa beberapa  hari, pasti mengundang kesempitan wang bilamana kerja separa masa yang  diusahakan sebagai sampingan tidak dapat dijalankan. Kepada yang  berjinak-jinak mengusahakan perusahaan ikan keli dan sembilang secara  kanvas di belakang rumah, akan hancur lebur segalanya apabila keli dan  sembilan itu bebas tanpa bicara. Hilang pula mata pencarian sampingan.
Kereta  pula tidaklah semewah mana, cuma proton wira tahun 98. Tetapi air  berlumpur telah menusuk ke hati enjin. Berapa ribu yang bakal habis  untuk turun dan naik enjin? Berapa ribu pula yang bakal habis untuk  memastikan rumah yang kita bina selama ini dengan kelengkapan serba  sederhana kembali seperti sediakala? Fikir dan bayangkanlah nasib mereka  - mangsa banjir tidak kira di bandar atau di desa.
Jika anda  punya pengalaman tersekat dalam banjir di Tenang selama 2 hari dan mula  berasa runsing dengan apa yang dilalui, sedarlah bahawa mereka yang  rumahnya dilanda banjir hingga ke siling itu bagaimana agaknya perasaan  mereka. Kita bersimpati, mereka merasai, tetapi mangsalah yang  menderitai. Di samping meratapi nasib bangsa, tidakkah pernah kita  terfikir apakah punca bahana banjir ini?
Menyalahkan hujan lebat  selama beberapa hari adalah sesuatu yang tidak teorikal. Ini bukan  banjir yang pertama melanda Segamat dan Labis. Tidakkah anda masih ingat  lagi bagaimana Kota Tinggi tenggelam? Ketika itu juga Segamat dan Labis  dilanda banjir tetapi tidak seteruk apa yang berlaku akhir minggu  lepas. Banjir tahun 2006 itu diklasifikasikan sebagai banjir besar  melanda negeri Johor. Jadi mengapa tidak banjir sebesar tahun 2006 ini  dijadikan iktibar dan pengajaran atau sebagai amaran? Supaya ianya tidak  berulang lagi di atas kerja keras kerajaan yang memperolehi mandat!  Jadi di manakah rasionalnya 'pencapaian diutamakan'?
Dalam  memerangi masalah banjir besar yang pernah melanda, adalah juga tidak  praktikal apabila kerajaan memilih untuk membangunkan Wilayah Iskandar,  bukan projek tembatan banjir di Segamat dan Labis. Apalah keuntungan  besar yang ada pada projek tembatan banjir, projek pembesaran sungai dan  projek sistem perparitan dan longkang, melainkan sedikit untung kepada  pemenang tender. Apakah ini maksudnya rakyat didahulukan?
Wilayah  Iskandar menjadi pilihan kerana ia memberi pulangan yang sangat besar  kepada pembesar-pembesar negeri dan negara. Ia juga memberi ruang kepada  bangsa asing seperti warga Singapura untuk menguasai ekonomi negara  melalui pelaburan besar yang menyediakan peluang pekerjaan berbentuk  'perahan tenaga rakyat' tetapi keuntungan jutaan ringgit dialirkan  setiap tahun kepada si pelabur. 
Malang sekali orang-orang  kampung di Labis dan Segamat tidak tersenarai untuk diberi keutamaan  terutamanya dalam projek marhein tembatan banjir yang akhirnya boleh  mengelak kerugian berjuta ringgit rakyat kebanyakkan. Hakikatnya ialah  kerajaan memilih untuk menyediakan peluang keuntungan berjuta ringgit  kepada cukong-cukong mereka yang menjadi proksi daripada membuka peluang  bagi mengelakkan kerugian puluh ribuan rakyat akibat banjir yang  sepatutnya boleh dielak atau dikawal. Kerugian ini juga mencecah jutaan  ringgit jika dikompilasikan. Berjuta rakyat rugi tak mengapa, jangan  mereka terlepas untuk untung berjuta.
Cuba imbas, apa yang  berlaku sebelum pilihanraya Tenang? Kebanyakkan jalan diturap  termasuklah jalan yang tidak pernah berlubang. Banyak projek-projek 'mee  segera' yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperolehi undi. Tetapi  tidak satu pun yang dilakukan oleh kerajaan itu berkesan apabila  akhirnya pada hari mengundi, dengan kekuasaan tuhan, banjir besar  berlaku. Ketika itu segala jalan yang diturap tidak kelihatan melainkan  keruhnya air banjir.
Negara kita ini seumpama telah dibangun  secara berundur. Sebuah negara yang bercita-cita untuk menjadi negara  maju telah melupakan keperluan rakyatnya yang ramai masih tinggal di  pekan dan desa. Mengkoordinasikan segala pembangunan hanya di bandar  utama tanpa mengendahkan kawasan pekan dan kampung yang tidak memberi  manfaat keuntungan kepada si pemerintah, inilah yang berlaku. 
Di  kawasan bandar pula, dapat kita lihat pihak kerajaan telah melupakan  kepentingan yang wajar didahulukan bagi meletakkan keselamatan bandar  iaitu sistem perparitan dan longkang. Akhirnya pekan Labis dan Bandar  Segamat tenggelam dek kerakusan mengejar pembangunan tanpa menyediakan  infra secukupnya bagi menghadapi cuaca hujan selama beberapa hari.  Bayangkan jika kerajaan telah menyediakan beberapa pusat tembatan banjir  di pekan Labis dan Bandar Segamat, mungkin banjir besar boleh dielak  malah kematian akibat banjir juga tidak sewenangnya berlaku. 
Memang  sewajarnya peristiwa banjir besar 2006 dijadikan alasan kukuh untuk  pembinaan pusat tembatan banjir, tetapi ianya tidak pernah menjadi  pilihan popular kepada kerajaan negeri mahupun pusat. Kepedulikkan yang  rendah terhadap keperluan asas yang wajib untuk rakyat kebanyakkan  menjadi lumrah kerajaan Barisan Nasional. Untuk apa buat itu dan ini  untuk orang-orang Johor yang sememangnya akan memberi undi kepada  Barisan Nasional sampai kiamat?
Apa yang kerajaan mahu melalui  projek tembatan banjir hanyalah keuntungan dengan projek berbilion  trowong SMART di Kuala Lumpur sebagai contoh, membina infra super yang  sehebat SMART demi keuntungan kutipan tol. Apakah kita akan melihat  sebuah lagi terowong SMART di Labis atau Segamat? Sampai kiamat pun tak  mungkin. 
Itulah nasib pengundi Barisan Nasional. Memberi undi  untuk menguntungkan segelintir manusia yang segerombolan dengan si  pemegang tampuk kuasa. Mandat setempat yang diberikan pada Mac 2008 di  Segamat dan Labis tidak dibalas dengan baik apabila banjir besar  berulang kembali. Namun, walau setinggi atap sekalipun banjir yang  melanda, undi Tenang tetap milik Barisan Nasional. Usah bermimpi untuk  memperolehi pusat tembatan banjir dalam masa terdekat. Kemungkinan tahun  depan pada tarikh yang hampir sama, banjir besar akan kembali berlaku.
Bukan  tujuan untuk mempersenda, malah kita bersimpati dengan apa yang  berlaku. Justeru itu, kami tetap mendesak agar kerajaan Barisan Nasional  dan UMNO supaya melihat Tenang sebagai pemberi mandat yang solid  sekata, maka biarlah mandat itu di balas sebaiknya supaya banjir besar  tidak berlaku lagi tahun hadapan. Kerugian rakyat itu, walaupun mereka  menyokong UMNO, mereka tetap rakyat di mata blogger dan wajar diberi  perhatian di atas kesengsaraan sebagai mangsa banjir.
Oleh  demikian, saya tetap menyeru dan mendesak kepada Barisan Nasional supaya  jangan hanya menjadikan projek berasaskan keuntungan wang ringgit  sahaja yang menjadi keutamaan. Malah projek yang mengelak kepada  kerugian rakyat juga wajar diketengahkan contohnya projek tembatan  banjir di kawasan yang mudah banjir seperti di Johor. Buatlah sebelum  rakyat Johor sendiri berpaling tadah, sedangkan kekuatan Pakatan Rakyat  di negeri lain semakin kuat dan utuh!! Jangan nanti tiada negeri yang  tinggal untuk Barisan Nasional memerintah untuk dijadikan perbandingan  dengan negeri Pakatan Rakyat yang kerajaan pusat ketika itu adalah  kerajaan rakyat!
Akhir kalam, begitu besarnya hikmah memilih  kerajaan itu harus diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia agar  sentiasa bijak dalam menentukan hala tuju anak bangsa. Sedarlah bahawa  kemajuan itu bukan segala-galanya di kala ada yang kehilangan segalanya  setelah hujan tiga hari lamanya.
Undilah Barisan Nasional, jika mahukan sebuah kerajaan yang tahap kepedulikkan rakyatnya itu seperti longkang busuknya.
EDYES @ edyesdotcom
Untuk pembacaan lebih menarik, sila ke artikel asal : 
http://edyesdotcom.blogspot.com/2011/02/nasib-rakyat-yang-jadi-pengundi-barisan.html