Kepada,
Yang Berbahgia Datin Kalsom Taib,
43  Persiaran Burhanuddin Helmi,
Taman Tun Dr.Ismail,
60000  Kuala Lumpur,
Malaysia.
YBhg Datin,
THE SHAFEE YAHAYA STORY – Estate Boy To ACA  Chief.
Dengan penuh hurmat takzim,saya menjemput  Datin merujuk kepada buku  hasil penulisan Datin bertajuk diatas  (selepas daripada ini akan  dirujuk sebagai 
Buku Tersebut)  yang telah dilancarkan  pada akhir July 2010 khususnya Bab 11,12 dan 13.  Sebagai pembuka kata  saya menyusun sepuloh jari menuntut ampun dan maaf  kepada Datin dan  YBhg. Dato Shafee Yahaya serta keluarga sekiranya  dalam surat terbuka  ini kelak, terdapat kata-kata saya ataupun fakta dan  keterangan yang  saya bentangkan yang menyinggung perasaan Datin serta  keluarga. Saya  berharap Datin akan menerima penerangan saya ini dengan  perasaan  terbuka.
2. Nama saya Mat Zain bin Ibrahim seorang  pesara Pegawai Kanan Polis  DiRaja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior  Asisten Kommisioner II (SAC  II) G/5776. Jawatan akhir saya ialah sebagai  Ketua Jabatan Siasatan  Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur yang saya sandang  sejak Disember 1998  sehingga 
bersara pilihan sendiri pada akhir  2001. Saya lebih dikenali sebagai Ketua Pegawai Penyiasat kes 
“Mata-Lebam” satu  insiden bersejarah dimana bekas Timbalan Perdana  Menteri Malaysia Dato  Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dibelasah oleh Ketua  Polis Negara ketika itu  Tan Sri Abdul Rahim Noor (kes yang akan turut  saya sentuh dalam Surat  Terbuka ini kerana kaitannya dengan penulisan  Datin dalam Buku  Tersebut).
3. Mungkin tidak ramai yang  perasan, (termasuk Pegawai-Pegawai Kanan  PDRM yang sedang berkhidmat  mahupun yang seangkatan dengan saya dan  telah bersara) bahawa ketika  bertugas sebagai KJSJ Kuala Lumpur saya  juga merupakan Ketua Pegawai  Penyiasat yang menyelia dan menangani kes  dakwaan salah guna kuasa  terhadap YAB Perdana Menteri Malaysia ketika  itu, YAB Dato Seri  Dr.Mahathir Mohamed (Tun Mahathir) yang terbit  daripada pendedahan yang  dibuat oleh Dato Shafee Yahaya ketika memberi  keterangannya di Mahkamah  Tinggi (Civil) Kuala Lumpur, pada 12 Jun  2000.Saya akan dedahkan apa  yang sebenarnya berlaku dan apa yang Polis  temui dalam penyiasatan kes  ini dalam perenggan-perenggan yang akan  menyusul nanti.
3.1.  Untuk makluman Datin, selain daripada dua kes berprofil tinggi  yang saya  sebutkan diatas,saya juga adalah Ketua Pegawai Penyiasat yang  menyelia  dan menangani kesemua empat (4) laporan Polis yang dibuat  oleh DSAI  diantara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999 ( ketika DSAI dalam  penjara  Sungai Buloh) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan menghalang  proses  undang-undang terhadap Tun Mahathir, Tan Sri Mohtar Abdullah   (Allahyarham) Peguam Negara ketika itu, dan Dato Abdul Gani Patail (kini   Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara). Laporan-laporan yang dibuat   oleh DSAI ini adalah bersangkutan dengan penyiasatan dakwaan   penyelewengan dan kesalahan rasuah melibatkan Tun Daim Zainuddin,Datuk   Seri Rafidah Aziz (kini Tan Sri Rafidah),Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik   dan Tan Sri Eric Chia (mendiang).
PELANCARAN BUKU  TERSEBUT.
4. Saya mengambil kesempatan ini untuk  mengucapkan setinggi-tinggi  tahniah kepada Datin yang berjaya  menghasilkan suatu percetakan   berkualiti tinggi Buku Tersebut.  Sebenarnya saya telah mengetahui  mengenai pelancaran Buku Tersebut  menerusi laman blog Din Merican pada  26 July 2010. Namun saya hanya  berkesempatan membelinya di-Bookstore  MPH, The Great Eastern Mall,  beberapa hari sebelum Eidul Fitri ketika  sedang menunggu waktu berbuka  puasa bersama keluarga disalah sebuah  restoran disitu. Untuk makluman  Datin, saya tidak pernah mengenali Din  Merican walaupun beliau sering  menyebut nama saya dalam rencana-rencana  beliau lebih-lebih lagi apabila  membuat liputan berkaitan perbicaraan  kes Datuk Ramli Yusuff, bekas  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah  Komersil PDRM, dan juga seorang Peguam  Rosli Dahlan. Sepertimana juga  saya tidak pernah menemui atau  berkenalan dengan Datin dan Dato Shafee  Yahaya sendiri, saya juga tidak  pernah kenal atau menemui Din Merican  ataupun Peguam Rosli Dahlan  walaupun Datuk Ramli Yusuff adalah sahabat  saya yang saya kenali sejak  dalam PDRM.
SURAT TERBUKA INI.
5.  Saya berharap Datin terima bahawa saya tidak sekali-kali  berhasrat  untuk mempertikaikan, jauh sekali untuk memperkecilkan  sejarah hidup  Dato Shafee yang gemilang daripada seorang “Estate Boy to  ACA Chief”.  Tumpuan saya adalah terhadap fakta-fakta yang terkandung  dalam Bab 11,12  dan 13 Buku Tersebut oleh kerana ianya berkaitan dengan  saya secara  peribadi. Sama ada secara langsung ataupun menerusi pihak  ketiga  antaranya, Datuk Param Cumaraswamy atau pun Kim Quek  (sepertimana  terkandung dalam muka surat 273 hingga 287), Datin telah  meyoal “What  happened to the probe on Dr. Mahathir?”. Jika diselidik  rekod PDRM  berkaitan penyiasatan kes ini, ianya akan menjurus kepada  saya oleh  kerana saya adalah KJSJ Kuala Lumpur ketika itu, yang  bertindak selaku  Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani  kes tersebut. Adalah  tidak adil kepada PDRM khasnya sekiranya saya  berdiam diri kerana saya  tahu perkara yang sebanarnya. Meminjam salah  satu quotation yang Datin  gunakan dalam Buku Tersebut
; ”And mix not truth with falsehood,n or  conceal the truth while you know (the truth)” Surah Al Baqarah 2:24.  saya akan berasa bersalah kepada PDRM dan juga kepada isteri dan   anak-anak dan cucu-cucu saya jika saya tidak tampil menjelaskan perkara   sebenar.
Laporan kepada YDH  DIG Tan Sri Ismail  Hj.Omar, atas sifat Timbalan Ketua Polis Negara  (kini Ketua Polis  Negara) dengan salinan kepada YB Dato Seri  Hishamuddin Tun Hussein,  Menteri Dalam Negeri.
6. Sambil itu saya ingin  Datin ketahui bahawa sebelum terbitnya Buku  Tersebut saya ada  mengemukakan satu laporan bertarikh 6 hb.Mei 2010  atas tajuk
 “Dakwaan Pemalsuan Keterangan Dalam Siasatan Insiden  Mata-Lebam 1998  Berkaitan Kecederaan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI)  Ketika Dalam Tahanan  Lokap Polis Bukit Aman:- Penyemakan Semula” yang  dialamatkan  persendirian kepada YDH Tan Sri Ismail Omar ketika itu  Timbalan Ketua  Polis Negara dengan salinannya dialamatkan persendirian  kepada YB Dato  Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri. Tan  Sri Ismail Omar  telah mengesahkan menerima surat saya berkenaan itu  menerusi surat  peribadi beliau kepada saya bertarikh 21hb Mei 2010.
6.1.  Secara kebetulan  dalam laporan saya tersebut itu, antara  lainnya, saya  telah menyentuh berkaitan penyiasatan terhadap Tun  Mahathir, yang terbit  daripada pendedahan yang dibuat oleh Dato Shafee  Yahaya. Dalam Surat  Terbuka ini, saya akan menyentuh sedikit sebanyak  kandungan laporan saya  kepada Tan Sri Ismail Omar itu bilamana  berkenaan.
Siasatan  terhadap Tun Mahathir terbit daripada pendedahan oleh Dato Shafee  Yahaya. 
7. Siasatan kes ini adalah bersandarkan  laporan Polis Tun H.S.Lee  Rpt: 14752/2000 yang dibuat oleh DSAI pada  13.6.2000. Kes  diklasifikasikan dibawah Seksyen 2 Ordinan 22  (Kuasa-Kuasa Perlu)  Dharurat 1970. Perintah dibawah Seksyen 12 untuk  menyiasat kes ini  dikeluarkan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Dato’  Mohd. Zaki bin Mat  Yasin.
7.1. Dalam laporan Polis ini, DSAI  telah mengaitkan keterangan  bersumpah Dato Shafee Yahaya yang dibuat  diMahkamah Tinggi Kuala Lumpur  pada 12.6. 2000 yang membawa maksud  bahawa Tun Mahathir telah  menyalahgunakan kuasa serta menghalang proses  keadilan dengan  mengarahkan Dato Shafee Yahaya, ketika itu Ketua  Pengarah Badan  Pencegah Rasuah (BPR), menghentikan penyiasatan BPR  terhadap Tan Sri  Ali Abul Hassan bin Sulaiman yang pada masa material  itu, adalah Ketua  Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana  Menteri.
7.2. Untuk makluman Datin selain daripada laporan  yang dibuat oleh  DSAI, terdapat sejumlah 14 laporan-laporan Polis yang  lain dibuat  antara 14.6.2000 hingga 22.7.2000. Terdapat laporan-laporan  yang dibuat  secara individu dan ada juga laporan-laporan dimana pengadu  mendakwa  mewakili beberapa ramai yang lain atau sesuatu kumpulan, malah  ada yang  menyertakan senarai nama dan tandatangan mereka-mereka yang  berkenaan.  Hampir kesemua pengadu-pengadu berkenaan dikenalpasti sebagai  ahli  biasa atau memegang sesuatu jawatan dalam parti-parti politik   pembangkang khasnya Parti Keadilan Nasional.
7.3. Antara  mereka yang telah membuat laporan tersebut ialah Hj.  Mahfuz Hj. Omar,  Chua Tian Chang @ Tian Chua, Saifuddin Nasution Hj.  Ismail, Mohamad Ezam  bin Mohd Noor, Lokman Noor Adam, Rusalan Hj.  Kassim, Badarulamin bin  Bahron dan lain-lain. Kesemua pengadu menggesa  pihak Polis dan Jabatan  Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Tun  Mahathir kerana telah  menyalahgunakan kuasa dan menghalang proses  keadilan.
7.4.  Pegawai Penyiasat yang telah saya arahkan untuk merakamkan  percakapan  Dato Shafee dirumah Datin itu ialah Deputi Superintenden  Narenasegaran  (Naren) 
(sudi rujuk muka surat 324 Buku Tersebut dibawah tajuk “The  aftermath”)  (kini beliau berpangkat Asisten Kommisioner Polis  bertugas sebagai  KJSJ Pahang). Untuk makluman Datin, pegawai ini ada  memaklumkan kepada  saya betapa “simple dan humble serta peramahnya” Dato  Shafee dan Datin  ketika beliau berkunjung kerumah Datin, untuk  merakamkan sambungan  percakapan Dato Shafee atas arahan saya itu.  Mengenai salinan  percakapan Dato Shafee pula, saya yang tidak  membenarkan untuk diberi  kepada Dato Shafee. Saya percaya Dato Shafee  sendiri tahu peruntukkan  undang-undang dan peraturan mengenai perkara  membekalkan percakapan  saksi.
7.5. Terus terang saya  menyatakan bahawa saya sendiri yang tidak  berpuas hati dengan keterangan  yang diberikan oleh Dato Shafee itu.  Malahan Dato Shafee sendiri yang  menyatakan bahawa memang TIDAK ADA  ARAHAN SECARA LANGSUNG oleh Tun  Mahathir untuk menutup atau  menghentikan siasatan kes berkenaan. Namun  begitu Dato Shafee ada  menyatakan bahawa setiap perjumpaan dan  teguran-teguran Tun Mahathir  mengenainya, jika diambil secara  keseluruhan akan membawa maksud bahawa  Tun Mahathir mengarahkan beliau  (Dato Shafee) menutup atau  menghentikan penyiasatan terhadap Tan Sri Ali  Abul. Dato Shafee  mengesahkan bahawa perjumpaan beliau dengan Tun  Mahathir adalah 
“on a one to one basis”. Oleh demikian tidak  ada saksi bebas terhadap apa yang sebenarnya 
transpired  antara  mereka berdua. Dalam situasi ini, pembuktian dakwaan Dato  Shafee akan  bergantung kepada sejauh mana, atau apa yang  dirakamkan/dicatitkan oleh  Dato Shafee sendiri dalam diari atau fail  berkaitan siasatan sabjek  dalam persoalan.
“Rampasan” Kertas Siasatan BPR.
7.6. Memadai untuk saya menyatakan bahawa dalam kesungguhan PDRM   menyiasat kes ini, saya telah mendapatkan persetujuan dan kerjasama BPR   untuk menyerahkan 2 kertas siasatan untuk penelitian saya iaitu;
7.6.1.  
Kertas Siasatan HQ/BPR/KS:23/7/98-disiasat  oleh Penguasa BPR  Abdul Halim Hj.Ibrahim (kemudian diambil alih  siasatan oleh Penguasa BPR  Tan Kang Sai). Kes ini adalah berkaitan  dakwaan pembabitan Tan Sri Ali  Abul Hassan dan seorang Dato (saya tidak  menyebut namanya bagi  mengelakkan sebarang tanggapan khilaf terhadap  dirinya) yang ada  kepentingan sendiri, projek pengswastaan Aktibiti  Pemeriksaan Berkanun  Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
7.6.2. 
Kertas  Siastan HQ/BPR/KS:20/6/98-disiasat  oleh Encik Mohd. Jamidan bin  Abdullah ketika itu Ketua Pentadbiran  Siasatan BPR Malaysia. Kes ini  adalah berkaitan dengan penggeledahan  pejabat Ketua Pengarah UPE dimana  RM100,000.00 dijumpai dalam laci Tan  Sri Ali Abul Hassan.
7.7.  Untuk makluman Datin, penelitian keatas kertas-kertas siasatan  ini saya  buat adalah semata-mata untuk mencari bukti dan keterangan,  sama ada  Dato Shafee ada membuat sebarang catitan atau arahan bertulis,  yang  menjurus kearah kertas siasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul  ditutup  atas arahan Tun Mahathir. Saya perlukan bukti ini sebelum saya  membuat  janjitemu untuk merakamkan percakapan Tun Mahathir sendiri dan  bersemuka  dengannya sekali lagi, sepertimana pernah saya lakukan pada  8.10.1998  ketika menyiasat kes “mata-lebam” (peristiwa mana yang akan  saya sentuh  dalam perenggan-perenggan yang akan menyusul).
7.8. Sambil itu  mungkin Datin boleh mendapatkan pengesahan daripada  Dato Shafee sendiri  sepanjang beliau menjadi Ketua Pengarah BPR mulai  16.7.1994 sehingga  11.9.1998, berapa kali Pegawai Polis “merampas”  kertas siasatan BPR.
“Jikalau  kail panjang sejengkal”.
7.9. Saya percaya Datin  bolih menerima hakikat bahawa Tun Mahathir  bukan sembarangan orang.  Apapun beliau adalah seorang Perdana Menteri,  ketika siasatan tersebut  dibuka terhadapnya. Ini tidak bermakna Polis  takut merakamkan percakapan  beliau. Saya sendiri pernah bersemuka  dengan Tun Mahathir pada  8.10.1998, “on a one to one basis” dalam  suasana yang lebih “tense” lagi  ketika menyiasat kes mata-lebam  tersebut. Sedikit pun saya tidak gentar  kerana saya berbekalkan  fakta-fakta yang benar dalam tangan saya,  walaupun pada ketika itu saya  sedar ada makhluk atau makhluk-makhluk  yang telah cuba mempengaruhi  Tun Mahathir untuk percaya bahawa  kecederaan DSAI adalah  “self-inflicted”. Pada perjumpaan itu saya telah  jelaskan kepada Tun  Mahathir apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang  “disyakki”  melakukannnya oleh kerana siasatan masih diperingkat awal  ketika itu.  Yang pentingnya saya telah ketepikan sebarang tanggapan  bahawa  kecederaan DSAI tersebut disebabkan “self-inflicted” pada  pertemuan  itu. Yang lebih pentingnya apa yang “transpired” dalam  pertemuan itu  semuanya saya rakamkan dalam diari penyiasatan saya. Apa  yang saya  katakan kepada Tun Mahathir dan apa yang beliau katakan dan  nasihatkan  kepada saya, semuanya saya rakamkan. Malahan apabila Tun  Mahathir  sekadar menganggukkan kepalanya tanda persetujuan kepada  sesuatu  cadangan saya pun  telah dirakamkan dalam diari tersebut yang  kekal  dalam kertas siasatan kes mata-lebam sehingga hari ini. (Tidak   keberatan untuk saya menyatakan bahawa ketika Pegawai-Pegawai SPRM   merakamkan percakapan saya dalam minggu pertama July 2008, berkaitan   laporan DSAI itu, beliau ada menyoal saya mengenai reaksi wajah Tun   Mahathir ketika saya menemuinya pada 8.10.1998 itu. Dengan mudah saya   merujukkan mereka kepada diari penyiasatan saya yang ada dihadapan   Pegawai perakam tersebut).
Berkaitan siasatan terhadap Tun  Mahathir ini pula bagaimana harus  saya bersemuka dengan beliau jika saya  tidak lengkapkan diri dahulu  dengan fakta-fakta dan bukti yang  terperinci dan padat sebelum  merakamkan percakapan beliau yang masih  seorang Perdana Menteri ketika  itu. Seperti kata pepatah “Jikalau kail  panjang sejengkal, lautan dalam  jangan diharungi”. Alangkah mudah tugas  Polis ketika itu jika Dato  Shafee sendiri telah merakamkan atau  mencatitkan arahan yang tepat  dalam kertas siasatan-kertas siasatan yang  berkaitan. Sebenarnya itulah  yang saya harap untuk temui ketika saya  meneliti 2 kertas siasatan BPR  tersebut. Malahan Dato Shafee mempunyai  masa yang begitu banyak sejak  20.6.1998 hingga bersara pada 11.9.1998  untuk berbuat demikian dan  tidak melepaskan tanggung jawab tersebut  kepada Pegawai-Pegawai  selepasnya oleh kerana Dato Shafee sendiri yang  bersemuka dengan Tun  Mahathir dalam isu ini dan tiada orang lain.
7.10. Untuk faedah Datin,saya perturunkan  sebahagian daripada   laporan saya bertarikh 9.11.2000 kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan   kes ini;
“Ketua Bahagian Pendakwaan,
Jabatan  Peguam Negara,
Bangunan Bank Rakyat,
Kuala  Lumpur.
………….
Para 5: RUMUSAN.
Setelah  meneliti serta menimbangkan keterangan-keterangan yang  terkumpul  khasnya percakapan Dato Shafee Yahaya sendiri yang pada saya,  telah  dirakamkan dengan terperinci serta juga penelitian terhadap dua  Kertas  Siasatan BPR iaitu HQ/BPR/KS:23/7/98 dan HQ/BPR/KS:20/6/98 saya   merumuskan kes ini seperti berikut:-
5.1.Anggapan Dato  Shafee bahawa Perdana Menteri Dato Seri Dr.  Mahathir Mohammad telah  mengarahkan beliau untuk menutup kes siasatan  terhadap Tan Sri Ali Abul  Hassan bekas Ketua Pengarah EPU, lebih  merupakan persepsi beliau  sendiri. Tidak ada sebarang keterangan untuk  menyokong persepsi dan  andaian oleh kerana Dato Shafee sendiri tidak  ada membuat sebarang  catitan dalam mana-mana fail, diari atau  dokumen-dokumen lain. Pertemuan  Dato Shafee dengan YAB PM mengenai isu  dalam persoalan ini dibuat atas  dasar satu dengan satu (on a one to one  basis). Oleh yang demikian apa  juga transpired antara mereka hanya  mereka sahaja yang privy kepada  butir perbincangan.
5.2.Sekalipun Dato Shafee  menyatakan yang beliau telah  mentaklimatkan Tan Sri Ketua Setiausaha  Negara mengenai apa yang  berlaku ketika beliau berjumpa dengan Perdana  Menteri ketika  membincangkan kes dalam persoalan ini,percakapan Tan Sri  KSN jikapun  dirakamkan tidak mempunyai “evidential value” oleh kerana  kesaksian Tan  Sri KSN hanya berguna untuk untuk mengesahkan sama ada  benar Dato  Shafee ada mentaklimatkan beliau mengenai perkara itu atau  sebaliknya.  Manakala keterangan mengenai apa yang sebenarnya yang  dibincangkan atau  yang diarahkan oleh PM kepada Dato Shafee akan  merupakan keterangan  “hearsay”sahaja.
5.3.Semakan serta  penelitian keatas kertas-kertas siasatan BPR  HQ/BPR/KS 23/7/98 dan  HQ/BPR/KS:20/6/98 mendapati tidak terdapat  sebarang catitan dalam minit  arahan ataupun diari penyiasatan  pegawai-pegawai BPR yang terlibat dalam  kedua-dua kes yang berkenaan,  yang menjurus kearah kes-kes berkenaan  ditutup atau dihentikan atas  arahan Perdana Menteri. Didapati  penyiasatan yang rapi telah dijalankan  dan telah mematuhi prosidur  pengedaran yang sewajarnya.
5.4.Saya berpendapat siasatan  ini jika diteruskan dan percakapan  saksi-saksi seterusnya dirakamkan  juga tidak akan berkesudahan dengan  perolehan keterangan kukuh untuk  apa-apa tindakan terhadap mana-mana  pihak. Kebanyakkan kesaksian yang  akan diperolehi dijangka akan  berbentuk “hearsay” atau tidak mempunyai  nilai kesaksian yang  baik.Dengan rendah diri, berdasarkan daripada  hujah-hujah yang saya  utarakan diatas, izinkan saya mencadangkan  siasatan kes ini dihentikan  setakat ini sahaja melainkan jika ada  keterangan yang baru ataupun jika  Dato Shafee sendiri membuat laporan  Polis serta mengemukakan  keterangan lain untuk menyokong dakwaannya. Pun  begitu saya memohon  nasihat YBhg. Datuk mengenai cadangan saya ini.
Salam sejahtera dan terima kasih.
Tanda  tangan bertarikh:9.11.2000.
(Dato  Mat Zain bin Ibrahim) SAC II,
Ketua Jabatan Siasatan  Jenayah,
Ibu Pejabat Polis Kontinjen,
Kuala  Lumpur.”
Kenyataan tidak benar   oleh Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail berkaitan  siasatan keatas Tun Mahathir.
7.11. Saya merujuk  kepada muka surat 281 Buku Tersebut dan  perturunkan kenyataan akhbar Tan  Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani  Patail seperti berikut;
The  IGP confirmed that an investigation on Dr.Mahathir was carried out.  (NST 9 April 2008)
“Our recods show we had submitted  the investigation  papers to the AG Chambers on 15 February 2000. The  decision made by the  AG at that time (the late Tan Sri Mohtar Abdullah)  was that there was  no case.”
In The Star of the  same date (9 April 2008), it was reported that Tan Sri Abdul Gani Patail  confirmed,
“The Chambers received the investigation  papers from the  police sometime in February 2000 and after studying it  carefully,  found no evidence to suggest that Dr. Mahathir had interfered  in the  investigations”
7.12. Saya hanya boleh  menyatakan bahawa kenyataan kedua-dua Tan Sri  Musa Hassan dan Tan Sri  Gani Patail seperti diatas adalah tidak  benar,tidak munasabah dan tidak  masuk akal sama sekali. Adalah mustahil  untuk kertas siasatan tersebut  diedarkan kepada Jabatan Peguam Negara  pada 15 February 2000 sedangkan  kertas siasatan berkenaan hanya dibuka  pada 13 Jun 2000 bersandarkan  kepada laporan polis Tun H.S.Lee  Rpt:14752/2000 yang dibuat oleh DSAI  pada tarikh tersebut. Malah kertas  siasatan tersebut bersekali dengan  kertas-kertas siasatan BPR yang  dirampas, hanya diedarkan kepada Jabatan  Peguam Negara pada 9 November  2000.
7.13. Mungkin tarikh 15  February 2001 adalah lebih munasabah.  Bagaimanapun jika Tan Sri Musa  Hassan dan/atau Tan Sri Gani Patail  mengubahnya kepada 15 February 2001  pula, ianya akan menjadi lebih  tidak munasabah lagi. Oleh kerana pada 15  February 2001,Tan Sri Mohtar  Abdullah yang dikatakan telah meneliti dan  menutup kes tersebut telah  TIDAK lagi menjadi Peguam Negara ketika itu,  kerana tempat beliau telah  digantikan oleh Datuk Ainum Mohammad Said  pada 1 Januari 2001 (rujuk  catitan Datin sendiri dalam muka surat 326  Buku Tersebut).
7.14. Mungkin juga atas sebab itu Tan Sri Musa  Hassan dan/atau Tan  Sri Gani Patail tidak tampil membuat pembetulan,  lagipun orang yang  dikaitkan itu Tan Sri Mohtar Abdullah telah pun  meninggal dunia. Orang  yang telah meninggal dunia memang tidak boleh  menjawab lagi. Mungkin  mereka berdua lupa banyak lagi orang-orang yang  masih hidup yang  mengetahui perkara ini yang boleh mempersoalkan  kenyataan mereka.
 
7.15. Mungkin sekiranya Tan Sri  Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail  tidak membuat kenyataan yang tidak  munasabah itu, kes ini tidak akan  berpanjangan. Kenyataan merekalah yang  telah membuka “flood-gates”  untuk lebih banyak persoalan ditimbulkan  mengenai kewibawaan PDRM  menjalankan sesuatu penyiasatan. Malah  kenyataan mereka berdua telah  “undermine” penyiasatan Polis dalam kes  ini, sepertimana juga mereka  berdua sepakat memalsukan keterangan  berkaitan laporan perubatan keatas  DSAI dalam penyiasatan kes  “mata-lebam”, yang bukan sahaja mereka  telah “undermine” siasatan  tersebut malahan telah menyebabkan Sistem  Keadilan Jenayah kita menjadi  kucar-kacir sehingga hari ini.
Cadangan kepada Dato  Shafee.
7.16. Walaubagaimanapun sekiranya Dato Shafee  berhasrat untuk  meneruskan dakwaannya terhadap Tun Mahathir, beliau  boleh memilih untuk  membuat laporan Polis yang baru untuk menyebabkan  kertas siasatan  tersebut dibuka semula. Saya percaya Dato Shafee sendiri  maklum perkara  ini. Lagi pun tidak ada sekatan masa untuk sesuatu  laporan kesalahan  jenayah dibuat sekalipun sesuatu salah laku jenayah  berkenaan berlaku  12 tahun yang lalu. Tidak ada pihak yang boleh  menghalang Dato Shafee  jika beliau ingin berbuat demikian.
7.16.1.  Cuma saya ingin memberi ingatan supaya Dato Shafee  mengingati semula  setiap perkataan/keterangan yang beliau telah berikan  ketika memberi  keterangan di-Mahkamah pada 12.6.2000, percakapan dan  sambungan  percakapannya yang telah diberikan kepada Polis (lebih-lebih  lagi beliau  tidak memiliki salinan percakapan tersebut), laporan Polis  baru jika  dibuat dan keterangan-keterangan yang sedia ada dalam  kertas-kertas  siasatan yang berkaitan, supaya tidak berlaku  pencanggahan yang material  dalam keterangannya. Oleh kerana jika  terdapat percanggahan yang  material akan mendedahkan Dato Shafee  sendiri kepada dakwaan memberi  keterangan palsu. Saya percaya Dato  Shafee sedar perkara ini. Apapun  beliau harus
 “tepuk dada tanya seleranya sendiri”. Jika  saya  dipanggil untuk membantu penyiasatan, saya akan kekalkan posisi  saya  sepertimana yang saya dedahkan dalam Surat Terbuka ini.
Tiada  campurtangan mana-mana pihak dalam penyiasatan kes ini.
8. Untuk faedah Datin juga,saya boleh mengesahkan disini bahawa   tidak ada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada   daripada 
political masters, Pucuk Pimpinan Tertinggi PDRM atau   Jabatan Peguam Negara ketika pasukan saya menangani siasatan kes   terhadap Tun Mahathir ini. Malahan saya boleh menyatakan bahawa   Pegawai-Pegawai BPR sendiri telah memberikan kerjasama mereka yang cukup   baik ketika kami menangani isu ini. Secara kebetulan juga dalam  laporan  saya kepada Tan Sri Ismail pada 6.5.2010 itu, saya telah  mengesahkan  dalam perenggan 26 surat tersebut bahawa tidak ada campur  tangan  mana-mana pihak ketika saya menangani siasatan kes ini.
INSIDEN  MATA-LEBAM.
9. Memandangkan Datin juga nampaknya  berminat dengan insiden  mata-lebam ini, sepertimana yang terkandung  dalam muka surat 311 dan  312 Buku Tersebut, saya berpendapat tidak salah  untuk saya menjelaskan  perkara ini dengan lebih mendalam lagi, 
to  set the records straight,  memandangkan saya terlibat secara  langsung dalam penyiasatan kes ini  sebagai Ketua Pegawai Penyiasat dan  juga membantu kelicinan prosiding  Suruhanjaya Di-Raja menyiasat  peristiwa ini. Lagipun ianya bukan lagi  menjadi rahsia, bahkan saya  pernah “mendedahkan” sebahagian peristiwa  ini menerusi Pernyataan  Tuntutan saya terhadap DSAI yang difailkan  dalam Mahkamah Tinggi Shah  Alam pada 11.8.2008. Malah beberapa dokumen  saya, khasnya laporan  lengkap saya bertarikh 15.4.2009 kepada  Y.A.Bhg.Tun Abdul Hamid Mohamad,  Pengerusi Lembaga Penasihat  Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM)  dan salinannya kepada  setiap seorang Ahli Lembaga Penasihat tersebut  dan termasuk Pengerusi  serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai  Rasuah, berada dalam 
public domain setelah digunakan sebagai  keterangan dalam perbicaraan DSAI dalam Sodomy II yang masih berjalan.
Laporan  DSAI pada 1.7.2008.
10. Pada 1.7.2008 DSAI telah  membuat Dang Wangi Rpt:22807/08.Dalam  laporannya ini DSAI mendakwa Tan  Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan,  Dr. Abdul Rahman Yusof, seorang  Forensic Consultant dari Hospital Besar  Kuala Lumpur dan Dato Mat Zain  Ibrahim (saya sendiri) selaku Pegawai  Penyiasat kes mata-lebam, telah  memalsukan keterangan berkaitan dengan  laporan perubatan mengenai  kecederaan beliau (DSAI) dalam penyiasatan  kes mata-lebam tersebut.
10.1. Siasatan telah dijalankan oleh pihak Ibu Pejabat BPR   (kemudianya SPRM) .Saya telah dipanggil memberi keterangan   sekurang-kurangnya 5 kali di-Ibu Pejabat SPRM termasuk pihak Penyiasat   SPRM telah membuat “rampasan” dokumen-dokumen daripada kediaman saya   pada 4.7.2008. Saya tidak membantah rampasan ini malah memberikan   kerjasama sepenuhnya kepada Pegawai-Pegawai SPRM berkenaan, kerana saya   tahu itu adalah tanggung-jawab mereka selain daripada mereka bertindak   secara sopan dan professional, sepertimana juga saya lakukan ketika   membuat “rampasan” dua kertas siasatan BPR ketika menyiasat kes terhadap   Tun Mahathir seperti yang saya jelaskan dalam perenggan-perenggan   diatas.
10.2. Apa yang boleh saya katakan disini ialah kesemua  dokumen (yang  saya sebagai pembikinnya) yang dirampas dari rumah saya  adalah salinan  yang sama yang terdapat dalam kertas siasatan kes  mata-lebam itu  sendiri. Ianya mengandungi keterangan-keterangan dan  bukti yang padat  yang bukan sahaja sekadar boleh “mengaitkan” sesaorang,  malahan jika  dibaca bersama dengan laporan Suruhanjaya DiRaja menyiasat  kes  mata-lebam itu, boleh “mensabitkan” kesalahan mereka keterangan  palsu  terhadap mereka-mereka yang terlibat tanpa sebarang keraguan.
10.3. Namun begitu pada 11.3.2009 YB Dato Seri Mohamed Nazri Abdul   Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan di Parlimen   bahawa siasatan terhadap pengaduan DSAI pada 1.7.2008 tersebut telah   selesai 2 bulan daripada tarikh laporan tersebut dibuat. Cuma   pengumumannya dibuat pada tarikh berkenaan memandangkan kes tersebut   sangat sensitif. Beliau juga turut mengumumkan bahawa satu Panel Bebas   tiga orang terdiri daripada 2 orang mantan Hakim Mahkamah Persekutuan   dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan telah dilantik sebagai Timbalan   Pendakwa Raya, bagi meneliti kertas siasatan SPRM berkaitan kes ini.   Beliau seterusnya mengumumkan bahawa Panel Bebas tersebut secara sebulat   suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hassan bersih daripada sebarang   salah laku jenayah dalam siasatan tersebut. Manakala Panel Bebas sama   secara majority (2-1) mendapati Tan Sri Gani Patail tidak terlibat   dengan sebarang salah laku jenayah dalam siasatan sama. Ini bermakna   seorang daripada Ahli Panel Bebas tersebut mendapati ada keterangan   untuk mengaitkan Tan Sri Gani Patail dengan perbuatan salah laku   jenayah. Bagaimanapun kedua-dua Tan Sri Gani dan Tan Sri Musa   diistiharkan bersih (“cleared”) dari sebarang salah laku jenayah,   manakala tidak ada sebutan mengenai nasib Dr. Rahman dan saya yang turut   didakwa oleh DSAI dalam laporannya tersebut. Pengumuman ini seolah   mengesahkan bahawa laporan DSAI itu ada kebenarannya kerana Dr. Rahman   dan saya tidak “dibersihkan” sekali dengan mereka berdua.
10.4.  Saya berhak untuk merasa terkejut dan kecewa dengan keputusan  ini  lebih-lebih lagi selaku Ketua Pegawai Penyiasat kes mata-lebam  tersebut  saya tahu apa yang berlaku malah telah menyerahkan segala   dokumen-dokumen bukti kepada Penyiasat SPRM.
10.5. Oleh hal  demikian saya telah menulis surat bantahan  rujukan:MZ/SULIT/5776/7  bertarikh 15.4.2009 kepada Pengerusi, Lembaga  Penasihat SPRM iaitu  Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid Mohamad, dengan  salinannya kepada setiap  seorang Ahli Lembaga Penasihat dan juga  Pengerusi serta Ahli Ahli  Jawatankuasa yang lain seperti Jawatan Kuasa  Khas Mengenai Rasuah.  Selain daripada mengemukakan hujah dan dokumen  bukti, saya turut  menjelaskan secara terperinci caramana pemalsuan  keterangan tersebut  dilakukan dan siapa yang melakukannya dan Pegawai  mana yang bersubahat  memberi kemudahan melakukan jenayah tersebut,  sepertimana yang telah  saya rakamkan dalam diari penyiasatan saya  ketika menjalankan siasatan  kes mata-lebam tersebut.
10.6. Selain daripada itu saya telah  mempersoalkan kesahihan  perlantikan Ahli-Ahli Panel Bebas tersebut  sebagai Timbalan Pendakwa  Raya oleh Peguam Cara Negara seperti yang  diperuntukkan dalam Kanun  Prosidur Jenayah (CPC). Saya telah menonjolkan  bahawa Peguam Cara  Negara TIDAK mempunyai hak atau kuasa untuk melantik  Timbalan Pendakwa  Raya (TPR) mengikut perbekalan dalam CPC. Peruntukkan  Seksyen 376(4)  CPC adalah sangat jelas bahawa hak atau kuasa untuk  melantik TPR  terletak kepada Pendakwa Raya(dalam hal ini Tan Sri Gani  Patail) dan  kuasa tersebut hendaklah dijalankan oleh Pendakwa Raya 
sendiri.  Oleh hal yang demikian perlantikan Panel Bebas seperti yang diumumkan   oleh Menteri di JPM itu adalah tidak sah dan menjadikan keputusan yang   mereka buat sebagai sia-sia. Ini bermakna pengistiharan bahawa kedua-dua   Tan Sri Gani dan Tan Sri Musa sebagai bebas daripada salah laku  jenayah  tidak boleh diterima pakai mengikut kefahaman saya.
10.7.  Untuk pengetahuan Datin, Peguam Dato Param Cumaraswamy pun ada  menulis  surat bantahan kepada SPRM mempersoalkan isu perlantikkan  Panel Bebas  ini.
10.8. Apa pun pada 23 July 2009 saya telah menerima surat  balasan  daripada Sekretariat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)  yang  ditanda tangan sendiri oleh Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid Haji Mohamad.  Saya  merasa terkejut dimaklumkan secara bertulis bahawa bidang kuasa  LPPR  seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta  694) 
TIDAK  termasuk menyemak semula (review)  sebarang keputusan yang telah dibuat  oleh SPRM  dalam sesuatu kes. Ini  bermakna LPPR tidak boleh berbuat  apa-apa sekalipun SPRM telah membuat  sesuatu keputusan yang salah atau  tidak mengikut undang-undang. Ini  turut bermakna sekalipun LPPR sedar  bahawa perlantikkan Panel Bebas  tersebut adalah tidak sah dari sisi  undang-undang, LPPR terpaksa  bersetuju menerimanya. Soal sama ada LPPR  berpuas hati atau tidak dengan  penyiasatan dan keputusan SPRM tidak  timbul. Selepas daripada  penerimaan surat LPPR sedemikian itu saya  tidak menulis apa-apa suratan  kepada LPPR lagi.
10.8.1. Saya berasa begitu ralat kerana  diakhir laporan saya kepada  LPPR itu saya merayu kepada Y.A.Bhg.Tun  seperti diperturunkan;..
“Para 48.
Saya  percaya Y.A.Bhg.Tun,serta Yang Berbahgia dan Yang Berhormat  Pengerusi  dan Ahli-Ahli pelbagai Panel SPRM tidak akan merelakan  intergriti  Institusi penting Negara seperti Badan Kehakiman,Jabatan  Peguam Negara,  SPRM dan PDRM diletakkan dalam risiko kemusnahan  semata-mata untuk  menyelamatkan sesaorang dikenakan hukuman jenayah.  Saya merayu dan  sesungguhnya yakin Y.A.Bhg. Tun akan memberi peluang  pendengaran yang  adil dan saksama kepada saya dan juga kepada pihak  atau pihak-pihak yang  dinamakan dalam perkara ini.Saya yakin Y.A.Bhg.  Tun akan  mempertimbangkannya bukan demi saya seorang, tetapi demi  Keluhuran dan  Kedaulatan Undang-Undang Negara dan demi Keadilan Awam  itu sendiri.  Salam sejahtera.
Yang benar,
t.t.bertarikh:15  April 2009.
(Mat Zain bin Ibrahim)”
10.9.  Namun begitu saya tidak putus asa dalam mengenengahkan  kebenaran ini.  Dalam surat saya kepada YDH Tan Sri Ismail Omar, dalam  perenggan 11,  saya telah membuat “pengistiharan” yang berbunyi  antaranya;
“Tanpa  terpengaruh dengan pendapat pihak-pihak lain mengenai  laporan DSAI  tersebut sama ada telah dibuat secara rasmi atau  sebaliknya, saya,selaku  Pegawai Penyiasat kes mata-lebam tersebut yang  mempunyai pengetahuan  mendalam kes ini mendedahkan pendapat saya  mengenainya seperti berikut  dibawah;
a)Bahawa dakwaan DSAI menyatakan berlakunya  perbuatan memalsukan  keterangan berkaitan laporan kecederaan keatas  dirinya dalam  penyiasatan kes mata-lebam adalah benar dan betul  berlaku.
b)Bahawa terdapat sejumlah 3 (tiga) laporan  perubatan yang telah dipalsukan iaitu;…….”
10.9.1. Saya  turut mengistiharkan bahawa saya serta Pegawai-Pegawai  dalam Pasukan  Penyiasat Khas kes tersebut dan juga pucuk pimpinan PDRM  ketika itu  tidak pernah mensubahati Tan Sri Gani Patail dalam  memalsukan keterangan  terhadap DSAI. Malahan saya menjelaskan bahawa  saya telah mengambil  segala langkah yang perlu (yang dirakamkan dalam  diari penyiasatan saya)  untuk menasihati dan menghalang beliau daripada  melakukan sesuatu yang  menyalahi undang-undang dalam penyiasatan kes  mata lebam tersebut.Saya  telah menasihatkan beliau ketika itu,
 posisi Dr. Rahman yang sedang  dalam siasatan Polis berkaitan satu kes ugutan jenayah keatas seorang  Dr. Abdul Halim Mansar yang  merupakan Pakar Forensik Hospital Kuala  Lumpur yang mula-mula  menyediakan laporan kecederaan keatas DSAI atas  permintaan rasmi saya,  dan penggunaan Dr. Rahman menyediakan laporan  perubatan bertentangan  dengan apa yang telah disediakan oleh Dr. Halim,  akan menyebabkan  “complications” dikemudian hari. Rupa-rupanya Tan Sri  Gani Patail telah  mengambil kesempatan posisi Dr. Rahman sedemikian itu  untuk  mengarahkannya menyediakan sejumlah tiga (3) laporan palsu  berlainan  berkaitan kecederaan DSAI dalam insiden mata-lebam tersebut.  Sekiranya  terdapat mana-mana Pegawai Polis yang telah bersubahat atau  memberi  kemudahan kepada beliau melakukan pemalsuan tersebut, maka  Pegawai  Polis berkenaan telah melakukannya atas sifat peribadi untuk   kepentingan dan faedah persendirian Pegawai berkenaan yang tidak ada   kena mengena dengan pendirian PDRM menangani siasatan kes mata-lebam   ini.
Penggunaan keterangan palsu dalam  perbicaraan Sodomy II.
11. Dalam surat saya  kepada Tan Sri Ismail itu juga saya telah  memberi “isyarat awal”  berkaitan pemerhatian saya mengenai penggunaan  keterangan palsu dalam  perbicaraan Sodomy II yang sedang berjalan.  Keterangan palsu/tidak benar  itu adalah dalam bentuk dua afidavit yang  diikrarkan pada 30.6.2009  oleh dua Pegawai Jabatan Peguam Negara bagi  pihak Pendakwa Raya. Perkara  ini bukan rahsia kerana DSAI sendiri telah  membuat laporan Polis  Travers Rpt:5160/09 pada 21.7.2009 dan membuat  kenyataan akhbar mengenai  laporan ini terhadap, Dato Abdul Razak Musa  Pengarah Pendakwaan dan  Perundangan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya  Hanafiah Hj. Zakaria dari  Jabatan Peguam Negara, seorang Ahli dalam  Pasukan Pendakwaan kes Sodomy  II. Berpeluang meneliti kandungan  dokumen-dokumen tersebut yang berada  dalam public domain itu, serta  mengetahui perkara sabjek yang terkandung  dalam laporan Suruhanjaya  DiRaja berkaitan, saya berpendapat yang  dakwaan DSAI ada kebenarannya  walaupun saya tidak mempunyai ekses lagi  untuk mengetahui hasil  siasatan berkaitan laporan tersebut. Saya  memberikan isyarat awal ini  adalah untuk PDRM mengambil langkah  berjaga-jaga supaya tidak dijadikan  “scape-goat” sekiranya sesuatu yang  buruk berlaku dalam pendakwaan  Sodomy II seperti mana yang menimpa PDRM  dan saya dalam penyiasatan kes  mata-lebam.
12. Hari ini pula,  ketika saya sedang menulis Surat Terbuka ini  kepada Datin, tersiar pula  secara meluas dalam akhbar-akhbar dan blogs  mengenai seorang Rahimi  Osman yang disenaraikan sebagai seorang saksi  pembelaan, menghebahkan  pula yang beliau dipaksa membuat Statutory  Declaration (SD) untuk  mengaitkan Dato Seri Najib dan Datin Seri Rosmah  Mansor dalam kes Sodomy  II, yang melibatkan sahabat beliau Mohd.  Saiful Bukhari Azlan dua tahun  lalu. Dilaporkan pula kononya Rahimi  Osman telah membuat SD yang baru  pula. Ini mengingatkan kita kepada apa  yang dilakukan oleh Private  Investigator Bala dalam kes bunuh  Altantuya.
12.1. Apa sudah  jadi dengan Sistem Keadilan Jenayah kita? 
Seolah BAB XI dalam  Kanun Keseksaan berkaitan Keterangan Palsu dan Kesalahan-Kesalahan  Terhadap Keadilan Awam tidak ujud lagi.  Siapa yang sepatutnya  dipersalahkan? Siapa yang menyebabkan Sistem  Keadilan Jenayah kita  menjadi kucar kacir, sehinggakan sesiapa juga  boleh  mempermain-mainkannya tanpa takut kepada sebarang tindakan dan  hukuman  undang-undang. Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa  keadaan  ini berpunca daripada “precedent” yang dibuat oleh Tan Sri Gani  Patail  dan Tan Sri Musa Hassan sendiri. Jika mereka boleh merekacipta   keterangan palsu dan menggunakan dua daripada tiga laporan yang   dipalsukan itu pula dalam prosiding kehakiman Suruhanjaya DiRaja, dan   kemudian mendabik dada mengatakan mereka bersih daripada sebarang salah   laku jenayah; jika Tan Sri Musa boleh memberi keterangan palsu dalam   perbicaraan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan   oleh seorang Penggubal Undang-Undang YB R. Sivarasa dalam bulan Mac   tahun ini, dan tiada tindakan dikenakan; jika Tan Sri Musa Hassan boleh   mengemukakan Pernyataan Tuntutan yang tidak benar dalam samannya   terhadap DSAI serta menuntut berjuta Ringgit sebagai ganti rugi pula dan   menayangkan pula saman tersebut kepada dunia, maka P.I. Bala dan  Rahimi  Osman juga tidak bimbang akan tindakan undang-undang terhadap  mereka.  Cuma yang tidak bernasib baik, mungkin Brig.Gen (B) Datuk  Mohamad Yasin  Yahya bekas Panglima Brigade Sabah (saya juga tidak  pernah mengenali  beliau) yang telah berpuloh tahun menabur keringatnya  mempertahankan  kedaulatan Negara, akhirnya diaibkan dengan dituduh  memberi keterangan  palsu (walaupun kemudiannya didapati tidak bersalah)  ketika memberi  keterangan di-Mahkamah melibatkan satu kes Dato Ramli  Yusuff.
13.  Memandangkan keadaan terbaru ini,mungkin Dato Shafee ingin  menimbangkan  semula cadangan saya diperenggan 7.16 dan 7.16.1 dalam  Surat Terbuka  ini.
14. Berbalik kepada laporan saya kepada YDH IGP Tan Sri  Ismail Omar  pula, kini terserah kepada budi bicara beliau untuk  mengambil posisi  beliau dalam hal ini, dan lain lain isu yang saya  dedahkan dalam  laporan saya kepada beliau bagi memelihara kewibawaan dan   keberkecualian serta imej PDRM yang tercemar teruk sejak 2006. Saya   yakin YDH Tan Sri akan melakukan sesuatu. Untuk faedah Datin dan juga   pembaca lain yang mungkin berminat membaca Surat Terbuka ini, saya telah   akhiri laporan saya kepada Tan Sri Ismail Omar tersebut itu seperti   diperturunkan dibawah;
“Para 32.
Saya  berharap laporan yang saya kemukakan ini tidak menambahkan  bebanan  masaalah yang berada dalam tangan Tan Sri sekarang ini.Saya  sedar siapa  saya dan kedudukkan saya dalam masyarakat dan saya turut  sedar dengan  siapa saya berhadapan dan apa yang boleh berlaku keatas  diri saya dan  keluarga dengan pendedahan yang saya tonjolkan dalam  laporan ini. Namun  begitu saya turut yakin sebilangan besar rakyat dan  pemimpin Kerajaan  khasnya dalam PDRM yang cintakan keluhuran  undang-undang dan keadilan.  Pada ketika saya berpangkat ACP/SAC II,  saya telah dilonggokkan dengan  keterangan dan bukti daripada Ketua  Polis Negara,Timbalan Ketua Polis  Negara,Pengarah-Pengarah dan Pemimpin  Tertinggi Polis serta Pegawai  sehingga anggota berpangkat Konstabel  mengenai peristiwa insiden  mata-lebam. Dengan bahan bahan tersebut saya  diminta untuk membuat  keputusan sendiri dan seorang diri sama ada  memilih menyelamatkan maruah  PDRM ataupun menyelamat TSRN. Dengan sedih  saya memilih untuk  mencadangkan TSRN, seorang yang saya sanjung tinggi  sebagai seorang  ketua, sahabat dan juga kawan keluarga dituduh dibawah  Seksyen 323 Kanun  Keseksaan. Saya Cuma berharap saya telah melakukan  sesuatu yang saksama  kepada beliau. Kini saya memohon maaf kerana  melonggokkan pula bahan  serupa dan meletakkan Tan Sri didalam situasi  yang sama, yang saya  berada 12 tahun lalu. Saya turut berharap situasi  yang kita alami adalah  yang terakhir buat PDRM.
Para 33.
Akhirkata  saya mendoakan Tan Sri sentiasa berada dalam  kesejahteraan dan  kesihatan untuk seterusnya memimpin Pasukan Polis Di  Raja Malaysia  kearah kecermelangan dan kegemilangan serta dihurmati  sepertimana yang  pernah dinikmati dalam era sebelum 2006.
Wassalam.
Bth:6  Mei 2010.
PENUTUP
15.  Saya sedar bahawa Surat Terbuka saya ini akan mengundang respon  yang  positif dan juga negative. Sesiapa pun mempunyai hak untuk  meluahkan  pendapatnya dan saya bersedia menerimanya dengan fikiran  terbuka. Apa  pun saya mengambil tanggung jawab sepenuhnya mengenai  penulisan saya  ini. Saya sedar akan risiko dan konsekuennya.
16. Saya akan  mengirimkan salinan pertama menerusi email kepada  Datin, manakala  salinan yang mengandungi tandatangan saya, akan dikirim  pos.
17.  Sekali lagi saya menyusun sepuloh jari memohon jutaan maaf jika   terdapat kata-kata saya yang menyinggung perasaan Datin. Salam hurmat   saya buat Dato Shafee Yahaya dan keluarga.
Terima Kasih ikhlas  saya kepada Y.Bhg. Datin kerana memberi semangat kepada saya dengan  menonjolkan
 Surah Al Baqarah 2:24; “And mix not truth with  falsehood, nor conceal the truth while you know (the truth).  Sempena dengan hari terakhir Shawal yang mulia ini saya sekeluarga   mengucapkan Selamat Eidul Fitri, maaf zahir dan batin untuk YBhg. Datin   sekeluarga.
Wassalam.
Yang Benar,
t.t
(MAT ZAIN BIN IBRAHIM)
8 hb Oktober 2010.