Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN Sepanjan g  kembara dalam dunia penulisan sejak 30 tahun lalu, akhbar Siasah  mempunyai posisi istimewa di hati saya. Berbeza dengan Harakah (lidah  rasmi PAS) dan akhbar-akhbar tidak berkala yang saya terpaksa terbitkan  selepas majalah Detik dan Al-Wasilah diharamkan Kementerian Dalam Negeri  (KDN), Siasah bukan sahaja lebih bebas untuk beredar di pasaran tetapi  sidang editorialnya juga kurang "diganggu"
g  kembara dalam dunia penulisan sejak 30 tahun lalu, akhbar Siasah  mempunyai posisi istimewa di hati saya. Berbeza dengan Harakah (lidah  rasmi PAS) dan akhbar-akhbar tidak berkala yang saya terpaksa terbitkan  selepas majalah Detik dan Al-Wasilah diharamkan Kementerian Dalam Negeri  (KDN), Siasah bukan sahaja lebih bebas untuk beredar di pasaran tetapi  sidang editorialnya juga kurang "diganggu" 
Harakah  terbatas hanya untuk ahli-ahli PAS sahaja. Sekurang-kurangnya itulah  kehendak peraturan yang ditentukan KDN dan boleh diperketatkan dari masa  ke semasa. 
Bagaimanapun, sukar untuk dipastikan  apakah  KDN kurang berupaya untuk menguatkuasakan undang-undang yang  tidak munasabah itu atau sememangnya ia terpaksa "memejam mata" -- atas  pertimbangan politik -- melihat Harakah bebas dijual di pasaran terbuka. 
Manakala tabloid tidak berkala, yang judulnya terpaksa berubah-ubah -- daripada Haraki kepada Alternatif, Reformasi, Memo, dan hampir 30 nama-nama berbeza -- bukan sahaja terdedah kepada risiko rampasan KDN, malah berdepan karenah pihak pengedar. 
Mengusahakan  sebuah syarikat penerbitan yang tertumpu kepada makalah-makalah politik  bukan hanya memerlukan komitmen tinggi daripada segi semangat dan  keazaman, tetapi lebih pent

ing adalah memastikan elemen perniagaan juga dapat dikendalikan dengan baik.
Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama Mohd Sayuti Omar membidani kelahiran Siasah,  melihatnya bertatih dan memimpinnya untuk berjalan, seterusnya berlari  mendepani dugaan. Dibantu tiga pemberita muda, kami cuba merealisasikan  impian dan idealisme luhur kewartawanan. Agak kerap juga target "deadline" tersasar. 
Sebagai wartawan yang dibesarkan dalam lingkungan Harakah dan sentiasa menerima tekanan KDN, memang sukar untuk saya menentukan agar Siasah tidak dilihat begitu memihak kepada kumpulan atau parti tertentu.  
Walaupun secara teorinya Siasah tidak menghadapi masalah untuk dipasarkan di mana-mana sahaja, rintangannya datang dalam bentuk berlainan. Seorang editor Harakah mungkin lebih bebas memilih bahan untuk siaran, termasuk yang sensasi dan kontroversi, namun ia tidak semudah itu di Siasah. "Kecondongannya" sentiasa diperhatikan. 
Ya,  bukankah  dunia kewartawanan Malaysia penuh dengan pantang larang,  'kan? Apatah lagi mauduk perbincangan tentang perkara paling sensitif,  iaitu siasah atau politik!
Malang sekali, iklim  kebebasan media di negara kita jarang menyediakan ruang dan peluang  selesa untuk berkarya. Pelbagai sekatan dan kongkongan -- sebahagiannya  secara terselindung -- menghimpit daya kreativiti dan menumpulkan  semangat. 
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP)  bukan sahaja mensyaratkan setiap penerbitan berkala memerlukan permit  penerbitan, tetapi lebih buruk, pihak menteri mempunyai kuasa mutlak  untuk menolak permohonan, menggantung dan mengharamkan permit sedia ada.  Dan semuanya boleh dilakukan tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
Ketika AMCP mengamuk bagi memperlahankan momentum reformasi 1998 dan mengawal impak keputusan pilihan raya umum 1999, majalah Detik yang saya "sewa" permitnya daripada rakan karib, Allahyarham Samsuri Roslan, diharamkan. 
 (Ahmad Lutfi semasa menziarahi Allahyarham Samsuri, yang diserang angin ahmar, di Hospital Ipoh)
(Ahmad Lutfi semasa menziarahi Allahyarham Samsuri, yang diserang angin ahmar, di Hospital Ipoh)
Buku-buku  politik popular yang  melambak di pasaran, bagai cendawan tumbuh  selepas hujan, diperhatikan penuh minat oleh pihak berkuasa. Beberapa  kesalahan kecil, seperti tidak meletakkan alamat pencetak, sudah cukup  untuk membuatkan buku saya dirampas. Kaset dan VCD ceramah reformasi  turut disekat. 
Saya memberanikan diri mengasaskan  NGO media, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi mempromosi dan  melobi idea-idea kebebasan akhbar. Ibu pejabat sementara Suhakam di  perkarangan Wiswa Putera, yang baru dilancarkan, menjadi destinasi untuk  meluahkan amarah dan rasa tidak puas hati. 
Naib  Pengerusi Suhakam, Allahyarham Harun Hashim, bersama tiga pesuruhjaya  lainnya, Zainah Anwar, Hamdan Adnan dan Mehrun Siraj kemudiannya  bersetuju mengadakan dialog dengan 15 wakil KAMI di sebuah hotel  bersebelahan PWTC. 

Secara peribadi, saya mula memohon permit penerbitan pada penghujung 1980-an, semasa menjadi pemberita di Harakah. Ketika itu saya ditugaskan oleh Pengarang Harakah, Zin Mahmud (sekarang Pengarang Mingguan Malaysia), menumpukan liputan kepada kegiatan mahasiswa dan aktiviti kampus. 
Kebetulan  semasa di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), saya pernah  diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PMUTM dan berkesempatan  berinteraksi serta "bertembung" dengan dua Menteri Pelajaran  (Pendidikan), Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim. 
Demonstrasi  mahasiswa Universiti Malaya pada malam Pesta Konvo 1989 memang  mengejutkan. Ratusan pelajar, lelaki dan wanita, berkumpul selepas solat  hajat di kawasan lapang, menuntut konsert Sheila Majid yang berlangsung  di Dewan Tunku Canselor malam itu dibatalkan. 
Sebenarnya mereka bukanlah antihiburan seperti didakwa pihak tertentu tetapi mahu meluahkan protes ke atas sikap double standard pentadbiran universiti; program keilmuan yang memupuk daya intelektual disekat tetapi aktiviti huburan mudah diluluskan.
Saya  sebut "mengejutkan" kerana para mahasiswa ini langsung tidak berganjak  walaupun selepas diberikan amaran berulang kali supaya bersurai oleh  pihak polis. 
Autonomi universiti -- yang sudah  dicabuli sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dipinda pada  1975 -- tambah parah dengan tindakan pasukan keselamatan menangkap  penunjuk perasaan secara kasar. 
Kasihankan  pelajar yang mungkin terpaksa merengkok dalam lokap, maka saya menjadi  penjamin kepada salah seorang daripada mereka, yang saya tidak pernah  kenal sehingga hari ini.    
Seminggu kemudian,  ketika mahu memperbaharui jaminan ke atas pelajar berkenaan di Balai  Polis Brickfield, saya ditahan ISA dan dihantar ke Kem Batu Kentomen,  Jalan Ipoh. Serentak itu, KDN menyenarai-hitamkan nama saya daripada  diberikan permit penerbitan. 
Tragedi dipecat UTM  selepas menamatkan pengajian selama lima tahun dan seterusnya berehat  sekejap di "universiti kedua" bukannya kisah sedih yang perlu ditangisi,  malah ia merupakan di antara koleksi pengalaman hidup yang cukup  bermakna.
Mendekati penderitaan keluarga tahanan  ISA dan merasai kesukaran mereka dari dekat cukup menggelisahkan  sehinggalah saya menubuhkan tabung bantuan yang disumbangkan pembaca Harakah.  Rakyat Malaysia memang pemurah. Rasanya, lebih sejuta ringgit berjaya  kami kumpul dan agihkan. Sempat juga saya berkunjung dua kali ke Sabah  bagi menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang teraniaya itu.  
Siasah  juga mengingatkan saya tentang kematian. Secara tiba-tiba anak kedua  saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, meninggal dunia, pada 1 Ramadan 2005,  tanpa didahului sebarang petanda penyakit serius. Detik-detik itu cukup  menyentuh dan menghiris. Berbekas sampai bila-bila. 
Sempat saya rakamkan peristiwa itu dalam Siasah secara spontan, "Perginya Jantung Hati Kami ..."  Tulisan penuh emosi itu mendapat reaksi pelbagai, termasuk menemukan  kembali saya dengan teman-teman lama dan bekas guru yang terharu dengan  catatan itu.   
Azam untuk menghidupkan kembali  kolum "Simpul Mati" ini pastinya tidak mudah. Apa pun saya cuba  berbicara lebih santai berbanding ruang tetap dalam Harakah.  Saya berhasrat untuk berkongsi cerita dan pengalaman, yang sebahagiannya  belum tertulis. Sebenarnya banyak babak dalam kehidupan kita, yang  mungkin dilihat remeh, tetapi sebenarnya mampu mendorong atau menyuntik  inspirasi buat orang lain. Insya-Allah, jumpa lagi ... 
--------