Filem Terkini di Pawagam: 'YB Tak Sayang Nyawa?'

Filem 'YB Tak Sayang Nyawa' terbitan Ganu M otion Pictures menerima kritikan hebat dari penonton dan pengulas filem sebaik sahaja ditayangkan minggu ini. Filem komedi-seram (comedy-thriller) mengenai sepuluh samseng penyeludup belacan dari Siam itu dianggap 'murahan' dan 'memualkan' menurut pensyarah filem Universiti Malaya Dr Hasan Abu Hasnullah.



Selain itu, antara adegan yang dikritik teruk oleh pengkritik ialah adegan sepuluh samseng tersebut memulaukan mesyuarat kongsi gelap mereka setelah bimbang menerima ugutan misteri: "Yang, Belacan tak sayang nyawa?"

Blogger filem terkenal 'Sultan Sulu' merungut dalam ulasannya, dipetik; 'Pengarah sekali lagi gagal memaparkan elemen kejutan dan unik, malah saya berpendapat filem pertama beliau mengenai penderhakaan beberapa hulubalang yang bertajuk 'Kami Nak Mat Yeh Lah Natang' jauh lebih seram.'

Pengarah filem terkenal UU-Pei pula menyifatkan filem itu gagal mengenengahkan elemen suspen yang sepatutnya ada dalam sesebuah filem bercorak aksi-seram. Antara plot yang dianggap tidak suspen dan longgar ialah apabila sepuluh samseng tersebut terkincit bersembunyi di beberapa buah resort, kelab dangdut dan bawah jambatan setelah bimbang keselamatan mereka tidak terjamin. UU-Pei mengatakan, "Saya tak faham apasal mereka tak pasal-pasal terkemut lari sedangkan tiada pun dorongan antagonis dalam filem."

Filem arahan Hans Enoch Jason itu juga turut diselar oleh rancangan Gala TV yang mengulasnya sebagai: 'Filem ini sepatutnya memaparkan kisah mengenai sepuluh samseng yang tidak berpuas hati dengan ketua kongsi gelap penyeludupan belacan, yang didakwa mendapat kuasa secara pintu belakang. Tetapi ia ternyata menjengkelkan kerana sepuluh samseng itu dipaparkan sebagai lemah, penakut malah akhirnya melutut ketakutan setelah disergah.'

Pengulas filem Faisal Tehrani bagaimanapun berpandangan lakonan mantap ketua samseng Zainudin Kemamang menyelamatkan filem tersebut. Beliau menyatakan di dalam kolumnya di akhbar tempatan, 'Saya tidak akan bermulut lancang untuk filem ini. Saya rasa ada unsur komedi yang seronok dan menghiburkan. Meskipun tidak mengucapkan banyak dialog, lakonan protagonis ketika menuturkan dialog 'pango, takdok gamok lah mano eh' sebagai sungguh berkesan dan memungkinkan pelakon tersebut dicalonkan untuk senarai akhir Anugerah Skrin. Saya malah beranggapan ia menyamai lakonan Marlon Brando dalam filem God Father.'

Di sebalik kekurangan dari aspek naratif, filem 'YB, Tak Sayang Nyawa' berjaya memaparkan sinematografi yang menakjubkan. Antara latar menarik sekitar Trengganu yang diketengahkan ialah Tepuh, Kuala Berang, Permaisuri, Bukit Besi, Ajil, Alor Limbat, Paka, Jabi, dan Kota Putera. Sebahagian besar penggambaran dilakukan di Jertih. Satu-satunya adegan di luar Trengganu ialah apabila sepuluh samseng tersebut bersiar-siar mengunjungi Putra Jaya. Filem 'YB Tak Sayang Nyawa' turut menampilkan lagu tema 'Kita Lihat Penyu Telor' nyanyian Mek Jah.
http://tehranifaisal.blogspot.com/

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.