Rugi RM150,000 gara-gara idam jadi jutawan
-dipetik dari Borneo Post Online.
MIRI: Angan-angan seorang lelaki mahu menjadi jutawan segera hancur berkecai selepas mendapati kotak yang dijampi oleh seorang bomoh rupa-rupanya hanya mengandungi duit hantu (berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina).
Mangsa bukan sahaja ditipu dengan pulangan RM3 juta yang kononnya disimpan dalam kotak malahan wang simpanannya sebanyak RM150,000 yang dijadikan pendahuluan lesap sekelip mata.
Menurut mangsa, dia telah diperkenalkan oleh kawannya kepada seorang bomoh yang dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu mampu menggandakan duit dalam tempoh beberapa hari.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa telah dibawa berjumpa dengan bomoh berkenaan di dalam sebuah bilik hotel bajet sebelum menyaksikan ‘pertunjukan sakti’ iaitu kemunculan berjuta-juta wang di bahagian dinding dan tingkap.
Terpersona dengan pertunjukan itu, mangsa pada keesokan harinya terus mengeluarkan wang simpanan RM150,000 daripada bank dan menyerahkannya kepada bomoh berkenaan.
Bomoh itu kemudian menyerahkan sebuah kotak kertas yang didakwa akan mengeluarkan wang RM3 juta dengan syarat tidak membukanya dalam tempoh tiga hari.
Selepas tiga hari, mangsa kemudian membuka kotak tersebut dan alangkah terkejutnya dia kerana mendapati kotak itu hanya mengandungi duit hantu kepercayaan Cina yang ditutup menggunakan wang RM50 untuk mengaburi matanya.
Menyedari tertipu, mangsa Jumaat lalu membuat laporan polis di Balai Polis Miri yang membawa kepada penangkapan tiga lelaki berusia 40, 20 dan 30 tahun di sebuah bilik hotel bajet pagi semalam dipercayai terbabit dalam sindiket penipuaan mengguna-kan bomoh.
Setakat ini pihak polis masih mengesan ketua sindiket yang menyamar sebagai bomoh.
---------------------------------------------------------------
Ulasan Penerangan: Rakyat jangan mudah terpedaya dengan perkara-perkara seperti ini. Tidak ada istilah 'instant' dalam nak jadi kaya. Adalah tidak adil kalau orang lain bersengkang mata pagi petang nak kumpul 'sen' jadi kaya tetapi kita cuma minta tolong bomoh dengan sebarang-dua pengeras untuk jadi kaya instant? Lagipun, kaya cepat dengan cara pakai bomoh ini tidak seberapa nikmat yang terasa. Ibarat mudah, mi kolok yang dibeli di Benteng Satok adalah lebih sedap berbanding mi segera yang direndam dalam air panas selama tiga minit. Baik yang muslim ataupun yang bukan muslim, carilah harta dengan cara yang sepatutnya dan janganlah mudah terpedaya dengan skill perbomohan ini. Lebih-lebih lagi apabila seorang Muslim itu menggunakan bomoh, syirik hukumnya. Kalau jumpa bomoh dengan tujuan saja-saja boleh menyebabkan sembahyang tidak diterima selama 40 hari, apatah lagi kalau dah menggunakan khidmat bomoh tersebut? Na'dzubillahimindzalik.
Khuatir juga, sekarang bomoh. Esok-esok takut-takut ada pula yang mengaku sebagai wakil kerajaan Langit cawangan Sarawak...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan