Sesi meja bulat bincang UPSR, PMR 19 dan 27 Julai

July 05, 2010KUALA LUMPUR, 5 Julai – Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 19 dan 27 Julai ini.




“Rumusan perbincangan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Ogos ini,” kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Beliau berkata perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai ini dikhususkan untuk wakil pendidik, termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.



“Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini,” katanya.



Katanya beliau berharap pandangan menyeluruh berkaitan dengan pemansuhan UPSR dan PMR dari setiap lapisan masyarakat akan dapat dihasilkan melalui perbincangan meja bulat itu.



“Pemantauan terhadap pandangan orang ramai melalui media cetak dan elektronik akan terus dilakukan oleh pihak kementerian dan buat masa ini banyak pandangan serta pendapat sudah dikumpulkan dan ini akan diambil kira semasa perbincangan meja bulat,” katanya.



Orang ramai yang berminat masih boleh mengemukakan pandangan melalui khidmat pelanggan Kementerian Pelajaran di alamat kpkpm@moe.gov.my atau alimuddin.dom@moe.gov.my. – Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.