Asri jawab Anwar: ‘Tiada siapa guna saya, kita tetap saudara Muslim’

November 09, 2010
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau tidak digunakan oleh mana-mana pihak khususnya Umno-BN atau Datuk Zaid Ibrahim, yang menjadi tumpuan kontroversi sekarang, apabila memberi pandangan agar dinosaur politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersara daripada politik.
Malah kata bekas mufti Perlis itu, beliau secara peribadi tidak memusuhi Anwar, yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, bahkan bersimpati dengan keadaan beliau sekarang.
“Datuk Seri sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan Datuk Seri. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi Datuk Seri.
“Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang,” kata Asri (gambar) dalam tulisan terbaru menerusi blognya hari ini.
Tulisan ini merupakan yang ketiga berkisar mengenai isu saranan beliau agar dinosaur-dinosaur politik bersara daripada politik dan memberi laluan kepada generasi muda kerana rentak mereka sudah sesuai dengan keadaan semasa.
Saranan itu menjadi perhatian 1 November lalu apabila menyebut nama Anwar, yang juga penasihat PKR.
Malah saranan itu dikecam oleh segelintir pemimpin PKR secara terbuka dengan menyifatkan Asri sebagai tidak “realistik.”
“Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara Muslim,” kata Asri dalam tulisan di bawah tajuk “surat terbuka untuk Yang Berhormat DSAI”.
Asri memberikan pandangan terbaru ini selepas reaksi Anwar berhubung kenyataan Datuk Zaid Ibrahim pagi tadi meminta Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berundur daripada memimpin PKR.
Zaid juga memita pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar turut keluar PKR bersama Anwar demi menyelamatkan parti itu dan Pakatan Rakyat.
“Saya baru sahaja membaca kenyataan Datuk Seri bahawa kenyataan (Zaid) menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid yang membuat gesaan yang sama.
“Datuk Seri menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat,” katanya.
Dalam penjelasan kepada Anwar yang dipercayai tersinggung dengan pandangannya minggu lalu, Asri berkata, biasanya apabila ingin melontarkan pandangan politik besar, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang baginya tajam dan kritis.
“Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral.
“Tapi dalam isu ‘pengunduran Datuk Seri’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya.
“Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid,” katanya.
Asri, yang kini mengajar di Universiti Sains Malaysia berkata, pada awalnya moderator Minda Tajdid sendiri pun risau.
“Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar,” katanya.
Asri menambah, “seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari laman web saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam laman web saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’.”
“Bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan,” katanya lagi.
Asri meneruskan penjelasan dengan menulis bahawa “saya pun tidak tahu bahawa Datuk Zaid dan Mustaffa Kamil akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu.
“Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka,” katanya.
Menyentuh soal keupayaan kepimpinan, Asri pula berkata, bagi beliau jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, tetapi banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira.
“Salah satu unsur yang penting, kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.
“Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh, katanya sambil mengakui bahawa negara tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan.
“Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternatif pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya,” kata Asri.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.