Peniaga Sorok Telur, Punca Bekalan Tidak Cukup

dipetik dari Borneo Post

Mereka sengaja berbuat demikian pada musim perayaan dengan harapan dapat naik harga: Rohani

MIRI: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim menafikan bahawa bekalan telur di negeri ini adalah tidak mencukupi sebaliknya ia berpunca daripada sikap peniaga yang sengaja menyorok barang kawalan itu.

Beliau berkata, ada segelintir peniaga sengaja menyorok barang kawalan terutamanya pada musim perayaan dengan harapan untuk menaikkan harga komoditi itu bagi mencari keuntungan lebih.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan telur di negeri ini namun sekiranya ia berlaku, maka kementerian ini akan mencari jalan penyelesaian termasuk membawa masuk bekalan telur dari luar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan 2009 di sini semalam.

Hadir sama di majlis itu ialah penaung Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing, ADUN Pujut, Andy Chia, Pengarah FAMA Sarawak, Paza Dan serta Presiden PBMS, Abdul Hadie Arbi.

Menurut Rohani lagi, kenaikan harga telur ketika ini bukan disebabkan masalah kekurangan bekalan sebaliknya harga komoditi itu telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Kita akan mencari masalah sebenar untuk menentukan sama ada bekalan itu mencukupi atau sebaliknya. Kita bimbang jika kekurangan bekalan komoditi ini adalah berpunca daripada tindakan (peniaga) menyorokkan bekalan telur,” katanya lagi.

Rohani memberitahu, kementeriannya akan bekerjasama dengan KPDNKK untuk memantau bekalan dan harga komoditi itu bagi memastikan ia mencukupi sehingga musim perayaan akan datang.

“Kita juga ingin menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga telur dengan sewenang-wenangnya pada musim perayaan kerana ia akan membawa kesan kepada kenaikan harga makanan,” katanya.

Rohani menambah, kementeriannya juga akan memastikan bekalan telur termasuk barang komoditi lain seperti ayam dan kelapa mencukupi di seluruh negara.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.