dipetik dari Borneo Post Online
Stok bekalan antiviral (Tamiflu dan Relenza) cukup dan akan ditambah untuk pastikan lebih ramai pesakit mendapatkan bagi mengawal penularan wabak
KUCHING: Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Zulkifli Jantan memberi jaminan stok bekalan antiviral (Tamiflu dan Relenza) yang digunakan bagi mengawal penularan wabak Influenza A (H1N1) di hospital itu mencukupi.
Beliau yang dihubungi Utusan Borneo semalam juga memberitahu HUS telah dibekalkan dengan antiviral itu pada jumlah yang banyak sebelum ini dan stok bekalan akan ditambah dalam waktu terdekat ini bagi memastikan lebih ramai pesakit dapat diberikan antiviral berkenaan.
“Dari segi stok bekalan antiviral ini, HUS tidak menghadapi masalah dan kita sudah lama dibekalkan dengan antiviral ini,” katanya tanpa menyatakan tarikh serta jumlah stok yang diterima.
“Saya yakin ia mencukupi bagi menampung keperluan pesakit tambahan.
“Kementerian Kesihatan akan menambah stok bekalan dan kita (HUS) pasti akan mendapat bekalan tambahan,” tambahnya lagi.
Dr zulkifli juga memberitahu stok bekalan antiviral di semua hospital terutamanya milik kerajaan di negeri ini mencukupi.
Beliau bagaimanapun menasihati orang ramai terutamanya yang berisiko tinggi seperti wanita hamil, pesakit asma, pesakit kencing manis, kanak-kanak berusia kurang lima tahun serta mereka mempunyai sistem imunisasi lemah agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan diri dan mengelak berada di kawasan sesak.
“Ramai orang beranggapan dengan mengambil antiviral ini mereka tidak akan dijangkiti penyakit berkenaan.
“Mereka silap… antiviral ini tidak boleh mencegah jangkitan sebaliknya digunakan bagi membuat saringan awal dan merawat jangkitan Influenza A (H1N1),” jelasnya.
Isnin lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menambah bekalan antiviral Tamiflu dan Relenza sebagai langkah segera mengawal penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.
Najib berkata stok antiviral berkenaan akan ditambah 10 peratus lagi daripada jumlah penduduk negara menjadikannya 20 peratus agar lebih ramai rakyat mendapat suntikan antiviral itu.
Menurutnya lagi antiviral itu akan dibekalkan secara meluas ke semua hospital dan klinik kerajaan yang mempunyai pegawai perubatan termasuk 22 klinik swasta di seluruh negara.
Sementara itu kelmarin Sarawak merekodkan tiga lagi kematian akibat wabak H1N1 bagaimanapun dua daripada kes itu masih menunggu keputusan ujian klinikal sama ada ia positif H1N1 atau sebaliknya.
Mangsa korban keempat penyakit maut itu adalah seorang wanita mengandung berusia 18 tahun dari Miri.
Mangsa pertama di negeri ini iaitu pada 3 Ogos lepas juga melibatkan seorang wanita dari Miri yang meninggal dunia selepas dua minggu melahirkan anak perempuannya.
Kes kedua juga melibatkan wanita mengandung berusia 26 tahun dari Sri Aman manakala kes ketiga seorang lelaki berusia 48 tahun dari Kuching.
Sekiranya dua kematian terbaru melibatkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Mukah dan warga emas 65 tahun dari Kuching disahkan positif H1N1, Sarawak mencatatkan lima kematian akibat wabak berkenaan.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Ulasan Penerangan: AlhamduliLlah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan