Budaya Aduan Rasuah Masih Guna Surat Layang

dipetik daripada Borneo Post Online

Oleh Rosemaria Buma

Hanya 0.1 peratus daripada 4,105 aduan rasuah di Sarawak kes benar dan boleh disiasat

MIRI: Budaya pengaduan kes membabitkan rasuah di Sarawak yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menggunakan surat layang dan panggilan daripada pemanggil yang enggan menyebut identitinya.

Pengarah SPRM Sarawak, Samsiah Abu Bakar berkata daripada 4,105 aduan yang diterima dari pemanggil tidak diketahui identiti, hanya 0.1 peratus sahaja merupakan aduan kes benar dan boleh disiasat.

“Ini bermakna 99.9 peratus lagi adalah aduan palsu,” jelas beliau sambil memberitahu jumlah aduan itu direkodkan sejak 2004 hingga tahun ini.

Katanya faktor atau masalah keengganan orang awam tampil sendiri di pejabat SPRM membuat aduan berhubung sesuatu kes rasuah merupakan cabaran dan kekangan utama mereka dalam membanteras kegiatan rasuah di negeri ini.

“Bila berlaku situasi seperti ini, ia seolah-olah memberi lebih banyak ruang berlakunya rasuah dalam masyarakat kita,” ujar beliau lanjut.

Samsiah memberitahu demikian ketika menyampaikan taklimat tentang struktur pentadbiran SPRM Sarawak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Seri Abdul Aziz yang melawat ke pejabat SPRM Miri di sini petang semalam.

Ikut serta dalam rombongan lawatan itu ialah Timbalan Menteri di JPM Datuk Liew Vui Keong dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM Datuk Abdullah Saini Ab. Hamid.

Justeru menurut Samsiah, bagi mengatasi kekangan seperti ini, beliau terpaksa menyusun beberapa strategi baru termasuk turun padang dan mengadakan Klinik Pencegah Rasuah dengan membuka kaunter-kaunter di kompleks membeli-belah untuk menerangkan lagi fungsi SPRM kepada orang awam.

Dalam pada itu menurut beliau, jumlah kakitangan yang hanya seramai 104 untuk mengendalikan kes-kes rasuah di negeri sebesar Sarawak yang hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia juga merupakan cabaran SPRM Sarawak.

Justeru katanya, pada tahun 2015 SPRM memerlukan tambahan 150 peratus lagi kakitangan.

Samsiah berkata tambahan kakitangan ini perlu memandangkan dalam tempoh empat ke lima tahun akan datang, SPRM bakal memiliki bangunan sendiri di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang serta Pusat Informasi SPRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Macam mana hendak harapkan orang awam untuk tampil mendedahkan identiti sendiri untuk melaporkan kes rasuah jika pihak kerajaan tidak mampu untuk memberikan jaminan keselamatan orang yang melaporkan. Tambahan pula, kredibiliti SPRM kini yang semakin dipertikaikan, takut-takut di dalamnya juga terlibat sama.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.