30/01/2011
JAKARTA — Mayat S. Yagneswaran, pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Padang, Sumatera Barat, Jumaat lepas dibawa pulang ke Malaysia dari sini petang tadi dengan pesawat Garuda.
Mengiringi mayat itu ialah bapanya, agen pelajar dan pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Ludinata Misnum.
Mayat dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 8.20 malam ini.
Pengarah MSD Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar dan Pegawai Imigresen Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Cengkareng sebelum itu telah menguruskan pemindahan mayat mendiang dari sebuah pesawat lain sejurus tiba dari Padang petang tadi ke pesawat untuk penerbangan ke Kuala Lumpur.
Dr. Junaidy berkata, di KLIA, selain para anggota keluarga, pegawai Kementerian Pengajian Tinggi dan Wisma Putra akan turut menunggu ketibaan mayat Yagneswaran sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Klang, Selangor. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan