Pengundi Melayu hilang keyakinan terhadap PR yg diterajui oleh Dato’ Seri Anwar

Oleh: setisab

"Pilihanraya kecil kawasan DUN Tenang pada 30 Januari telah berakhir dengan kemenangan calon BN ke atas calon PAS, seperti yang telah dijangkakan oleh banyak pihak.


Ini adalah berasaskan hakikat bahawa kawasan tersebut memang telah sebegitu lama asyik memilih wakil dari Umno/BN ke DUN Johor dan juga terdapat tiga penempatan FELDA yang merupakan kubu kuat Umno di dalam kawasan tersebut.


Bagaimanapun, memandangkan penurunan mendadak majoriti kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008, iaitu lebih kurang 2,500 undi daripada lebih 5,000 semasa pilihan raya 2004, maka Pakatan Rakyat (PR), yang diwakili oleh calon dari PAS, beranggapan bahawa terdapat peluang untuk membuat kejutan.

Ini pula berdasarkan faktor terdapatnya peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi iaitu 52%, berbanding pengundi Melayu sebanyak 48%. Walaupun kawasan tersebut secara tradisinya mempunyai ahli parlimen MCA dan mempunyai reputasi sebagai kubu MCA, PRU 12 telah melihat ramai pengundi Cina dan India memberi undi kepada calon PAS. Peratusan pengundi Cina yang berbuat demikian adalah 64% manakala bagi pengundi India peratusan mengundi PAS adalah 50%.

Faktor tambahan yang menambahkan harapan PAS untuk menang adalah calon parti itu seorang anak tempatan yang pernah bekerja sebagai guru di kawasan tersebut dan sudah dikenali dan disenangi ramai.

Walau tidak menang sekalipun, adalah juga harapan PAS dan PR untuk sekurang-kurangnya terus menguncupkan lagi majoriti kemenangan BN dari 2,500 undi yang diraih semasa PRU 12.

Keputusan pilihan raya kecil Tenang setelah diumumkan secara rasmi amat mengecewakan bagi PAS.

Undi PAS telah mendadak turun dari 2,992 berbanding 3,875 yang didapati dalam PRU 12. Ini adalah penurunan 883 undi atau sebanyak 23% dari pilihan raya sebelumnya.

Peralihan sokongan besar-besaran pengundi Cina dari BN ke PAS telah tidak menjadi kenyataan. Peralihan inilah yang diharap-harapkan sangat oleh PAS dan PR bagi menembus kubu BN tersebut. Peratusan pengundi Cina yang mengundi PAS adalah dianggar 64%, sama seperti yang berlaku semasa PRU 12.

Manakala bagi pengundi Melayu, peratusan yang memberi sokongan kepada BN naik sebanyak 4% kepada 83.3% berbanding PRU 12. Pengundi India juga naik peratusannya yang mengundi BN iaitu lebih 80% berbanding hanya 50% semasa PRU 12.

Penurunan sokongan kepada PAS secara drastik ini tidak diramal langsung sebelum pilihan raya kecil ini.

Satu-satunya kesimpulan yang mungkin boleh dibuat berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Tenang ini ialah sokongan kepada pembangkang sebelum ini bukanlah bersifat tegar.

Berpunca dari ketidakpuasan hati dan marah yang amat sangat di kalangan para pengundi terhadap kerajaan BN yang diterajui oleh Abdullah Badawi, ‘tsunami’ PRU 12 telah berlaku di mana ramai calon parti pembangkang telah meraih banyak undi dari orang yang sebelum itu tidak pernah mengundi parti pembangkang. Ini juga telah terjadi di Tenang pada Mac 2008, walaupun calon pembangkang tidak menang.

Pada pilihan raya kecil Tenang kali ini, pengundi mungkin telah melihat dan sedar bahawa Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS adalah satu pakatan politik yang serba lemah dan kurang mantap. Statistik kawasan peti undi menunjukkan 11 dari 12 kawasan peti undi telah dimenangi oleh BN berbanding hanya 9 dari 12 semasa PRU 12. Pengundi yang dahulunya mengundi PAS memilih untuk tidak memberi sokongan kepada parti itu lagi.

Kelemahan yang terdapat di dalam PR dan kurang mantapnya pakatan itu sebagai satu gabungan politik pada dasarnya adalah berpunca dari kelemahan pimpinan di dalam PKR. Pucuk pimpinan parti itulah yang yang sering disebut-sebut sebagai faktor penggandingan kesefahaman dan halatuju di antara parti-parti lain yakni PAS dan DAP yang menganggotai pakatan tersebut. Pimpinan PKR yang lemah dan telah tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk menangani permasalahan dan percanggahan yang telah timbul dan mungkin akan terus timbul di dalam permuafakatan politik itu memberi kesan negatif kepada PR. Juga masalah dalaman PKR dan dalam negeri Selangor yang diperintahnya memberi gambaran negatif kepada umum. Para pengundi mungkin telah melihat akan kelemahan ini dan di Tenang, PASlah yang telah menerima penangan dan tempiasnya.

Sekiranya dilihat ‘trend’ di kalangan pengundi muda pula, penunjuk dari Tenang juga pasti tidak menggembirakan PAS dan PR.

Pengundi muda kerap dilaung-laungkan sebagai segmen pengundi yang lazimnya menerima dan menyokong mesej perubahan yang dibawa oleh PR. Bagaimanapun, di Tenang, analisa saluran undi di kawasan-kawasan peti undi menunjukkan sokongan terhadap PR di kalangan pengundi muda telah jatuh mendadak dan bertambah pula untuk BN. Ini adalah sesuatu yang PAS dan PR perlu beri perhatian serius oleh sebab perubahan selera pengundi muda ini adalah tidak dijangka dan mungkin diulangi di kawasan-kawasan dan negeri-negeri lain.

Majoriti kemenangan BN sebanyak 3,707 undi, 63% darinya telah didapati dari tiga kawasan Felda iaitu Felda Tenang, Felda Chempelak dan Felda Chempelak Barat yang rata-rata adalah kawasan pengundi Melayu. Mengambilkira keseluruhan 83.3% undi Melayu yang diraih BN, satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat adalah pengundi Melayu tidak ada ataupun telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap PR dan kepimpinannya yang diterajui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tidak menganggap PR sebagai satu alternatif yang mantap dan berupaya untuk memerintah negara oleh sebab kelemahan kepimpinannya dan ketiadaan kesungguhan di kalangan pemimpinnya untuk memantapkan pakatan itu untuk menjadi satu gabungan politik yang tulin dalam erti katanya yang sepenuhnya.

Satu gabungan politik yang benar sekurang-kurangnya akan mempunyai satu formula atau jalan penyelesaian yang boleh diterima sesama sendiri untuk menetapkan calon parti manakah yang wajar bertanding di sesuatu kawasan bagi memaksimumkan peluang untuk gabungan itu menang. Sama-samalah kita saksikan sama ada di Merlimau, di mana pilihan raya kecil seterusnya akan diadakan, PAS dan PKR akan mencapai satu persetujuan calon siapakah yang wajar bertanding berdasarkan sebab-sebab seperti yang dinyatakan di sini."

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.