February 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Feb — Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta semua pihak berhenti membuat tuntutan terbuka berhubung peruntukan kerusi pilihan raya kerana ia akan menghalang semangat kerjasama di kalangan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).
“Kalau ada hasrat yang ingin disuarakan, mereka boleh suarakan dan gunakanlah saluran dalaman yang ada, tetapi kalau dibuat secara terbuka ia adalah tidak tepat dan tidak patut berlaku sedemikian,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan Bahagian Batu di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Rizuan Hamid baru-baru ini yang meminta peruntukan kerusi Parlimen Kepong yang selama ini ditandingi Gerakan diberi kepada MCA pada pilihan raya umum akandatang.
Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata walaupun Gerakan tidak pernah menang di kawasan yang dipegang DAP itu, parti itu pernah beberapa kali kalah dengan majoriti yang sangat kecil.
“Memang pada pilihan raya umum Mac 2008, jurangnya besar tetapi begitu juga dengan banyak kawasan lain termasuk semua kawasan parti komponen (BN) yang ada di bandar atau tidak,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan pihak-pihak tertentu yang cuba mengikut langkah penduduk Mesir yang berdemonstrasi dalam usaha menggulingkan pemerintah, Koh berkata rakyat Malaysia berfikiran matang dan tidak sukakan keganasan.
“(Demonstrasi) ini telah berlaku pada 1998 di negara ini dengan bermulanya apa yang dikatakan reformasi, tetapi ia ditolak rakyat.
“Rakyat Malaysia tidak suka cara ganas tetapi sukakan keamanan dan mereka akan pilih dengan undi sesiapa yang mereka sokong,” katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan