Perutusan Maulidur Rasul 1432 Hijrah

MYT by ismet_ulamraja


Minda Nik Abdul Aziz Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun 1432 ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita umat Islam sedia maklum merupakan bulan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di Kelantan ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini dapat ditumpukan kepada topik semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa amat perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri sebagai sumber hukum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini antara lainnya bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan peristiwa semasa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Kedua, para penceramah (kalangan pemimpin atau pendakwah serta pakar motivasi) perlulah mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan sampai saatnya, kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.

Ketiga, kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara ditonjolkan undang dijadikan tauladan kepada mana-mana penguasa yang menjalankan amanah Allah SWT. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sesuai dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT (Al-Quran, Surah al-Alaq ayat 1-7)

bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu.”
Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.

Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non-muslim bukan sekadar sambutan seperti perarakan besar-besaran sahaja, tetapi hendaklah juga menonjolkan nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Oleh itu, wajar sekali ditonjolkan bagaimana Islam melarang perkara-perkara mungkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkaranya dilarang oleh Islam dan hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara maaruf seperti kerjasama, bantu membantu di dalam sebarang kerja amal kebajikan dan muafakat menjaga keharmonian hidup beragama amat yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai amal maaruf yang baik untuk kerukunan hidup bermasyarakat.

Firman Allah SWT (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 148)

Bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Sekian.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.