GAMBAR yang disiarkan di laman Facebook semalam menunjukkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera di bandar Benghazi, Libya.
PARIS - Beberapa buah bandar di Libya termasuk Benghazi dan Sirte dikuasai para penunjuk perasaan anti-pemimpin Muammar Gaddafi selepas pasukan-pasukan tentera dikatakan berpaling tadah dengan menyertai tunjuk perasaan, kata Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) semalam.
Badan itu turut menyatakan jumlah kematian sejak protes bermula adalah sekitar 100 hingga 400 orang.
"Banyak bandar terutama di wilayah pantai barat telah dikuasai. Anggota-anggota tentera juga turut serta dalam kebangkitan menentang Gaddafi," kata Ketua IFHR, Souhayr Belhassen.
Dia yang berpangkalan di Paris sebelum ini menyatakan bilangan yang terkorban ialah 233 orang.
Maklumat tersebut kebanyakannya diperoleh daripada organisasi hak asasi manusia Libya.
Sementara itu, para penunjuk perasaan membakar bangunan pemerintah dan menceroboh sebuah stesen televisyen kerana marah disebabkan anak Gaddafi, Saif al-Islam memberi amaran negara ini akan terjerumus ke kancah perang saudara dan dilimpahi darah.
"Libya kini berada dalam persimpangan. Jika kita tidak bersetuju hari ini mengenai pembaharuan, sungai berdarah akan mengalir melalui Libya," katanya dalam satu ucapan menerusi televisyen.
"Kita akan memegang senjata. Kita akan berjuang sehingga ke peluru yang terakhir. Kita akan memusnahkan elemen-elemen hasutan.
"Jika semua orang bersenjata, ia akan menjadi perang saudara. Kita akan saling berbunuhan sesama sendiri. Libya bukan Mesir. Ia (Libya) bukan Tunisia," tambahnya.
Beberapa jam selepas kenyataan itu, para penunjuk perasaan di bandar Tripoli menceroboh pejabat stesen televisyen dan bangunan pemerintah.
Gaddafi memerintah Libya selepas beliau melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintahnya, Raja Idris mendapatkan rawatan di luar negara pada 1 September 1969. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan