Hadirnya A.Samad Said Bukti UMNO Pengkhianat Bangsa

PERMATANG PASIR, 22 Ogos - Sasterawan negara, Datuk A.Samad Said terus mengkritik kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional walaupun Timbalan Perdana Menteri, Muhyidin Yasin telah mengumumkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan di mansuhkan.


Semangat tidak hanya di demonstrasi membantah PPSMI tetapi kini berterusan di Permatang Pasir.


Menurut Mohamad Sabu turunnya tok janggut (A. Samad Said) dalam pilihanraya Permatang Pasir bukti besar UMNO adalah pengkhianat melayu yang sebenar.


Ketika membaca sajak di Tanah Liat semalam, tokoh bahasa itu sekali lagi mengkritik UMNO dan BN tetapi kali ini bukan hanya isu bahasa. A. Samad Said telah mengkritik corak kepimpinan UMNO yang hanya memnguntungkan golongan tertentu dan merugikan rakyat.


Menurut beliau, sejak zaman Tunku Abd Rahman hinggalah sekarang, golongan yang memerintah negara kebanyakannya adalah dari golongan bangsawan. Pemimpin UMNO yang bukan dari golongan bangsawan pula, apabila menjadi pemerintah telah menjadi golongan bangsawan. Rakyat terus menjadi golongan yang tertindas.


Beliau juga berkata, UMNO dan BN menjadikan Permatang Pasir sebagai anak emas dalam pilihanraya di Permatang Pasir hari ini tetapi sebenarnya lebih 50 tahun Permatang Pasir telah di anak tirikan oleh mereka.


Gas pemedih mata dan air asid yang beliau rasai tidak mampu membendung semangat beliau memperjuangkan bahasa dan kebenaran.


Baru-baru ini juga A. Samad Said menyuarakan hasrat untuk menganjurkan demonstrasi sekiranya PPSMI tidak dimansuhkan segera.

Penjaja Tidak Puas Hati, MPS Rampas Barang

sumber: Borneo Post

Episod terbaru di pasar tamu saksikan barangan jualan milik dua peniaga dirampas

SIBU: Tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merampas barangan jualan penjaja pasar tamu di Pasar Sentral di sini petang semalam, menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjaja di situ.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, penguat kuasa MPS telah merampas barangan milik dua orang penjaja.

Seorang penjaja terbabit, Samba Maga, 58, memberitahu beliau merasa tidak berpuas hati dengan tindakan pihak majlis itu.

“Mengapa hanya barangan milik saya yang dirampas?” ujarnya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di Pasar Sentral, semalam. Seorang lagi penjaja yang dirampas barangan miliknya gagal ditemui.

Samba yang mempunyai permit untuk berniaga di situ memberitahu beliau sedia untuk berpindah tempat berniaga, sebagaimana yang diarah-kan oleh pihak majlis sebelum ini.

Namun demikian, katanya, bagaimana beliau hendak berpindah jika penjaja lain tidak mahu berpindah dari tempat mereka?

“Apa kesalahan saya sehingga barangan saya dirampas?” katanya sambil mempersoalkan mengapa barangan milik 19 penjaja lain yang enggan berpindah tidak dirampas sama.

Menurut Samba lagi, beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan mendakwa kerugian lebih RM100.

Antara barangan jualannya yang dirampas ialah umbut, buah pisang serta ulam-ulaman.

Pada akhir Mei lepas, MPS memperkenalkan sistem baru kepada kepada penjaja di pasar tamu itu yang mana setiap bulan penjaja perlu membuat cabutan bagi menentukan tempat baru mereka berniaga.

Bagaimanapun, sistem itu dikatakan mendapat bantahan majoriti penjaja di situ menyebabkan pelaksanaan sistem itu tertangguh sehingga kini.

Sementara itu, pengerusi protem Persatuan Penjaja Bumiputera Iban dan Melayu, Hamdini Samsuddin menyifatkan tindakan pihak MPS itu sebagai tidak patut.

Beliau yang merupakan salah seorang penjaja yang enggan berpindah serta masih belum mendapat permit berkata, mereka (19 penjaja) akan menentang sekiranya barangan mereka dirampas.

Katanya, mereka sememang-nya telah bersetuju untuk berpindah pada 17 Ogos lepas setelah membuat rayuan beberapa kali kepada pihak majlis.

Bagaimanapun, menurut Hamdini, pihak majlis tidak datang pada hari tersebut bagi menyuruh semua penjaja di pasar tamu itu berpindah.

“Jadi, bagaimana kami hendak berpindah jika penjaja lain tidak mahu berpindah dari tempat mereka? Mengapa tiba-tiba hari ini mereka datang dan merampas barangan jualan penjaja?” soalnya.

“Ini tidak adil kerana kami semua telah bersetuju untuk berpindah. Jika mahu rampas, mereka (MPS) harus rampas semua barangan penjaja yang lain,” jelas beliau sambil memberitahu sistem yang diperkenalkan MPS itu hanya membuat penjaja pasar tamu bergaduh.

Kematian Akibat Elektrik Masih Tinggi

Kebanyakan kemalangan maut berpunca daripada sikap sambil lewa manusia: Sesco

SARIKEI: Walaupun langkah pencegahan ketat diambil oleh Syarikat Sesco Berhad (Sesco) dalam memastikan keselamatan awam, jumlah kematian akibat elektrik yang melibatkan orang awam masih tinggi di negeri ini.

Pengurus Kanan Sesco, Ng Piew Choo menyuarakan kebimbangan itu semasa pelancaran rasmi Kempen Minggu Keselamatan Sesco bertemakan Kesedaran Keselamatan Awam di Pejabat Wilayahnya di sini, pagi semalam oleh Pengurus Kawasan untuk Sarikei/Sibu, Siti Aisah.

Ng berkata, kebanyakan kemalangan maut membabitkan elektrik berpunca daripada sikap tidak ambil endah mangsa terhadap bahaya elektrik.

“Antara punca kemalangan ialah semasa melakukan aktiviti terlalu hampir dengan talian elektrik seperti mengecat rumah menggunakan galah konduksi; melakukan kerja-kerja penambahan bangunan; memasang struktur tinggi; mencantas dahan pokok yang terlalu hampir dengan konduktor voltan tinggi dan sebagainya,” jelasnya.

Sebab lain ialah vandalisme dan mencuri tembaga di pencawang bervoltan tinggi dan pendawaian tambahan atau tidak sah pemilik premis.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa tahun lepas terdapat tujuh kematian kerana kemalangan elektrik di negeri ini dan setakat tahun ini, terdapat lima kes seumpamanya, yang mana satu melibatkan seorang pekerja kontrak Sesco.

“Kemudahan tenaga adalah satu industri berisiko tinggi kerana elektrik tidak dapat dilihat, didengar atau mempunyai bau. Oleh sebab itu, pelbagai usaha dan pelaburan besar dibuat untuk memastikan keselamatan kepada pekerja dan juga orang awam,” kata Ng.

“Oleh kerana program minggu keselamatan sebelumnya yang menekankan keselamatan pekerja berjaya menghasilkan keputusan yang dijangkakan, Sesco, sebagai badan korporat penyayang, menerusi kempen tahun ini memberikan fokus terhadap usaha pencegahan kemalangan di kalangan orang awam sejajar temanya.”

Sambil menegaskan bahawa Kempen Minggu Keselamatan bertujuan untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHA) 1994, Ng berharap usaha untuk mendidik orang ramai mengenai keselamatan elektrik tidak akan terhenti setakat minggu kempen terbabit.

“Melaporkan keadaan atau aktiviti tidak selamat kepada pihak berkuasa boleh menyumbang ke arah kejayaan kempen,” tambahnya.

“Sebagai contoh, apabila anda melihat sebuah mesin penggorek bekerja di bawah talian elektrik, laporkan segera kepada pegawai bertanggungjawab Sesco (menerusi talian 333111) atau kakitangan penyelenggaraannya,” katanya sambil menambah bahawa terdapat banyak aktiviti tidak sihat dan keadaan tidak selamat yang boleh menyumbang kepada kemalangan elektrik.

Pembangunan Luar Bandar Sarawak Didahulukan

dipetik dari Borneo Post Online

Pusat peruntuk jumlah yang besar laksana pelbagai projek dalam RMK-10 bermula tahun depan : Shafie

ASAJAYA: Rakyat di kawasan luar bandar Sarawak akan menikmati pelbagai pembangunan infrastruktur dalam masa terdekat, apabila kerajaan pusat meluluskan peruntukan besar bagi mendahulukan negeri ini dalam melaksanakan pembangunan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan sejumlah besar untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan luar bandar di negeri ini untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bermula tahun hadapan.

Shafie yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negeri ini memberitahu, Sarawak mendapat peruntukan besar sejumlah RM2 bilion untuk pembangunan jalan raya, RM900 juta untuk bekalan elektrik dan RM75 juta bagi bekalan air seluruh negeri ini.

“Kita akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dengan secepat mungkin agar rakyat yang masih ketinggalan dapat menikmati pembangunan bersama,” katanya berucap pada majlis penyerahan kunci rumah program bantuan rumah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Sambir, di sini malam Rabu lalu.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri-Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Gramong Juna dan Datuk Ambrose Blikau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dan ADUN Balai Ringgin, Snowdan Lawan.

Seramai 55 orang penduduk miskin sekitar daerah Asajaya menerima bantuan rumah skim pembangunan kesejahteraan rakyat itu.

Menurut Shafie, pembangunan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrtik itu akan dilaksanakan dengan cepat bermula seawal tahun hadapan sehingga berakhir pada 2012.

Katanya, segala pembangunan yang dirancangkan itu perlu mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada rakyat agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya yakin dengan kerjasama serta sokongan jitu daripada rakyat di negeri ini, maka perancangan kita membangunkan rakyat di kawasan luar bandar akan tercapai,” katanya.

Shafie menarik perhatian, tindakan kerajaan mempercepat program pembangunan di kawasan luar bandar adalah bagi mengurangkan kadar kemiskinan pada paras sifar menjelang 2015.

Beliau menambah, kemudahan asas yang disediakan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air merupakan langkah drastik kerajaan membasmi kemiskinan rakyat.

“Saya percaya jika rakyat terus berusaha dan bersatu untuk memberi sokongan padu kepada kerajaan, maka hasrat kita mahu melihat seluruh masyarakat hidup dalam suasana aman dan sejahtera pasti akan tercapai,” katanya.

Justeru, Shafie turut mengingatkan penduduk luar bandar agar tidak terpesona dengan janji-janji dan hasutan pihak pembangkang yang sengaja mahu memesongkan rakyat untuk hidup menderita.

“Pihak pembangkang sememangnya menggunakan arena politik sebagai agenda kepentingan peribadi mereka, justeru jika rakyat terpedaya dengan janji-janji manis mereka sudah pasti ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.

Peniaga Sorok Telur, Punca Bekalan Tidak Cukup

dipetik dari Borneo Post

Mereka sengaja berbuat demikian pada musim perayaan dengan harapan dapat naik harga: Rohani

MIRI: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim menafikan bahawa bekalan telur di negeri ini adalah tidak mencukupi sebaliknya ia berpunca daripada sikap peniaga yang sengaja menyorok barang kawalan itu.

Beliau berkata, ada segelintir peniaga sengaja menyorok barang kawalan terutamanya pada musim perayaan dengan harapan untuk menaikkan harga komoditi itu bagi mencari keuntungan lebih.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan telur di negeri ini namun sekiranya ia berlaku, maka kementerian ini akan mencari jalan penyelesaian termasuk membawa masuk bekalan telur dari luar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan 2009 di sini semalam.

Hadir sama di majlis itu ialah penaung Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing, ADUN Pujut, Andy Chia, Pengarah FAMA Sarawak, Paza Dan serta Presiden PBMS, Abdul Hadie Arbi.

Menurut Rohani lagi, kenaikan harga telur ketika ini bukan disebabkan masalah kekurangan bekalan sebaliknya harga komoditi itu telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Kita akan mencari masalah sebenar untuk menentukan sama ada bekalan itu mencukupi atau sebaliknya. Kita bimbang jika kekurangan bekalan komoditi ini adalah berpunca daripada tindakan (peniaga) menyorokkan bekalan telur,” katanya lagi.

Rohani memberitahu, kementeriannya akan bekerjasama dengan KPDNKK untuk memantau bekalan dan harga komoditi itu bagi memastikan ia mencukupi sehingga musim perayaan akan datang.

“Kita juga ingin menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga telur dengan sewenang-wenangnya pada musim perayaan kerana ia akan membawa kesan kepada kenaikan harga makanan,” katanya.

Rohani menambah, kementeriannya juga akan memastikan bekalan telur termasuk barang komoditi lain seperti ayam dan kelapa mencukupi di seluruh negara.

Antiviral H1N1 cukup

dipetik dari Borneo Post Online

Stok bekalan antiviral (Tamiflu dan Relenza) cukup dan akan ditambah untuk pastikan lebih ramai pesakit mendapatkan bagi mengawal penularan wabak

KUCHING: Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Zulkifli Jantan memberi jaminan stok bekalan antiviral (Tamiflu dan Relenza) yang digunakan bagi mengawal penularan wabak Influenza A (H1N1) di hospital itu mencukupi.

Beliau yang dihubungi Utusan Borneo semalam juga memberitahu HUS telah dibekalkan dengan antiviral itu pada jumlah yang banyak sebelum ini dan stok bekalan akan ditambah dalam waktu terdekat ini bagi memastikan lebih ramai pesakit dapat diberikan antiviral berkenaan.

“Dari segi stok bekalan antiviral ini, HUS tidak menghadapi masalah dan kita sudah lama dibekalkan dengan antiviral ini,” katanya tanpa menyatakan tarikh serta jumlah stok yang diterima.

“Saya yakin ia mencukupi bagi menampung keperluan pesakit tambahan.

“Kementerian Kesihatan akan menambah stok bekalan dan kita (HUS) pasti akan mendapat bekalan tambahan,” tambahnya lagi.

Dr zulkifli juga memberitahu stok bekalan antiviral di semua hospital terutamanya milik kerajaan di negeri ini mencukupi.

Beliau bagaimanapun menasihati orang ramai terutamanya yang berisiko tinggi seperti wanita hamil, pesakit asma, pesakit kencing manis, kanak-kanak berusia kurang lima tahun serta mereka mempunyai sistem imunisasi lemah agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan diri dan mengelak berada di kawasan sesak.

“Ramai orang beranggapan dengan mengambil antiviral ini mereka tidak akan dijangkiti penyakit berkenaan.

“Mereka silap… antiviral ini tidak boleh mencegah jangkitan sebaliknya digunakan bagi membuat saringan awal dan merawat jangkitan Influenza A (H1N1),” jelasnya.

Isnin lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menambah bekalan antiviral Tamiflu dan Relenza sebagai langkah segera mengawal penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Najib berkata stok antiviral berkenaan akan ditambah 10 peratus lagi daripada jumlah penduduk negara menjadikannya 20 peratus agar lebih ramai rakyat mendapat suntikan antiviral itu.

Menurutnya lagi antiviral itu akan dibekalkan secara meluas ke semua hospital dan klinik kerajaan yang mempunyai pegawai perubatan termasuk 22 klinik swasta di seluruh negara.

Sementara itu kelmarin Sarawak merekodkan tiga lagi kematian akibat wabak H1N1 bagaimanapun dua daripada kes itu masih menunggu keputusan ujian klinikal sama ada ia positif H1N1 atau sebaliknya.

Mangsa korban keempat penyakit maut itu adalah seorang wanita mengandung berusia 18 tahun dari Miri.

Mangsa pertama di negeri ini iaitu pada 3 Ogos lepas juga melibatkan seorang wanita dari Miri yang meninggal dunia selepas dua minggu melahirkan anak perempuannya.

Kes kedua juga melibatkan wanita mengandung berusia 26 tahun dari Sri Aman manakala kes ketiga seorang lelaki berusia 48 tahun dari Kuching.

Sekiranya dua kematian terbaru melibatkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Mukah dan warga emas 65 tahun dari Kuching disahkan positif H1N1, Sarawak mencatatkan lima kematian akibat wabak berkenaan.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: AlhamduliLlah.

Sarawak Dan Sabah Pertama Laksana E-Mahkamah

MIRI: Jabatan Kehakiman di Sarawak dan Sabah telah melakukan satu revolusi baru dalam sistem kehakiman negara dengan pelaksanaan mahka-mah elektronik atau e-mahkamah.

“Ia merupakan satu revolusi baru dalam sistem kehakiman di negara ini yang bergerak maju ke arah mewujudkan kerajaan elektronik dengan mempraktikan teknologi terkini dalam sistem pentadbirannya,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz.

Menurut beliau pelaksanaan e-mahkamah banyak membantu menjimatkan masa dan juga kos dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejajar dengan konsep 1 Malaysia.

Justeru menurut Nazri, Jabatan Kehakiman di Sarawak dan Sabah telah mendahului Jabatan Kehakiman yang lain di Semenanjung Malaysia dalam melaksanakan sistem tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Miri di sini pagi semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah timbalan beliau, Datuk Liew Vui Keong dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Abdullah Sani Ab. Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Miri Dato’ Zulkifli Bakar.

Menurut beliau, dengan adanya e-mahkamah seperti sidang video (VC) yang diadakan di Mahkamah Teknologi, sesuatu kes yang membabitkan peguambela dari luar kawasan dapat diselesaikan dalam masa kurang 30 minit menjimatkan kos berbanding sebelum ini.

“Ini menunjukkan penggunaan teknologi dalam mahka-mah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dalam melaksanakan e-mahkamah,” ujar beliau lanjut.

Sehubungan itu katanya penggunaan sistem e-mahka-mah akan turut diperluaskan ke Semenanjung Malaysia bagi memudahkan penyelesaian se-suatu kes.

Dalam pada itu, Nazri turut mengumumkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM300 ribu untuk penambahbaikan Kompleks Mahkamah Miri.

Daripada jumlah itu, RM200 ribu diperuntukkan bagai kerja-kerja membaikpulih keperluan segera di bangunan kompleks berkenaan. Manakala RM100 ribu lagi adalah untuk menyelenggara bangunan Mahkamah Litar di Batu Niah.

Berkenaan masalah ketiadaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) bagi keperluan mengadakan mahkamah bergerak di kawasan luar bandar, Nazri berkata beliau akan berbincang dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta kerajaan negeri untuk menyediakan sebuah kenderaan 4WD bagi tujuan tersebut.

“Bukan bermakna kita mengenepikan keperluan tersebut tetapi kerana mahkamah bergerak yang diwujudkan di kedua-dua negeri ini satu perkara baru, justeru mungkin keperluan (masalah) tersebut belum sampai ke pengetahuan pihak yang berkenaan,” jelas beliau lanjut.

Pada masa sama, beliau turut memuji ilham Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Datuk Seri Richard Malanjum dalam mewujudkan mahkamah bergerak untuk memberi khidmat dan bantuan kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman .

“Saya menyokong penuh usaha Tan Sri Richard dalam mewujudkan mahkamah bergerak seperti ini dan ia sesuatu yang perlu untuk memberi khidmat dan bantuan perundangan kepada penduduk di kawasan pedalaman,” katanya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: Diharapkan dengan wujudnya sistem mahkamah elektronik yang membuktikan kecanggihan teknologi dalam bidang kehakiman, sistem mahkamah juga menjadi lebih telus dan tidak bersifat berat sebelah dan pilih bulu, apatah lagi mudah disogok apabila dihulurkan gula-gula berbentuk ringgit Malaysia.

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.