Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 23 Jan: Jika bekas Pegawai Pemerintah (CO) kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Seri Inderapura yang terbakar dihadapkan ke mahkamah, mengapa perkara yang sama tidak berlaku dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila dua enjin pesawat pemintas F-5E hilang.
Ketika membangkitkan perkara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kehilangan dua enjin pesawat tersebut lebih serius kerana sangat memalukan negara.
"Kehilangan enjin jet F-5E sangat memalukan negara, kerana ini menunjukan soal tahap keselamatan negara yang berkaitan dengan sektor dan industri pertahanan tersangat buruk.
"Kehilangan enjin jet tersebut juga adalah kehilangan aset milik negara yang gagal dijaga dengan selamat," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sepatutnya Panglima TUDM dan Menteri Pertahanan ketika kehilangan enjin pesawat itu berlaku hendaklah dihadapkan ke mahkamah tentera atau mahkamah awam kerana mereka menyembunyikan kehilangan tersebut dari pengetahuan umum selama dua tahun.
"Seolah-olah ada suatu rahsia yang hendak disembunyikan dari pengetahuan rakyat.
"Sebaliknya Peguam Negara hanya mengumumkan hasil siasatan polis kononnya tiada pegawai kanan atasan TUDM dan Kementerian Pertahanan yang terlibat dalam kehilangan enjin jet tersebut.
"Yang terlibat hanya berpangkat sarjan (sedangkan dalam) kes KD Inderapura pegawai pemerintah kapal tersebut yang dipertanggungjawab, takkan dalam TUDM sarjan yang jadi pegawai yang bertanggungjawab terhadap jet F-5E.
"Pelik sungguh, agaknya di Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab hanya budak pejabat atau pun prebet tentera yang jadi Menteri Pertahanan," sindir beliau.
Beliau mengucapkan tahniah pada TLDM yang mengekal dan membudayakan amalan yang meletakan ketua mesti memikul tanggungjawab.
"Ini suatu amalan dan budaya yang akan memastikan seorang ketua akan melaksanakan tugas dengan baik, adil dan beramanah.
"Amalan ini akan dapat mengelak dari berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta menghindari dan membenteras gejala rasuah," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah bermakna kakitangan di peringkat bawah boleh melakukan kesalahan.
"Tetapi amalan tersebut adalah untuk memastikan ketua akan bertanggunjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya termasuk untuk memastikan orang bawahnya bekerja dengan betul dan amanah," kata beliau.
Mahfuz meminta Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera kini menyatakan siapakah pegawai pemerintah kem TUDM ketika enjin jet F-5E itu hilang.
"Adakah pegawai pemerintah tersebut dihadapkan ke mahkamah tentera sepertimana kes kebakaran kapal KD Inderapura," beliau mempersoalkan.
CO kapal KD Seri Inderapura yang terbakar pada 8 Oktober itu akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di pangkalan TLDM Lumut Isnin ini.
Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, seorang pegawai pemerintah perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku ke atas kapalnya termasuk menentukan aset hak milik negara berada di dalam keadaan selamat.
Kata beliau, TLDM boleh menerima hakikat kebakaran tersebut tetapi bukan sehingga 'kehilangan' kapal itu kerana ia menunjukkan wujud banyak kelemahan.
KD Seri Inderapura yang ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, terpaksa dilucutkan tauliah selepas rosak teruk dalam kebakaran yang berlaku pada 8 Oktober 2009, dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Sepanjang khidmatnya selama 14 tahun, kapal pendarat terbesar milik TLDM itu telah mengharumkan nama negara dengan terlibat dalam pelbagai misi dan operasi luar negara termasuk menyelamatkan tebusan lanun di perairan Somalia.
Kapal dengan nama asalnya USS Spartanburg County itu dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970.
Ia kemudian diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 16 Disember 1994 selepas dilucutkan tauliah dalam perkhidmatan Tentera Laut AS.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan