Jenayah Kedah turun 15% dan 48% kes selesai..


Jenayah Kedah turun, 48 peratus kes selesai

SYED ISMAIL Syed Azizan (kiri) bersalaman dengan sebahagian pegawai polis pada masjlis perjumpaan khas bersama warga PDRM zon Kedah selatan di Sungai Petani, Kedah kelmarin.

SUNGAI PETANI 28 Okt. - Indeks jenayah di negeri ini menurun sebanyak 15.25 peratus berikutan kejayaan polis menyelesaikan 4,635 kes atau 48 peratus jenayah kekerasan dan jalanan sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata, penurunan indeks jenayah itu adalah memberangsangkan berbanding tahun lalu.
"Rekod penurunan dan peningkatan kes yang berjaya diselesaikan itu hasil pendekatan dan peranan polis, operasi secara berkala selain mendapat kerjasama orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga polis Kontinjen Kedah zon selatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini semalam.
Majlis perjumpaan tersebut diadakan buat kali terakhir beliau selaku Ketua Polis negeri sebelum menjawat jawatan baru sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 2 November ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusof; Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali dan ketua-ketua polis daerah zon selatan meliputi IPD Baling, Kulim, Sik, Yan dan Bandar Baharu.
Menurut Syed Ismail, kejayaan polis menurunkan kadar jenayah terbabit juga adalah hasil semangat kerja berpasukan di samping memahami perkembangan modus operandi penjenayah dari semasa ke semasa.
Beliau memberitahu, kerjasama masyarakat setempat yang menjadi mata dan telinga kepada polis dalam menyelesaikan kes jenayah juga menjadi penyumbang utama kepada kejayaan itu.
"Bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa kita tidak seharusnya berpuas hati dengan statistik ini sebaliknya hendaklah mengutamakan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat," katanya.
Beliau berharap, warga kerja PDRM Kedah dapat meneruskan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab selari dengan Program Transformasi Kerajaan dan strategi membawa negara ke tahap lebih maju.
Syed Ismail, sebelum ini berpangkat Deputi Komisioner dilantik sebagai Ketua Polis negeri pada Mac 2007 menggantikan Datuk Zuber Shariff yang bersara wajib.
Pada 13 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai-pegawai atasan termasuk Syed Ismail bagi mengisi kekosongan empat jawatan pengarah jabatan dalam PDRM berkuat kuasa serta-merta.
Selain Ketua Polis Kedah itu, mereka yang dinaikkan ialah Ketua-Ketua Polis negeri iaitu Datuk Khalid Abu Bakar (Selangor), Datuk Robiah Abdul Ghani (Pahang) dan Datuk Noor Rashid Ibrahim (Sabah).

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.