Kenyataan rasis: KSN enggan dedah tindakan disiplin ke atas pengetua


October 12, 2010
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak mahu mendedahkan bentuk tindakan disiplin dikenakan terhadap dua pengetua yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajar mereka dua bulan lalu.
Beliau bagaimanapun menegaskan, setiap tindakan disiplin yang diambil itu akan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Perkara ini kita kena ikut lunas-lunas tatacaranya.
“Ada prosedur yang kita perlu ikut dan saya akan pastikan ia diikut dengan sepenuhnya.
“Seperti yang saya kata tindakan itu mestilah ikut prosedur,” kata beliau ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada program Muzakarah Pakar “Pemahaman dan Penghayatan Nilai Menjana Kepada Prestasi” di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini.
Semalam Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin menolak perbahasan terhadap usul yang dibawa DAP berhubung kenyataan rasis dibuat oleh dua pengetua atas alasan tindakan sudah pun diambil ke atas mereka.
Bagaimanapun beliau tidak memberi butiran berhubung tindakan yang dikatakan sudah diambil ke atas kedua-dua pengetua berkenaan.
Di bawah Peraturan Mesyuarat 18(12), menurut Pandikar, tidak perlu usul tergempar meskipun tiada pengumuman rasmi mengenai tindakan-tindakan yang telah diambil ke atas pengetua-pengetua dari Kulaijaya, Johor dan Bukit Selayang, Kedah.
“Saya telah meneliti perkara ini dan ia ada kepentingan awam.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengambil tindakan ke atas dua individu ini... jadi tidak ada keperluan untuk usul ini.
“Dengan itu saya menolak usul ini,” kata Pandikar ketika menolak usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.
Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra Kulaijaya, Siti Aishah Mansor didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Dia didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan.
Di Kedah, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau Ungku Aznan Ungku Ismail di Sungai Petani juga mencetuskan suasana tidak senang ekoran kenyataan berbaur perkauman.
Bagaimanapun pengetua berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kira-kira 10 muridnya telah memohon maaf kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan seperti pengetua sekolah dan menyerahkan kepada Ketua Setiausaha Negara
Ketika ditanya mengenai kenyataan perkauman yang dikeluarkan pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan Hamim Husin, Mohd Sidek berkata prosedurnya sama sahaja dengan kes dua pengetua tersebut.
“Samalah juga,” katanya.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.