Isu Islam: Nik Aziz hanya mahu debat dengan pihak bertauliah

February 06, 2011
Nik Aziz terdahulu mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah. — gambar fail
TUMPAT, 6 Feb — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan beliau sedia berdebat tentang Islam dengan sesiapa saja, tetapi orang itu mestilah mempunyai kedudukan dan tauliah. Nik Aziz lantas mempersoalkan kedudukan dan kredibilit Pengerusi Biro Agama Veteran Umno Kelantan, Prof Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau.
Dalam kenyataannya semalam, Mohd Nor menyatakan kegembiraannya kerana Nik Aziz menyahut cabarannya itu dan akan menghantar surat bagi tujuan itu dalam tempoh terdekat.
Ditanya mengenai kenyataan Mohd Noor itu, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak melarang umatnya berdebat untuk mencari kebenaran dalam soal agama, malah ia digalakkan asalkan meletakkan al-Quran dan hadis sebagai “orang tengah”.
“Saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja, asalkan mereka mempunyai tauliah dan ada kedudukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Al-At’am, di Dataran Pasir Pekan, dekat sini hari ini.
Dipetik Bernama, kata Nik Aziz, isu perdebatan mengenai agama dengan ulama, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri sudah lama ditimbulkan tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.
Beliau juga bersetuju suatu kaedah berkesan dicari bagi mengelakkan ia menimbulkan kesan buruk hasil perdebatan itu.
“Bagaimanapun, saya mahu kaedah perdebatan itu dibuat secara terbuka... bagi membolehkan orang ramai mengetahui dengan jelas mengenai topik yang menjadi persoalan,” katanya.
Isu berkenaan berbangkit apabila Nik Aziz mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah.
Berikutan tindakan Nik Aziz itu, Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz itu yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook semalam, Setiausaha Akhbar Nik Aziz Ahmad Fadhli Shaari berkata, Mursyidul Am PAS beliau bersedia untuk mengadakan perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung dakwaan bahawa kenyataan beliau menjejaskan akidah.
Justeru tidak timbul isu Nik Aziz bersetuju untuk mengadakan debat dengan Mohd Nor.
Ahmad Fadhli berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian edisi Kelantan semalam di bawah tajuk “Nik Aziz setuju debat, sahut cabaran ulama Umno isu kenyataan jejas akidah”.
“Di bawah tajuk tersebut dipaparkan laporan berkenaan persetujuan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk berdebat dengan ulama Umno Mohd Nor Deris berkenaan dengan kenyataan YAB Tuan Guru yang didakwa boleh menjejaskan akidah.
“Sukalah diperjelaskan bahawa tajuk dan laporan berita tersebut sama sekali tidak benar. Apa yang berlaku ialah YAB Tuan Guru ditanya berkenaan desakan Mohd Nor Deris agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kenyataan beliau yang di dakwa menjejaskan akidah,” katanya.
Menjawab pertanyaan tersebut, kata Ahmad Fadhli, Nik Aziz bersetuju agar kenyataannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Persetujuan tersebut termasuklah mengadakan perbincangan antara beliau dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Tidak timbul isu berdebat dengan Mohd Nor Deris yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan sebagai penggubal dasar,” kata beliau.
Ahmad Fadhli menambah, secara logiknya, individu yang layak berdebat dengan Nik Aziz tentulah tokoh yang mempunyai jawatan berpengaruh di dalam kerajaan atau parti.
Sementara itu, Bernama juga melaporkan, Badan Perhubungan Umno Kelantan menyokong debat antara Nik Aziz dengan pihak-pihak tertentu termasuk Mohd Nor.
Timbalan pengerusi badan itu, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata debat itu termasuk dengan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi merungkai banyak kekeliruan yang ditimbulkan oleh menteri besar itu sebelum ini.
Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata terserah kepada penganjur sama ada perdebatan itu diadakan secara langsung menerusi TV atau dalam dewan yang terkawal.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.