March 07, 2011
KUALA LUMPUR, 7 Mac — Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mengesahkan pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Benjy dan isterinya masih pasangan yang sah selepas berlaku lafaz cerai dan rujuk antara mereka.Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Nor membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar keterangan dari pelakon itu dan isterinya Safiya Stephanie Kar Leng Lee, 28, yang masing-masing diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan dan Hazira Othman, di sini, hari ini.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Hazira berkata mahkamah mengesahkan defendan, iaitu Benjy, yang merupakan anak kepada seniwati Azean Irdawaty dan Safiya Stephanie masih pasangan suami isteri apabila lafaz rujuk yang diucapkan pelakon itu adalah dalam tempoh edah, yang juga pada hari sama lafaz cerai diucapkan, adalah sah.
Sebelum itu, mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang diucapkan oleh Benjy itu kepada isterinya tiga tahun lalu yang difailkan pada 7 Feb lalu. Benjy hadir ke mahkamah dari Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor diiringi anggota polis melafazkan cerai terhadap Safiya Stephanie dengan mengucapkan, “Aku ceraikan kau”, di rumah mereka di Menara Dutamas, jam 9 pagi, 7 Julai 2008.
Benjy, 33, turut mengucapkan “saya rujuk” dalam pengesahan lafaz rujuknya terhadap isterinya itu, di tempat dan hari sama, pada jam 10 malam.
Pasangan itu, yang berkahwin pada 19 Feb 2004 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia lima tahun, disabitkan mengikut Seksyen 55A Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Hazirah berkata, berdasarkan kedua-dua lafaz diucapkan Benjy, Hakim Syarie mensabitkan talak satu raje’i kali pertama berjumlah satu talak dan rujuk antara kedua-dua pihak, pada tarikh sama.
Terdahulu, Hazirah memohon mahkamah membicarakan kes berkenaan secara tertutup atas kehendak anak guamnya selain turut mengambil kira keadaan defendan yang masih mempunyai kes sivil.
Benjy turut menghadapi pertuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram di Mahkamah Majistret di sini, dan perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 18 April depan. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan