Bekas Pemimpin Umno-BN Dalam Pakatan Rakyat Perlu Jelaskan Visi Kepada Rakyat


kuaKUALA LUMPUR 14 Nov - Aktivis demokrasi dan hak asasi manusia, Dr Kua Kia Soong berkata mereka yang kononnya mengaku mewakili Kuasa Ketiga atau 'Third Force' bagi mengganti Barisan Nasional perlu terlebih dahulu memperincikan kepada rakyat samada agenda politik mereka lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh gagasan Pakatan Rakyat yang mengandungi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), PAS dan DAP.

Dr Kua yang juga bekas Ahli Parlimen DAP berkata senario politik Malaysia kini bertambah rancak dengan kemunculan golongan blogger yang mendakwa mereka adalah Kuasa Ketiga bagi menyaingi BN dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Beliau melihat kekecohan dalam KEADILAN yang dicetuskan oleh bekas Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim menimbulkan kembali kemungkinan wujudnya Kuasa Ketiga sepertimana yang disuarakan oleh beberapa blogger tertentu.

"Apa sebenarnya yang mereka tawarkan yang berbeza daripada Pakatan Rakyat? Adakah mereka lebih berprinsip dan lebih mampu daripada wakil rakyat Pakatan Rakyat? Adakah ini mencukupi?

"Kalaulah ada satu perkara yang sama antara semua demokrat di Malaysia ia adalah keinginan untuk menjatuhkan penguasaan BN yang menindas dan menyeleweng selama 53 tahun tetapi terlebih dahulu kita perlu menyelidiki mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ahli politik yang berintegriti," jelas Dr Kua yang juga mantan tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

Tokoh akademik itu berkata selepas 'Tsunami Politik 2008', rakyat melihat perubahan dalam kiblat politik beberapa bekas pemimpin BN antara lain seperti Zaid, Datuk Chua Jui Meng dan juga Datuk Soh Chee Wen.

Dr Kua bagaimanapun melontarkan persoalan sejauh mana mereka ini benar-benar telah bertukar sebagai demokrat sejati.

"Saya cadangkan agar mereka terlebih dahulu tunjukkan keikhlasan mereka kepada rakyat dengan memberikan analisis terperinci mengapa mereka keluar daripada BN selain visi yang mereka impikan bagi rakyat.

"Malah mereka seharusnya menjelajah keseluruh negara dan menyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar telah insaf dan sedar serta mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk menyelamatkan karier politik mereka semata-mata," kata beliau lagi.

Malangnya kata Dr Kua sehingga kini beliau masih belum mendengar visi bekas pemimpin-pemimpin BN yang mereka impikan untuk rakyat Malaysia setelah menyertai Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN.

Merujuk kepada episod ketegangan yang dicetuskan oleh Zaid di dalam KEADILAN berhubung pemilihan parti, beliau masih gagal untuk mengenal pasti visi sebenar bekas menteri tersebut selain beberapa kenyataan mengenai liberalisme dan demokrasi yang kabur.

"Jadi bagaimana Kuasa Ketiga ini akan memastikan pemimpin mereka tidak lompat kapal? Jika jawapannya bahawa pemimpin Kuasa Ketiga punyai prinsip yang lebih teguh daripada Pakatan Rakyat, bagaimana pula kita mahu mengukur keteguhan  prinsip mereka? Apa jaminan yang mereka boleh berikan kepada rakyat?

"Sekiranya ia sama seperti Pakatan Rakyat maka lupakanlah hasrat untuk mewujudkannya. Kemungkinan kita akan mengulangi kesilapan yang sama," Dr Kua berpendapat.

Dr Kua berkata Kuasa Ketiga perlu melangkaui pendekatan populisme dan neo-leberalisme dan sebaliknya menawarkan intipati reformasi.

"Saya berpeluang dalam panel diskusi mengenai neo-liberalisme dengan Zaid. Beliau mengakui tidak memahami neo-leberalisme tetapi tetap mengaku seorang liberal dan demokrat!" kata beliau.

Dr Kua menegaskan reformasi yang fundamental hendaklah meneroka lebih jauh daripada Deklarasi Rakyat iaitu:

- melindungi perkhidmatan awam daripada penswastaan dan memiliknegarakan perkhidmatan yang telah pun diswastakan;

- mempertahankan hak kepada pekerjaan, kebajikan, pendidikan;

- menggerakkan partisipasi dalam berkesatuan;

- menggerakkan bentuk demokrasi mandiri dalam industri milik negara bagi kebaikan bersama;

- melaksana sistem cukai yang progresif

Dr Kua selanjutnya menegaskan selain reformasi sosio-ekonomi yang konkrit seperti dinyatakan, sekiranya wujud Kuasa Ketiga, kelompok itu hendaklah mengemukakan kepada rakyat cadangan spesifik antaranya:

- berapa banyak sekolah Cina dan Tamil yang akan dibina;

- berapa banyak potongan akan dibuat terhadap belanjawan pertahanan;

- apakah dasar alternatif pertahanan;

- bagaimana perlaksanaan pengurusan tuntutan air dan tenaga;

- apakah pelan konkrit untuk mengatasi kemiskinan tegar dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat Sabah dan Sarawak;

- apakah tawaran Agenda Baru untuk masyarakat Bumiputera di Malaysia;

-  apakah pelan transformasi untuk lebih 500 kampung baru di negara ini di mana letaknya kebanyakan industri kecil dan sederhana;

-  bilakah geran hak milik tanah akan diberikan kepada semua rakyat yang telah menduduki kampung baru selama lebih 50 tahun;    

-  mewujudkan sistem pengangkutan awam yang mampu dan efisien;

- melaksanakan program perumahan yang mampu milik oleh majoriti rakyat.

"Senarai ini lebih panjang dan adalah jelas pihak yang mengaku sebagai Kuasa Ketiga tidak akan mampu melaksanakannya walaupun seteguh mana prinsip mereka.

"Kuasa Ketiga yang mahu diwujudkan hendaklah menjadi sayap kiri Pakatan Rakyat yang akan membawa negara ini jauh melangkaui neo-liberalisme BN atau Pakatan Rakyat tetapi ke arah Persekutuan Rakyat Malaysia," kata Dr Kua.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.