Had peranan ‘kawan-kawan BN’ masih dihalusi, kata Soi Lek

November 19, 2010
KUALA LUMPUR, 19 Nov — Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional (BN) hari ini membincangkan mengenai pindaan perlembagaan perikatan itu dan perkara berkaitan ahli bersekutu atau ahli bergabung.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat lebih sejam itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata anggota-anggota parti komponen mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara-perkara itu.
Namun, katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini esok.
“Rata-rata semua setuju kita boleh menerima kawan-kawan BN. Tetapi soal peranan yang harus diberikan kepada mereka (perlu dibincangkan lagi),” kata Chua.
Mesyuarat yang berlangsung di Menara Datuk Onn Pusat Dagangan Dunia Putra itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Hishammuddin  Hussein berkata perkara yang dibincangkan hari ini adalah perkara yang akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN esok.
“Seperti biasa kerangka kerja perlu dibuat lebih awal dan jawatankuasa kepada pindaan hari ini, sedikit sebanyak telah mendapat konsensus dan pandangan yang cukup untuk dibentangkan esok,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BN.
Beliau berkata yang penting adalah untuk menunjukkan BN bukan sahaja terbuka kepada pandangan-pandangan serta adalah lebih inklusif tetapi juga realistik dalam pindaan yang akan dibawa.
“Sebab itu kita perlu kebijaksanaan dalam melaksanakan perubahan ini... kita dalam BN seperti mana dalam Umno dulu mengambil kira keadaan di bawah dan tidak berkisar kepada retorik semata-mata,” katanya.
Hishammuddin juga berkata BN perlu mengambil kira suasana politik yang berubah mengikut musim.
“Jadi apa juga keputusan yang kita buat jangan sampai mengikat kita dan menjejaskan BN. Kita perlu lihat ke hadapan, sebab itu semua pandangan, teguran, cadangan dari setiap parti komponen perlu diambil kira.
“Saya agak puas hati, agak lebih mudahlah daripada apa yang terpaksa kita lalui dalam Umno dulu (pindaan perlembagaan),” katanya sambil menambah kata bahawa ini kali keempat beliau membentangkan draf pindaan perlembagaan dalam mesyuarat pengurusan BN.
“Semua ini baru draf, belum ada satupun yang dipersetujui,” katanya.
Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika ditemui berkata turut dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah analisis pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan awal bulan ini yang dimenangi BN. — Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.