Melayu Pulau Pinang hilang tanah


Sebuah forum mengenai Penghakisan Tanah Melayu di Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang semalam mendakwa pemilikan tanah milik orang Melayu di negeri itu kini hanya tinggal 20.41 peratus sahaja. Gambar fail rumah-rumah orang Melayu di Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Forum yang dianjurkan ini menggabungkan parti politik tanpa mengira fahaman dan pertubuhan bukan kerajaan yang bertujuan untuk mencari jalan bagi menangani isu penghakisan tanah milikan Melayu. Moderator forum ialah pensyarah dari Universiti Sains Malaysia, Prof Amir Hussain Baharuddin.
Maklumat ini didedahkan oleh ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong dari Umno, Muhammad Farid Saad yang merupakan salah seorang panel di dalam forum tersebut. Ini menurutnya adalah tidak sejajar dengan kedudukan kaum Melayu yang mempunyai sejumlah hampir 45 peratus penduduk di Pulau Pinang.
Dan turut lebih membimbangkan, menurut Farid, Daerah Timur Laut di atas pulau sendiri iaitu kawasan paling pesat membangun di Pulau Pinang menyaksikan tanah milikan Melayu hanya tinggal 1.16 peratus.
Beliau mendakwa satu kajian UMNO Pulau Pinang juga mendapati terdapat 60 perkampungan Melayu yang mempunyai 7,000 penghuni dibina di atas tanah orang lain yang dimiliki oleh secara persendirian atau syarikat milik kaum lain. Jelasnya, ini membimbangkan kerana mereka ini bakal hilang tempat tinggal mereka pada bila-bila masa sahaja.
Selain dari Farid, terdapat 3 lagi ahli panel forum yang lain. Antaranya ialah Ahli Parlimen Parit Buntar daripada PAS, Dr Mujahid Yusuff Rawa, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff dan juga Presiden TERAS Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Semasa sesi soal jawab forum itu, seorang peserta turut mencadangkan supaya satu fatwa dikeluarkan bagi memastikan tanah milikan Melayu di Pulau Pinang tidak terlepas ke tangan bukan Islam. Ini boleh dikaitkan dengan kefardhuan ibadat seperti mengerjakan solat Jumaat yang tidak akan boleh didirikan sekiranya tidak cukup jemaah pada satu-satu kawasan atau mukim.

Cadangan tersebut nampaknya dipersetujui oleh Farid dan Mujahid sendiri. Mujahid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bersetuju dengan saranan mengadakan fatwa tetapi ia bukan satu jaminan orang Melayu tidak menjual tanah kepada bukan Islam. Selain itu, faktor tawaran harga lumayan memainkan peranan penting dalam urusan jual beli tanah.
Sementara itu bagi Azmi, masalah itu memerlukan komitmen yang lebih kerana jika diwujudkan fatwa sekali pun, urusan penjualan tanah kepada bukan Islam akan terus berlaku.
Salah seorang peserta yang ditemui berkata kepincangan masalah tempat orang Melayu yang berkurangan di negeri itu sudah bermula sejak negeri itu diperintah oleh Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh parti Gerakan. Beliau yakin masalah ini patut mula diselesaikan sekiranya pemimpin-pemimpin Umno negeri semasa pentadbiran BN masuk campur memperbetulkan keadaan di bawah pentadbiran bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Beliau turut menyatakan masalah ini tidak patut dipersalahkan kepada kerajaan negeri hari ini di bawah pimpinan DAP di dalam Pakatan Rakyat (PR). Ini kerana PR baru sahaja tidak sampai 3 tahun mentadbir negeri itu. Namun begitu,  kerajaan PR perlu diingatkan dengan betapa seriusnya perkara ini dan tidak mengulangi kesalahan yang sama oleh kerajaan terdahulu.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.