Kerajaan kaji kemungkinan seragamkan subsidi diesel untuk elak penyelewengan

December 02, 2010
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kerajaan akan menimbang kemungkinan untuk menyeragamkan harga diesel yang diberi bantuan subsidi bagi mengelak berlakunya lagi kes-kes penyelewengan di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah tersebut dilihat relevan bagi memastikan bantuan subsidi tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab ekoran perbezaan harga diesel yang ditetapkan mengikut sektor.
“Kita bercadang nak lihat semula dari segi sistem subsidi diesel kerana ia berbeza-beza... sekarang ada harga industri, pam minyak, nelayan dan pengangkutan.
“Melalui jawatankuasa bersepadu yang ditubuhkan, kita akan mengkaji secara menyeluruh cadangan untuk penyeragaman harga diesel kerana dengan adanya satu harga tetap, maka pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini tidak akan menyeleweng dengan menjual kepada pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung isu penyelewengan diesel di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh wakil dari beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi membincangkan secara mendalam isu penyelewengan diesel yang semakin berleluasa di negara ini.
Minggu lepas, Kabinet bersetuju agar dua jawatankuasa bersepadu diketuai oleh Ismail Sabri ditubuhkan bagi tujuan penilaian dan pengkajian khusus melibatkan isu pembahagian kuota penerima diesel, sistem penyampaian serta penguatkuasaan.
Ismail Sabri berkata jawatankuasa penilaian dianggotai oleh kementeriannya, Kementerian Kewangan, Kementerian Industri dan Asas Tani serta agensi berkaitan, manakala jawatankuasa penguatkuasaan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Melalui jawatankuasa bersepadu, mudah bagi kita membuat perancangan yang lebih mantap kerana tak semua kementerian dan agensi mempunyai bidang kuasa yang sama.
“Jadi penglibatan semua pihak yang berkenaan dilihat mampu memberi kesan yang lebih menyeluruh dan kita juga akan melebarkan pemantauan kepada seluruh negara kerana sebelum ini kita hanya tumpu kepada kawasan-kawasan yang terlibat terutamanya di bahagian sempadan,” katanya.
Pada masa ini harga diesel bersubsidi mengikut sektor ialah di pam minyak RM1.75, pengangkutan RM1.45, nelayan RM1.25 manakala industri RM2.05.
Berdasarkan rekod KPDNKK sehingga 1 Dis ini, sebanyak 294 kes penyelewengan diesel bersubsidi dikesan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM2.028 juta.
Terbaru pada 25 Nov lepas, 13 individu dari tiga negeri ditahan kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dan pada masa yang sama sebanyak 21 premis industri di seluruh negara yang membeli diesel bersubsidi turut disiasat.
Kegiatan penyelewengan itu berjaya dibongkar hasil risikan sepanjang lima bulan membabitkan 80 anggota serta pegawai SPRM dan KPDNKK membabitkan empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis serta Kedah. – Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.