Kerajaan Selangor tawar diskaun untuk perbaharui pajakan tanah

December 03, 2010
SHAH ALAM, 3 Dis —  Kerajaan negeri Selangor akan memberikan diskaun kepada pemilik tanah berstatus pajakan yang ingin memperbaharui tempoh pegangan pajakan sedia ada, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, kerajaan negeri belum memutuskan jumlah diskaun itu, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan lapan buah komputer oleh syarikat pengeluar cip komputer terkemuka dunia, AMD Global Services kepada empat empat rumah anak yatim di Selangor di sini hari ini.
Mengenai rungutan pemilik tanah di Petaling Jaya bahawa kos melanjutkan tempoh pajakan adalah tinggi, Abdul Khalid berkata nilai pajakan tanah dikira berdasarkan nilai pasaran hartanah semasa.
Diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lepas bahawa semua kerajaan negeri kini boleh memperbaharui tempoh pegangan baru tidak melebihi 99 tahun, beliau berkata kerajaan Selangor sudah melaksanakan dasar itu.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri kini menggalakkan pemilik tanah pajakan supaya memperbaharuinya lebih awal  dan tidak  perlu menunggu sehingga baki pegangan pajakan mereka hanya tinggal 10 atau 15 tahun sahaja.
Katanya sekarang mereka boleh memperbaharui tempoh pajakan tanah mereka apabila baki pegangan pajakan mereka tinggal 30 tahun.
Kerajaan negeri akan melanjutkan semula pajakan tanah mereka sebanyak 69 tahun  lagi bagi mencukupkan tempoh maksimum pajakan yang dibenarkan iaitu 99 tahun, katanya.
Kebanyakan pemilik tanah di Petaling Jaya mempunyai baki pajakan tanah mereka selama 30 tahun lagi dan kerajaan menggalakkan mereka supaya memperbaharuinya. — Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.