MUAMMAR GADDAFI
TRIPOLI - Dalam senyap-senyap, pemerintah Libya, Muammar Gaddafi telah mengumpul kekayaan mencecah AS$60 bilion (RM183 bilion) dengan beberapa bilion dolar wang miliknya selamat disimpan dalam beberapa akaun rahsia di negara Asia Tenggara.
Jumlah tersebut meletakkan Gaddafi sebaris dengan bilionair terkaya dunia seperti taikun telekomunikasi, Carlos Slim Helu dan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan masing-masing memiliki kekayaan AS$53.5 bilion (RM163.2 bilion) dan AS$50 bilion (RM161.7 bilion).
Sebuah akhbar Britain melaporkan jumlah aset Gaddafi bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau telah mengumpulnya sejak memerintah Libya selama lebih 40 tahun.
Akhbar Belanda, De Volkskrant, melaporkan sekitar AS$40 bilion (RM122 bilion) asetnya berada di Libya manakala bakinya disembunyikan di luar negara.
Menurut beberapa sumber di London dan Tripoli, wang tunai yang disimpan di luar negara itu adalah khusus untuk kegunaan keluarganya.
"Gaddafi sebenarnya bijak, jika tidak masakan beliau boleh bertahan selama lebih empat dekad. Walaupun apa pun yang berlaku kepada dirinya, beliau telah memiliki simpanan tunai dan hartanah di seluruh dunia, terutama Asia tenggara dan rantau Teluk sebagai jaminan masa depan sembilan anaknya," kata sumber itu.
Sumber-sumber tersebut berkerja dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang menguruskan dana negara berjumlah sekitar AS$50 bilion (RM152.5 bilion).
SEBUAH banglo berharga AS$16.1 juta dolar (RM49 juta) milik anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam (gambar kecil) di London.
Agensi tersebut dikawal oleh Gaddafi.
Menurut mereka, Gaddafi mengambil beberapa langkah bijak bagi mengelak kekayaannya dibekukan seperti yang menimpa bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Bin Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak.
Antaranya, kata mereka, Gaddafi menyimpan wangnya dengan menggunakan akaun bank milik beberapa 'orang kepercayaannya' yang menerima 'habuan' lumayan.
Hanya Gaddafi dan keluarganya yang tahu identiti kroni mereka.
"Kunci kepada semua ini adalah kerahsiaan dan orang kepercayaan. Beliau memiliki beberapa kroni yang membantunya menyembunyikan kekayaannya," kata sumber itu.
"Gaddafi tahu orang kepercayaannya itu akan memulangkan wang miliknya selagi mereka diberi bahagian yang lumayan. Apabila anda memiliki wang berbilion-bilion dolar, perkara ini adalah mudah," tambahnya.
Di Asia Tenggara, wang Gaddafi itu dipercayai disimpan di beberapa akaun pesisir.
Hampir semua wang itu datangnya daripada pendapatan hasil minyak negara.
Selain wang tunai, pemimpin berusia 68 tahun itu turut memiliki beberapa hartanah di kawasan strategik di Lon don.
Beliau membeli bangunan Portman House di London pada harga AS$249 juta (RM762 juta) dan membayar AS$193.4 juta (RM590 juta) untuk membeli sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan bank pusat England.
"Gaddafi juga memiliki kepentingan dalam UniCredit, yang merupakan antara bank terbesar di Itali," lapor sebuah stesen radio Belanda.
Kelmarin, Gaddafi dilapor mendeposit wang tunai berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.7 bilion) kepada seorang pengurus dana peribadi di London.
Seorang pengurus dana warga Switzerland yang bekerja dengan Gaddafi berperanan sebagai orang tengah dalam transaksi itu.
Pemindahan wang tersebut berlaku pada minggu lalu.
Lima minggu lalu, percubaan serupa oleh Gaddafi ditolak oleh seorang pegawai kanan di sebuah firma saham di London.
Pegawai berkenaan menolak untuk menguruskan dana itu setelah mengetahui sumbernya.
"Saya berkata tidak kerana secara peribadi, saya keberatan terbabit dengan diktator yang kejam (Gaddafi)," katanya.
Semalam, Amerika Syarikat dan Britain bertindak membekukan aset Gaddafi di negara masing-masing.
Presiden AS, Barack Obama menandatangani perintah eksekutif untuk membekukan semua aset milik Gaddafi dan empat orang anaknya di AS.
Jabatan Perbendaharaan menyatakan, sekatan terhadap Gaddafi, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya itu turut melibatkan pentadbiran Libya.
GADDAFI memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya. Keadaan sebuah lorong di sebuah kota Libya semalam.
Tindakan tersebut dilakukan selepas London mengumumkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengecam keganasan rejim pemerintah di Libya.
Dalam satu kenyataan bersama, EU menyifatkan bahawa tindakan Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri sebagai "langsung tidak boleh diterima".
Sementara itu, Gaddafi memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya.
Amaran tersebut disampaikannya dalam satu ucapan di Dataran Hijau di sini semalam yang disiarkan oleh televisyen negara itu.
Di hadapan saki baki penyokongnya, diktator Libya itu berkata, beliau tidak gentar untuk mati dan menyeru para penyokongnya supaya bersedia untuk mempertahankan negara.
Malah, ujarnya: "Rakyat Libya sayangkan saya."
Semalam, Gaddafi mengumumkan bahawa orang awam yang menyokongnya akan diberikan senjata api untuk memerangi dan membunuh para penunjuk perasaan.
Tindakan tersebut dijangka akan mencetuskan pertumpahan darah besar-besaran di Tripoli.
Juga semalam, askar-askar yang setia kepada Gaddafi dengan dibantu beberapa kereta kebal menyerang Pangkalan Udara Misrata berhampiran Tripoli.
Pangkalan udara itu sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang.
Setakat semalam, mereka berjaya merampas sebahagian pangkalan tersebut selepas bertempur dengan penduduk tempatan dan unit-unit tentera yang berpaling tadah.
Setakat ini, lebih 2,000 orang terbunuh manakala ribuan yang lain cedera sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Gaddafi tercetus hampir dua minggu lalu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan