ACARA keirin tidak disenaraikan oleh Indonesia pada Sukan SEA 2011 meskipun sudah didesak oleh Persatuan Berbasikal Asia.
“SATU pembohongan besar.”
Demikian rumusan yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila mengetahui keputusan penuh 18 acara lumba basikal yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia hujung tahun ini.
Presiden PKBM, Abu Samah Abd. Wahab menegaskan bahawa Komite Olimpik Indonesia (KOI) dan Persatuan Berbasikal Indonesia (ICA) tidak melakukan sebarang rombakan semula terhadap mana-mana acara membabitkan disiplin trek dan basikal bukit sekali pun telah mengadakan mesyuarat pada 25 Februari lalu.
Tambah melucukan, Indonesia menyenaraikan acara 10 kilometer (km) perlumbaan mata lelaki elit dan 25km perlumbaan mata wanita sekali gus membayangkan sikap tidak jujur yang jelas membawa makna tersirat di sebalik tindakan tersebut.
"Mereka (KOI dan ICA) bukan saja tidak menghormati tindakan ACC (Persatuan Berbasikal Asia) yang telah menghantar surat jawapan balas meminta agar mereka menyenarai semula acara bersesuaian dengan Kejohanan Sedunia. Misalnya dalam disiplin trek, mereka perlu senaraikan acara keirin dan 200 meter ujian masa individu.
"Bagaimanapun, Indonesia hanya senaraikan acara 10km scratch race, 4km pursuit individu dan 10km perlumbaan mata. Sedangkan dalam surat asal kepada ACC, mereka minta nasihat daripada badan terbesar di Asia. Namun setelah diberikan nasihat, mereka sama sekali tolak mentah-mentah pandangan ACC.
“Paling melucukan ialah apabila mereka senaraikan acara 10km perlumbaan mata untuk lelaki dan 25km perlumbaan mata untuk wanita. Adakah mereka ingin beritahu kita pelumba lelaki lemah berbanding pelumba wanita. Saya benar-benar bingung dengan keputusan ini. Ia sangat melucukan,” kata Abu Samah.
Abu Samah yang juga Naib Presiden ACC menjelaskan Indonesia juga hanya memilih acara yang difikirkan boleh memberi kelebihan besar kepada pelumba republik tersebut.
"Dahulu mereka berjanji akan adakan acara downhill dan cross country untuk lelaki serta wanita. Tapi apabila terima senarai penuh, kami dapati Indonesia hanya senaraikan acara downhill untuk wanita. Mereka ketepikan cross country kerana tahu ada negara lain yang kuat dalam acara ini,” katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung ACC, Choi Boo Woong telah mengutus sepucuk surat kepada Indonesia meminta agar republik tersebut menghormati desakan negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand dan Filipina yang mahukan beberapa acara trek seperti keirin dan 200m pecut individu disenaraikan semula pada Sukan SEA 2011.
Choi menjelaskan Indonesia perlu berbuat demikian jika mahu acara berbasikal di Sukan SEA 2011 menerima pengiktirafan rasmi daripada ACC atau UCI sekali gus membolehkan beberapa pegawai penting seperti komisar dan anti-doping dihantar memantau temasya sukan dwitahunan itu.
Abu Samah menjelaskan selaku Presiden Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACA), beliau akan berhubung dengan semua ahli gabungan di Asia Tenggara untuk mendengar pandangan mereka khususnya Thailand dan Filipina yang dianggap antara kuasa besar di rantau ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan