Baikilah Demokrasi Demi Kelestarian Hidup Rakyat

Oleh: BayangDiAir

"Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Sebelum  jatuh ke tanah sudah banyak kali tupai melompat dengan jayanya. Ada juga kenyataan yang merumuskan bahawa di sebalik seorang penagih dadah yang direkodkan, terdapat empat orang lagi h di luar sana. Bukan senang hendak mengenali pasti mereka ini .

Perbuatan terkutuk biasanya dilakukan secara bersembunyi dan licik. Bukan senang juga hendak terserempak dengan tupai yang jatuh ke tanah. Maka dalam kes konspirasi menjatuhkan sesebuah kerajaan, membeli wakil rakyat dan memanipulasi daftar pemilih dan undi pos , kita hanya dapat bermonolog, “oh jahatnya manusia.”

  Untuk menjustifikasikan kerja jahat, manusia mencari pelbagai alasan dengan pelbagai dakwaan. Kata orang manusia yang sanggup berbohong kali pertama akan sanggup juga berbohong bagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Untuk menutup bohong pertama, dia akan reka bohong kedua, untuk menutup bohong kedua, dia akan cipta bohong ketiga. Begitulah keadaan nasib si pembohong. Si pembohong dari semasa ke semasa merendahkan darjat dan maruahnya sendiri demi mengelakkan rasa bersalah. Bagi mereka apa pentingnya maruah.

Siapa pembohong? Mahathir dalam  kes Memalinya? Najib dalam kes Altantuya? Si Saiful dalam dakwaan liwatnya? Gobalakrisnan dalam kempen pelariannya daripada PKR? SPR? Mahkamah? Undi pos? Semua berada dalam sindrom penafian? Habis siapa pembohong? Pembangkang? Rakyat?
Pembohongan dan konspirasi boleh berjalan terus bagi manusia yang tidak ingat akan saat kematian dan tidak yakin lagi ada pembalasan selepas mati. Namun bagi rakyat yang prihatin, kita tidak boleh berdiam diri. Negara dan rakyat keseluruhannya perlu diselamatkan. Keamanan ,  kesejahteraan dan kemakmuran mesti dipertahankan.
Justeru itu, para pembohong dan konspirator perlu diperingatkan. Negara dan masayarakat tidak akan aman apabila sebahagiannya tidak berpuas hati dan rasa tertipu. Rakyat menghabiskan sebahagian wang, masa dan tenaga mereka untuk memilih pemimpin mereka.  Sebahagiannya sanggup mengambil cuti demi tanggungjawab terhadap demokrasi. Kecewa kerana kalah secara jantan tidak akan mencetuskan rasa marah dan rasa tidak berpuas hati. Tetapi kecewa kalah kerasa ditipu dan dianiayai  akan mencetuskan gelombang kebangkitan kemarahan.
Demi rasa cinta pada keamanan, Pakatan Rakyat mestilah mengadakan forum, seminar, dialog dan ceramah khusus tentang peri pentingnya dipersembahkan pilihanraya yang bersih dan adil. Biarlah pemimpin negara dan rakyat sedar tentang kepentingan menjaga hati semua rakyat. Dalam fenomena global kebangkitan rakyat menuntut hak dan keadilan demokrasi, negara perlu berada dalam situasi yang kondusif sehingga rakyat tiada sebab untuk membangkitkan rasa tidak berpuas hati apabila menerima keputusan PRU13 nanti.
Kini rakyat semakin rasa terhina dengan undi pos, pendaftaran pemilih meningkat mendadak di sesuatu kawasan, wakil rakyat yang melompat dan dibeli oleh pihak yang rasa selamat daripada tindakan SPRM, tindakan tidak beretika media massa penyebar fitnah dan peniup api perkauman, SPR dilihat berpihak di sebelah BN bukan lagi sekadar ‘bias’  berpuluh-puluh lagi sub-penyakit kronik dalam sistem demokrasi di Malaysia.
Jangan dibiarkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH), Mohd Sabu sahaja membedah demokrasi .  Mengapa suaranya yang semakin parau itu tidak digemuruhkan bersama dengan jutaan suara pencinta demokrasi yang adil dan telus?  Kita – semua peringkat pemimpin, para ahli akademik, pengungsi menara gading, bloggers serta rakyat yang cintakan keamanan keseluruhannya hendaklah bangkit sederap bersuara di mana-mana sahaja untuk memberi nasihat dan peringatan kepada pihak penguasa yang masih mamai dengan kuasa.  Bercakap, berseminar, berforum dan berbloglah sekerap mungkin tentang isu ini meskipun nampak bagai diulang-ulang atas point yang sama. Pakatan Rakyat mestilah menggerakkan usaha penerangan dan desakan melalui  penerbitan  pamphlet memuatkan data, fakta tentang penyelewengan pilihanraya serta kepentingan sebuah demokrasi yang adil. Edarkan seperti teredarnya Buku Jingga.
Kalau perlu, satu desakan yang kuat perlu dilakukan agar parlimen jangan dibubarkan selagi empat tuntutan BERSIH - demokrasi dan pilihanraya yang telus dan adil gagal dipersembahkan kepada rakyat dalam PRU13 nanti. Persoalannya, adakah rakyat akan berpuas hati dan redha menerima keputusan PRU13 nanti dalam situasi yang ada pada hari ini? Jangan remehkan persoalan ini."

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.