Peta Jepun Berubah, Kedudukan Pulau Honshu Berganjak 2.4 Meter



Tokyo: Gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun kelmarin, bukan hanya meragut sekurang-kurangnya 1,700 nyawa, manakala 10,000 lagi dikhuatiri hilang, malah meninggalkan kemusnahan besar termasuk ancaman radiasi di bahagian utara negara itu berikutan letupan di salah satu reaktornya selain impak fizikal yang menyaksikan peralihan paksi bumi kira-kira 25 sentimeter.

Anggaran kerugian AS$15 bilion (RM52.5 bilion). Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter kelmarin yang juga kelima terkuat di dunia itu menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun itu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer – impak yang menurut saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi Sumatera, sebelum ini.

Jepun mengerahkan lebih 50,000 askar, manakala anggota mencari dan penyelamat melakukan tugas mencari mangsa selepas gempa yang berpusat di pantai Pulau Honshu yang juga kawasan berpenduduk paling padat di Jepun dengan kemusnahan sekurang-kurangnya 3,600 rumah, dilaporkan.

Bagaimanapun, lebih 30 jam selepas kejadian itu, Perdana Menteri, Naoto Kan, berkata anggota penyelamat masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Seramai 215,000 penduduk di kawasan timur lautnya yang terjejas teruk itu, berlindung di penempatan sementara ketika sekurang-kurangnya 5.6 juta penduduk pula terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan air bersih.

Semua talian telefon terputus ketika ramai penduduknya yang terselamat, beratur panjang mendapatkan bantuan.

Sebanyak 400 mayat ditemui di bandar Rikuzentakata, wilayah Iwate yang dilaporkan musnah dan tenggelam sepenuhnya, manakala di bandar Sendai, sekurang-kurangnya 300 mayat turut ditemui.

Agensi berita Kyodo melaporkan, sebuah kapal yang membawa sekurang-kurangnya 100 penumpang, dihanyutkan tsunami dan nasib mereka belum diketahui hingga sekarang.

Ketika harapan menemui lebih ramai mangsa masih hidup kian tipis, Jepun dikejutkan dengan kejadian kebocoran radioaktif di salah reaktor nuklearnya di Fukushima, utara Tokyo akibat letupan di bumbung loji terbabit berikutan gempa bumi kuat.

Perkembangan itu meningkatkan ancaman radiasi jika reaktor itu terbakar dan memaksa kerajaan memindahkan penduduk yang tinggal di lingkungan 20 kilometer dari reaktor Daichi 1 berusia 40 tahun itu.

Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu dibuat ketika rakaman televisyen memaparkan imej kepulan wap panas dari loji itu yang memaksa syarikat pengendalinya, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berusaha mengurangkan tekanan dalam teras reaktor berkenaan.

Sementara itu, kesan tsunami turut dirasai di beberapa negara sekitar kawasan Pasifik dan Amerika Syarikat, dengan berjuta-juta penduduk terpaksa mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi selepas menerima amaran tsunami.

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh, manakala lima lagi dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan ombak besar di Cresent City California. – AP/AFP/Reuters

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.