LETUPAN LOJI NUKLEAR DI FUKUSHIMA

KITA HANYA MANUSIA


SEBELUM ITU BUAT INI DAHULU

Wira kami meluncur meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Merlimau. Cuaca petang agak nyaman. Lalu saya meminta si Pemandu memadamkan alat hawa dingin kerana saya ingin membuka cermin kereta. Saya ingin menghidu udara petang. Berkali kali saya tekan punat tetapi sang cermin amat degil tidak mahu turun ke bawah. Si Pemandu menoleh sambil ketawa dan bersuara ‘ ini Proton Bro… tak kan tahu tahu… ini pun belum sampai setahun’. Kami terbarai ketawa.

( dari ingatan berkempen ke Merlimau)

Saya sedang memberi kuliah di Akademi Seni Kebangsaan. Bangunan ini belum sampai lima tahun. Hujan yang awalnya renyai renyai menjadi lebat. Tertiba diluar air mencurah masuk. Atap bangunan ini telah terbarai.

( dari ingatan mengajar di ASWARA)

Apabila kita membaca dan melihat apa yang sedang terjadi kepada lima buah loji nuklear di Jepun maka kita akan sedar bahawa ini adalah satu pelajaran yang amat mahal. Mata pelajaran ini sedang dibayar dengan harga darah dan nyawa oleh warga Jepun. Pelajaran dihadapan mata kita ini sedang membuktikan bahawa radioaktif ini amat merbahaya untuk umat manusia.

Ini adalah kali kedua warga Jepun membayar dengan nyawa mereka untuk membuktikan kepada dunia tentang malapetaka yang akan dibawa oleh radioaktif. Kali pertama dahulu pada pada 6 dan 9 Ogos 1945. Pelajaran itu telah dipaksakan keatas warga Jepun apabila dua butir bom atom telah diledakan ke atas kota Nagasaki dan Hiroshima.

Kali ini agak berbeza – bukan dengan paksaan dari sesiapa tetapi hasil dari kerja lobi para saudagar penjual loji tenaga nuklear.

Lihat dan perhatikan - ketika loji nuklear di Fukushima terbakar - para saudagar tenaga nuklear, para pelobi tenaga nukelar, para kang kong pakar nuklear dan para politikus rasuah - sedang meminta kita semua bertenang. Suara paling terbanyak meminta kita bertenang datangnya dari sosok yang mengakui diri mereka sebagai arif dan berilmu dalam hal nuklear.

Justeru, para profesor dan ilmuan yang arif tentang hal radioaktif kini sedang sibuk membicangkan pandangan mereka. Ilmuan kang kong dan pakar nuklear ini sedang bersilat lidah dikaca tv untuk mententeram keadaan. Para pakar ini dilihat gah dan hebat dengan ijazah berjela-jela tetapi bila kita selidiki dengan rapi maka akan kita temui bahawa mereka ini ada pertalian kepentingan dengan saudagar penjual loji tenaga nuklear.

Di Malaysia para kang kong ini tidak perlu menyorokkan diri untuk berselindung. Mereka secara terbuka menyokong rancangan kerajaan untuk untuk mendirikan loji nuklear pada tahun 2021. Suara sokongan mereka sedang dijadikan alat untuk bercanang ke hulu ke hilir oleh para saudagar loji nuklear.

Para kang kong ini bersuara menyokong tenaga nuklear bukan kerana mereka berilmu tetapi kerana dengan cara ini sahajalah suara mereka akan dilaporkan oleh media arus perdana. Dengan menyokong tenaga nuklear maka muka mereka akan muncul di kaca tv. Dan jika mereka rajin sadikit mereka akan dapat menulis di ruangan akhbar Utusan atau Berita Harian.

Orang awam jangan terperanjat apabila diberitahu bahawa menulis di Utusan atau di Berita Harian ini juga akan diambil kira sebagai pencapaian keilmuan yang ilmiah. Ini juga akan dihitung untuk kenaikkan pangkat dan gaji. Nampaknya menulis diakhbar arus perdana di Malaysia ini telah disamakan tarafnya seperti menulis di majalah Foreign Affairs, New Scientist, Nature atau Oxford Journals

Maaf. Jangan silap faham. Tulisan saya ini bukan bercita atau berniat untuk memperlekehkan para ilmuan tempatan ini. Tidak. Saya tidak perlu meperlekehkan mereka kerana mereka sendiri memang telah lama lekeh. Majoriti ilmuan kang kong ini lekeh kerana tidak pernah melahirkan buku atau menulis secara ilmiah. Kebijaksanan mereka ialah membodek dan mengampu untuk naik pangkat.

Kalau kurang yakin tentang apa yang saya nyatakan disini – sila rujuk laporan akhbar minggu lalu bagaimana Najib Razak telah mengingatkan kangkong – kangkong ini agar tidak berebut-rebut untuk menjadi Naib Cancelor

Biasanya para akademik yang tegar dengan ilmu pengetahun dan kajian akan menolak pangkat Naib Cancelor. Sosok yang berilmu akan menolak pangkat ini kerana ianya akan membuang masa kerana terlibat dengan kerja mentabir universiti. Cita-cita sosok yang berilmu ialah membaca, mentelaah, mengkaji, menduga, mencuba dibilik makmal dan akhirnya menerbitkan bahan kajian untuk untuk dibincangkan oleh rakan-rakan dalam dunia akademia.

Seorang akademia yang bukan jenis kang kong tidak akan membuang masa untuk hadir di majlis-majlis hampeh seperti menghantar menteri ke lapangan terbang atau yang membuang masa dan tenaga untuk memastikkan mahasiswa dari kumpulan Aspirasi menang dalam pilihanraya kampus.

Saya telah dan akan terus menimbul dan mempersoalkan tentang keupayaan ilmu profesor kang kong. Saya lakukan ini kerana saya yakin dalam minggu ini akan banyak suara-suara kang kong ini kedengaran. Mereka akan dijemput untuk memberi pandangan-pandangan juling tentang letupan loji nukelar di Fukushima.

Komen dan pandangan profesor kang kong ini akan digunakan untuk mengolah persetujuan orang ramai agar menerima hakikat bahawa negara kita tidak ada pilihan melainkan menggunakan nuklear sebagai punca tenaga leterik dalam masa 10 tahun yang akan datang. Kang kong ini juga akan memberi pandangan kontot mereka bahawa loji tenaga nuklear ini selamat untuk diguna pakai.

Para kang kong ini tidak akan menyebut berapa banyak kecelakan kecil dan besar yang telah terjadi di loji nuklear. Dengan sempoi para kang kong akan melupakan data dan sejarah. Jika ada disebut satu kecelakaan kecil maka si kang kong ini akan menyatakan yang ini terjadi pada satu ketika yang lama dahulu. Di zaman teknoloji secanggih hari ini tidak mungkin kecelakan akan berlaku lagi.

Hakikatnya, kecelakan yang berpunca dari loji tenaga nuklear berlaku terus menerus. Pada tahun 1979 sebuah loji nuklear Three Mile Island di Pennsylvania Amerika telah hampir meledak. Ini kerana kesilapan teknikal. Selama tiga hari Amerika Syarikat dalam keadaan mengigil menunggu apakah akan terjadi satu letupan.

Pada tahun 1986 satu lagi ledakan loji nuklear telah berlaku di Chernobyl Ukraine. Ini telah membawa mala petaka yang amat dasyhat. Hingga ke hari ini wilayah sekitar Chernobyl telah ditinggalkan kosong kerana bahaya radioaktif yang masih berkeliaran. Untuk berapa tahun lagi wilayah ini akan ditinggalkan? Berapa lama radioaktif ini akan berkeliaran?

Umur radioaktif ini ditakrifkan sebagai : half life. Half life ini mungkin 300 tahun dan mungkin 3000 tahun. Half life hanyalah konsep. Kerana itu hingga ke hari ini masih ada bekas warga Chernobyl yang melahirkan bayi cacat dan tidak cukup sifat akibat serangan radioaktif.

Lalu timbul persoalan – jika tenaga nuklear ini amat bahaya kenapa ianya masih digunakan. Jawapan untuk soalan ini ialah keuntungan. Para saudagar penjual loji nuklear akan mendapat keuntungan berbilion ringgit apabila ada negara yang ingin membeli loji ini. Loji tenaga nuklear bukan dijual macam kereta. Teknoloji tenaga nuklear ini amat tinggi dan canggih. Tidak semua negara dalam dunia ini memiliki keupayaan untuk mendirikan loji nuklear ini. Negara-negara yang memiliki teknoloji untuk membuat dan menjual loji nuklear ini juga terhad. Ini menjadikan harga loji ini mahal.

Dalam masa yang sama kefahaman dan kesedaran orang ramai terhadap bahaya radioaktif dari loji ini telah ditumpulkan. Seperti di Malaysia banyak pekara dilakukan oleh politikus tanpa banyak perbincangan. Malah ada pekara dilakukan secara senyap-senyap tanpa diketahui umum. Contoh terbaik ialah kilang nadir bumi di Gebeng yang juga akan membawa malapetaka radioaktif tetiba muncul tanpa perbincangan.

Kerana tidak ada perbincangan maka orang ramai tidak mendapat maklumat yang penuh sama ada menerima atau menolak pengunaan tenaga nuklear sebagai punca tenaga leterik. Ini di tambah pula oleh lebong para kang kong yang kerap muncul dimedia arus perdana untuk menjadi juru heboh tenaga nuklear. Pandangan ke dua atau cadangan alternatif akan dinafikan untuk untuk memastikan orang ramai dapat terus ditipu.

Malah si pembawa pandangan kedua atau alternatif mungkin akan ditangkap untuk di ISAkan. Ini pernah berlaku di Bukit Merah Perak pada tahun 1987. Warga di Bukit Merah telah bangun menentang rancangan untuk mendirikan kilang nadir bumi yang kini telah dipindahkan ke Gebeng. Beberapa orang aktivis Bukit Merah telah ditahan dalam Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987.

Para menteri pula akan berhujah mengatakan bahawa kita perlu tenaga nuklear kalau tidak kita akan bergelap. Cakap cakap seperti ini menakutkan orang ramai seolah-olah kita tidak ada pilihan. Di belakang cakap-cakap menteri ini ialah saudagar penjual loji nuklear. Ini samalah seperti kita membeli kapal selam dari Peranchis. Rakyat Malaysia telah dipaksa menerima kapal selam ini kerana ada menteri yang telah menerima suapan dari saudagar kapal selam.

Saudagar penjual loji nuklear ini juga bergerak sama seperti saudagar senjata. Malah kadang kala yang menjual senjata ini juga menjual loji tenaga nuklear.

Untuk saya keputusan sama ada Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear atau tidak cukup senang untuk dibuat. Kita tidak perlu melihat ke Jepun atau ke Chernobyl. Kita hanya perlu melihat kereta keluaran Proton. Berapa ramai pembeli kereta Proton telah menyumpah dan menyesal kerana cermin tingkap kereta Proton tidak boleh dipakai. Juga kita sering terbaca bangunan kerajaan runtuh. Malah kita juga terbaca bagaimana atap bangunan Parlimen telah runtuh. Kali terakhir ialah berita runtuhnya stadium di Kuala Terangganu.

Untuk saya sebelum kita mendirikan loji nuklear di bumi ini marilah kita meminta secara jujur agar para ilmuan, para saintis dan para jurutera kita dapat memperbaiki cermin tingkap kereta keluaran Proton. Ini adalah asas teknoloji. Kalau yang asas ini pun selalu kantoi bayangkan apa yang akan terjadi apabila loji nuklear meledak.

Mari berfikir sejenak. Sebelum ke sekolah kita ke Alif Ba Ta dahulu. Sebelum buat itu – buat ini dahulu.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.