Ahli Pas Perlu Istiqamah Dalam, Doa, Solat Hajat Dan Qunut Nazilah

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (91:8-10).
Memilih bersama-sama PAS bererti memilih untuk menempuh sebuah perjalanan yang jauh. Perjalanan yang susah dan tidak ramai orang ingin bersama dengannya. Inilah perjalanan yang ditempuh Rasulullah SAW. dan para sahabat sehingga Allah mengingatkan mereka dalam firmannya:


"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.” (9:42).
Perlulah difahami bahawa jalan yang kita pilih ni akan ada ujiannya, akan ada orang yang cuba menyesatkannya daripada matlamat, dan ada yang cuba mengajaknya berhenti dan berpatah balik. Maka dalam setiap orang yang bermusafir mengambil jalan ini, dia memerlukan bekalan. Bekalan yang memelihara daripada terpesong, terhenti dan tergelincir daripada jalan ini. Amatlah perlu untuk kita mempersiapkan bekalan yang secukupnya, umpama sebuah kereta yang digunakan untuk bermusafir, jika kehabisan minyak dan tersadai di tengah jalan, maka jadilah ia hanya sepotong besi buruk yang tidak dapat membantu untuk bergerak walaupun selangkah. Demikianlah juga orang yang mengharungi jalan dakwah, apabila bekalan iman dan taqwanya kehabisan tanpa ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau orang sakit yang tidak mampu bergerak.
Firman Allah s.w.t. “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya, Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang” (33:41-42)
Daripada firman Allah SWT. ini, jelaslah bagi kita dalam zikir dan doa terdapat bekalan. Allah adalah matlamat kita. Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepada kita, maka patutkah kita lupa untuk mengingatinya? Bagaimanakah kita terlupa kepada Allah yang tiada selainNya dapat memberi ketenangan dan bantuan kepada kita? Dengan mengingati Allah, kita dapat melepaskan diri dari suasana buruk dan fitnah yang menimbun, ianya dapat menyucikan hati kita untuk kembali kepada Allah dan mengikhlaskan diri kepadaNya. Maka biasakanlah diri kita untuk mengingati Allah. Banyakkan bersolat kerana ia adalah zikir yang paling besar. Bagi kita yang selalu dilanda ujian dan memerlukan kekuatan menghadapinya, selalulah kita bersolat hajat memohon kepada Allah kekuatan kerana perbendaraan dan kekuatan langit dan bumi adalah milik Allah, seluruhnya.
Manakala doa pula merupakan tanda perhambaan kita kepada Allah, keimanan kepadaNya. Perasaan hancur, lemah dan merendah diri dihadapan Allah, mengakui bahawa Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Amatlah perlu untuk kita berdoa kepada Allah dalam menempuh jalan ini, kerana kita sangatlah lemah, tetapi keperluan kita tersangatlah banyak, maka mintalah kepada Allah yang tidak terbatas kekuasaanNya.
Dan doa juga merupakan senjata orang mukmin. Sesungguhnya Rasulullah dalam menghadapi peperangan sentiasa berdoa kepada Allah sehingga dalam Perang Badar, Rasulullah berdoa sehingga saidina Abu Bakar merasa kesian melihat kesungguhan Nabi s.a.w. Doa yang menjadi pilihan Nabi s.a.w. ketika perang itu ialah Qunut Nazilah, doa yang mustajab untuk menghancurkan musuh. Jadi marilah kita mengikut sunnah Nabi s.a.w. dan berdoa dengan doa tersebut, moga-moga Allah menurunkan kepada kita bantuan yang sama seperti bantuan Allah kepada RasulNya dalam Perang Badar.
Demikianlah kita melihat sejauh mana keperluan kita kepada bekalan di jalan dakwah. Bersegeralah kita mendapatkan bekalan ini dan memperbaharuinya selalu. Jangan membiarkannya berkurangan sehingga kehabisan. Bahkan beramallah untuk menambahkannya. Janganlah kita tinggalkan satu hari pun dalam kehidupan kita sebagai pejuang agama Allah untuk melakukan solat hajat, berdoa dan mengamalkan Qunut Nazilah. Yakinlah bahawa amalan ini akan mengelakkan kita daripada ditipu syaitan, kalah dengan pujukan hawa nafsu serta memberi kekuatan menghadapi musuh. Sahutlah seruan Allah s.w.t., “berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa.” (2:185)

USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN
( PESURUHJAYA PAS PERAK )

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.