March 23, 2011
SHAH ALAM, 23 Mac — Lembaga Pengarah Yayasan Selangor (YS) hari ini mengekalkan Pengurus Besarnya Ilham Marzuki meskipun laporan audit terhadap yayasan itu yang dikeluarkan 18 Mac lepas mengesyorkan beliau ditamatkan kontrak.Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Lembaga Pengarah mahu menilai keupayaan Ilham terlebih dahulu.
“Ilham baru dilantik menjadi Pengurus Besar yayasan tahun lepas dan beliau perlu diberikan peluang untuk menunjukkan keupayaannya sehingga kontraknya tamat dalam masa dua tahun lagi,” katanya pada sidang media di sini.
Sebelum ini, YS dilaporkan mengalami defisit RM7.41 juta sehingga November lepas setelah laporan audit dalaman dilakukan oleh Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri diedarkan kepada media Jumaat lepas.
Menurut laporan audit itu, perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan ulang tahun ke-40 yayasan berkenaan mencecah RM996,472 selain terdapat perbelanjaan yang selesai dibayar kepada pengurus acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.
Pihak audit turut berpendapat tadbir urus korporat di YS tidak memuaskan termasuk lantikan Pengurus Besar yang dikatakan bukan pilihan utama panel temu duga manakala Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) sudah mendapat notis bankrap.
Abdul Khalid, bagaimanapun, berpendapat kerugian terbabit tidak perlu diperbesarkan kerana yayasan itu mempunyai aset mencecah RM300 juta.
Sementara itu, di Kuala Selangor Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mempertikaikan pelantikan Ilham sebagai Pengurus Besar yayasan itu sedangkan beliau bukanlah calon yang dipilih oleh panel temuduga.
“Mengapa pula semasa Datuk Mohamed Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, Kerajaan Selangor mempertikaikan bahawa Khusrin bukanlah calon yang disenarai pendek tetapi apabila Ilham yang merupakan bukan calon utama mereka memejamkan sebelah mata,” katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan