NGO Anjur Pertandingan Mencipta Lagu " 1 Bihun"

Kampung Baru, 27 April 2009 - Sebuah NGO terkenal United Bihun Merchant Organization atau UBMO akan mengadakan peraduan mencipta lagu '1Bihun', wawasan baru yang sedang dipromosikan oleh Pengerusi Tertinggi UBMO, Datuk Mujib Sujak"


.Exco kebajikan UBMO, Datuk Muis Piatu mengatakan pertandingan lagu '1Bihun' tersebut akan menjadi satu simbol kepada selera makan rakyat pelbagai kaum di negara ini, lapor Buletin Berita Hairan. "Bihun dimakan oleh semua orang. Cuma kita taruh daging yang berbeza-beza sahaja. Orang Cina makan bihun, Melayu makan bihun, India pun makan bihun.
"Mungkin, peraduan itu akan mendapat sambutan. Pemilihan lagu '1Bihun' itu akan dapat kita putuskan mana yang terbaik, bihun telah lama menjadi makanan pilihan kita sebelum 'banjo harapan baharu' dan 'kebab berkebajikan' muncul. Hanya bihun sahaja makanan yang berkhasiat untuk rakyat pelbagai kaum. Makanan, dan selera lain memang tak sedap dan tidak harus dibenarkan." katanya selepas majlis makan malam dan pertandingan karaoke lagu-lagu Mek Jah anjuran Kelab Rekreasi Warga Tua Penanti malam tadi.Muis berkata lagi, lagu ini akan dinyanyikan setiap kali sarapan pagi, "Ia bukan wajib tetapi ia akan memberi pemakan bihun satu sentimen pelbagai kaum di negara ini. Kita harap bila orang nak makan dan menyanyi, ia akan mengingatkan kita ada kaum-kaum lain."

Beliau menambah, "Ini adalah lanjutan kepada pekeliling yang mewajibkan mesyuarat rasmi di pejabat kerajaan menyediakan bihun sebagai jamuan selepas miting. "Muis seterusnya mengatakan, lagu '1Bihun' dalam Bahasa Malaysia tersebut akan disebarluaskan di semua stesen televisyen dan radio. Pengurus stesen radio PanasFM, Siraj Tawa bagaimanapun menolak untuk memainkan lagu tersebut di radio terkenal, "Muda-mudi sekarang tak berapa makan bihun lagi. Kadang-kadang boleh lah. Kita nak merasa jugak makanan-makanan lain. Kita tak akan mainkan. Lagu dangdut pun kita tak putarkan, eeiii, tak ada maknanya lah kita nak putar lagu merepek macam tu."

Bagaimanapun pengurus stesen radio KelumpoFM, Alex Cun berjanji akan memainkan lagu '1Bihun'. "Lagu tersebut akan menaikkan semangat makan." Katanya pendek.Penyanyi veteran M. Daud Silau tertarik dengan idea lagu rasmi '1Bihun'. "Saya bersetuju. Saya suka bihun sup utara. Saya akan nyanyikan. Ciptalah, nanti saya dendangkan sambil gelek."Antara tema-tema lagu '1Bihun' yang telah digariskan oleh UBMO untuk pertandingan tersebut ialah tema 'Bihun Berkhasiat Pelbagai Kaum', 'Makan Bihun Penglibatan Sosial', 'Bihun Kemasyarakatan dan Perpaduan', dan 'Bihun Tercinta'.Novelis prolifik Faisal Tehrani yang baru melancarkan sebuah novel mengenai makanan berjudul Ketupat Cinta berkata beliau tidak ada masalah dengan lagu '1Bihun', "Memanglah kalau diikutkan, saya taasub dengan ketupat. Tapi tak apalah. Inikan negara demokrasi berpelembagaan. Kalau ada orang nak bihun, silalah. Cuma saya harap stesen radio jangan memainkan lagu tersebut semasa bulan puasa nanti."

Komposer terkenal Abu Hasan Sebu mengatakan beliau akan menghantar beberapa buah lagu untuk pertandingan sensasi tersebut. "Saya telah menciptakan beberapa buah lagu bermutu yang judulnya 'Bukan Bihun Biasa', 'Percayalah Bihun' dan 'Aku Bihun Padamu'. Komposer terkenal lain pula, Abai, mengaku telah menyiapkan sebuah lagu dalam diam-diam untuk pertandingan anjuran UBMO, lagu beliau berjudul, 'Sudahkah Anda Dibihunkan?'.Sementara itu, mufti dan pendakwah terkenal sebuah negeri di utara membantah pertandingan tersebut. "Ana berpendapat lagu dengan lirik jahiliah yang mendewa, mengagung dan memuja-muja bihun adalah bid'ah dan penuh unsur tahyul. Ini semua salah syiah. Dari radio pasang lagu '1Bihun', alangkah lebih baik dimainkan lagu Asmaul Husna."

Mufti lain, yang enggan namanya disiarkan pula kecewa dengan pertandingan tersebut. "Anak-anak yang bapa atau ibunya memeluk Islam diminta kekal dengan agama asal mereka tidak pun dibincangkan UBMO, mereka lebih suka berbihun berbihun dan berbihun. Ana dah tak tahan! Kita patutnya tidak membincangkan hal remeh temeh ini."Beberapa orang yang ditemui di Jalan Vrickfield ketika ditanyakan apakah yang mereka fahami mengenai '1Bihun' kelihatan tercengang-cengang dan menggelengkan kepala. Seorang lelaki keturunan punjabi yang ditemuramah menegaskan, hanya '1Capati' sahaja wajar dipromosikan. "Tak acilah macam ni, bulan lepas Datuk Mujib kata capati paling sedap, sekarang dia kata bihun paling sedap. Mana ada banyak paling sedap. Yang paling sedap mesti satu."

Hanya seorang warga KL mengaku faham mutlak mengenai promosi '1Bihun', kata beliau yang enggan dikenali, "Ia adalah harapan kita, harapan rakyat, harapan masa depan bahawa bihun akan tetap teratas. Tetap unggul, terbilang, gemilang dan cemerlang kebihunannya."- Faisal Tehrani

http://addin77.blogspot.com

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.