Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Mencari individu untuk melaksanakan tugas secara sukarela bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi dalam kegiatan dakwah.
Namun, Islam telah menggariskan bahawa tugas mengajak manusia membuat kebaikan dan meninggalkan maksiat melibatkan setiap individu Muslim.
Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala kebajikan dan melarang melakukan perkara yang keji. Dan mereka yang demikian itu adalah orang yang berjaya. (ali-Imran: 104)
Menyedari hakikat itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Sukarelawan Perkim dari seluruh semenanjung Malaysia.
Seminar itu mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM)
Ia dianjurkan untuk memberi ilmu khidmat masyarakat kepada sukarelawan di dalam pembabitan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan.
Ini sejajar dengan misi dan visi Perkim iaitu menjadikan ia pertubuhan penggerak dakwah terunggul untuk memberi sokongan kepada institusi Islam di Malaysia dan antarabangsa.
Seminar sehari pada 18 April lalu itu diadakan di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur. Ia disertai oleh 250 peserta terdiri daripada saudara muslim dan pelajar-pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), UKM dan Pusat Asasi Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Perasmiannya dilakukan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.
Naib Pengerusi Islamic Outreach ABIM, Norma Sulaiman membentangkan kertas kerja 'Metodologi Dakwah Pemandu Pelancong Masjid' manakala mantan Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik pula membentangkan kertas kerja 'Sukarelawan dari Perspektif Islam'.
Seorang lagi pembentang kertas kerja ialah Pengerusi Persatuan Sahabat PPUM, Dr. Dzulkhaini Hussain ('Metodologi Dakwah Ziarah Pesakit').
Pada sebelah petangnya diadakan sesi diskusi dan dialog di antara penceramah dan sukarelawan.
Sesi ini melibatkan tiga modul iaitu 'Ke arah Pembangunan Belia Cemerlang', 'Senario Dakwah Semasa' dan 'Manhaj Dakwah Semasa'.
Ia dikendalikan oleh dua pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah Kepimpinan UKM, Prof. Madya Dr. Zulkepli Abd. Ghani dan Prof. Madya Dr. Ghaffar Don dan Presiden MBM, Azizuddin Ahmad.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan