Respon Saya Terhadap Penjelasan Ustaz Nik Mohd Abduh

Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi

Seminggu dua ini saya terpaksa berehat . Rehat terpanjang dalam sejarah saya menyertai gerakan Islam PAS ini .


Saya mengalami masaalah gangguan ketara di bahagian peti suara sehingga menyukarkan saya untuk bercakap dan saya dinasihatkan supaya tidak menyampaikan ceramah atau kuliah dalam tempoh sebulan ini .


Banyaklah program saya terpaksa dibatalkan dan saya memohon berbanyak maaf atas kesulitan yang dialami oleh pihak penganjur ekoran pembatalan tersebut . Saya berjanji saya akan ganti dengan tarikh yang lain insyaallah .

Rehat membuatkan masa saya banyak terluang dan saya manafaatkan sepenuhnya untuk bersama keluarga setelah sekian lama mereka menanggung beban rindu lantaran sering berjauhan . Alhamdulillah , saya juga dapat menumpukan banyak masa untuk membaca kitab dan menulis kerana keduanya adalah kegemaran saya yang sering terabai kerana kesibukan di medan juang .

Sungguh saya rasakan keperitan apabila terpaksa gantung 'microfon' dalam tempoh yang panjang , namun saya yakin akan hikmah di atas ketentuan Allah swt dan saya terimanya sebagai ujian ke atas diri yang memerlukan saya insaf dan menganalisa diri .

Kesempatan ini saya ingin mengulas kenyataan atau tilisan sahabat saya Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh setelah saya perhatikan betapa tulisan beliau mendapat liputan luas bukan sahaja dikalangan blogger tetapi juga media cetak sehingga beberapa akhbar meletakkan tulisan Ustaz Nik Mohd Abduh di muka hadapan akhbar mereka .

Sebentar tadi Ustaz Nik Mohd Abduh telah membuat penjelasan lanjut setelah menerima hampir 200 komentar [ pro dan kontra ] dari blog beliau dan saudara boleh membacanya disini :
http://nikabduh.wordpress.com/2009/04/28/kerja-kerja-bodoh-dalam-pas-2/

Saya tidak hanya membaca tulisan beliau bahkan saya segera menghubungi beliau sendiri untuk mendengar penjelasan langsung dan detail dari beliau berkait apa yang beliau tuliskan dalam blognya . 2 siri tulisan beliau dengan tajuk yang sama telah menaikkan suhu politik tanahair . Pihak blogger dan media cetak cepat mengulas dan mengambil manafaat dari tulisan Ustaz Nik Abduh .

Cara dan kaedah pengambilan manafaat yang saya maksudkan tadi juga mempunyai berbagai keadaan . Ada yang memancing , ada yang menceduk , ada yang tahan bubu dan ada yang menuba dari blog Ustaz Nik Mohd Abduh . Saya juga membaca komentar yang pelbagai . Ada yang pro lalu memuji tindakan Ustaz Nik Abduh dan ada yang kontra lalu menemplak tulisannya.

Saya berkawan lama dengan Ustaz Nik Mohd Abduh . Sejak tahun 94' melalui perkenalan pertama apabila beliau mengunjungi saya di rumah 10 Madinah An Nasr Kota Kaherah Mesir . Ketika itu beliau baru sampai ke Kaherah untuk menyambung pengajiannya setelah tamat pengajian di India .

Saya memahami bagaimana sikap , akhlak dan tahap penguasaan ilmunya dan agak rapat dengan beliau berbanding adik beradiknya yang lain walaupun sama - sama belajar di Mesir . Tentunya saya menyedari bahawa tidak mudah untuk Ustaz Nik Mohd Abduh membuat kenyataan seperti apa yang termaktub di dalam blog beliau .

Dalam situasi sebegini , saya berpandangan agar siapa jua yang mahu mengulas atau memberi komentar terhadap tulisan beliau tidaklah menambah rencah atau ajinomoto yang akhirnya akan mengubah rasa dari menu asalnya. Ada juga yang lebih - lebih menambah lada dan tak pasal - pasal rasa bertukar pedas dan hangat lalu mengganggu tumpuan cita rasa sebenar .

Siapa jua yang ingin membaca dan mengambil iktibar daripadanya hendaklah secara direct merujuk kepada tulisan beliau di blognya bukan membuat nilaian melalui kupasan dan ulasan pihak kedua atau ketiga . Kerana saya percaya , membaca dari tulisan asal pastinya tidak sama roh atau semangat yang diperolehi berbanding kita membaca dari sumbernya yang asal .

Tambahan pula saya melihat style media dan sebahagian blogger mengulas dengan cara melompat - lompat point serta mengulas kalimah tertentu tidak kepada seluruh kandungan tulisan beliau seperti memilih untuk mengulas perkataan 'mee celup' secara terpisah dari semangat perbahasan asal yang terdapat dalam tulisan tersebut . [ sehingga perbahasan 'mee celup' mengalih topik asal perbahasan sedang ia bukanlah fokusnya ]

Bagi penulis atau blogger yang ada tuhan dan beriman kepada tuhannya , ia sewajarnya bertanggungjawab atas setiap kalimah yang ditulis tambahan pula tulisan itu dipapar kepada umum . Bukan sahaja manusia atau masyarakat pembaca akan menilai tetapi juga Allah swt dan para malaikatNya turut menilai apa yang ditulis . Saya yakin Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai manusia yang berada langsung dibawah tarbiyah ayahnya seorang ulama' tersohor tanahair lebih memahami prinsip ini .

Saya dapat merasakan betapa tulisannya yang terbaru [ kerja - kerja bodoh dalam PAS - vol 2 ] ditulis dengan begitu cermat dan berani . Saya telah mengingatkannya akan rasa kebertanggungjawaban terhadap tulisannya , dengan yakin beliau menegaskan bahawa beliau sangat sedar dan bertanggungjawab terhadap apa yang beliau tulis .Saya juga menekan soal pembuktian sebagai peringatan kepada beliau dan beliau nyata bersedia untuk mengambil tanggungjawab penuh atas tulisannya .

Isu pokok yang mesti difahami dan dihayati oleh semua pembaca dari tulisan beliau ialah tiada sebarang persengketaan antara dua tokoh ulama' terbilang itu dan wujudnya pihak yang mahu melihat berlakunya pertembungan antara keduanya .

Soal wujudnya pihak yang cuba melaga - lagakan 2 tok guru ini memang tiada siapa yang boleh menafikannya dan ianya diketahui oleh semua kerana ia diterjemah melalui tulisan , kenyataan dan perbahasan samaada dalam media cetak mahupun media baru [ blog dan web site ] .

Kalau saudara melayari blog dan web site [ tanpa perlu saya menyebut nama blog atau tuan empunya web site terbabit ] , nescaya saudara akan ketemui unsur - unsur ini secara jelas dan ketara sehingga saya sendiri berasa tidak sedap duduk walaupun kedua - dua tok guru ini bukan lah ayah saya . Kalau mereka ayah saya , rasanya mungkin saya akan "mengamuk" lebih hebat dari Ustaz Nik Mohd Abduh , wallahua'lam .

Ustaz Nik Mohd Abduh mungkin tertekan atau kecewa melihat ayahnya diperlagakan secara langsung atau tidak langsung dengan Presiden PAS [ sedang kedua - duanya adalah Tok Guru kesayangan ummah ] .

2 siri tulisan beliau adalah berasaskan motif ini , iaitu merungkai kekeliruan ahli PAS mengenai wujudnya fenomena yang menimbulkan krisis antara dua tokoh pimpinan PAS ini .

Ada orang tegur , kenapa Ustaz Nik Abduh dedah secara terbuka , kenapa tidak sebut dalam mesyuarat atau kemukakan direct kepada orang terlibat .

Saya melihat perkara ini dari step pertama dan saya selalu pastikan agar rakan - rakan blogger terutama dari pemuda tidak membawa perkara yang tidak sepatutnya ke muka umum . Tetapi dalam isu ini suka saya sebut bahawa bukan Ustaz Nik Abduh yang membuka gelanggang dan juga bukan beliau mengheret isu ini kepada umum .

Sebaliknya beliau hanya tampil untuk memberi penjelasan setelah gelanggang dibuka begitu luas melewati sempadan cyber sementara al Mursyidul Am dan Presiden PAS diperlakukan seperti ayam sabung yang di adu laga ditengah gelanggang tersebut . Sehingga ia menjadi tatapan umum dan mengelirukan ahli parti .

Sekian lama dibiarkan para blogger [ sebahagiannya dari blogger yang mengaku ahli PAS ]mengadu domba , entah mereka mengambil upah dari siapa atau berperanan untuk siapa , juga atas maksud dan motif apa mereka tergamak mencetus suasana keruh antara dua tok guru ini sehingga menimbulkan prasangka umum bahawa 2 tok guru ini memang bersengketa .

Orang bertanya pula , Ustaz ! apakah perkara ini hendak dibiarkan begitu sahaja ? sekian lama saya menjawab , sabarlah akhi ! suatu masa Allah akan mendedahkan perkara yang tidak betul ini . Sampai bila nak biarkan ustaz ? Ustaz boleh tengok ker Tok Guru kita difitnah dan diadu domba ?

Saya sendiri entah berapa kali menitis air mata melihat dan mendengar kata - kata kesat dilemparkan oleh ahli parti sendiri [ yang terpedaya dengan mainan kotor pihak tertentu yang saya sendiri pun tidak tahu siapa ] kepada kedua - dua tok guru tercinta . Saya bertahan sekian lama , tidak tahu apa yang patut saya buat kerana bimbang tersilap langkah .

Pernah saya dengar sendiri individu tertentu memperkecil Tok Guru Presiden sambil membandingnya dengan Tok Guru Murdyid Am dan al Marhum ustaz Fadhil Noor , sedang dia barulah setahun jagung menyertai perjuangan ini malah tidak pernah melalui jatuh bangun berjuang bersama kedua - dua Tok Guru ini .

Isu yang sering ditimbulkan masih lagi berkisar isu muqabalah dan terbaru unity goverment . Sentimen yang dibawa bersama pula ialah Tok Guru Hj. Hadi nak bawa masuk PAS ke dalam UMNO dan BN lalu mereka lagakan pula dengan kenyataan Tok Guru Mursyid Am yang menyatakan sikap tidak setuju terhadap kedua - dua isu tersebut dengan membawa sentimen bahawa Tok Guru Mursyid Am murka kepada Tok Guru Presiden .

Biarpun berapa kali dinafi oleh Tok Guru Presiden , bahawa tidak pernah berbangkit isu PAS masuk BN , namun penafian itu tidak pernah berkesan . [ Mereka cuba menunjuk rasa kasih kepada parti seolah - olah Tok Guru tidak sayang kepada parti kecuali mereka ] Seolah - olah mereka sengaja buat tidak faham , makin dinafi makin kuat fitnah mengatakan Tok Guru nak bawa PAS masuk BN dan tentu sekali mereka tidak tinggal kenyataan balas dari Tok Guru Mursyid Am untuk membidas Tok Guru Presiden bagi menampakkan pertembungan , lalu tercetus polemik dan kekeliruan yang disengajakan kepada anggota parti .

Inilah realitinya sebelum ustaz Nik Mohd Abduh tampil membuat penjelasan yang berisiko . Jika beliau benar , beliau mesti berani ambil risiko . Harapannya , dapat meredakan ketegangan dan kekeliruan dikalangan anggota . Mungkin sebahagiannya tidak dapat diredakan dengan kenyataan Ustaz Nik Mohd Abduh , apa boleh buat ! hanya bersabar dan memohon pertolongan dari Allah swt dengan solat saudara .

Sungguhpun begitu , saya percaya ramai dikalangan anggota parti yang terperangkap dalam kekeliruan yang dicipta ini akan menarik nafas lega dengan penjelasan dari Ustaz Nik Mohd Abduh .

Adapun berkait dengan dakwaan balas dari Ustaz Nik Mohd Abduh adalah dituju kepada pihak tertentu . Kepada yang tidak terlibat , usahlah rasa resah dan panas tidak semena - mena . Pendedahan atau penjelasan ustaz Nik Mohd Abduh bukan untuk saudara . Ustaz Nik Abduh mesti bertanggungjawab atas dakwaannya . Jika benar , ertinya beliau telah menegakkan yang hak dan Allah swt tahu ganjaran apa untuk beliau , demikianlah sebaliknya jika beliau salah dan sengaja mereka cerita dan dakwaan maka Allah swt pasti tidak lalai dan terpengaruh dengan setiap kalimah indah dari tulisan beliau . Tentu sahaja beliau pula akan menerima azabnya .

Namun saya secara peribadi , setelah menilai isu yang dibawa dan dilihat kepada suasana dan keadaan yang dihadapi kini , pula mengukur maklumat yang ada pada saya dari pelbagai sumber , saya percaya Ustaz Nik Mohd Abduh berada di pihak yang benar dan saya berdoa agar beliau berada di pihak yang benar .

Harapan saya segala kekeliruan kini telah tersingkap dan pintu penyelesaian kini ditemui.
http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.