Wajib Memerintah Dengan Islam!

Pada siri yang lepas (rujuk: Politk Adalah Juzuk Islam), kita telahpun mengetahui bahawa politik sememangnya mempunyai ruangnya yang tersendiri di dalam Islam. Memisahkan politik daripada Islam merupakan suatu perbuatan sangat bathil, malah boleh menjejaskan aqidah seseorang.

ALLAH SWT teleh menjelaskan di dalam firman-Nya, bahawa Islam merupakan cara hidup yang paling sempurna dan komprehensif, merangkumi segala bidang kehidupan manusia:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu dan telah-Ku relakan Islam itu sebagai agama anutan kamu.” Al-Ma’idah ayat 3.

“Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” Al-Baqarah ayat 208.

“Tidaklah kami alpakan (lupakan) sesuatupun di dalam al-Kitab (al-Qur’an) ini” Al-An’am ayat 38.

“Dan telah Kami turunkan ke atasmu al-Kitab yang menerangkan tiap-tiap sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang Islam” An-Nahl ayat 89.

Cukuplah dalil-dalil di atas sebagai penguat hujjah bahawa politik itu tidak boleh dipisahkan daripada Islam, dan meningkari bahagiannya di dalam syara’ akan membawa kepada kerosakan baik dari sudut aqidah seseorang ataupun ke dalam sistem hidup bermasyarakat.


Pada siri kali ini, adalah dirasakan sangat perlu untuk diterangkan kepada masyarakat umum bahawa tidak cukup bagi pemerintah untuk memegang kuasa dan mentadbir sahaja, selagi tidak berhukum dengan hukum Islam dan menjadikan perundangan Islam berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah sebagai qiblat di dalam pemerintahannya.


Di dalam kitab Muqaddimah ‘Aqidah Muslimin, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menulis tentang perkara-perkara yang membatalkan syahadah, di antaranya adalah beramal di atas dasar kebangsaan (nasionalisme) ataupun perkauman.

Di dalam kitabnya itu, disebutkan “Beramal di atas dasar kebangsaan (Nasionalisme) atau perkauman bilamana dasar ini dijadikan tujuan, berjuang kerananya, berucap kerananya dan menyeru ke arahnya dengan semangat ‘assabiyah, maka pegangan dan amalan itu dianggap syirik dan membatalkan dua kalimah syahadah kerana ALLAH SWT memerintahkan supaya kita beramal kerana-Nya, berjihad kerana-Nya, berjuang kerana-Nya. Apabila kita melakukan itu semua kerana bangsa kita semata-mata adalah bathil, boleh jadi kadang-kadang kita menentang mereka, kalau mereka kafir.

Seseorang muslim itu tidak menilai sesuatu tindakan menurut kepentingan kaumnya sahaja tetapi mestilah menurut apa yang diperintah oleh ALLAH SWT.

Sabda Rasul SAW:

“Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah ‘assabiyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar ‘assabiah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar ‘assabiyah”- Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud dan An-Nasa’ie.

Para sahabat Rasul SAW pernah bertanya:

“Apakah dia ‘assabiyah itu wahai RasuluLLAH?”

Baginda menjawab:

“Assabiyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman”

….Petikan daripada kitab “Muqaddimah ‘Aqidah Muslimin”.


Barangkali masih ada sesetengah pihak yang melihat PAS sebagai salah satu parti pembangkang yang gila kuasa untuk merebut hak mentadbir daripada parti yang memerintah kerajaan sekarang. Beberapa fakta yang sangat perlu difahami oleh golongan ini ialah bahawa:

1. PAS melihat bahawa pihak parti yang memerintah masih gagal untuk menegakkan hukum Islam di dalam negara. Bukan sekadar itu, malah yang lebih mengundang kekesalan ialah apabila usaha ke arah itupun seolah-olah tidak ada. Parti pemerintah seolah-olah tidak mempunyai inisiatif untuk meyakinkan rakyat bahawa tidak mustahil untuk dijalankan hukum-hukum Islam di dalam negara waima keadaan masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama. Pemerintahan Rasul SAW di negara Islam pertama iaitu Madinah membuktikan bahawa tidak wujud suatu ketempangan pun apabila pemerintahan Islam dijalankan walaupun bilangan orang bukan Islam adalah lebih ramai.

2. PAS tidak bermaksud untuk merampas kekuasaan daripada parti yang memerintah. Malah PAS bersedia untuk bekerjasama dan bergabung tenaga dengan Barisan Nasional andaikata mereka bersedia untuk menggunapakai hukum Islam sepenuhnya, walaupun PAS itu sendiri terpaksa dibubarkan. Bagi PAS, apa yang lebih penting ialah penegakkan hukum Islam itu sendiri, biar apapun nama platform yang digunakan.


Maka diharap daripada penjelasan artikel ini, masyarakat sekurang-kurangnya mendapat serba sedikit pemahaman mengenai kewajipan memerintah dengan hukum Islam, sekaligus memberikan kefahaman bahawa memilih pemerintah ataupun parti yang berusaha untuk menegakkan hukum Islam itu adalah wajib.

WaLLAHuta’ala a’lam.


iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.