Terbukti Ada Unsur Penipuan Projek Bakun, Sime Darby Saman Bekas Pengarah Eksekutif (CEO) Dan Dua Orang Pegawai Kanan Sebanyak RM92.2 Juta!

KUALA LUMPUR, 24 Dis [5.30 pm] - Sime Darby Bhd dan tiga subsidiarinya, Jumaat, memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid (foto) dan dua eksekutifnya, memohon ganti rugi sekurang-kurangnya RM92.2 juta kerana pecah amanah dan bertanggunggjawab berhubung projek Bakun. Saman itu difail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Dagang Baru pagi ini menerusi firma guaman Tetuan Zaid & Co, dan ini merupakan saman kedua difail oleh Sime Darby terhadap mereka. Plaintif dalam saman itu adalah Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Holdings Berhad dan Sime Darby Energy Sdn Bhd manakala defendan adalah Ahmad Zubir, bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan Datuk Mohamad Shukri Baharom dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan, Abdul Rahim Ismail. Dalam saman itu plaintif membuat tuntutan sekurang-kurangnya RM92.2 juta, serta faedah dan kos yang perlu dibayar oleh defendan kerana pecah amanah dan bertanggungjawab terhadap projek Bakun.
Empangan Bakun Sepatutnya Siap Disember 2010
Kumpulan itu dalam saman mereka antara lain memohon satu perintah mahkamah supaya Ahmad Zubir, Mohamad Shukri dan Abdul Rahim membayar kembali RM74 juta dan RM16.5 juta yang dibayar dengan cara yang salah dalam projek Bakun, dan perintah supaya masing-masing Mohamad Shukri dan Ahmad Rahim, membayar balik RM851,313.49. Plaintif turut memohon satu perintah supaya jumlah kerugian dinilai dan dibayar oleh setiap defendan, kerana memberikan 'plant' kepada Sinohydro dalam projek Bakun, dan satu perintah supaya kerosakan dinilai bagi semua kerugian yang dialami plaintif dalam projek itu. Plaintif juga mahukan satu perintah supaya defendan membayar kerosakan berdasarkan tindakan setiap defendan yang melakukan pecah amanah di samping bertanggungjawab terhadap tugas mereka, serta bayaran faedah dan kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Projek Empangan Bakun yang terletak di Sungai Balui, Sungai Rejang, Sarawak, merupakan projek tenaga hidro terbesar di Malaysia, dengan kapasiti yang dicadangkan 2,400 megawatt (MW) apabila disiapkan. Mengikut jadual awal empangan itu dibina pada awal 1994 dan dijangka siap Disember 2010. Mengikut saman itu, menjelang September 2007, lembaga pengarah Sime Darby menyedari bahawa limpahan kos berlaku dalam empat projek termasuk projek Bakun.
[Semalam Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Sdn Bhd menfailkan saman terhadap Ahmad Zubir, Mohamad Shukri, Abdul Rahim, dan bekas ketua unit perniagaan gas dan minyak bahagian tenaga dan utiliti) Abdul Kadir Alias serta bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd Mohd Zaki Othman, bagi menuntut mereka membayar balik sekurang-kurangnya RM338 juta, dan ganti rugi am dan teruk, serta lain-lain ganti rugi. Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia Khamis, syarikat tersebut berkata saman itu berkaitan dengan kerugian yang dialami dalam projek Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan projek marin. Saman itu difail menerusi Tetuan Zaid & Co dan mahkamah menetapkan 9 Mac tahun depan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Khairuddin Anhar].

BUKU JINGGA YANG AMAT DIGERUNI PUAK2 UMNO/APCO....


BUKU JINGGA YANG AMAT DIGERUNI PUAK2 UMNO/APCO....
PEMIMPIN UMNO DAH RAMAI YANG GILA MEROYAN DENGAN BUKU NI....
Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN

Posted on Friday, December 24 @ 18:19:45 PST by tokdalang

ALOR SETAR, : Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan reaksi mengelabah para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap janji pakatan rakyat sekiranya memerintah, khususnya Program 100 Hari kerana ia akan mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara.

Kata beliau, apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' PR adalah sesuatu yang diluar jangkauan BN sendiri, sebaliknya bagi PR ia adalah satu aspirasi yang akan menjadi realiti sekiranya berjaya menjadi pemerintah.



"Setelah 53 tahun memerintah BN tidak mampu untuk memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR tersebut," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

"Misalnya, pemberian imbuhan khas pendidikan kepada para guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN. Tapi PR akan lakukan, ini sudah mencabar dasar yang selama ini BN amalkan.

"Malah imbuhan ini juga akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun. Ia lebih baik daripada menyalahgunakankan wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah seperti diamalkan pemerintah ketika ini," kata beliau mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji PR melalui saluran media.

Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lalu.

Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :

1.Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
2.Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
3.Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
4.Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
5.Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
6.Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
7.Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
8.Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
9.Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
10.Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata perancangan PR yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN.

"Kenapa BN mesti takut dengan cadangan PR sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa rakyat sememangnya menyokong kepimpinan mereka. Apa yang jelas mereka gentar kerana Program 100 Hari tersebut mencabar kewibawaan dan kredibilit mereka," ujarnnya.

JAIS pantau laman web Syiah


LAMAN sesawang dan blog yang mudah dilayari membuka ruang kepada penyebaran fahaman Syiah di negara ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Bagi mengekang penularan fahaman bertentangan dengan ajaran Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat beberapa laman sesawang termasuk laman blog beberapa blogger kerana didapati menyebarkan fahaman bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Salah satu laman blog yang disiasat adalah milik seorang penulis novel terkenal kerana dikatakan cuba menyebarkan fahaman Syiah menerusi laman blognya.
Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi (gambar kecil) mengesahkan, pihaknya memang membuat pemantauan dan siasatan terhadap beberapa laman yang didapati cuba mengembangkan fahaman tersebut termasuk Syiah.

Plat peribadi 11 jadi rebutan


GAMBAR menunjukkan nombor pendaftaran 11 yang digabungkan untuk membentukperkataan di Britain.


LONDON - Agensi Perlesenan dan Kenderaan Britain (DVLA) mengutip £12.5 juta (RM59.8 juta) awal bulan ini daripada penjualan nombor plat peribadi siri-11 untuk pendaftaran kenderaan pada tahun 2011, lapor sebuah akhbar semalam.
Angka 11 itu boleh digunakan untuk membentuk perkataan yang mempunyai huruf dua L di Britain.
Harga permulaan bagi membeli nombor pendaftaran itu ialah £10,000 (RM47,848).
Nombor 11 itu digunakan bagi membentuk perkataan seperti DE11 BOY yang bermaksud Dell Boy dan BU11 DOG bermakna Bull Dog.
Agensi berkenaan menjangkakan memperoleh kutipan lebih besar kerana terdapat sejumlah nombor plat istimewa yang masih belum dibeli.
Setakat ini, ia menerima lebih 23,000 tempahan bagi nombor plat 11 untuk dilekatkan pada kenderaan baru yang bermula pada 1 Mac depan.
Sepanjang tahun lalu, DVLA memperoleh pendapatan cuma £3.5 juta (RM16.7 juta) hasil penjualan nombor plat peribadi. - Agensi

Diskaun 75 peratus kerana cuaca sejuk


SUASANA lengang di luar gedung beli-belah Harrods di Knightsbridge, London kelmarin yang pada kebiasaannya sibuk dengan orang ramai.


LONDON - Banyak pusat beli-belah termasuk Marks & Spencer dan John Lewis melancarkan jualan barang termasuk pakaian di laman web masing-masing di Internet dengan diskaun sehingga 75 peratus, lapor sebuah akhbar semalam.

Potongan harga itu dibuat kerana cuaca terlalu sejuk yang menyebabkan orang ramai tidak dapat keluar membeli-belah sempena perayaan Krismas.
Promosi agresif itu dibuat selepas ramai pasar raya dan gedung beli-belah mengalami kerugian berjuta-juta pound akibat ketiadaan ramai pembeli disebabkan cuaca sejuk.
Salji dan ais yang kini melanda Britain dan dianggap fenomena paling buruk dalam tempoh 30 tahun telah memberi kesan terhadap ekonomi dan sektor pengangkutan.
Penganalisis dalam bidang peruncitan, Tarlok Teji dari Sekolah Perniagaan Manchester berkata: "Krismas menjadi dahsyat buat ramai peruncit dan saya menjangkakan ramai peruncit akan membuat satu keputusan memotong harga sebagai usaha untuk melariskan jualan." - Agensi

Makanan mamak naik harga-siapa punya kerja nie sudah tentu umno bn....yang pentingkan diri ....


SEORANG pekerja restoran mamak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur menebar roti canai yang harganya dijangka naik tahun depan.


KUALA LUMPUR - Di sebalik peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mahu menaikkan harga semua makanan dan minuman yang dijual disemua restoran ahli persatuan itu mulai awal tahun depan.
Tindakan yang dilihat agak tergesa-gesa itu tanpa perlu melakukan rundingan dengan kerajaan jelas membuktikan bahawa persatuan tersebut mempunyai kuasa penuh untuk menaikkan harga setiap jenis makanan dan minuman di antara lima hingga 10 peratus.
Seperti biasa alasan yang diberikan oleh Presma untuk menjustifikasikan kenaikan harga itu ialah ahli-ahlinya yang kini seramai 2,700 orang sudah tidak lagi sanggup menanggung kos operasi berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Kg Baru: MAS bantah akta baru, dakwa maklumat tak terperinci

December 25, 2010
KUALA LUMPUR, 25 Dis — Pengurusan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru berkata agensi itu tidak berpuas hati dengan penerangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 dua minggu lalu.
Ini kerana menurut Setiausaha Agong MAS Shamsuri Suradi, penerangan secara tidak terperinci mengenai rang undang-undang itu menyebabkan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu terkeliru.
“Pemilik dan pewaris tanah di sini (Kampung Baru) keliru kerana penerangan yang dibuat itu tidak jelas.
“Kementerian perlu jelaskan perbadanan ini untuk apa? Apa matfaat kepada penduduk? Kementerian tidak boleh hanya terangkan secara terus sahaja.
“Penjelesan terperinci perlu dibuat, baru penduduk boleh faham. Kalau penduduk tak faham mereka akan ada persepsi yang berbeza,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Shamsuri juga mencadangkan agar perkataan “MAS” itu turut diletakkan sekali dalam Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.
“Kita nak mesti ada perkataan MAS... kalau tidak, ikut perbadanan itu, MAS akan dibubarkan.
“MAS akan diletakkan di bawah Majlis Penasihat perbadanan ini, kita mahu MAS menjadi keutamaan,” katanya.
Pada 14 Disember lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk terdiri daripada pemilik dan pewaris Kampung Baru.
Penerangan itu diadakan beberapa jami selepas rang undang-undang itu dibaca kali pertama di Parlimen. Ia dijangka baca kali kedua Mac depan.
Pertemuan itu melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periuk.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman dan barisan kepimpinan MAS.
Pertemuan dengan lima buah kampung lain dijangka akan diadakan awal tahun depan.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.
Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.
Menurut Shamsuri, satu pertemuan dirancang untuk diadakan dengan ketujuh-tujuh ketua kampung di Kampung Baru malam tadi.
Namun Shamsuri bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pertemuan itu.
The Malaysian Insider difahamkan pertemuan itu diadakan untuk mendapatkan respons berhubung  Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.
“Tunggulah kita adakan mesyuarat dulu, kemudian baru kita akan beritahu. Ada tiga isu yang utama dalam pertemuan,” kata Shamsuri.
Persatuan Pembangunan Kampung Baru sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang membentangkan rang undang-undang itu terlebih dahulu di Parlimen.
Persatuan itu mendakwa pembentangan itu dibuat tanpa memberi penerangan secara terperinci mengenainya kepada mereka terlebih dahulu.

Pakatan: SPR ‘tunduk’ desakan adakan pilihan raya kecil hari cuti

December 25, 2010
KUALA LUMPUR, 25 Dis — PAS mendakwa keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang pada hari cuti mingguan menunjukkan agensi itu “akhirnya tunduk” kepada gesaan Pakatan Rakyat selama ini.
Sambil menafikan pihaknya tidak berpuas hati dengan pemilihan hari penamaan calon dan pengundian itu kali ini, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tetap menyifatkan SPR “double standard” sepanjang pilihan raya kecil diadakan.
Hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang adalah pada 22 Januari iaitu hari Sabtu manakala pengundian, jika ada saingan, akan berlangsung 30 Januari yang jatuh pada hari Ahad.
“SPR memang double standard, itu semua orang tahu.
“Tapi akhirnya SPR tunduk kepada tuntutan yang Pakatan Rakyat buat selama ini yang mana kita mahu pilihan raya kecil diadakan pada cuti umum.
“Ini menunjukkan SPR telah tunduk kepada Pakatan Rakyat, ia juga menunjukkan SPR sudah mula mengamalkan demokrasi seperti mana yang sepatutnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
PAS akan mewakili Pakatan Rakyat manakala Umno pula membawa cabaran Barisan Nasional di DUN Tenang kali ini.
PAS sedang menghalusi empat nama manakala Umno-BN pula tujuh.
SPR meramalkan peratusan keluar mengundi dalam lingkungan 80 peratus berbanding 74 peratus 8 Mac 2008.
Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.
Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008, malah ia juga yang pertama sejak pilihan raya kecil DUN Tambatan yang diadakan pada 1989.
DUN Tenang, salah satu daripada dua kerusi negeri dalam Parlimen Labis yang berjirankan kerusi Parlimen Pagoh yang bersempadankan kawasan Parlimen Pagoh di sebelah barat, Parlimen Sekijang di utara dan negeri Pahang di sebelah timur.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, SPR yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sentiasa menyusahkan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat apabila pilihan raya kecil diadakan.
“Bila pilihan raya kecil diadakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, SPR akan menyusahkan pengundi apabila umumkan ia diadakan pada hari bekerja.
“Tapi bila ia diadakan di negeri Barisan Nasional (BN), SPR umumkan pada cuti umum pula. SPR sahaja nak menyusahkan Pakatan Rakyat,” katanya sambil merujuk dengan beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan sebelum ini termasuk di Bagan Pinang, Galas, Manek Urai dan Kuala Terengganu.
Harakahdaily pula memetik Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menyifatkan tindakan SPR menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Tenang, jelas memperlihatkan sikap “double standard” badan itu.
Beliau berkata, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.
Katanya, apabila berdepan pilihan raya kecil di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.
Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07%).
Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.

Terbaik 2008: PAS diterima semua pihak


Harakahdaily   
KEPALA BATAS, 19 Dis: Antara kejayaan paling besar pilihan raya umum 2008 adalah apabila PAS telah diterima dengan baik oleh semua kaum di Perak, kata perwakilan DAP, Dr Jayabalan dalam konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat hari ini.

Perkara ini berlaku kerana slogan PAS untuk semua dan Malaysia untuk semua telah berjaya berjalan dengan baik.

Beliau berucap sebagai pembahas dalam konvensyen ini.

Sementara itu, wakil dari PKR, Chah Li Kang pula berkata, masa untuk bercakap sudah berakhir kerana sekarang adalah masa untuk bekerja bagi memenangkan Pakatan.

Ini kerana, kata beliau, dasar yang dikemukakan oleh Pakatan jauh lebih baik dari BN. Oleh itu, apa yang perlu dibuat adalah mempastikan dasar ini boleh dilaksanakan dengan bekerja kuat ke arah memenangkan Pakatan.

Beliau mencadangkan, dalam pelaksanaan dasar ini, sebuah Parlimen Pemuda yang bertujuan untuk membincangkan isu-isu di kalangan pemuda di negara ini.

Beliau yakin, pendekatan ini akan membolehkan semua pihak rasa terbela kerana pemuda sangat penting bagi melaksanaan dasar yang baik itu.

Beliau memetik kata-kata bekas Presiden Indonesia, Sukarno yang berkata, "Berikan aku 10 pemuda, nescaya aku akan goncang dunia."

Beliau menolak projek yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu NKRA.

"NKRA sebenarnya bukan National Key Result Area tetapi Najib Kasi, Rosmah Ambil," kata Chah Li Kang.

Universiti Felda perlu jadi agenda Pakatan


Mohd Sabri Said   
KEPALA BATAS, 19 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, penubuhan Univesiti Felda hendaklah menjadi agenda utama setelah Pakatan Rakyat (PR) diberikan mandat memerintah.
Katanya, Felda yang ditubuhkan oleh kerajaan sepatutnya mempunyai sebuah univesiti sepertimana Petronas, TNB dan seumpamanya.
Lagipun, katanya tidak mustahil Felda yang mempunyai wang yang banyak menubuhkan sebuah univesiti yang mampu meningkatkan pendidikan keluarga peneroka Felda.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata rakyat menjadi miskin demokrasi kerana sikap Umno dan BN yang sering mempermainkan sistem berkenaan.
Justeru, ujarnya bagi melincinkan pentadiran, satu usaha penting harus dicari bagi menambah perancangan yang lebih efisyen.
Program turun padang wajar didahulukan oleh semua jentera akar umbi supaya rakyat tahu kelebihan pemerintahan PR.
“Nampak gayanya BN terpaksa meniru 132 tindakan PR sepertimana memperkenalkan  gaji minima, cuti 60 hari dan sebagainya untuk tangani kebencian rakyat pada mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Tambahnya, memandangkan BN asyik menabur janji kosong, maka PR harus mengambil kesempatan memperjelaskan kepada umum tentang penyelewengan yang mereka lakukan.
“BN sebenarnya takut hilang kuasa, maka mereka cuba buat apa saja termasuk tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan,” ujarnya.
Namun pada hakikatnya, kata beliau BN hanya bergantung pada media, wang dan jentera kerajaan.

Teks Ucapan Presiden PKR sempena Konvensyen PR 2010

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua para perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat 2010. Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat berhimpun bersama-sama bagi merencana, membahas serta memperkasa agenda perjuangan kita dalam memartabatkan ketuanan rakyat dan kedaulatan negara tercinta ini.
Suka saya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Saudara Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan negeri Pulau Pinang yang telah berjaya mentadbir serta melaksanakan pelbagai perubahan dan penambahbaikan di negeri ini demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Selain Selangor, Kelantan dan Kedah; Pulau Pinang juga merupakan antara negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain terutamanya dari aspek kecemerlangan pengurusan ekonomi, sistem tadbir urus yang efisyen serta komitmen serius dalam memerangi rasuah.
Justeru, sewajarnya kita bersama-sama terus teguh dan komited mempertahankan kecemerlangan ini demi membela rakyat.
MALAYSIA PASCA 8 MAC 2008
Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,
Sejak Mac 2008, lanskap politik Malaysia kini sudah mengalami perubahan yang ketara. Selepas Pilihanraya Umum ke-12, kita telah mengejutkan rakyat dengan memenuhi aspirasi mereka yang dahagakan sistem dua parti (two-party system) yang seimbang dan setara.
Ini adalah satu anjakan yang besar dalam pembinaan siyasah negara yang mulanya berjinak-jinak dengan semangat demokrasi. Tatkala Pilihanraya Umum pertama selepas kemerdekaan Tanah Melayu dicapai pada tahun 1959, pembangkang di bawah muafakat longgar di antara PAS, Parti Negara dan Socialist Front telah cukup menggegar Kerajaan Perikatan pada ketika itu. Dan UMNO-Perikatan pada ketika itu tidak menunggu lama untuk menggugat barisan pembangkang.
Pada tahun 1961, Kerajaan PAS-Parti Negara di Terengganu digulingkan dengan cara yang begitu jijik: beberapa ADUN PAS dan Parti Negara diculik sehingga akhirnya melompat ke dalam UMNO. Kerajaan PAS-Parti Negara pimpinan Daud Samad digulingkan tanpa ada perasaan malu kepada rakyat.
Almarhum Dato’ Onn Jaafar, perwakilan tunggal Parti Negara selaku Ketua Pembangkang di Parlimen pada ketika itu juga dicemuh melalui pembunuhan karakter yang sangat mendukacitakan sehinggalah almarhum meninggal dunia.
Pimpinan PAS dan Socialist Front seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Helmy dan Allahyarham Ahmad Boestamam ditahan di bawah akta zalim ISA, kononnya kerana ‘mengancam keselamatan negara’. Akhirnya pakatan pembangkang menjadi lesu dan langsung lemah sewaktu Pilihanraya Umum tahun 1964.
Sejarah membuktikan bagaimana pembangkang yang kuat tidak akan dibenarkan berfungsi di dalam negara Malaysia selagi UMNO-BN berkuasa, meskipun demokrasi berparlimen merupakan anutan politik negara.
Dan kini ia berulang lagi. Mulanya UMNO-BN merekayasa rampasan kuasa kerajaan Negeri Perak yang dimenangi secara sah oleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-12. Terbaru, Ketua Pembangkang, Saudara Anwar dan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat seperti Saudara Azmin Ali, Saudara Karpal Singh dan Saudara Sivarasa Rasiah digantung daripada Sidang Dewan Rakyat.
Hadirin sekalian,
Mengapa ini semua berlaku? Jawapannya kita sedia maklum: kerana Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan bahawa muafakat yang kita pupuk berpotensi besar untuk membaiki dan membela nasib rakyat kebanyakkan.
Hakikatnya Pakatan Rakyat adalah satu-satunya pakatan politik yang paling berjaya di dalam lanskap politik tanah air yang mampu menjadi saingan sengit kepada hegemoni UMNO-BN. Disebabkan oleh realiti inilah, UMNO-BN tanpa henti barang sesaat pun untuk mengasak Pakatan Rakyat dan kepimpinannya.
MUAFAKAT DEMI MEMBELA RAKYAT
Justeru, KEADILAN, PAS dan DAP seharusnya membulatkan tekad demi memperkukuhkan muafakat Pakatan Rakyat.
Keseriusan kita memperjuangkan pelbagai isu di Parlimen, sebagai contoh isu pelaksanaan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST Act), isu kenaikan harga minyak, isu penyelewengan wang rakyat dan lain-lain isu membuktikan bahawa komitmen kita demi rakyat berada pada landasan yang betul.
Akibatnya UMNO-BN cemas dan lebih berwaspada. Mereka kini lebih berhati-hati dalam bertindak kerana tahu rakyat akan memilih pakatan yang membela mereka. Dan sendi kekuatan Pakatan Rakyat adalah rakyat Malaysia sendiri, bukan wang dan mainan retorik ciptaan sendiri seperti mereka.
Hakikatnya mereka hilang punca bila berdepan dengan keutuhan yang ditonjolkan Pakatan Rakyat.
PAS terus kukuh dengan pengukuhan politik Islami yang sangat menekankan keabsahan moral; DAP kian terbukti sebagai parti yang cekal membela nasib kaum yang pelbagai; dan KEADILAN sendiri telah mempamerkan budaya politik era baru yang serasi dengan kehendak rakyat pelbagai kaum dan ideologi.
Muafakat ini dicemburui UMNO-BN. Mereka cuba meniru kesepakatan kita, malangnya rakyat tahu bahawa Konvensyen BN hanya berlaku setiap 15 tahun sekali, itupun kali pertama dalam tahun 1995. Di pentas yang sama, mereka berselingkuh pandangan. Di saat ada pimpinan komponen yang menyelar budaya ‘abang besar dan adik kecil’ dalam BN, mereka mula tidak senang duduk.
Ini berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat. Tokoh-tokoh seperti Saudara Anwar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Saudara Karpal Singh dan Saudara Lim Kit Siang mengisi seluruh ruang spektrum politik negara dengan kepelbagaian ideologi dan perjuangan. Walaupun pendekatan dan spektrum politik yang berbeza, nada dan irama kita adalah seiring kerana Pakatan rakyat disatukan atas landasan membela rakyat.
NATIJAH SERANGAN BERTALI ARUS
Saudara-saudari yang dihormati,
Objektif serangan bertali arus yang dilakukan oleh UMNO-BN ke atas Pakatan Rakyat ini mudah dibaca – iaitu untuk mendatangkan keraguan di kalangan rakyat dan sesama kita, agar barisan yang utuh ini mula goyah.
Dibisikkan kepada orang Melayu kononnya DAP ini akan ‘menjual’ kepentingan orang Melayu. Maka timbullah keraguan orang Melayu terhadap DAP.
Dibisikkan kepada masyarakat bukan Melayu kononnya PAS ini anti masyarakat bukan Melayu. Maka timbullah kebimbangan orang bukan Melayu terhadap PAS.
Dicanang ke seluruh Malaysia kononnya KEADILAN dan Anwar Ibrahim ini bermasalah dalam Pakatan Rakyat, dengan harapan keraguan rakyat akan bercambah.
Tetapi percaturan mereka yang paling besar adalah untuk mengapi-apikan kita sesama sendiri; agar kita berpaling dari asas perjuangan yang bertunggakkan keadilan dan tidak mengenal politik perkauman. Mereka mahu DAP takutkan PAS kerana hasutan mengenai agenda Islamisasi, PAS khuatir penampilan DAP akan menidakkan sokongan Melayu. Mereka berharap PAS dan DAP meragui kemampuan KEADILAN menangkis serangan demi serangan dari mereka.
Taktik ini harus kita hadham sebetulnya agar kita tidak sedikit pun terbuai dengan mainan propaganda mereka. Sebagaimana ombak tidak akan jemu menghakis pantai, demikian jugalah UMNO-BN tidak akan berhenti dari cuba memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat!
Justeru, komitmen kepada kesepakatan bersama harus kita perkukuhkan dari semasa ke semasa. Sewajarnya selepas ini, setiap pengumuman dan pembelaan rakyat perlu membariskan pimpinan dari ketiga-tiga parti sebagai lambang kesepakatan dan satu nada di dalam Pakatan Rakyat.



FOKUS PAKATAN RAKYAT
Hadirin sekalian,
Perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk mengkayakan diri sendiri, tetapi ia terhasil dek kerana keinsafan kita atas perit jerih yang dialami oleh rakyat kebanyakan.
Di sebalik kemegahan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia adalah negara dua darjat: yang kaya terus hidup mengulit mimpi di dalam mahligai, yang miskin derita sehingga terpaksa bergolok gadai.
Pelbagai akronim dicatur oleh pemerintah. Sebut sahaja MBE, NKEA, NKRA, GTP, ETP dan pelbagai lagi akronim yang direncana UMNO-BN, satupun gagal mendatangkan impak positif kepada rakyat. Yang terus berlaku ialah rakyat menjadi semakin keliru. Pendapatan negara kononnya tinggi, KDNK negara capai pertumbuhan, tetapi harga barang terus naik, kos sara hidup terus menghimpit.
Mengapa ini berlaku? Kerana mereka hanya mengkaji di dalam makmal-makmal yang memisahkan realiti rakyat dengan rekayasa dasar. Mereka mencatur strategi, tetapi rakyat tidak menikmatinya sekelumit pun.
Realitinya rakyat tidak mahukan dokumen yang menyusun indah kata-kata dan retorik berlebihan. Rakyat mahukan impak langsung. Harga petrol dan harga barang yang bersesuaian, akses pendidikan lebih luas, pengangkutan awam yang efektif dan efisyen, perkhidmatan awam yang tidak birokratik dan sebagainya.
Tetapi ini tidak dijanjikan oleh UMNO-BN. Yang mereka laungkan hanyalah NKRA, NKEA dan pelbagai lagi. Apa yang rakyat dapat? Cuma buku kulit tebal yang punyai pelbagai visi dan misi, tapi kosong isi dan intipati.
Di atas kesedaran inilah, tanggungjawab Pakatan Rakyat adalah besar demi merealisasikan harapan rakyat. Pundak kita diletakkan amanah yang bukan kecil.
Justeru, Konvensyen ini harus membahaskan perkara-perkara yang penting menjurus kepada dasar-dasar baru yang pro-rakyat, bukan sekadar laungan retorik irama lama yang berdendang masyhur.
Komitmen KEADILAN dan Pakatan Rakyat, kita menawarkan kepada rakyat bahawa sekiranya rakyat mengamanahkan Malaysia dikemudi Pakatan Rakyat dengan izin Tuhan, dalam tempoh 100 hari berkuasa, tujuh langkah utama akan diambil demi mengurangkan beban hidup rakyat.
PEMBELAAN RAKYAT
Saudara-saudari yang dihormati,
Di bawah kekuasaan UMNO-BN, rakyat bolehlah diibaratkan umpama kayu lampung, ditebuk kumbang tebus-menebus. Lantaran itu, KEADILAN memberikan jaminan kepada rakyat, bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya menerajui Putrajaya, kita bertekad untuk menghapuskan kutipan tol yang jelas hanya mengkayakan konsesi dan kroni.
Kita juga tidak akan meminggirkan golongan-golongan yang kurang berkemampuan, individu dan juga kelompok sosial.  Sistem subsidi akan dibaikpulih dengan penuh tanggungjawab. Kita akan pastikan mereka yang berhak akan perolehi subsidi yang perlu. Subsisi ini sudah pasti akan dapat membantu menjana kehidupan seharian dengan lebih sempurna. Kita akan perangi subsidi korporat dan pulangkan hak kepada rakyat.
Manakala dalam sektor pendidikan pula, KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan terus memartabatkan golongan pendidik. Bertahun-tahun UMNO-BN berjanji mahu memartabatkan kerjaya perguruan, tetapi yang naik imbuhannya setiap tahun hanyalah polis, golongan pendidik bergelumang seperti marhaen yang lain.
Oleh itu, kita akan menaikkan gaji setiap guru sebanyak RM500 sebulan. Ini hanya melibatkan kos kecil sebanyak RM3 bilion berbanding ketirisan RM28 bilion akibat rasuah dan tadbir urus yang tidak sempurna. Imbuhan khas pendidik ini adalah langkah awal Pakatan Rakyat menyediakan imbuhan yang setimpal dengan jasa pendidik, agar kerjaya pendidik menjadi kerjaya pilihan rakyat Malaysia ke arah melahirkan pendidikan berkualiti tinggi.
Saudara-saudari perwakilan yang dihormati,
Alhamdulillah, di Selangor, skim air percuma sudah dan sedang dilaksanakan. Program ini akan berterusan dan dipantau dari semasa ke semasa. Justeru, KEADILAN bertekad untuk melebarkan dan menjayakan skim air percuma ini ke negeri-negeri lain. Dengan satu harapan, rakyat akan dapat menikmati air yang dianugerahkan Allah.
Bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sebaiknya dari revolusi maklumat, Pakatan Rakyat akan menawarkan perkhidmatan internet wi-fi secara percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar.
Saudara-saudari
Langkah ketujuh adalah untuk mengembalikan institusi rakyat kepada peranan asal mereka membela rakyat. Felda yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki tanah dan ladang sendiri, telah menyimpang dari piagam asalnya apabila Felda Plantations lagaknya tidak ubah seperti gergasi perladangan swasta yang lain.
Oleh itu, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa tanah-tanah dan ladang-ladang yang dikuasai Felda Plantations itu dikembalikan kepada generasi kedua dan ketiga Felda, agar semangat asal penubuhan Felda dapat dihidupkan kembali. Jangan Felda satu hari nanti akan dicemuh oleh warga peneroka sendiri, seperti rangkap pantun ini:
Mengayuh beca tanpa roda,
Tiada duit beli yang baru;
Bila di tanya hak peneroka,
Felda kata “mana aku tahu”.

Perwakilan yang saya hormati,
Langkah-langkah ini adalah jelas dan muda difahami rakyat. Ia menzahirkan prinsip keadilan sosial yang dimeterai oleh Dasar Bersama.
Ia jelas membuktikan kesepaduan kita di dalam Pakatan Rakyat, kerana melalui langkah-langkah ini, kita menunjukkan bahawa pendekatan negara kebajikan yang dibawa oleh PAS akan diangkat untuk menjadi agenda perjuangan bersama Pakatan Rakyat.
Semangat keadilan sosial yang diperjuangkan oleh PKR juga sebati dalam pengolahan ketujuh-tujuh langkah tersebut. Seterusnya, kebajikan dan keadilan sosial ini lebih kukuh dengan penghormatan kepada semua kaum, seperti yang diperjuangkan DAP.
Nah! Ini bukan sahaja bukti bahawa dasar dan program yang jelas tetapi ia adalah menunjukkan bahawa kesepakatan dalam Pakatan Rakyat telah sampai ke tahap menghadamkan perjuangan yang sama.
REFORMASI LAWAN TRANSFORMASI
Saudara-saudari yang dikasihi,
KEADILAN secara konsisten akan terus mewacanakan konsep Ketuanan Rakyat dan bangsa yang bermaruah dalam setiap agenda pemerkasaan rakyat kerana kita yakin bahawa tidak akan wujud reformasi ekonomi jika tidak ada reformasi politik.
Malaysia memerlukan reformasi politik dan Pakatan Rakyat telah lama memperjuangkannya kerana kita peka bahawa tanpa iltizam dan keikhlasan, gagasan ‘transformasi’ yang diciplak oleh pemerintah UMNO-BN dari kita ini hanya akan menjadikan situasi politik Malaysia lebih teruk dan merosot.
Reformasi yang kita bawa bermaksud “mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik”. Kata asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu ‘reform’ yakni hasil akhir sudah pasti lebih baik.
Transformasi pula maknanya “tukar sahaja” seperti dalam filem Transformers yang mana robot-robot boleh bertukar menjadi kereta, lori dan kapal terbang dan kemudiannya kembali bertukar menjadi robot semula. Makanya tidak ada apa-apa yang berubah, sekadar bertukar tanpa mengambil kira hasil akhir. Dari era Mahathir, ke era Pak Lah, ke era Najib – segalanya tentang transformasi; Mahathir dengan Wawasan 2020, Pak Lah dengan Islam Hadhari dan kini Najib dengan 1Malaysia, itu pun atas tunjuk ajar dari APCO yang menelan jutaan wang rakyat. Inilah dia erti sebenar ‘transformasi’ yang dilaung-laung oleh kerajaan UMNO-BN.
KESIMPULAN
Saudara-saudari yang dihormati,
Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanan dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran UMNO-BN kini semakin kabur dan tidak menentu. Seandainya perubahan tidak dilaksanakan sekarang, segala kerosakan dan kebobrokan hasil kepincangan pentadbiran UMNO-BN akan berterusan tanpa penghujung. Negara ini akan terus dirundung malap dan tak mustahil akan menemui masa depan yang gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat untuk melihat Malaysia kembali di landasan yang betul, yang berteraskan prinsip keadilan dan muafakat sesama kaum perlu dikembalikan segera.
Perubahan harus bermula sekarang; kerana hala tuju negara ini telah jauh menyimpang dari matlamat asalnya. Kesukaran hidup rakyat telah sampai ke peringkat yang memuncak, di kala haluan ekonomi negara juga semakin malap.
Pakatan Rakyat percaya bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem dan negara dan masyarakat kita.
Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara

Bersama-sama kita lakukan perubahan sekarang untuk menyelamatkan Malaysia!
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Harga Barang Pasti Melambung Jika BN Menang di Tenang

Harga barang keperluan terutama minyak dan gula bakal mengalami kenaikan harga lagi jika BN menang di Tenang, demikian tulis seorang pensyarah tempatan melalui email kepada GB.

Ini kerana, menurutnya, sudah jelas tanda-tanda bahawa wujudnya perancangan untuk menaikkan harga tersebut secara diam-diam oleh kerajaan UMNO BN sekalipun mereka cuba untuk menyembunyikannya daripada dihidu oleh rakyat.

Isu kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga petrol RON95 yang mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) sejak awal bulan ini — kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib, juga perlu mendominasi kempen Pakatan Rakyat di PRK Tenang nanti.

Janji kerajaan UMNO BN ternyata palsu, janji yang tidak boleh dipercayai kerana belum pun sebulan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelumnya menyatakan "Harga minyak RON 95 dijangka tidak akan dinaikkan pada tahun ini", tambahnya.

Tetapi pada malam itu, 3 Disember 2010, 1Malaysia dikejutkan dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak RON95 daripada RM1.85 kepada RM1.90 seliter dengan diiringi kenaikan harga diesel, gula dan LPG.

Ketua Muslimat PAS, Puan Nuridah Salleh pula menyatakan janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikannya sejak dulu.

"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily sebelum ini.

"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sabri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Ternyata, janji Menteri berkenaan adalah palsu.

Sementara itu, Konges Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula telah menyifatkan kerajaan memilih cara “tembak curi” untuk mengumumkan pelarasan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga bahan api dan gula.
Sehubungan itu badan induk pekerja itu berkata, langkah kerajaan yang diumumkan awal bulan ini amat dikesali kerana keputusan diambil tanpa mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja, badan pertubuhan bukan kerajaan termasuk badan pengguna.

“Kerajaan memilih malam Jumaat 3 Dis untuk menaikkan harga bahan bakar petroleum dan harga gula.

“Ini untuk memastikan bahawa berita kenaikan harga bahan-bahan keperluan asas ini tidak serta-merta akan disambut oleh para wakil rakyat di Parlimen.

“Kali ini kerajaan telah memilih cara ‘tembak curi’ tanpa banyak perbincangan dan memberi maklumat awal,” kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam satu kenyataannya.

Katanya, sebelum ini pegumuman kenaikan harga bahan bakar petrol dibuat ketika sidang Parlimen ditangguh.

Amat jelas tarikh dan masa dipilih sebagai taktik pengolahan berita untuk memastikan berita ini akan tenggelam dan diharapkan orang ramai akan lalai dan tidak marah.

“Setelah diumumkan kenaikan harga ini para menteri yang bertanggungjawab dan menteri yang lain terus ‘padam’ tidak memberikan apa-apa pandangan.

“Seolah-olah adanya arahan agar berita kenaikan harga barangan ini tidak dibincangkan secara meluas,”
kata Syed Shahir.

Beliau mendakwa satu pekara yang amat jelas ialah bagaimana berita kenaikan bahan asas ini diolah untuk memperdaya pandangan orang ramai.

Katanya lagi, perkataan seperti keseragaman harga, penyelarasan harga, penarikan subsidi, rasionalisasi harga telah digunakan.

“Perkataan ‘naik harga’ terus tidak muncul dalam akhbar dan media.

Oleh itu sewajarnya, menurut ramai aktivis masyarakat, UMNO BN ditolak di dalam pilihanraya kecil Tenang nanti sbagai protes rakyat terhadap mereka yang bertindak menzalimi rakyat.

Untuk sebaran sempena PRK Tenang

Sumber: GreenBoc

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.